Wednesday, October 10, 2007

Percanggahan pendapat kalangan masyarakat tidak harus dijadikan isu utama - Memahami masalah bersama

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
KEKECOHAN yang ditimbulkan oleh Prof. Madya Dr. Aminah Wadud dari Amerika Syarikat (AS) semasa Persidangan Antarabangsa Islam mengenai HIV-AIDS di Kuala Lumpur baru-baru ini amat mendukacitakan. Kekecohan ini menjadi semakin rumit apabila isu yang ditimbulkan telah membangkitkan tuduh-menuduh yang menyentuh ajaran agama dan iman seseorang.

Bagaimanapun bagi penilaian saya, pada keseluruhannya, setiap kali isu-isu yang menyentuh agama dibincangkan oleh para perwakilan dari dunia Islam lainnya, mereka sering membawakan isu tempatan mereka yang bagi kita di negara ini tidak lagi menjadi isu.

Terus terang saya tegaskan di sini, umpamanya isu kepimpinan wanita, wanita tidak dibenarkan ke masjid, wanita sering dipandang serong, didiskriminasi dan dijadikan hamba seks, mungkin merupakan isu besar yang berlaku di dalam masyarakat Islam di negara para perwakilan yang berbicara tentang perkara itu, sedangkan di negara kita, isu itu telah lama dibicarakan. Sebahagian besarnya telah diselesaikan mengikut ajaran agama Islam yang sebenarnya dan dengan komitmen dan dasar negara yang telah dilaksanakan dengan baik di negara ini.

Tambahan pula apabila persidangan yang pada asalnya bertujuan membicarakan isu-isu umat Islam dalam menangani wabak HIV-AIDS yang seharusnya menumpukan perbincangan kepada persoalan yang menjadi tema perhimpunan itu, tiba-tiba telah dijadikan platform untuk membicarakan isu wanita yang agak menyimpang dari matlamat pokok perhimpunan itu. Maka dalam keadaan inilah para perwakilan mendengar beberapa isu yang saya sebutkan di atas, termasuk juga isu poligami, kanak-kanak perempuan berkhatan, Hawa dijadikan dari tulang rusuk Adam, wanita dicemburui ketika menjadi ketua dan perkara lain yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan tema persidangan.

Apabila isu-isu ini telah dibicarakan dengan beberapa perspektif yang agak kontroversial, maka para peserta yang memahami ajaran agama, akan cuba memberikan komen dan tentangan, dan apabila mereka tidak dibenarkan berbuat demikian, maka timbullah kehampaan mereka. Ketika itu akan berlakulah cabar-mencabar, tempikan dan jeritan yang penuh emosi yang amat hebat.

Dan pada waktu itu akan timbullah tuduhan bahawa inilah sikap para ``ulama'' yang kuno dan ketinggalan zaman, tidak memahami peredaran zaman, tidak profesional dan berbagai-bagai tuduhan lain yang sering dilemparkan kepada para alim ulama ketika berlaku pertentangan di antara golongan yang tertentu.

Tuduhan terhadap para ulama ini tentulah akan menjadi bertambah hebat apabila isu mengenai wanita dibicarakan oleh para pejuangnya, sedangkan para ulama tidak dapat menerima keseluruhan hujah dan pentafsiran pejuang ini tentang isu wanita yang diketengahkan itu.

Hal ini mengingatkan saya tentang Persidangan mengenai kependudukan dukungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berlangsung di Kaherah pada bulan September 1994. Persidangan itu membuat beberapa ketetapan yang terang-terang mencabar ajaran agama dan nilai akhlaknya serta tradisi agama. Apabila para ulama Islam dan pertubuhan agama bangun menentangnya, termasuk dari golongan agama Katolik, maka ramailah suara dari kalangan orang Islam sendiri yang menuding jari kepada para ulama dan menuduh mereka sebagai ketinggalan zaman, kolot dan sebagainya. Hal ini berlaku ialah kerana persidangan tersebut telah dipergunakan oleh pihak yang tertentu untuk mencabar agama dan ajarannya tentang banyak perkara mengenai seksual, wanita dan sebagainya. Akhirnya para ahli agama terpaksa mengalah, dan hanya dapat memasukkan satu para akhir dengan menegaskan bahawa setiap negara dapatlah menyesuaikan segala ketetapan ini dengan ajaran agama dan budaya masing-masing.

Bagaimanapun apa yang berlaku di Persidangan Kuala Lumpur mengenai HIV-AIDS itu, tidaklah seserius seperti persidangan di Kaherah itu. Tetapi dari segi teorinya, kecenderungan menyalahgunakan platform dan forum sering berlaku di mana-mana sahaja. Dr. Aminah Wadud sendiri mengaku dalam pengiktirafannya, Beliau sedar bahawa kertas yang dikemukakannya di dalam persidangan ini tidak sepatutnya dibentangkan di dalam forum ini. Beliau memohon maaf atas keterlanjuran ini.

Sebab itulah telah saya sebutkan di atas bahawa banyak isu yang dibawakan di dalam perhimpunan tersebut, tidak lagi menjadi isu di dalam masyarakat dan negara kita. Kita tidak mengalami masalah untuk wanita menghadiri sembahyang dan program yang diadakan di masjid. Malah masjid kita membuka pintu seluas-luasnya kepada wanita untuk bersama-sama kaum lelaki dalam sebarang acaranya yang diadakan di sana. Mungkin wanita kita sendiri yang tidak menyedari atau tidak mengetahuinya, langsung mereka pun bersetuju dengan rungutan yang dikemukakan oleh para perwakilan dari negara Islam lain yang dalam banyak hal amat ketinggalan dari kita.

Oleh itu rungutan yang ditimbulkan kononnya wanita tidak dibenarkan memasuki masjid (sedangkan hal ini sebenarnya tidak relevan dengan persidangan) adalah merupakan isu domestik negara Islam yang tertentu, dan bagi peserta wanita yang menyokongnya, termasuk peserta dari negara kita, keadaan itu mungkin hanya merupakan khayalannya sahaja, atau kerana tidak mengetahui keadaan yang sebenarnya di negara kita.

Demikian juga ketika dibicarakan tentang ketidakyakinan terhadap kepimpinan wanita dari kaum lelaki yang bersikap keras dan kolot. Hal ini juga mungkin merupakan pengalaman negara lain yang masih mengamalkan budaya lapuk mereka tentang kedudukan wanita di dalam masyarakat setempat itu. Golongan majoriti masyarakat kita tentulah tidak mempunyai perasaan dan sikap yang demikian, malah yang memandang wanita dengan pandangan rendah itu pun sebenarnya berbuat demikian adalah kerana tujuan politik kepartian yang sempit semata-mata. Golongan ini tentulah tidak mewakili keseluruhan masyarakat Islam di negara kita, apa lagi untuk mengaitkan kepimpinan negara sendiri seperti yang ditimbulkan pengalamannya di negara lain.

Seorang peserta wanita di dalam bengkel yang saya hadiri, iaitu yang datangnya dari sebuah negara Afrika, telah menyebut bahawa sekembalinya sahaja beliau dari Kuala Lumpur, maka beliau akan membuat temu janji dengan presiden negaranya untuk memaklumkan kepadanya tentang masalah HIV-AIDS dan menceritakan tentang komitmen Malaysia dalam menangani masalah ini di negara kita. Ia menceritakan tentang kecuaian kerajaan negaranya tentang isu ini, malah kepimpinan negaranya tidak langsung terlibat dengan program bagi mencegah dan menangani wabak ini di negaranya.

Kenyataan yang dikeluarkannya itu tentulah merupakan pengalaman di dalam negaranya, dan hal itu berlaku ialah kerana kerajaan negaranya tidak peka dengan masalah ini dan tidak pula berusaha untuk menanganinya. Mungkin hal ini berlaku kerana kerajaannya miskin, tidak sensitif dengan kesihatan dan kebajikan rakyat, atau sengaja tidak menghiraukan bala bencana yang menimpa rakyat. Isu ini tentu tidak relevan dengan kita di negara ini. Isu itu sebaliknya merupakan isu rumah tangga mereka.

Maka dalam membicarakan isu-isu inilah mereka berasa terdedah kepada pengalaman baru dan idea baru yang mereka peroleh di dalam persidangan ini yang perlu mereka bawa pulang untuk dilaksanakan di negara mereka. Bagi kita pula, isu-isu negara mereka tentulah menambahkan lagi pengalaman kita tentang keadaan negara-negara lain, dan sedikit sebanyak, kita telah dapat bersyukur dengan kemajuan yang kita capai selama ini.

Bagi sesetengah negara Islam, segala perjawatan agama seperti imam, pendakwah dan lain-lain lagi tidak merupakan jawatan kerajaan. Malah masjid pun dikendalikan oleh orang perseorangan atau kumpulan yang tertentu. Oleh itu mereka tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk mengendalikan masjid dan membayar gaji pegawai agama. Hal ini juga tentulah tidak dapat disamakan dengan keadaan yang berlaku di negara kita.

Mereka juga masih memungut zakat menurut cara lama, iaitu para pembayar zakat akan membayar secara langsung kepada individu yang tertentu, tidak kepada satu pusat pungutan seperti yang kita lakukan di negara kita. Oleh itu tabung zakat tidak wujud di negara mereka. Zakat tidak dapat disalurkan untuk kebajikan dan bantuan kepada para pesakit AIDS umpamanya, kerana mereka tidak mempunyai satu pusat pengurusan zakat yang disatukan seperti negara kita.

Yang lebih menyedihkan, oleh kerana majoriti penduduk Islam di sesetengah negara Islam merupakan rakyat yang miskin, maka bilangan pembayar zakat tentulah tidak sebanyak mana. Ada negara Islam yang mempunyai puluhan atau ratusan juta rakyat beragama Islam, tetapi jumlah zakat yang dapat dipungut setiap tahun tidak pun dapat menyamai pungutan zakat di Wilayah Persekutuan di negara kita. Apakah dalam hal ini mereka akan dapat membicarakan tentang pungutan zakat dan tabung zakat untuk membantu pesakit HIV-AIDS ? Tentulah jauh panggang dari api.

Seperti yang telah saya tegaskan di dalam tulisan saya di dalam ruangan ini minggu lalu, penumpuan kita sekarang dalam menghadapi isu dan gejala penyakit yang menjadi tema persidangan tersebut ialah cuba memahami pokok permasalahan mencari jalan penyelesaian, dan berusaha untuk menyusun agenda pencegahannya. Dan semuanya ini dapat dilakukan melalui perspektif agama, dengan syarat semua pihak bersatu kata dalam agenda ini, tidak lagi mengheret isu percanggahan pendapat yang bukan merupakan isu utama seperti yang kedengaran di dalam persidangan yang saya maksudkan itu.

No comments: