Wednesday, October 10, 2007

Ketinggian ilmu dalam Islam

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


Negara kita amat unik dalam menganjurkan segala perayaan dan keraian untuk golongan-golongan yang tertentu di dalam masyarakat, khususnya orang-orang yang berjaya di dalam bidang mereka masing-masing.

Minggu lepas, kita berasa bangga, kerana banyak pihak yang telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi dengan menyambut kejayaan para pelajar kelulusan terbaik dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) bagi tahun 2004. Fokus keraian ialah kepada Nur Amalina yang telah mencatat rekod terbaik keputusan peperiksaan SPM dengan pencapaian 17A1.

Selepas ini, sekiranya terdapat sesiapa yang bercita-cita untuk memecahkan rekod kejayaan cemerlang Nur Amalina ini, bererti ia haruslah memasuki peperiksaan SPM dalam 18 subjek atau lebih, dan hendaklah mencapai pangkat A1 dalam semua mata pelajaran yang didudukinya. Harap-harap akan muncullah beberapa orang bakal wira atau wirawati kita yang akan mencabar Nur Amalina.

Di sebalik keraian yang diberikan kepada pelajar terbaik itu, hasrat dan cita-cita kita semua bahawa perayaan bukanlah setakat perayaan untuk individu Nur Amalina sahaja, tetapi kita ingin melihat ramai lagi Nur Amalina, iaitu ramai lagi para pelajar kita, khususnya yang sering disogokkan dengan konsep ketinggian ilmu dalam agama Islam, agar tampil membawa amanah ini dan mencapai kecemerlangan dalam bidang ilmu pengetahuan yang mereka pelajari.

Doa yang dibaca saban hari di dalam perhimpunan para pelajar di sekolah kebangsaan, biarlah menjadi dorongan yang kuat untuk dihayati oleh para pelajar, iaitu ingin mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat, maka salah satu kebahagiaan dunia akhirat itu ialah kemampuan untuk mendapatkan ilmu, dan dengan kehendak Allah, semoga ilmu itu akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada hari-hari muka para pelajar semuanya.

Kita berasa bangga, kerana media massa di tanah air kita, telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menghebahkan kepada masyarakat tentang kejayaan para pelajar ini. Kita melihat di kaca televisyen umpamanya, bukan hanya Nur Amalina yang difokuskan, malahan ramai lagi para pelajar yang berjaya dengan baik, dan para pelajar cacat penglihatan yang ditonjolkan sebagai contoh para pelajar yang bekerja keras sehingga berjaya mendapat kelulusan dalam peperiksaan STPM seperti para pelajar yang lain.

Hal ini merupakan satu anjakan paradigma media massa kita, sama ada media elektronik atau cetak, yang selama ini sering dianggap sebagai media para artis yang glamor, atau penuh dengan gosip sahaja. Rupa-rupanya kini media telah menunjukkan minat yang tinggi dalam memberi liputan kepada kejayaan anak-anak kita di dalam akademik dan dunia ilmu. Kita semua seharusnya menyambut langkah positif media kita itu, kerana media merupakan wadah utama yang berperanan membawa berita kepada seluruh anggota masyarakat di mana-mana sahaja mereka tinggal, iaitu sama ada di kampung atau di kota, di bandar atau di pedalaman.

Berbalik kepada kejayaan anak-anak kita dalam pelajaran mereka, maka kita berasa bangga bahawa para pelajar kita yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga telah menunjukkan potensi mereka yang baik di dalam bidang akademik dengan kejayaan mereka yang cemerlang. Kejayaan mereka menunjukkan ketajaman fikiran mereka dalam menuntut ilmu, dan hal inilah yang mungkin telah disalahgunakan ketika mereka dihantar belajar ke tempat yang salah, dan terdedah kepada persekitaran yang salah pula, sehingga membawa kepada penahanan mereka di bawah akta tersebut. Kecerdikan mereka telah dieksploitasikan oleh golongan yang tertentu, dengan mempengaruhi mereka supaya menyertai kumpulan tertentu untuk satu perjuangan yang menggunakan nama Islam.

Bagaimanapun, oleh kerana mereka telah menunjukkan komitmen yang baik di dalam pelajaran mereka, dan saya percaya bahawa mereka telah insaf dan sedar akan keterlanjuran mereka kerana terpengaruh dengan idealisme perjuangan yang mereka sangkakan baik, maka mereka haruslah diberikan peluang untuk memperbaiki diri mereka, iaitu kemungkinan mereka diberi kesempatan untuk meneruskan pengajian mereka di dalam institusi pengajian tinggi kita sendiri. Manusia haruslah diberikan kesempatan yang kedua, ketiga dan seterusnya, kerana manusia adalah merupakan satu makhluk yang berubah-ubah.

Dari satu sudut yang lain, saya percaya, kegembiraan kita, tidaklah hanya tertumpu kepada mereka yang berjaya dengan cemerlang sahaja, kerana di samping yang cemerlang, terdapat kalangan yang agak ketinggalan. Mereka yang tidak mendapat kelulusan terbaik di dalam peperiksaan SPM dan STPM tidaklah seharusnya berasa rendah diri, atau berputus asa, sekiranya mereka telah pun memberikan tumpuan yang tinggi kepada pelajaran mereka, sama seperti yang dilakukan oleh para pelajar yang cemerlang itu.

Para pelajar yang agak terkebelakang dalam pencapaian SPM atau STPM masih mempunyai peluang dan kesempatan untuk memperbaiki diri mereka di dalam bidang pengajian seterusnya, kerana seperti yang telah saya sebutkan minggu lepas, bahawa dalam bidang pengajian sekarang ini, ilmu yang diberikan Allah s.w.t. kepada manusia amatlah luas, iaitu seperti luasnya lautan di sekeliling kita. Oleh itu setiap orang adalah berpeluang menerokai bidang ilmu yang diminatinya.

Bercita-cita

Kita juga telah dapat memerhati beberapa fakta kejayaan di dalam bidang akademik peringkat ijazah tinggi, termasuk kejayaan dalam berbagai-bagai bidang profesionalisme, yang dicapai dengan baik bukan hanya oleh pelajar yang luar biasa, tetapi oleh para pelajar yang berjaya dengan sederhana sahaja di dalam peperiksaan menengah rendah dan tinggi, juga ada ketikanya berjaya dengan cemerlang di peringkat tinggi, dan berjaya sehingga ke tahap ijazah doktor falsafah dalam berbagai-bagai bidang pengajian.

Pendeknya kejayaan adalah menjadi milik semua orang yang mahu berjaya, dan sentiasa dapat dicapai oleh orang-orang yang berazam dan bercita-cita tinggi, kalau tidak pun secemerlang rakan-rakan yang lain di peringkat menengah, tetapi di dalam peringkat seterusnya, mungkin mereka juga akan cemerlang sekiranya semangat tinggi untuk mencapai kejayaan ini sentiasa berada di dalam pemikiran mereka.

Sesiapa yang ingin berjaya maka ia hendaklah mempunyai cita-cita, niat dan azam untuk mencapai kejayaan. Niat dan azam ini hendaklah diterjemahkan di dalam usaha dan kerja, ikhtiar dan kerahan tenaga dan minda yang tinggi. Sebab itulah di dalam al-Quran pun, Allah s.w.t. telah menerangkan tentang hal ini, iaitu apabila seseorang itu telah berazam, maka hendaklah dia bertawakal kepada Allah. Ertinya sesiapa yang berazam dan bercita-cita untuk melakukan sesuatu, kemudian dia iringi cita-citanya itu dengan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh, maka dia hendaklah mempunyai keyakinan kepada Allah. Agar Allah menolong segala usaha dan ikhtiarnya itu.

Bagaimanapun, dalam apa saja bidang kerjaya seseorang, kejayaan tidaklah merupakan kemuncak yang hanya berakhir di situ sahaja. Kejayaan, kadang-kadang hanya merupakan satu permulaan yang baik. Permulaan yang baik inilah yang diharapkan akan menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan seterusnya. Orang yang sentiasa berjaya dan merasai nikmat serta kepuasan kejayaan, akan terus menerus mencipta kejayaan yang lebih besar. Sebaliknya orang yang gagal dalam perjuangan, sering mengalami kegagalan, sekiranya dia takut untuk mencuba dan berusaha sekali lagi. Allahyarham Hamka pernah menyebut kata-kata hikmahnya dalam hal ini, bahawa orang yang takut gagal, bererti dia akan gagal selama-lamanya.

Demikian juga bagi para pelajar yang berjaya, atau sesiapa saja yang berjaya di dalam sebarang bidang yang diceburinya, maka kejayaan itu haruslah diterima dengan syukur dan azam untuk berjaya seterusnya selama hayat dikandung badan.

Bagi hamba Allah yang sedar dan insaf, sungguhpun kejayaan adalah diukur daripada pencapaian ilmu pengetahuan, dalam sijil, surat perakuan, hadiah dan award seperti yang diberikan kepada para pemenang festival Seri Angkasa yang amat meriah itu, (sila baca nota kaki di bawah), tetapi kejayaan itu haruslah dimanfaatkan untuk pembinaan watak dan peribadi yang mulia dan mempunyai harga diri.

Glamor bukanlah menjadi matlamat terakhir, kerana glamor akan luntur dan seterusnya luput daripada diri kita. Yang kekal ialah bagaimana kita dapat memanfaatkan daripada kejayaan yang penuh glamor itu untuk menghayati nilai murni agama, moral dan etika, dan menonjolkan keperibadian yang unggul dalam akhlak dan perwatakan yang mulia.

No comments: