Wednesday, October 10, 2007

Kejayaan dan kemenangan lampau bukan semata-mata untuk bermegah -- Jadikan sejarah iktibar

SATU persoalan yang menarik telah ditimbulkan di dalam Konvensyen Islam kali kedua yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka pada 9 dan 10 Jun lalu. Persoalannya ialah adakah umat Islam menjadi mundur dan ketinggalan pada hari ini kerana mereka telah dilanda sindrom dan mimpi yang indah tentang pencapaian umat Islam yang cemerlang ketika mereka melalui era kegemilangan dalam sejarahnya? Kerana mereka telah mencapai kejayaan yang tinggi pada masa itu dan berjaya pula menyumbang kepada tamadun dunia umumnya dengan pencapaian ilmu pengetahuan yang tinggi, maka mereka hanya akan mengenang segala peristiwa indah yang pernah dilaluinya, dan lupa pula untuk melihat kepada realiti mereka pada masa kini, apa lagi untuk membina tamadun mereka bagi masa depan. Apakah hal ini merupakan satu sindrom yang menimpa umat Islam sehingga mereka hanya asyik menyanyikan lagu dan irama manis zaman dulu kala, dan lalai dengan kedudukan mereka pada masa kini?

Persoalan ini bukanlah mudah untuk dijawab, kerana sebenarnya jika diperkatakan tentang kemunduran umat Islam pada hari ini, maka hal itu tidaklah hanya dapat dirujukkan kepada sindrom yang ditimbulkan itu semata-mata. Jika dikaji dan diteliti dari sejarah, maka kemunduran dan ketinggalan sesuatu umat adalah disebabkan oleh banyak faktor dalaman dan luaran yang menghambat kemajuan sesuatu kaum atau umat itu. Demikian juga dengan kemunduran dan ketinggalan umat Islam pada hari ini yang boleh dikaji punca dan sebab musababnya yang agak banyak yang menyumbang kepada kemunduran itu, bukanlah hanya semata-mata kerana mereka terbawa-bawa oleh mimpi indah tentang kejayaan mereka itu.

Dalam konvensyen itu juga telah ditekankan oleh banyak peserta, terutamanya oleh ahli dan peminat sejarah, bahawa kita mengkaji sejarah bukanlah semata-mata hanya untuk bermegah-megah dengan kejayaan dan kemenangan kita pada masa yang lampau. Tetapi kita mengkaji sejarah ialah untuk mengambil iktibar dan pelajaran dari segala kemenangan dan kejayaan kita, juga mempelajari segala kelemahan dan kemunduran yang dialami oleh umat dalam perjalanan sejarahnya itu.

Tegasnya, kita tidaklah seharusnya berpandangan bahawa mengkaji sejarah, hanya akan melalaikan kita dari agenda perjuangan yang terkini

Bagaimanapun dalam mengkaji sejarah itu juga kita seharusnya bijaksana menimbangkan segala peristiwa dan fakta yang berlaku. Hal ini perlu ditekankan kerana terdapat di kalangan umat kita sesetengah orang yang hanya asyik berbangga dengan kejayaan yang lampau, dan menonjolkan segala kejayaan umat dan pemerintahannya ketika mereka berada di kemuncak kegemilangannya, iaitu ketika mereka berjaya dan maju, tetapi tidak pula cuba mengkaji peristiwa sejarah ketika umat itu mengalami saat-saat kemunduran dan kejatuhannya. Seharusnya di samping mengkaji saat kejayaan, maka haruslah juga dikaji sebab-sebab kemunduran dan kejatuhannya.

Dalam sejarah peradaban umat Islam yang amat penting itu, para sarjana sejarah menjelaskan bahawa pusat-pusat pendidikan keilmuan Islam yang menekankan tentang sains, matematik, algebra, astronomi dan sebagainya, telah ditubuhkan pada akhir tahun 600 dan awal tahun 700. Eropah sendiri baru menyaksikan penubuhan pusat pendidikan seperti ini di sekitar kurun yang ketiga belas, iaitu yang ditubuhkan di Universiti Paris dan Oxford. Hal ini dengan sendirinya telah menerangkan satu fakta sejarah tentang kebangkitan era keilmuan yang begitu awal dalam sejarah tamadun Islam, dan Eropah sendiri hanya berjaya mengikuti jejak itu beberapa kurun kemudian.

Fakta ini tidaklah seharusnya hanya dikaji untuk tujuan akademik semata-mata, tetapi haruslah juga dihubungkan dengan kesedaran tentang jati diri umat Islam dalam mencapai ketinggian ilmu pengetahuan, dan keilmuan itu pula adalah merangkumi ilmu teknikal, sains dan teknologi, yang membuktikan bahawa ilmu-ilmu inilah yang telah mengangkat martabat peradaban dan tamadun Islam apabila segala cabang ilmu itu digarapkan dalam pola moral dan akhlak serta akidah dan nilai-nilai kerohanian Islam itu sendiri.

Bermula dari titik tolak inilah, Eropah dan dunia Barat merangka agenda peradabannya melampaui sempadan dan garisan yang menjadi tempat berhenti umat Islam. Mereka melangkah lebih jauh ke hadapan, sungguhpun mereka agak lambat memulakan langkah itu. Mereka sebenarnya mengambil formula dan budaya ilmu yang sama dalam membangunkan tamadun mereka, tetapi mereka terus membangunkan tamadun mereka sejajar dengan era perubahan yang dialami oleh dunia dan umat manusia.

Formula keilmuan

Eropah mengambil formula keilmuan untuk membentuk tamadun mereka, seiring dengan pembentukan pemikiran dan minda manusia itu sendiri. Mereka berusaha untuk meningkatkan segala potensi pemikiran manusia agar berkembang dalam tahap yang paling tinggi bagi memanfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajarinya. Hasil dari agenda bersepadu pendidikan inilah mereka telah berjaya mempertingkatkan sesuatu bidang ilmu sehingga ilmu itu berkembang merentasi zamannya, malah mendahului zamannya.

Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) umpamanya, kita melihat bagaimana Barat telah memperkembangkannya hingga ke tahap yang ada sekarang, iaitu bermula dengan satu tahap yang rendah dan primitif, iaitu dengan mencipta alat perhubungan yang berasaskan audio sahaja, kemudian berkembang kepada bidang yang lebih luas, merangkumi komunikasi audio dan visual, iaitu dari telefon dan radio kepada televisyen dan filem, seterusnya sehinggalah ke zaman ini ketika kita dapat berkomunikasi melalui komputer.

Perkembangan ini amat sesuai dengan penjelasan Allah di dalam al-Quran, iaitu ketika Allah menegaskan bahawa manusia ini dilahirkan dari perut ibu mereka tanpa mengetahui sesuatu apa pun, Maka Allah yang menjadikan bagi mereka pendengaran (audio) penglihatan (visual) dan pemikiran (iaitu yang boleh kita tafsirkan juga dengan alat-alat yang lebih canggih dengan menggunakan daya intelek dan pemikiran manusia seperti komputer).

Nampaknya dengan itu, Barat dan umat bukan Islam, yang telah berusaha membangunkan segala potensi manusia dari segi fizikal dan mentalnya, untuk memanfaatkan segala bidang ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia ini, termasuk menggunakan pancainderanya dan kekuatan mental dan mindanya.

Tetapi kita umat Islam telah pun berhenti di pertengahan jalan, dan sekadar mampu berpuas hati dengan pencapaian yang lalu. Malah kita hanya pandai mentafsirkan segala firman Allah di dalam al-Quran sekadar tafsiran harfi dan literal, tanpa memanjangkannya kepada realiti hidup dan agenda pelaksanaannya di dalam segala aspek pembangunan kehidupan kita di atas muka bumi ini. Sepatutnya kita sebagai umat yang menganuti konsep tauhid dan nilai akhlak kerohanian Islam yang amat penting untuk kesejahteraan umat manusia itu, akan dapat membangunkan tamadun ilmu kita dengan lebih mantap dan baik lagi. Ini kerana kita sendiri menyedari bahawa tamadun yang dibangunkan di atas dasar kebendaan melulu tanpa nilai akhlak dan kerohanian, tidak dapat menjamin kesejahteraan manusia seperti yang dikehendaki oleh Islam, iaitu kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Di samping itu umat Islam juga telah ketinggalan jauh dalam bidang perindustriannya kerana sebab-sebab yang sama, iaitu ketika kita telah mencapai kemajuan dalam bidang itu, maka kita tidak berjaya meneruskannya sejajar dengan perkembangan zaman. Malah terdapat beberapa ketika, umat Islam sendiri mempersoalkan kewajaran membangunkan perindustrian dalam masyarakat dunia ini, seperti yang pernah dipersoalkan tentang wajar atau tidak umat Islam menggunakan mesin cetak untuk mencetak naskhah al-Quran umpamanya. Apakah kitab suci itu boleh dicetak dengan mesin, atau hanya memadai dengan menulisnya menggunakan tulisan tangan. Perkara ini menjadi polemik yang agak serius, padahal isu ini tidaklah seharusnya menjadi perbalahan yang berlarutan.

Sedangkan dalam masyarakat Barat kita melihat bahawa dalam era perindustrian pertama, mereka berjaya menjadikan manusia sebagai operator mesin. Mereka mencipta mesin untuk meringankan kerja tulang empat kerat manusia dan dengan itu manusia akan berjaya menambahkan produktiviti mereka dalam masa yang singkat dan mudah. Tetapi mereka tidak hanya berhenti di situ, kerana dalam era kedua perindustrian, maka mereka telah berjaya memberikan peluang yang amat besar kepada pemikiran dan otak manusia untuk menjadi lebih kreatif, iaitu dengan melahirkan alat-alat rekaan yang berasaskan intelek dan ketajaman minda manusia. Dengan itu mereka mencipta komputer yang merupakan satu ciptaan akal yang amat canggih, yang tidak pernah wujud dalam sejarah manusia selama ini.

Maka itulah sebenarnya kapasiti dan kemampuan akal manusia, yang sering ditegaskan Allah sebagai satu keistimewaan hamba-Nya di atas muka bumi ini. Manusia berbeza dengan makhluk lain ialah kerana manusia telah dikurniakan akal fikiran oleh Allah. Akal fikiran manusialah yang melahirkan segala alat pengangkutan yang kompleks, alat komunikasi yang canggih dan berbagai-bagai reka cipta yang dapat digunakan untuk mengeksploitasi segala kekayaan bumi dan lautan seperti petrol dan gas.

Oleh itu saya fakir kita seharusnya dapat mengejar pembangunan perindustrian ini dari belakang, walaupun kita agak ketinggalan sedikit. Kalau kita menyedari hakikat ini, tentulah kita amat menghargai pembangunan multimedia dan infrastruktur pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang telah dibangunkan di negara kita, dan tentu kita dapat menghargai juga usaha yang dilakukan oleh berbagai-bagai perindustrian kita melalui syarikat Petronas, Porim dan sebagainya.

Perubahan sikap

Kita sering diperingatkan oleh firman Allah yang menjelaskan bahawa Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu, kecuali kaum itu sendiri bertindak mengubah sesuatu yang berada di dalam diri mereka. Perubahan di dalam diri mereka tentulah merangkumi usaha dan ikhtiar untuk mengubah kemampuan ilmu pengetahuan mereka, persepsi dan kefahaman mereka terhadap dunia dan akhirat, perubahan sikap dan pemikiran, peningkatan kerohanian dan akhlak, serta perubahan lain yang seharusnya dilakukan oleh umat itu sekiranya mereka mengharapkan bahawa Allah akan mengubah keadaan mereka.

Memang sejarah tidak dapat mengubah nasib kita, tetapi sejarah sering berulang, oleh itu kitalah yang seharusnya mengubah sejarah kita dari masa ke masa. Yang penting diingati janganlah berkonflik tentang sejarah sehingga melupakan agenda pembangunan peradaban dan tamadun kita masa kini. Inilah mesej utama yang saya peroleh semasa mengambil bahagian di dalam Konvensyen Islam kedua di Bandar Raya Bersejarah, Melaka.

No comments: