Wednesday, October 10, 2007

Emosi dalam perjuangan agama

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM
PUASA Ramadan mengajar kita untuk menggabungkan amalan dan niat, teori dan praktikal di dalam kehidupan kita.

Umat Islam merupakan umat yang bersifat amali, jauh daripada melaung-laungkan slogan kosong tanpa dijelmakan di dalam perbuatan dan amalan.

Maka puasa Ramadan amat banyak memberikan pengajaran kepada kita tentang sesetengah orang yang berbicara tentang kesabaran, keazaman, keimanan, kesucian dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama tidak dapat menghayati falsafah ibadat puasa yang amat tinggi nilainya.

Lalu mereka masih tidak dapat menahan kesabaran, masih tidak amanah, masih berada di dalam kemungkaran dan melakukan berbagai-bagai amalan yang bertentangan dengan ajaran agama.

Hal ini menjadi bertambah jelas di dalam pemikiran saya apabila saya membaca sebuah buku yang ditulis oleh Makram Muhammad Ahmad dari Mesir yang menceritakan pengalamannya menemu ramah para pemimpin Ikhwan al-Muslimim di Penjara Al-Aqrab tidak lama dulu.

Para ``pejuang'' itu yang melakukan ``jihad'' mereka secara keganasan sebenarnya telah menginsafi bahawa perjuangan yang telah mereka lakukan itu menyeleweng daripada syariah dan konsep sebenar jihad.

Mereka lalu menerbitkan empat buah buku yang merupakan muhasabah diri tentang kesilapan pemikiran dan perjuangan lama mereka yang perlu dibetulkan.

Mereka juga berbicara tentang ketidakwajaran sikap melampau dalam agama, mengkafirkan sesama Islam, mengeluarkan pandangan yang menyeleweng tentang konsep jihad dan beberapa perkara lain yang ternyata menyalahi ajaran Islam yang suci dan tidak membawa manfaat kepada sesiapa pun.

Setelah membaca empat buah buku yang diterbitkan oleh para pemimpin kumpulan tersebut inilah yang mendorong Makram Muhammad Ahmad untuk menemu ramah mereka di dalam penjara dan menyiarkan hasil temu ramah tersebut di dalam bukunya yang saya rujuk di atas.

Salah satu topik perbincangan yang dikemukakan oleh penulis itu ialah tentang satu tema perjuangan yang sering menjadi laungan kumpulan ini. Tema itu menjadi lambang perjuangan umat Islam di seluruh dunia sejak beberapa lama tetapi tidak diberikan pengisian yang sewajarnya secara praktikal dan amalan yang berkesan untuk mengubah nasib umat ini.

Tema perjuangan tersebut ialah ``Islam merupakan satu-satunya penyelesaian''.

Yang hendak saya bicarakan di sini bukanlah tentang kesahihan ungkapan itu kerana umat Islam tidak seharusnya menafikan kebenaran ungkapan itu. Islam sememangnya merupakan satu agama dan cara hidup yang mengandungi pengajaran dan nilai-nilai yang baik untuk menyelesaikan sekian banyak krisis dan masalah yang dihadapi oleh umat manusia di atas muka bumi ini.

Tetapi yang dibicarakan dan dipersoalkan di sini ialah tentang kesalahfahaman umat Islam dalam memahami ungkapan itu yang akhirnya menjadi satu slogan kosong yang diucapkan tanpa dapat difahami falsafah dan maksudnya yang sebenar.

Ungkapan itu akhirnya menjadi satu pengucapan retorika yang tidak berdaya diisikan oleh umat Islam dengan pengisian yang dapat mengangkat maruah dan martabat umat ke tahap yang tinggi di dunia ini.

Menurut Makram, ungkapan itulah yang digunakan oleh para pemimpin kumpulan tersebut untuk mempengaruhi orang awam supaya mempercayai bahawa negara Mesir sebenarnya telah meninggalkan Islam secara keseluruhannya, dan rakyat Mesir sebenarnya telah tersesat.

Orang awam dipengaruhi untuk percaya bahawa orang Mesir tidak akan dapat melepaskan diri mereka daripada kesesatan sekiranya mereka tidak ``kembali kepada Islam'' seperti yang diperjuangkan oleh jemaah itu.

Makram seterusnya menjelaskan bahawa yang menjadi masalah tentang ungkapan tersebut ialah kerana ia diungkapkan tanpa ilmu pengetahuan yang mendalam tentang kaedah yang sebenarnya bagaimana Islam dapat menyelamatkan sesuatu umat itu daripada kejahilan, kemunduran ekonomi dan teknologi, kejatuhan maruah dan prestasinya sebagai umat yang terbaik.

Akibatnya umat Islam kelihatan menjadi semakin radikal dan melampau tanpa menyedari tentang hakikat perjuangan di dunia yang penuh persaingan ini.

Pada pandangan Makram ramai orang terpengaruh dengan slogan tersebut sehingga mereka melihatnya sebagai lampu ajaib Aladin yang dapat mengubah segala-galanya dalam sesaat dan menciptakan keajaiban tanpa perlu berusaha dan bekerja lagi. Semuanya kelihatan sebagai satu tongkat sakti yang dapat dipakai untuk mengubah dunia ini dengan segala keajaibannya.

Membaca catatan Makram dalam beberapa halaman sahaja telah cukup memberikan gambaran yang amat jelas tentang pemikiran umat Islam dan krisisnya dalam sejarah pembangunan dan perjuangan umat Islam pada zaman moden ini, iaitu setelah negara-negara Islam mencapai kemerdekaan dan timbulnya semangat untuk kembali kepada ajaran Islam yang lengkap, yang berlaku di sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

Semangat perjuangan dan keghairahan untuk kembali menghayati ajaran Islam selengkapnya di dalam semua aspek kehidupan ummah mengalami krisis pentafsiran dan amalan disebabkan oleh kejahilan dan kemunduran umat Islam sendiri. Umat Islam kelihatan tidak memiliki persiapan yang cukup untuk memahami ajaran agamanya yang menyentuh aspek kehidupan dunia yang serba bergelora.

Oleh itu dalam menghayati semangat Ramadan yang mulia ini, kita perlu mengikut contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang dijelaskan oleh Allah subhanahu wa taala dengan firmannya:

Tidaklah sahabatmu (Nabi Muhammad) itu sesat dan tidak pula keliru, dan ia tidak berkata (berbuat) menurut kemahuan nafsunya. Tetapi perkataan (perbuatannya) itu tidak lain hanyalah wahyu Allah yang diwahyukan kepadanya oleh (malaikat Jibril) yang sangat kuat. Yang mempunyai akal yang cerdas (Surah Al-Najmu, ayat 2-6).

Agenda politik

Ayat-ayat ini memperlihatkan kepada orang-orang yang mengingkari ajaran Islam dan menuduh Nabi Muhammad dengan berbagai-bagai tuduhan bahawa baginda sebenarnya tidaklah menyeleweng daripada jalan yang benar. Bahawa baginda tidaklah sesat dengan ajaran yang salah, malah apa yang disampaikannya merupakan kebenaran daripada Allah melalui wahyu yang disampaikan kepadanya oleh malaikat Jibril.

Berasaskan kebenaran itulah baginda memberikan penjelasan dan pentafsiran tentang ajaran agama yang baginda perkatakan di dalam pengucapan hadisnya dan perbuatan baginda sendiri.

Dalam konteks ini saya rasa apa yang dikemukakan oleh penulis buku yang saya sebutkan di atas seharusnya dapat diteliti dengan penuh ilmu dan hikmah. Malah para pejuang Islam dan aktivisnya haruslah sentiasa berpandukan kepada ilmu yang sebenarnya daripada ajaran Allah dan Rasul-Nya.

Hal ini menjadi lebih wajar lagi di dalam masyarakat Islam akhir-akhir ini yang nampaknya telah terlalu terpengaruh dengan gerakan politik kepartian yang dibenarkan oleh sistem demokrasi untuk dilaksanakan di dalam negara-negara Islam. Lebih-lebih lagi di negara yang melaksanakan sistem itu dengan mengadakan pilihan raya secara undi terbuka oleh rakyat yang berkelayakan.

Oleh kerana undi diperlukan oleh calon-calon yang mewakili parti politik masing-masing, dan isu hangat yang menjadi perbincangan masyarakat Islam ialah isu agama, maka timbullah berbagai-bagai pentafsiran daripada parti-parti politik yang berusaha mempengaruhi orang awam supaya melihat bahawa parti tertentu sahaja yang memperjuangkan agama.

Aliran politik inilah yang membawa kepada timbulnya pelbagai pandangan dan slogan sehingga terjadinya isu kafir-mengkafir, tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah yang tidak berkesudahan seperti yang disebutkan oleh penulis buku yang saya jelaskan di atas.

Dengan ilmu dan hikmah, orang awam sebenarnya akan dapat membezakan di antara yang benar dan yang batil. Pemikiran yang waras dan rasional berasaskan prinsip agama tidak mungkin akan menyelewengkan pandangan awam tentang agama. Mereka akan boleh membezakan di antara politik sempit dengan ajaran agama.

Dengan kebijaksanaan dan kematangan ilmu juga, orang akan dapat membezakan sesuatu pengucapan yang dikeluarkan, terutama ketika memancing undi, sama ada pengucapan itu berdasarkan kebenaran dan fakta yang sah atau semata-mata berdasarkan emosi dan sentimen melulu. Malah dapat dibezakan pula di antara agama yang merangkumi komponen akidah, syariah dan akhlaknya dengan gagasan politik kepartian. Kita perlu ingat bahawa parti politik itu bukanlah agama.

Keinsafan yang diluahkan oleh bekas para pemimpin gerakan Islam yang digambarkan di dalam buku yang saya rujuk di atas ialah pengakuan yang dikeluarkan dengan ikhlas dan jujur oleh mereka. Ia menampakkan kepada kita bahawa dalam keghairahan memperjuangkan agenda politik tertentu, manusia sering terbawa-bawa oleh emosi dan tanggapan yang salah.

Lebih daripada itu, mereka akan terbawa-bawa pula kepada penyelewengan ajaran agama sendiri.

Inilah iktibar dan pelajaran yang seharusnya menjadi panduan kepada kita masyarakat Islam di Malaysia walaupun senario politik Malaysia sebenarnya agak berbeza dengan Mesir. Hakikatnya ialah kedua-dua buah negara itu adalah negara Islam.

No comments: