Wednesday, October 10, 2007

Kenang jasa ibu selama-lamanya

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


SEMINGGU dua ini kita melihat perkembangan yang sihat tentang usaha memartabatkan makhluk Allah s.w.t. yang dinamakan wanita. Minggu lepas kita merayakan Hari Ibu, satu perayaan yang seharusnya sama-sama kita sambut tidak kira dari mana idea dan asalnya perayaan ini dimulakan. Niat kita menyambut Hari Ibu ialah untuk mengingatkan kita semua tentang kemuliaan dan kepentingan ibu di dalam masyarakat rumah tangga dan dunia umumnya.

Dalam masa yang sama juga, negara kita menyaksikan satu persidangan besar negara-negara berkecuali, yang juga membincangkan isu wanita. Persidangan antarabangsa yang penting ini memfokuskan kepada masalah kesamarataan wanita dengan lelaki, sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri memberi jaminan bahawa segala undang-undang yang boleh membawa kepada amalan diskriminasi terhadap wanita akan dipinda. Demikian juga segala perlakuan yang boleh membawa kepada penganiayaan terhadap wanita akan ditangani dengan bersungguh-sungguh dalam usaha memartabat dan memperkasakan wanita.

Oleh itu, kita bukan hanya merayakan Hari Ibu, iaitu hari untuk wanita yang bernama ibu, tetapi dalam masa yang sama juga, kita menyusun agenda baru untuk menyediakan satu iklim yang lebih baik dan adil untuk semua wanita, tidak kira mereka sebagai pelajar, pekerja, ibu yang mempunyai suami atau ibu tunggal, nenek, gadis dan sebagainya. Maka mereka semua adalah wanita seperti yang dijadikan Allah. Oleh itu mereka seharusnya diberikan hak dan kedudukan setimpal dengan kejadian makhluk kongsi hidup mereka di dunia ini, iaitu makhluk yang bernama lelaki.

Mungkin agak terlalu awal untuk saya memberikan pandangan tentang persidangan yang memfokuskan kepada isu wanita ini. Oleh itu saya lebih suka menunggu dan melihat dulu, apakah agenda kesamarataan yang hendak dijelmakan untuk wanita di dalam masyarakat manusia yang secara tabiinya terdiri daripada lelaki dan wanita ini.

Cuma pandangan awal saya yang perlu saya tekankan di sini, bahawa kejadian kedua-dua jenis makhluk Allah ini memang terdapat perbezaan dalam pelbagai aspek. Perbezaan yang diciptakan oleh Allah itu tentulah tidak perlu lagi diusahakan supaya wanita dan lelaki ini menjadi sama. Tetapi diskriminasi akibat daripada perbuatan sesama manusia, termasuk kadang-kadang oleh wanita sendiri, itulah yang seharusnya diubah dan ditangani dengan bijak. Oleh itu kita mungkin perlu bersabar untuk melihat apakah sebenarnya yang akan dilakukan oleh negara-negara yang menghadiri persidangan tersebut, termasuk oleh negara kita sendiri.

Namun satu perkara yang harus juga diingati, bahawa apa sahaja perubahan yang hendak dilakukan bagi mewujudkan dasar baru negara, maka perubahan itu haruslah dilakukan melalui proses demokrasi, dan perdebatan umum yang sihat oleh semua kalangan di dalam masyarakat kita.

Kembali kepada perayaan Hari Ibu, maka seperti biasa, segala sesuatu yang berasal daripada orang lain, terutamanya daripada masyarakat Barat, maka sering ditimbulkan isu hukum dan fatwa, apakah Hari Ibu harus dirayakan oleh kita, terutamanya orang Islam? Apakah manusia yang bernama ibu itu hanya harus diraikan pada sehari sahaja di dalam satu tahun, iaitu pada hari yang dinamakan Hari Ibu?

Bagi saya, perayaan Hari Ibu tidaklah menyentuh isu akidah. Menyambut Hari Ibu dengan niat yang ikhlas untuk memuliakan ibu, adalah sesuatu yang seharusnya digalakkan di dalam masyarakat kita. Kita selalu membaca hadis Rasulullah yang menekankan tentang kemuliaan manusia yang bernama ibu ini. Oleh itu apakah perlu lagi kita mempersoalkan hukum menyambut Hari Ibu ini?

Dari sudut yang lain, menyambut Hari Ibu, tidaklah pula bererti bahawa kita melupakan ibu pada hari-hari yang lain, seolah-olah segala kebaikan, jasa dan peranan penting ibu, hanya dikenang dan disambut dalam sehari dua sahaja bagi satu tahun. Pada Hari Ibu, kita mencium ibu, memberikannya hadiah dan penghargaan, membawanya keluar bercuti dan belanja makan di tempat-tempat yang istimewa, dan apabila selesai perayaan Hari Ibu, maka kita segera melupakan pula mereka, kita kembali semula hidup secara nafsu-nafsi, seolah-olah segala penghargaan dan keinsafan kita terhadap pengorbanan ibu itu hanya dikenang sehari sahaja di dalam setahun, iaitu pada Hari Ibu. Apakah hal ini mempunyai kebenarannya di dalam masyarakat kita ini?

Pada pandangan saya, Hari Ibu bukanlah membawa konsep demikian. Hari Ibu bukanlah hanya merupakan satu lumuran kosmetik pada wajah kita untuk kelihatan cantik bagi sehari dua sahaja, tetapi Hari Ibu merupakan tazkirah dan peringatan kepada kita, supaya bersungguh-sungguh mengingati peranan dan pengorbanan ibu dalam mengatur kejayaan rumah tangga, pendidikan anak-anak, perbelanjaan dan ekonomi keluarga, berhujan dan berpanas kerana anak-anak dan anggota keluarga yang lain, termasuk ibu bapa dan suaminya.

Maka ketika peringatan ini menyelinap masuk ke dalam sanubari dan jantung hati anak-anak, barulah dia akan sentiasa berusaha mencapai kejayaan hidupnya di dunia dan akhirat sebagai balasan kepada jasa ibu dan pengorbanannya. Pada ketika itu, barulah dia akan berusaha mengelakkan segala kemungkaran dan kesalahan dunia dan agama seperti yang dicita-citakan oleh ibunya. Dia sebagai anak, haruslah ingat bahawa segala usaha keras dan pengorbanan ibunya, hanyalah untuk membesarkan anak-anaknya, memberikan dia perlindungan dan kasih sayang, pendidikan dan pelajaran, semata-mata kerana ingin melihatnya menjadi manusia yang berguna, bermanfaat untuk Tuhan, manusia dan keluarga besarnya. Itu sahaja matlamat dan tujuan ibu di dalam dunia yang penuh cabaran ini.

Penganiayaan

Ketika membincangkan kes-kes tertentu di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agihan Zakat Baitulmal Wilayah Persekutuan yang saya pengerusikan, kes-kes penganiayaan terhadap wanita yang bergelar ibu itu sering timbul, dan kadang-kadang amat menyayat hati. Ibu secara bersendirian terpaksa menanggung anak-anak kecil dan yang bersekolah. Ada kalanya terdapat anak yang sakit, jantung berlubang, rabun mata, cacat anggota dan sebagainya, maka anak-anak yang malang ini semuanya bergantung kepada ibunya yang bergelar ibu tunggal.

Kisah menyayat hati bukan kerana ibu ini merupakan ibu tunggal yang kematian suami, atau terpaksa bercerai, tetapi terdapat wanita yang terpaksa hidup sebagai ibu tunggal, kerana suaminya menghilangkan diri entah ke mana tidak dapat dikesan. Ada antara suami yang berkahwin lain dengan meninggalkan isterinya tanpa cerai, gantung tidak bertali, tanpa bertanya khabar atau menjenguk, dan jauh sekali daripada memberi nafkah kebendaan yang merupakan sesuatu yang amat berharga kepada isterinya untuk menyara anak-anaknya sendiri.

Ada suami yang tanpa diketahui sebabnya, menghilangkan diri tidak balik-balik, atau kalau balik pun kadang-kadang kerana hendak meminta wang daripada isterinya yang telah jatuh miskin tanpa saraannya. Tetapi dalam kemiskinan isterinya itu pun, dia masih sanggup memeras wang dan barang kemas isterinya, entah untuk tujuan apa, hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.

Inilah antara beberapa kes menyayat hati yang saya sebutkan di atas, dan bukan hanya seorang dua yang mengalami nasib ini di Wilayah Persekutuan yang kaya-raya ini, malahan bilangannya semakin bertambah dan muncul setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan kami mengadakan mesyuarat.

Syukurlah juga kepada Allah kerana Wilayah Persekutuan berjaya menyedarkan masyarakat Islam untuk membayar zakat, dan syarikat-syarikat orang Islam juga, telah menyahut seruan agama agar membayar zakat, sehingga pungutan zakat di Wilayah Persekutuan semakin bertambah tahun demi tahun, akhirnya mencecah jumlah jutaan ringgit setahun. Maka peruntukan yang agak banyak yang telah ditentukan untuk fakir miskin inilah yang dapat dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang malang dan tidak bernasib baik itu, termasuk ibu tunggal yang bercerai mati atau hidup, dan wanita yang juga bernama ibu tunggal, tetapi punya suami yang tidak bertanggungjawab.

Demikianlah satu contoh pengorbanan ibu yang amat jarang diketahui umum, terutamanya kepada makhluk dan manusia yang bernama suami yang tidak beramanah kepada Allah dan tidak bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya. Malah lebih dari itu, tidak mempunyai sedikit pun rasa belas kasihan kepada manusia yang bernama isterinya, yang menyabung nyawa melahir dan membesarkan anak-anaknya sendiri.

Hanya mereka yang hidup jiwa raganya, yang akan menginsafi pengorbanan ibu sepanjang hidupnya. Malah Allah sebenarnya telah mengurniakan ibu segala kekuatan mental dan fizikal yang tidak tertanggung oleh orang lain, termasuk para lelaki sendiri.

Kesakitan melahirkan anak merupakan kesakitan yang tidak ada tolok bandingnya di dalam dunia ini, yang terpaksa ditanggung oleh ibu. Kesakitan inilah yang ditanggung oleh ibu kita setiap kali melahirkan anak, dan amat ajaib sekali, ibu sering dapat melupakan kesakitan ini setiap kali dia melihat bayinya lahir ke dunia, sehingga dengan itu dia akan sanggup melahirkan anak yang kedua, ketiga dan seterusnya, sehingga terdapat ibu yang melahirkan hingga sepuluh orang anak atau lebih, terutamanya para ibu kita yang hidup di pedalaman dan di luar bandar yang tidak punya kemudahan perubatan dan rawatan moden seperti di kota.

Untuk menginsafi hal inilah, para suami sering digalakkan oleh klinik dan hospital bersalin, supaya berada bersama isterinya di dalam bilik bersalin ketika isterinya akan melahirkan anak, bukan duduk bersenang-lenang di rumah menghadap secawan kopi dan membaca akhbar. Suami akan dapat melihat sendiri bagaimanakah penderitaan yang ditanggung isterinya dengan segala kepayahan dan kesakitan menjelang kelahiran bayinya. Dia juga akan dapat membayangkan bahawa beginilah penderitaan yang ditanggung oleh ibunya ketika melahirkannya dulu.

Ibu yang akan melahirkan anaknya, hanya berserah kepada Tuhan, dan sering berasa bahawa nyawanya berada di hujung tanduk. Ketika inilah dia memerlukan orang yang paling hampir dengannya untuk berada di sisinya. Maka kehadiran suaminya, atau ibunya sendiri, merupakan kehadiran seorang insan yang akan memberikannya kekuatan dan semangat dalam menghadapi gelombang kesakitan itu.

Al-Quran membayangkan penderitaan ibu ketika ibu itu masih mengandung lagi, iaitu dengan menyifatkan bahawa ibu yang mengandung adalah mengalami lemah demi lemah, kemudian apabila menyusu bayinya pula, maka jangka waktu penyusuan itu juga amat panjang dan lama.

Dengan itu, biarlah Hari Ibu menjadi peringatan yang baik kepada anak-anak dan biarlah hari ibu merupakan hari yang diperingati setiap hari, setiap jam dan setiap saat, dan pengertian ini bukan hanya untuk dihayati oleh anak, malah oleh orang yang menjadi tempat bergantung para ibu, iaitu manusia yang bernama suami, rakan kongsi isteri yang paling akrab, malah segala rasa keinsafan dan simpati kepada semua pengorbanan ibu tidaklah seharusnya dikenang dan dibalas pada Hari Ibu semata-mata. Hari Ibu biarlah menjadi satu titik permulaan untuk mengenang jasa ibu buat selama-lamanya.

No comments: