Wednesday, October 10, 2007

Internet bukan gelanggang membicarakan soal keagamaan - Isu agama gugat perpaduan

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
MASA yang diambil untuk memupuk perpaduan kaum daripada kepelbagaian agama dan budaya sehingga mencapai tahap persefahaman dan kesatuan yang kita alami pada hari ini adalah agak lama. Sikap toleransi dan mesra yang ditunjukkan oleh rakyat dalam segenap sudut adalah amat tinggi, sehingga tidak timbul perasaan tidak puas hati yang dimanifestasikan dengan keganasan dan pertumpahan darah secara menyeluruh dan serius.

Peristiwa 13 Mei 1969 hanyalah merupakan satu peristiwa berdarah di beberapa tempat tertentu, dan cepat dipulihkan. Malahan semua kalangan amat ingin segera melupakan tragedi hitam itu, sungguhpun pelajaran dan iktibar daripada peristiwa pahit dan panjang serta lukanya yang amat parah. Tetapi demi keamanan, maka semua dapat menelan jadam yang amat pahit itu.

Setelah kita mencapai tahap yang memuaskan ini, dan dapat melupakan segala perbezaan, maka kita tentulah tidak ingin lagi mendengar suara-suara sumbang, yang bongkak dan sombong. Kita tidak ingin menimbulkan kembali bibit-bibit perbezaan yang dapat menggugat perpaduan dan toleransi dan ingin memperkotak-katikkan sejarah dan pembangunan budaya negara, sehingga melupakan kata pepatah ``di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.''

Pengalaman menceritakan bahawa ketika mulai mencapai kemerdekaan, perasaan perkauman masih menebal di dalam jiwa sebahagian besar kaum Melayu, Cina dan India. Dulu, orang Melayu, sama ada atas sifat kemelayuan atau keagamaannya, tidak dapat menerima pemasangan tanglung dan tarian singa dilakukan secara berleluasa. Tetapi lama-kelamaan, dengan kesedaran dan semangat toleransi yang sentiasa dipupuk oleh pemerintah yang berkongsi kuasa, maka perkara itu telah dapat diterima, malah menjadi amalan masyarakat Malaysia pada hari ini.

Ketika perlawanan bola sepak Piala Merdeka diperkenalkan, setiap tahun banyak negara, termasuk dari China dan India mengambil bahagian. Maka terdapat kumpulan-kumpulan rakyat Malaysia yang fanatik dan taksub yang bersorak menyokong pasukan dari China, atau India, berdasarkan perasaan kaum yang masih menebal dengan sentimen bangsa keturunan masing-masing.

Tetapi dengan semangat perpaduan dan pendidikan yang berjaya membangkitkan semangat kenegaraan yang baik, maka hal ini amat cepat berlalu. Semua rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotik untuk negara sehingga semua kaum dapat melupakan sama sekali negara asal mereka, kerana semuanya adalah rakyat dan anak Malaysia.

Contoh-contoh itu merupakan beberapa episod ringan di dalam sejarah pembangunan dan pemupukan perpaduan nasional kita, kerana perjuangan yang panjang dalam membentuk perpaduan tersebut telah melalui jalan-jalan yang amat berliku, penuh dengan kerikil tajam dalam bidang pendidikan, pembangunan ekonomi dan politik negara. Tetapi akhirnya kita berjaya dengan cemerlang, sehingga menjadi negara contoh dari segi perpaduan kaum dan bangsa sedangkan negara lain bergelut dengan krisis persengketaan kaum dan peperangan agama.

Dua tiga minggu yang lalu di dalam ruangan ini, saya menulis mengenai isu-isu agama yang tidak harus dibicarakan secara terbuka dan bebas, terutama melalui media kerana boleh menimbulkan prasangka dan ketegangan antara rakyat berbilang kaum dan agama.

Tetapi terdapat segelintir kalangan yang menyangkal pandangan itu. Mereka berhujah bahawa masyarakat kita kini telah sampai ke tahap kematangan yang baik dan sanggup membicarakan isu-isu agama dan kaum secara terbuka dan terus terang, termasuk di dalam media elektronik, atau media on line dan laman-laman Internet.

Saya akur dengan beberapa pandangan tersebut, tetapi dalam masa yang sama saya masih tidak yakin bahawa isu-isu yang dibicarakan secara terbuka itu akan merangkumi segala isu dan persoalan sehingga kepada isu-isu yang terlalu sensitif. Ini termasuk membicarakan falsafah hukum agama, soal akidah dan keyakinan penganut agama yang tertentu, atau konsep dan ritual penganut agama lain.

Maka benarlah seperti yang telah saya utarakan, tiba-tiba dalam beberapa hari ini timbullah isu pembicaraan tentang konsep Islam Hadhari dan perumpamaan antara najis dengan air kencing, dan sebagainya, yang disiarkan melalui media Internet. Perkara ini membangkitkan kemarahan kerajaan, kerana hal itu dianggap bertentangan dengan etika kebebasan media. Ia juga boleh membawa kepada kesalahfahaman rakyat umum, yang akhirnya akan menimbulkan ketegangan antara orang awam.

Isunya bagi saya bukanlah sama ada tulisan tersebut benar atau tidak benar. Kerana benar atau tidak benar sesuatu hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh seseorang itu adalah tertakluk kepada pentafsiran penulis dan pembacanya. Tetapi isunya di sini ialah apakah tulisan begitu dapat difahami oleh berbagai-bagai golongan pembaca yang terdiri daripada pelbagai kalangan dan mempunyai cara berfikir masing-masing yang berbeza?

Bukan semua anggota masyarakat yang membaca akhbar, mendengar radio, menonton televisyen, atau yang melayari akhbar on line dan laman Internet mempunyai tahap pemikiran dan kefahaman yang sama. Perbezaan tahap kefahaman dan tanggapan masyarakat umum ini boleh menimbulkan salah faham, dan masing-masing akan menggunakan logik mereka sendiri dalam mentafsirkan sebarang bahan yang mereka baca, dengar atau tonton itu.

Contohnya dapat dilihat di dalam masyarakat Islam sendiri di dunia ini. Golongan yang menentang pendudukan Amerika dan konco-konconya di Iraq umpamanya, telah bertindak ganas kerana bersandarkan kepada logik mereka sendiri dalam menentang penjajahan dan kezaliman. Golongan di Iraq yang memerangi sesama sendiri mempunyai logik mereka juga kenapa para pemimpin Iraq yang bekerjasama dengan tali barut Bush itu harus diperangi. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam di negara lain, logiknya adalah berbeza, dan menganggap perbuatan mereka berperang sesama sendiri adalah amat keterlaluan dan bercanggah dengan ajaran Islam, etika serta akhlak Islam sendiri.

Maka segala ketegangan dan keganasan yang berlaku itu adalah berdasarkan kepada logik yang berbeza, dan logik ini pula yang menjadi pegangan para pengikut ketua-ketua yang tertentu itu kerana ia dibangkitkan atas emosi dan sentimen rakyat umum.

Oleh itu saya masih yakin bahawa atas apa alasan sekalipun, setiap kaum dan penganut agama di negara seperti Malaysia ini, seharusnya sentiasa berpandukan kepada dasar hikmah dan logik yang betul dalam membicarakan isu kaum dan agam. Seharusnya juga memberi pertimbangan yang amat serius kepada konteks dan latar belakang masa dan khalayak yang menjadi sasaran sesuatu pembicaraan itu.

Ketika negara membicarakan kepentingan Islam dalam konteks tamadun dan hadhari, tiba-tiba terdapat pandangan yang menggambarkan sebaliknya. Maka dalam keadaan ini tentulah isu itu menjadi amat kontroversi dan menyakitkan banyak pihak.

Nabi Muhammad s.a.w. pun semasa permulaan diutuskan oleh Allah untuk menyeru kaumnya ketika itu kepada mengesakan Tuhan, telah diperintahkan supaya melaksanakan perintah Allah itu secara rahsia dulu. Malah di dalam al-Quran juga terdapat perintah Allah supaya umat Islam menjaga sensitiviti umat lain seperti firman Allah yang menegah kita mencela sembahan orang lain kerana ditakuti bahawa mereka pula akan mencela dan mengatakan sesuatu yang tidak baik terhadap Allah.

Nilai dan etika ini adalah menjadi amalan umat Islam seterusnya, dan nilai inilah yang seharusnya kita bina mengikut keadaan dan suasana pembangunan dan perkembangan masyarakat yang penuh dengan kepekaan dan sentimen, malah sehingga kepada perasaan taksub dan fanatik melampau, yang melanda masyarakat ketika ini.

Sekiranya terdapat orang yang merasakan bahawa kita seharusnya keluar daripada kepompong kuno dan kefahaman lama yang lapuk, maka mungkin bagi kita hal ini memerlukan kajian berdasarkan latar masyarakat, suasana dan bumi serta tanah air kita sendiri.

Kalaupun alasan yang diberikan bahawa sekarang ini masanya telah tiba untuk kita mengambil tindakan mendidik generasi baru dan generasi yang akan datang secara bebas dan berterus terang tanpa berlapik lagi, maka saya melihat bahawa arena mendidik masyarakat lama dan baru bukanlah arena media yang dibuat secara terbuka. Ia juga bukan di podium pidato di hadapan khalayak yang terdiri daripada kepelbagaian sasaran manusia yang berbagai-bagai warna dan kepala.

Mungkin arena pendidikan yang baik ialah kelas dan bilik kuliah, majlis yang terhad para pendengar dan pembicaranya. Begitu juga melalui program yang merupakan gelanggang perdebatan dua hala. Para pembicara dan pendengar dapat bersoal jawab dan berhujah, bukan di jalanan, di media yang ternyata berat sebelah dan mempunyai dasar yang tidak menentu, malah yang amat suka bermain dengan isu kontroversi dan menyalahkan orang lain semata-mata.

Semasa saya menerajui Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), puluhan kali kami mengadakan perbincangan dengan kumpulan agama, sama ada Islam, atau kumpulan yang mewakili berbagai-bagai agama, bukan hanya di negara kita, malah dari banyak negara di dunia. Semuanya menyatakan bahawa isu agama amat sensitif, dan kita seharusnya bersatu membicarakan tentang isu-isu yang sama-sama kita sepakati di hadapan khalayak umum, bukan membicarakan isu-isu yang menyebabkan kita berpecah dan berbeza pandangan.

Tetapi sekarang nampaknya, banyak kalangan pula yang ingin mencari perbezaan dan membicarakan isu-isu yang membawa kepada perpecahan dan pertelagahan secara yang amat tidak berhikmah dan berhemah sehingga melupakan formula perpaduan yang menjadi asas pembangunan bangsa kita ini.

Apakah kita mahu melihat sejarah berulang kembali, umpamanya ketika China dan Malaysia bertanding untuk merebut Piala Thomas, maka sebahagian kita akan menyokong dan bersorak untuk negara China, sedangkan selama ini kita semua bersorak dan menyokong pasukan Malaysia? Jawapannya, tentulah kita tidak mahu, malah rakyat negara kita tentulah tidak akan bertindak bodoh begitu.

Akhirnya, syabas kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, yang menyedari hal ini sebelum terlambat.

No comments: