Wednesday, October 10, 2007

Syiar Islam di negara ini terus berkembang pesat sejak merdeka - Hikmah di sebalik muafakat

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PEPATAH mengatakan bahawa untuk membentuk besi menurut satu rupa yang dikehendaki, maka ketuklah besi itu ketika ia masih panas. Besi yang keras akan menjadi lembut ketika dibakar, maka segeralah mengetuk besi yang masih lembut itu untuk dijadikan pisau, parang dan sebagainya. Kalau ditunggu sehingga sejuk, maka tidak mungkin besi sekeras itu akan dapat dibentuk mengikut rupa yang kita kehendaki.

Menurut hikmah inilah, saya menganggap bahawa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri yang pertama, telah menggunakan kebijaksanaannya melaksanakan satu perancangannya dalam masa yang wajar dan sesuai.

Tunku bijak mendapatkan kawan politik yang setia dan bersefahaman ketika beliau menubuhkan Parti Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan dan membangun negara merdeka itu dalam suasana aman damai. Banyak isu sensitif yang berjaya diselesaikan oleh Tunku berdasarkan pengorbanan tiga kaum terbesar di negara kita ketika menuntut kemerdekaan dan menggubal perlembagaan Malaya merdeka.

Contoh terbesar bagi isu sensitif yang berjaya dilaksanakan oleh Tunku dalam penggubalan perlembagaan ialah meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara. Isu agama bukanlah isu mudah di dalam masyarakat pelbagai kaum dan keturunan seperti negara kita ini. Sehingga ke hari ini, setelah manusia mencapai tahap ilmu pengetahuan yang tinggi, serta mencipta kehidupan yang penuh selesa, umat manusia masih berperang kerana agama. Malah dalam masyarakat yang majoriti rakyatnya hanya memeluk satu agama sahaja pun, sering kali terdapat persengketaan kerana masalah agama, iaitu kalau tidak kerana perbezaan agama, tetapi kerana perbezaan mazhab, atau pentafsiran bagi agama yang sama-sama dianuti itu. Maka berlakulah pertentangan dan krisis, sehingga kadang-kadang membawa kepada pertumpahan darah.

Hal ini dapat kita saksikan di Timur dan di Barat, malah di dalam dunia Islam sendiri ketika umat Islam bergaduh dan menggunakan kekerasan semata-mata kerana perbezaan mazhab dan perbezaan pentafsiran dalam agama Islam sendiri.

Maka, Almarhum Tunku, telah bertindak dengan amat bijak, iaitu secara bermuafakat dengan rakyat Malaya, ketika itu, yang terdiri daripada kaum Cina dan India, yang diwakili oleh parti kaum Cina, MCA, dan parti kaum India, MIC, untuk menubuhkan Parti Perikatan supaya banyak perkara dan agenda pembinaan bangsa dan negara, terutamanya tentang isu-isu yang sensitif, dapat diselesaikan bersama secara perundingan.

Menurut sejarah, ketika Perlembagaan Malaya merdeka akan digubal, maka Parti Perikatan mengambil tindakan menghantar memorandum kepada Suru-hanjaya Diraja penggubalan perlembagaan yang dipengerusikan oleh Lord Reid yang antara lainnya mencadangkan supaya Islam diperuntukkan di dalam perlembagaan sebagai agama negara, dan cadangan ini telah diterima dengan baik, sehingga peruntukan itu telah dimasukkan ke dalam perlembagaan sebagai satu pengiktirafan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan Tanah Melayu merdeka.

Amat menarik kerana cadangan ini merupakan cadangan bersama oleh semua kaum yang menjadi rakyat Malaya ketika itu. Saya percaya bahawa kebijaksanaan Tunku meyakinkan rakan-rakan seperjuangannya tentang kepentingan menjaga hati dan perasaan orang Melayu tentang isu agama inilah yang menyebabkan cadangan ini dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut. Malah sebagai balasannya, perlembagaan juga menjamin kebebasan beragama bagi para penganut agama lain, juga kebebasan mereka untuk mempraktikkan agama mereka dalam suasana aman dan harmoni.

Rentetan peristiwa bersejarah ini saya rasa amat perlu dikaji dan diberi kefahaman yang jelas serta menyeluruh kepada generasi baru dan muda supaya mereka juga akan dapat menghayati hikmah di sebalik permuafakatan pemimpin tertinggi kita dalam merangka strategi pembangunan bangsa yang bersepadu dan bersefahaman.

Tanpa pandangan jauh mereka ketika itu, dan tanpa pengorbanan tiga kaum terbesar yang menjadi rakyat perintis Malaya merdeka itu, saya fikir mungkin isu agama akan diketepikan sahaja. Mungkin perlembagaan tidak perlu memberi sebarang peruntukan tentang agama, atau mungkin juga perlembagaan akan menyebut bahawa negara Malaya adalah sebuah negara sekular.

Maka sekiranya isu agama ini tidak diselesaikan pada peringkat awalnya lagi, iaitu ketika besi keras itu masih panas, besar kemungkinan rakyat kita hingga ke hari ini tidak mempunyai sebarang panduan tentang kedudukan agama dalam negara kita, atau mungkin juga rakyat akan mengambil jalan keganasan untuk menyelesaikan isu agama di antara mereka.

Peruntukan tentang agama rasmi di dalam perlembagaan, dan kebebasan agama lain untuk diamalkan oleh penganut masing-masing adalah merupakan satu asas kuat yang hingga ke hari ini kita masih benar-benar berasa kesannya yang positif. Kedudukan agama negara dan kebebasan agama lain tetap terpelihara dengan baik dan menjadi warisan yang mantap kepada generasi baru dan akan datang.

Mulai dari tarikh kemerdekaan dan pelaksanaan Perlembagaan Malaya merdeka itulah, Islam sebagai agama rasmi negara berkembang dari tahap ke tahap mengikut perkembangan masyarakat dan pembangunan ilmu pengetahuan moden yang sesuai dengan perkembangan dan pembangunan Islam itu sendiri.

Perkembangan Islam pada zaman Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama, merupakan perkembangan dan pembangunan agama dalam bentuk ritual dan syiar. Tunku berasa berkewajipan mengangkat martabat agama Islam dalam bentuk wawasannya sendiri sebagai orang Melayu yang dekat dengan agama. Sebab itulah Tunku menganjurkan peraduan membaca al-Quran, kerana al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang dibaca, dipelajari dan dihafal oleh orang Melayu sejak dari kecilnya lagi.

Sistem pendidikan agama sendiri pada ketika itu telah mengkhususkan waktu di sebelah petang untuk mengaji al-Quran. Pendeknya orang Melayu akan mengukur kebolehan anak-anaknya dalam agama dengan bertanya apakah kanak-kanak itu telah khatam al-Quran. Malah seorang kanak-kanak yang telah khatam al-Quran akan diraikan di dalam majlis yang meriah, penuh warna-warni.

Inilah semangat penghayatan Islam yang paling dekat dengan hati nurani orang Melayu ketika itu, dan Tunku amat memahaminya. Maka peningkatan syiar inilah yang dilakukan olehnya sehingga akhirnya peraduan membaca al-Quran itu telah diperkembangkan, mulai dari peringkat kebangsaan hingga ke peringkat antarabangsa, lalu negara kita pun mulai terkenal sebagai satu-satunya negara yang mengambil tindakan baik menganjurkan peraduan ini.

Perkembangan Islam yang dimulai oleh Perdana Menteri pertama dalam bentuk dan skop yang terhad inilah kemudiannya meningkat tahap demi tahap mengikut perkembangan Islam yang berlaku di dalam dan luar negara. Maka ketika Islam mengalami zaman kebangkitan semula di sekitar tahun 70-an, negara kita turut membangunkan Islam dalam bentuk yang lebih luas dan menyeluruh.

Dasar-dasar negara yang lebih hampir kepada ajaran dan nilai-nilai Islam mulai digubal dan dilaksanakan, terutamanya di dalam bidang pendidikan yang mulai mendapat tempat di dalam arus perdana pendidikan negara dengan tertubuhnya bahagian khas tentang pendidikan Islam di Kementerian Pelajaran ketika itu. Kemudian di dalam bidang ekonomi, kewangan, perbankan, takaful dan sebagainya, akhirnya sampai kepada bidang teknologi maklumat, dan bidang lain yang merupakan bidang baru, sehingga dengan itu Islam telah diberi tempat dalam semua aspek pembangunan negara kita.

Demikianlah senario pembangunan Islam yang kita saksikan selama ini, iaitu dimulai dengan pendekatan ritual dan kerohanian pada awal-awal era kemerdekaan negara kita, dan seterusnya merangkumi semua pembangunan moden pada hari ini yang benar-benar dapat menepati konsep dan falsafah definisi Islam sebagai cara hidup yang lengkap, atau al-deen.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memasukkan pelajaran al-Quran dan bahasanya ke dalam arus perdana pendidikan nasional bukanlah merupakan satu pendekatan untuk membawa umat kita kembali kepada ritual semata-mata. Tetapi pendekatan itu akan dapat membawa umat kita kepada menghayati konsep pendidikan dan ilmu menurut perspektif Islam. Falsafah pendidikan Islam ialah menggabung dan menyepadukan di antara ilmu wahyu daripada Allah dengan ilmu ciptaan akal manusia. Penggabungan inilah yang akan membentuk minda umat Islam dalam mencari penyelesaian segala krisis pemikiran dan kehidupan mereka di dunia ini, malah krisis yang dihadapi oleh manusia sejagat pada masa kini.

Oleh itu istilah ``khatam Quran'' haruslah disertai dengan kajian dan penghayatan al-Quran, dan ilmu pengetahuan yang berpandukan al-Quran. Maka untuk menghayati dan memahami al-Quran dengan selengkapnya, para pelajar dan pengkajinya haruslah juga menguasai ilmu alatnya, iaitu bahasa asli al-Quran yang juga dicadangkan untuk diintegrasikan di dalam sistem pendidikan nasional.

Inilah konsep dan falsafah al-deen. Selama ini ramai orang yang pandai berslogan tentang pengertian al-deen, tetapi tidak ramai orang yang benar-benar memahaminya, apalagi melaksanakannya. Maka sekali lagi, ketika besi ini masih panas, kita haruslah segera mengetuk dan mencanainya mengikut rupa bentuk yang kita mahu. Falsafah yang terkandung di dalam pepatah ini telah dimulai dengan jayanya oleh Perdana Menteri kita yang pertama, maka falsafah inilah juga yang seharusnya diteruskan oleh Perdana Menteri kita yang baru.

No comments: