Wednesday, October 10, 2007

Kejayaan Rasulullah harus menjadi inspirasi, panduan umat -- Hayati akhlak pemimpin Islam

KITA pada hari ini membicarakan tanpa henti-henti tentang kepimpinan negara, terutama ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan berundur pada bulan Oktober ini dan juga ketibaan pilihan raya umum yang nampaknya telah berada di ambang pintu. Rakyat negara kita amat prihatin dengan corak kepimpinan negara, dan sentiasa memandang ke hadapan dengan penuh minat terhadap pemimpin yang akan datang.

Hal ini kadang-kadang membawa pemikiran rakyat sepenuhnya kepada pertukaran pemimpin dan keputusan pilihan raya yang akan datang. Dengan itu mereka akan memenuhi masa lapang mereka dengan membicarakan perkara ini sehingga melupakan tugas dan kewajipan yang lain, termasuk kewajipan terhadap ekonomi dan pendidikan keluarga sendiri.

Sebenarnya kepemimpinan dalam erti kata yang luas tidaklah semestinya tertumpu kepada kepemimpinan politik semata-mata. Malah dalam keluarga, masyarakat, organisasi sosial dan kebajikan semuanya memerlukan kepemimpinan yang bijak dan berilmu. Rumah tangga dan keluarga sendiri sebenarnya memerlukan kepemimpinan yang baik.

Bagaimanapun oleh kerana isu politik terlalu mempengaruhi pemikiran kita, terutama orang Melayu, maka isu inilah yang sering diperkatakan oleh umum, dan menjadi sumber perbalahan dan perpecahan masyarakat.

Oleh itu saya rasa di samping kita membicarakan isu kepemimpinan politik, termasuk kepemimpinan parti politik orang Melayu dan bukan Melayu, maka setiap orang haruslah menyedari peranan sendiri sebagai pemimpin dalam institusinya sendiri, sama ada institusi sosial seperti rumah tangga, kebajikan, media, pendidikan dan sebagainya.

Segala corak dan pelaksanaan kepemimpinan ini sebenarnya telah pun ditunjukkan modelnya oleh Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda. Baginda telah menunjukkan contoh yang baik sebagai pemimpin negara, masyarakat, rumah tangga, iaitu sebagai negarawan, ahli politik, ketua masyarakat dan keluarga, malah sebagai pemimpin yang mempunyai hubungan antarabangsa yang agak luas.

Bagaimanapun saya tidaklah mengatakan bahawa kita semua dapat mendakwa bahawa kita sebenarnya telah menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan sepenuhnya seperti Rasulullah s.a.w. Kita berada dalam zaman dan suasana serta iklim yang berbeza dari zaman baginda. Kita hidup dalam satu masa yang lebih mencabar dan canggih, lebih kompleks dan penuh dengan kepelbagaian cabaran, seperti cabaran globalisasi dan teknologi baru yang belum pernah wujud dalam sejarah dunia kita.

Oleh itu contoh yang dapat kita ambil dan hayati daripada kepemimpinan baginda ialah yang berdasarkan kepada ciri-ciri kemanusiaan dan akhlak serta penghayatan nilai agama yang berpaksikan ketauhidan dan ketinggian Allah subhanahu wa taala.

Dilihat dari sejarah kepimpinan Rasulullah ternyata bahawa baginda telah menunjukkan satu contoh kepimpinan yang amat berkesan dan berjaya. Kejayaan baginda seharusnya menjadi inspirasi dan panduan bagi para pemimpin yang berjuang pada hari ini, terutama atas nama Islam dan kedaulatannya.

Kunci kejayaan baginda dalam memimpin umatnya dan menyampaikan utusan Allah kepada manusia dengan berkesan adalah terletak di atas beberapa ciri penting, di antaranya ialah:

* Perwatakan dan keperibadian baginda yang

cemerlang

* Akhlak baginda yang tinggi dan terpuji

* Kesesuaian percakapan dengan perbuatan

baginda

* Kebijaksanaan dalam segala tindakan baginda.

Perwatakan dan keperibadian baginda yang cemerlang tergambar dalam perlakuan dan sikap yang menunjukkan ketinggian nilai moral dan pemikiran yang strategik dan mulia. Baginda merujukkan ketinggian peribadi kepada peradaban yang diajarkan oleh Allah kepadanya. Baginda bersabda yang bermaksud: Tuhanku telah mendidik aku, maka amat cemerlanglah pendidikan itu bagiku.

Pendidikan Allah kepada baginda merangkumi pendidikan secara langsung melalui ajaran-Nya yang diwahyukan, dan melalui pendidikan tidak langsung melalui segala peristiwa dan perubahan serta perkembangan persekitaran yang berlaku kepada diri baginda.

Berkomunikasi

Rasulullah s.a.w. diajar tentang banyak perkara melalui wahyu Allah, dan dalam masa yang sama baginda juga mengalami berbagai-bagai peristiwa yang mengajar tentang manusia dan kehidupan ini keseluruhannya. Peristiwa yang berlaku kepada baginda pada masa kecil dan dewasa banyak memberi teladan dan iktibar.

Kelahiran baginda sebagai anak yatim, kerjaya sebagai pengembala dan peniaga, kehidupan kekeluargaan, perhubungan dengan kaum baginda yang degil dan penuh hasad dengki, sokongan dan bantuan para ahli keluarga dan sahabat dalam masyarakat ganas dan penuh ancaman, dalam masyarakat Mekah dan Madinah, menegakkan negara, berkomunikasi dengan kawan dan lawan, dan peristiwa lain yang berlaku kepada baginda, semuanya bertindak dan menyumbang ke arah pembentukan peribadi dan perwatakan baginda yang cemerlang.

Tentang nilai akhlak baginda, maka baginda sendiri mengakui bahawa baginda diutuskan adalah untuk membentuk akhlak yang sempurna dalam masyarakat manusia keseluruhannya. Model berakhlak yang baik ditunjukkan oleh baginda sendiri sebagai kepimpinan melalui teladan.

Model orang berakhlak yang ditunjukkan baginda ternyata dalam kesesuaian perbuatan dan perkataan. Dalam hal ini baginda sering mengingatkan umatbaginda supaya berbicara tentang perkara-perkara yang baik sahaja, dan sekiranya tidak ada sesuatu yang baik untuk diutarakan, maka lebih baik seseorang itu berdiam diri sahaja. Baginda bersabda:

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia membicarakan sesuatu yang baik, atau diam sahaja.

Maksud baginda apabila seseorang itu terpaksa bercakap dan berbicara, maka berbicaralah tentang perkara yang berfaedah dan bermanfaat kepada dirinya dan kepada orang lain juga. Kalau tidak ada sesuatu yang hendak diperkatakan, atau ia bertujuan memperkatakan sesuatu yang sia-sia atau menyakiti orang lain, maka lebih baik dia mengambil sikap berdiam diri, kerana orang yang banyak bercakap, maka dia terdedah kepada banyak kesilapan.

Tetapi larangan ini tidak sekali-kali bermaksud bahawa kita tidak boleh bercakap. Dalam dunia ini manusia perlu berkomunikasi melalui berbagai-bagai media dan saluran. Tetapi oleh kerana kebebasan bersuara dan bercakap ini mempunyai potensi yang besar untuk dimanipulasikan orang, maka baginda mengingatkan supaya manusia sentiasa menjaga lidah dan saluran komunikasi mereka supaya tidak disalahgunakan.

Pemimpin tentulah tidak harus menunjukkan contoh buruk dalam hal ini, apalagi berbicara secara tidak sopan, menggunakan kata-kata kesat dan kasar, memaki hamun, ataupun membenarkan orang lain menggunakan bahasa lucah, carutan, ungkapan-ungkapan kotor dan najis yang amat menjijikkan, kononnya atas nama keadilan dan ``jihad'' seperti disuruh oleh agama. Agama tidak membenarkan penggunaan cara yang dilarang untuk mencapai satu matlamat tertentu, walaupun matlamat itu baik. Kedua-dua saluran dan cara serta matlamat dan tujuan sesuatu itu haruslah dilakukan menurut apa yang dibenarkan oleh agama.

Gaya Robin Hood yang merampas harta orang kaya untuk dibahagikan kepada orang miskin atas nama kemanusiaan kononnya, tidak dibenarkan oleh agama kita, maka demikian jugalah cara yang jelas bertentangan dengan nilai moral kerohanian Islam tidak boleh dipergunakan bagi mencapai satu matlamat yang baik pada pandangan agama, apalagi jika matlamat itu pula belum tentu ada kebaikannya atau dibenarkan agama.

Maka Rasulullah sentiasa menekankan tentang etika berbicara dan bercakap, kerana tanpa mengira ilmu dan perwatakan lahir manusia, seseorang itu amat cenderung menggunakan lidah dan bibirnya mengikut bisikan hawa nafsu jahatnya.

Kebijaksanaan Rasulullah berkomunikasi dan bertindak dalam menghadapi keadaan-keadaan tertentu dalam kepimpinan baginda amat terserlah sekali. Satu perakuan yang diberikan Allah terhadap baginda dapat dikaji daripada ayat berikut yang bermaksud:

Maka disebabkan rahmat daripada Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada persekitaran kamu - surah Ali-Imran ayat 159.

Kelembutan baginda bagaimanapun tidak bererti menyerah kalah tanpa sikap tegas dan mantap. Baginda pernah membuat keputusan-keputusan yang tegas, yang ada kalanya dipersoalkan oleh para sahabat sehingga baginda terpaksa menjelaskannya untuk meyakinkan mereka, seperti beberapa keputusan yang dibuatnya dalam perjanjian Hudaibiyyah.

Oleh itu keputusan tegas dan agak menyakitkan beberapa kalangan perlulah dibuat demi menjaga kepentingan dan maslahat umum.

Dari ciri-ciri di atas yang dipelajari daripada secebis sejarah kepimpinan Rasulullah ternyata bahawa bentuk kepimpinan baginda yang ditinggalkan untuk umat baginda adalah amat relevan dengan perkembangan dunia terkini. Kalau kita benar-benar menghayati dan melaksanakannya, maka pada masa itu barulah kita dapat mendabik dada bahawa kita mengamalkan kepimpinan menurut ajaran agama, tetapi jika dilakukan sebaliknya maka agak sukarlah ditentukan kepimpinan yang dikatakan kepimpinan Islam itu. Ia mungkin hanya merupakan slogan kosong semata-mata.

Jadi ketika kita membicarakan tentang penggantian pucuk pimpinan negara, dan memperkatakan juga tentang pilihan raya yang akan datang, maka kita mestilah mempunyai sikap positif terhadap pemimpin negara sekarang yang telah menunjukkan kejayaan yang baik dalam semua aspek kehidupan kita di negara ini. Pemimpin sentiasa datang dan pergi, tetapi yang kekal ialah kepemimpinan yang baik dan berwibawa.

No comments: