Wednesday, October 10, 2007

Umat Islam `kubur diri sendiri'

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM


TRAGEDI tsunami meninggalkan ratusan ribu jiwa terkorban dan kemusnahan harta benda yang banyak. Namun peristiwa selepas tragedi itu juga menampakkan segala macam kejadian yang menggerunkan. Mayat-mayat yang begitu banyak bergelimpangan, tidak lagi mempunyai penghormatan seperti yang biasanya diberikan kepada mayat manusia. Mayat menjadi reput dan busuk, bercampur-baur pula dengan lumpur, tanah, batang-batang kayu dan besi, serta serba macam bahan lain, sehingga untuk mengebumikannya pun tidak dapat dilakukan seperti kebiasaannya.

Mayat yang banyak itu terpaksa dicedok dengan pencedok jentera yang biasanya digunakan untuk mengangkut batu dan tanah, kemudian mayat-mayat itu akan dicurahkan ke dalam lubang besar yang disediakan, seperti orang membuang sampah sarap. Tanpa upacara adat dan agama, lubang besar itu akan ditimbus begitu sahaja.

Di Aceh, kerajaan Indonesia telah meminta fatwa rasmi daripada para ulama di sana, iaitu tentang mayat-mayat yang banyak terkapar bersama-sama bahan lain yang tidak mungkin lagi diangkat untuk dikebumikan di tempat lain, maka apakah fatwanya sekiranya mayat-mayat itu dibakarkan sahaja di lokasinya itu.

Kita belum mendapat maklumat apakah fatwa para ulama di sana tentang perkara ini, kerana ``membakar'' mayat adalah merupakan sesuatu yang amat baru dan mengelirukan dari segi agama kita. Apakah dalam keadaan ini, maka kes ini akan dianggap sebagai kes darurat, atau akan diusahakan juga supaya mayat-mayat tersebut dikebumikan secara biasa?

Tapi mujurlah di negara kita, jumlah mangsa yang terkorban tidak sampai pun seratus orang. Mayat korban tsunami ini, masih dapat dikebumikan dengan sempurna, dikapan dan disembahyangkan seperti yang dilakukan ke atas mayat lain dalam keadaan biasa. Nampaknya Allah masih memberikan rahmat-Nya kepada kita, dan kita wajiblah banyak bersyukur di atas sifat Rahim dan Rahman-Nya itu.

Satu hal lain yang lebih parah akibat daripada bencana tsunami ini, ialah tekanan jiwa dan trauma yang dirasakan oleh para mangsa yang kehilangan orang-orang yang tersayang. Kehilangan itu amat dirasakan, kerana mereka pergi dalam sekelip mata, tanpa sakit, tanpa sebarang tanda yang menunjukkan bahawa mereka akan mati. Malah ada yang dapat menyaksikan kematian dan tenggelamnya orang-orang yang tercinta itu dengan mata kepala mereka sendiri, terkapai-kapai dilambung ombak deras, kemudian hilang ghaib dari pandangan mata. Yang agak bernasib baik, kemudiannya akan terjumpalah mayatnya, tetapi yang kurang bernasib baik, orang yang tenggelam dan hanyut itu tidak dapat dikesan sama sekali.

Bagaimanapun kuatnya iman para mangsa yang kehilangan semua atau sebahagian besar keluarganya dalam tragedi ini, mereka akan mengalami trauma yang amat panjang dalam hidup mereka. Trauma ini mungkin akan menyebabkan mereka tidak lalu makan, tidak dapat tidur, mengalami mimpi ngeri dan mengalami tekanan perasaan yang berat. Mungkin terdapat sesetengah mangsa yang akan mengalami pengalaman ngeri ini sepanjang hidupnya, walaupun terdapat sesetengah daripada mereka yang akan merasakan tekanan jiwa ini hanya selama beberapa bulan, atau beberapa tahun sahaja. Maka dalam keadaan inilah, mereka memerlukan bimbingan dan motivasi daripada orang lain, terutamanya dari sudut kerohanian dan keagamaan, untuk melepaskan diri mereka daripada trauma ini. Malah mereka juga mungkin memerlukan bantuan profesional daripada pakar-pakar tertentu, dan akhirnya mungkin memerlukan juga bantuan ubat-ubat yang dapat melegakan tekanan mental dan jiwa mereka itu.

Berbalik kepada peristiwa pascatsunami ini, saya mendengar khabar, para penderma dan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan sukarela dan agama, telah melawat penempatan sementara mangsa tsunami ini, khususnya di beberapa buah negeri di utara Semenanjung. Pertubuhan Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, datang sebagai satu pasukan untuk menghulurkan bantuan dan sokongan moral kepada para mangsa.

Tetapi sayang seribu kali sayang, orang Islam khabarnya datang melawat membawa nama parti politik. Seperti mana berlakunya perpecahan orang Islam di dalam parti politik dalam keadaan biasa, maka ketika krisis yang amat besar ini pun, orang Melayu masih berpolitik, dan mungkin sedang menjalankan usaha untuk mempengaruhi para mangsa yang teruk berkampung secara sementara di dalam bangunan sekolah yang serba kekurangan ini, untuk menyokong parti politik masing-masing, malah kalau boleh, mungkin dalam celah-celah kesedihan dan esak tangis para mangsa itu pun, para pemimpin parti politik akan berkempen politik seperti yang dilakukan ketika menjelangnya pilihan raya.

Apakah salahnya dalam keadaan krisis yang besar ini, kita melupakan sekejap politik kepartian, dan berganding bahu dengan kerajaan memberi sokongan kebendaan dan moral kepada semua mangsa tanpa mengira ideologi politik mereka. Kerajaan sahajalah yang sepatutnya diberikan sokongan untuk mengendalikan masalah yang dihadapi oleh mangsa bencana yang serius ini. Bawalah sahaja panji-panji kerajaan, bukan bendera dan lambang parti ke dalam penempatan sementara para manusia yang teruk mengalami akibat bala Tuhan ini.

Sungguhpun sesetengah mangsa mungkin amat tebal dengan fahaman politik partinya, walaupun berada dalam trauma dan tertekan, tetapi pada umumnya, mangsa bencana tsunami ini pada keseluruhannya, tidak berminat lagi untuk berpolitik. Mereka hilang minat berpolitik dalam keadaan yang panas, sempit, dan ketika anak-anak mereka berlumba-lumba menangis kerana kelaparan, kesejukan dan ketakutan, atau ketika para wanita tua dan muda mengalami kepayahan untuk menyusukan bayi mereka. Mereka juga berhadapan dengan keadaan bilik air dan tandas terhad untuk mandi-manda dan sebagainya di tempat tumpangan itu.

Apakah dalam keadaan ini pun, kita masih hendak berpolitik? Malah lebih teruk lagi, apakah dalam situasi ini juga kita akan mencari kesalahan orang lain, khususnya pemimpin kerajaan, kerana bencana tsunami ini terjadi kepada negara kita?

Saya lihat orang Amerika, khususnya Presiden Bush yang selalu kita kutuk dan marah itu, tampil ke depan dengan dua orang bekas Presiden, iaitu bapanya, dan musuh politiknya, Clinton, untuk berdiri bersama-sama, bagi merayu orang awam, khususnya para peniaga yang kaya, supaya menghulurkan bantuan kepada tabung mereka yang akan disalurkan kepada mangsa tsunami di negara-negara yang teruk ditimpa bencana besar ini.

Mereka melupakan perbezaan politik kepartian mereka, untuk berusaha secara sepadu bagi tujuan yang baik, ketika manusia lain menderita dan sengsara. Sekurang-kurangnya dari pandangan lahir pada mata umum, mereka bersatu tanpa mengira fahaman politik untuk membuat kerja kebajikan, walaupun selepas ini mereka akan bertentangan semula, iaitu ketika benar-benar berada di dalam gelanggang politik. Tetapi, kita tidak. Pada masa itulah kita akan menunjuk-nunjukkan belang politik masing-masing dengan rasa megah dan bangga pula.

Dalam perjumpaan khas para pemimpin dunia di Jakarta Khamis yang lalu, untuk menyelaraskan segala bantuan kepada mangsa tsunami, pemimpin yang pernah bercakaran atau sekurang-kurangnya pernah berselisih pandangan selama ini pun, turut melupakan rasa dendam atau marah mereka. Mereka semuanya hadir ke Jakarta dengan satu tekad, iaitu untuk berbincang bagaimanakah kaedah dan pendekatan yang paling berkesan untuk membantu mangsa yang begitu ramai, dan menolong kerajaan yang terlibat, yang menghadapi jalan buntu dalam membangunkan semula negara mereka yang musnah.

Kita melihat melalui kaca televisyen, semua rakyat di beberapa buah negara Eropah berdiri tegak, bertafakur selama tiga minit, pada jam 12 tengah hari Rabu lalu sebagai mengenangkan mangsa yang terkorban dalam bencana yang dahsyat itu, mengikut cara mereka. Maka orang ramai di jalan, di dalam kedai, yang sedang menjamu selera, yang akan bergegas menaiki kereta api atau sedang berniaga dalam pasaran saham, semuanya berdiri tegak menundukkan kepala, bertafakur mengenangkan bencana besar ini, sedangkan mangsa terbanyak yang menjadi korban tsunami ialah rakyat negara yang amat jauh dari negara mereka, dan rakyat mereka yang terkorban di tempat kejadian bencana itu pun tidaklah sebesar bilangan mangsa di negara-negara yang terlibat dengan bencana ini.

Allah sahaja yang maha mengetahui, kenapa hati dan perasaan kita hanya berpusat kepada politik sahaja. Salah-menyalah sesama sendiri kerana Allah menurunkan bala bencana ini pun tentulah bermotifkan politik, kerana kita tentulah tidak boleh menyalahkan Allah dalam keadaan ini, sebab itu kita mencari mangsa untuk kita salahkan, iaitu pemimpin negara sendiri, kerana tidak memberi amaran awal tentang kejadian ini, dan kononnya selalu bercakap sombong kerana selama ini negara kita tidak pernah menerima bencana yang besar!

Kerajaan Thailand sekurang-kurangnya telah menembak sasarannya yang agak tepat, iaitu apabila ia bertindak memecat ketua jabatan kaji cuacanya, walaupun dalam keadaan bencana besar yang bersejarah ini, mungkin kawan kita itu tidak tahu yang bala itu akan tiba, kerana mungkin ilmunya hanya terhad kepada ramalan hujan atau panas, angin kencang atau sederhana, dan yang berkaitan dengannya.

Namun pemecatan itu sekurang-kurangnya agak tepat dengan pemilihan kambing hitam mereka, dan dapat melegakan sedikit tekanan mental orang awam yang cuba untuk mencari kesalahan orang lain dalam krisis ini. Tetapi kita menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal ini, lalu timbullah pertanyaan kenapakah beliau dipersalahkan? Bidang kajian beliau tidak kena-mengena dengan bidang kepakaran kawan kita ketua bahagian kaji cuaca Thai itu. Bukankah hal ini amat tidak adil kepada beliau?

Dari senario kepincangan mental umat Islam yang lain, berita antarabangsa melalui media Barat telah membangkitkan isu bantuan kewangan kepada para mangsa tsunami ini, yang bagi sesetengah negara minyak di dunia Arab kelihatan amat tidak prihatin dengan mangsa bencana ini.

Negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, malah Jepun, China dan lain-lain, secara murah hati mengeluarkan sumbangan wang berbilion ringgit, tetapi negara yang kaya dengan minyak itu hanya berjanji untuk menderma dalam kadar yang amat kecil, kecuali satu dua buah negara sahaja, yang menyamai negara Eropah.

Saya rasa orang Eropah dan Amerika Syarikat, mungkin terasa di dalam hati mereka, bahawa negara Islam ini sering menyusahkan mereka. Semasa susah, seperti yang dialami oleh Indonesia kerana tsunami di Aceh, mereka juga yang kena membantunya, padahal Indonesia adalah merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam yang paling ramai di dalam dunia ini, tetapi negara Islam sendiri tidak berupaya, atau sengaja tidak mahu menolongnya.

Pendeknya bencana besar tsunami ini, yang sepatutnya banyak memberikan pengajaran dan keinsafan kepada umat Islam, mungkin berakhir dengan kekalahan dan menambahkan krisis sesama sendiri.

Sepatutnya kejadian ini lebih mendorong kita untuk menguasai sains dan teknologi bagi mengatasi akibat bencana ini, tetapi kita tidak membicarakan hal itu secara ilmu dan rasional. Kita seolah-olah menggali lubang yang besar untuk kita kuburkan diri kita beramai-ramai di dalam kubur itu, iaitu apabila timbulnya banyak kenyataan yang mengelirukan umat Islam selepas tsunami ini.

No comments: