Wednesday, October 10, 2007

Penguasaan bahasa asing bukan sekadar `setengah belut setengah ular' - Kuasai bahasa secara serius

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SATU lembaran baru mestilah dibuka dalam menangani fenomena penyelewengan dalam masyarakat. Kita tidaklah seharusnya lagi bersikap reaktif semata-mata ketika menghadapi krisis di dalam masyarakat, sama ada krisis moral, ekonomi, rogol, budaya, bahasa dan sebagainya.

Kita ambil contoh krisis bahasa yang sedang dihadapi hari ini. Suara kita menjadi agak lantang dan keras apabila terdapat tekanan tentang krisis bahasa Melayu yang telah disalahgunakan begitu rupa pada hari ini, sehingga bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa yang indah dan kaya, kerana perbuatan sesetengah anggota masyarakat kita sendiri yang menjadikan bahasa kita itu sebagai bahasa ``rojak'' dan bahasa pasar sepanjang waktu. Statusnya pun kelihatan semakin menurun, kerana pandangan rendah sesetengah kalangan terhadap bahasa kebangsaan itu.

Bagaimanapun, reaksi positif dari pihak yang berkuasa di dalam negara kita ini seharusnya diberikan penghargaan dan sokongan. Kementerian Penerangan yang telah mengambil langkah mengharamkan beberapa buah lagu Melayu yang merosakkan bahasa Melayu seharusnya dapatlah menjadi satu langkah permulaan untuk tindakan lain yang lebih menyeluruh terhadap aktiviti dan kegiatan seni budaya yang mencemarkan bahasa kita.

Cadangan yang pernah dikemukakan pada suatu ketika dulu untuk menolak drama dan filem Melayu yang kelihatan memperkecil-kecilkan kemampuan bahasa Melayu dalam dialog para wataknya, sehingga dialog itu menjadi separuh Melayu dan separuh Inggeris seharusnya dihidupkan semula ketika kita membicarakan tentang pengharaman lagu-lagu yang berbahasa campuran atau bahasa rojak.

Dalam keadaan ini, kita tidak mampu lagi menjadi seperti penukul dan paku. Apabila diketuk sekali, maka barulah akan bertindak sekali, dan sekiranya tidak diketuk, maka tidak terdapat sebarang tindakan yang dilakukan.

Hari ini orang awam mempersoalkan tentang lagu yang berbahasa rojak, maka tindakan pun diambil terhadap lagu berkenaan. Mungkin oleh kerana tidak terdapat suara yang mempersoalkan tentang drama dan filem yang mempamerkan bahasa rojak yang melampau, maka tidak terdapat sebarang pelan tindakan yang bakal dilakukan.

Maka dalam hal ini, kita seharusnya mempunyai pandangan yang lebih jauh ke hadapan, iaitu yang bersikap proaktif terhadap segala krisis yang kita hadapi di dalam masyarakat, kerana dengan sikap proaktif inilah sahaja kita akan dapat menyelesaikan banyak masalah untuk jangka pendek dan jangka panjangnya.

Oleh itu saya beranggapan bahawa kenyataan Datuk Seri Dr. Rais Yatim, bahawa penggunaan bahasa Melayu kini semakin luntur disebabkan sikap tidak peka masyarakat yang merosakkannya dengan menggunakan bahasa rojak, haruslah disambut dengan baik. Malah adalah diharapkan bahawa kenyataan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan itu dan langkah yang akan diambil oleh beliau itu masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Seperti yang ditegaskan olehnya bahawa ``bahasa kebangsaan ini harus dijamin agar tidak tercabul dan keadaan serta keutuhannya dihormati oleh semua generasi''.

Saya sering menegaskan bahawa dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan, maka al-Quran sendiri menerangkan tentang kepentingan bahasa kebangsaan, iaitu ketika Nabi Ibrahim diutuskan untuk menyampaikan ajaran Allah, maka Nabi Ibrahim diutuskan untuk tujuan itu dengan menggunakan ``bahasa kaumnya'' iaitu bahasa yang difahami oleh semua kaumnya, yang dalam istilah sekarang disebut sebagai bahasa kebangsaan.

Al-Quran juga sebenarnya merupakan kitab suci yang diturunkan Allah dalam bahasa yang indah dan penuh bermakna. Keindahan bahasa dan ketepatan maknanya, dengan segala gambaran metaporikalnya yang dalam dan pramasasteranya yang di luar dari jangkauan manusia dan jin, menjadikan kitab suci itu satu mukjizat. Kita membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa apa sekalipun, tidak akan sama kepuasan dan penjelmaan maknanya seperti ketika kita membacanya di dalam bahasa asalnya.

Bagaimanapun hal ini tidak menafikan keindahan dan kekuatan yang ada di dalam setiap bahasa di kalangan masyarakat manusia di dunia ini. Keunikan setiap bahasa kebangsaan merupakan warisan yang seharusnya dikuasai oleh anak bangsa itu sendiri dengan sebaik-baiknya.

Namun begitu, menguasai bahasa kebangsaan dengan baik, tidak bererti bahawa sesuatu bangsa itu seharusnya mengabaikan bahasa asing. Malah terdapat riwayat yang menyatakan, Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu, maka ia akan terselamat dari tipu daya kaum itu. Maka dalam konteks ini tentulah juga dapat disimpulkan bahawa orang yang menguasai bahasa asing juga akan mendapat banyak manfaat dari segi menimba ilmu dan mempelajari sejarah dan kebudayaan bangsa yang tertentu itu.

Inilah sebenarnya yang menjadi matlamat kita di negara ini, iaitu penguasaan bahasa asing itu seharusnyalah berada pada tahap yang tinggi dan dapat dibawa ke tengah, bukan menguasainya secara separuh-separuh, seperti bahasa ``setengah belut dan setengah ular'' yang ditegaskan oleh pak menteri kita, sehingga melahirkan kebimbangan bahawa semakin ramai rakyat negara ini yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu dengan tepat.

Adalah amat diharapkan bahawa sungutan dan kebimbangan menteri kita itu tidak akan seterusnya menjadi rungutan semata-mata. Dan saya dapat memahami agenda menteri berkenaan apabila beliau menegaskan bahawa kementeriannya akan mengadakan beberapa siri bimbingan budaya bahasa untuk mengembali dan melindungi bahasa itu sebagai satu warisan negara.

Warisan negara dan bangsa adalah merupakan sesuatu yang murni bagi sesuatu bangsa itu. Budaya dan bahasa merupakan warisan yang dapat menegakkan jati diri bangsa. Tanpa bahasa dan budaya yang tinggi, maka bangsa itu juga akan jatuh ke dalam satu keadaan yang memalukan.

Dalam konteks bahasa ini juga, kita tidak seharusnya terkeliru dengan perkembangan dan kemajuan sesuatu bahasa itu dalam bentuk kata-kata dan istilah pinjaman yang mempengaruhi pertumbuhannya. Kita bebas mencipta istilah dan meminjam kata-kata asing bagi bahasa kita. Menggunakan bahasa pinjaman dari bahasa asing yang telah dijadikan bahasa Melayu amat berbeza dengan konsep merojakkan bahasa kita, terutamanya atas dorongan yang amat tidak patriotik, atau rasa rendah diri dan malu untuk menggunakan bahasa ibunda sendiri.

Hal ini berlaku juga ketika terdapat keghairahan sesetengah kalangan anggota masyarakat kita yang cenderung menggunakan istilah Arab di dalam bahasa Melayu, sedangkan istilah itu digunakan secara yang salah. Beberapa ketika yang lalu, telah dibangkitkan istilah Allahyarhamah untuk merujuk kepada seorang perempuan yang telah meninggal dunia, atas dasar bahawa seorang lelaki yang meninggal dunia akan di rujuk sebagai Allahyarham. Istilah ini sungguhpun tepat bagi orang lelaki yang meninggal dunia, tetapi menggunakan Allahyarhamah bagi wanita yang meninggal dunia adalah satu penggunaan yang salah mengikut tatabahasa Arab. Penggunaan ini tidak boleh disamakan dengan kata pinjaman Arab bagi mukmin dan mukminah, atau Muslim dan Muslimah. Ungkapan ini adalah kata nama, sedangkan yarham ialah kata kerja dan bukanlah kata nama. Oleh itu yarham tidak seharusnya dijadikan kata nama feminin dengan menambahkan huruf ta' simpul di akhirnya seperti kata nama.

Hal yang sama sering berlaku ketika terdapat segelintir orang Melayu yang mencuba menunjukkan kepandaiannya berbahasa Inggeris ketika mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, tetapi kadang-kadang terdapat keadaan yang memalukan, iaitu ketika mereka menggunakan bahasa yang salah, sama ada dari segi nahunya, atau struktur ayatnya.

Sebab itulah telah ditegaskan di atas, bahawa bahasa apa saja yang kita pelajari, termasuk bahasa ibunda kita sendiri, haruslah dipelajari dan dikuasai dengan baik. Maka dalam konteks ini, kita berbangga kerana terdapat rakyat bukan Melayu, termasuk ahli-ahli politiknya, yang dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Ramai para menteri bukan Melayu yang amat gemar menggunakan bahasa kebangsaan dalam berkomunikasi dengan rakyat negara kita. Hal ini juga merupakan satu teladan yang baik bagi seluruh rakyat negara kita.

Saya yakin, bahawa Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, amat serius dalam hal ini. Malah sesuai dengan bidang tugas kementeriannya, beliau sudah tentulah mempunyai agenda yang lebih besar lagi dalam mengembalikan maruah budaya bangsa kita, yang kelihatan semakin runtuh dan terhakis.

Satu perkara yang seharusnya menjadi perhatian kita, bahawa penonjolan bahasa, budaya, seni dan penampilan watak bangsa kita menjadi amat ketara di dalam media elektronik. Oleh itu ketika kita berasa muak dan jelik dengan bahasa rojak, penampilan watak yang tidak sopan dan tidak berbudaya, maka perasaan jelik kita itu lebih dirasai sekiranya hal itu tertonjol melalui tv kerajaan dan swasta. Kita tentulah tidak akan berasa amat runsing dan terganggu sekiranya orang berbual dalam bahasa rojak, atau berlagak seperti ``orang putih celup'' di dalam perjumpaan khusus mereka, tetapi yang menjatuhkan maruah kita yang teramat sangat, ialah apabila keadaan itu berlaku di dalam media elektronik yang amat popular itu. TV merupakan satu alat keramat yang boleh membawakan kesan yang amat negatif terhadap pembangunan bangsa kita, sungguhpun tidak kita nafikan kebaikannya.

Akhirnya amatlah diharapkan bahawa seluruh negara seharusnya segera menyedari krisis yang sedang dialami bahasa kebangsaan dan budaya warisan kita itu. Satu ketika dulu, para pejuang bahasa dan budaya bangsa telah bangun serentak untuk bertindak sebagai satu kekuatan, iaitu ketika menentang salah laku para peniaga di negara kita yang menggunakan bahasa lain dari bahasa kebangsaan di papan tanda gedung dan kedai mereka secara besar-besaran. Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di negara kita pada waktu itu kelihatan seperti bandar raya Hong Kong atau Beijing. Dan berkat perjuangan yang hak itu, maka rakyat kita kini telah menyedari hakikat yang sebenar tentang kedudukan bahasa Melayu yang didaulatkan sendiri oleh perlembagaan negara, dan merupakan satu perjanjian dan kontrak sosial yang diterima oleh semua rakyat.

Mungkin, hal yang sama dapat dilakukan ketika kita menghadapi krisis bahasa dan budaya yang terbaharu ini.

No comments: