Wednesday, October 10, 2007

Agenda keutamaan kepada hal-hal yang melalai dan melekakan kehidupan - Anak muda di alam fantasi

Penulis Tamu SUKAN Olimpik 2004 bagi rakyat negara kita, nampaknya berlangsung terlalu lama. Sebabnya dalam semua acara yang dipertandingkan, muka atlet negara kita tidak muncul, dan tidak akan muncul-muncul lagi sehinggalah sukan itu berakhir. Bagi yang prihatin terhadap maruah negara dan bangsa, kekecewaan atlet kita di dalam sukan dunia itu amatlah memilukan hati dan mengguris perasaan. Hampir semua wakil negara dunia muncul di sana sini di dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan, walaupun ada di antaranya yang tidak mendapat pingat di peringkat akhir.

Tetapi wakil negara kita, hanya muncul sekali dua di gelanggang pada peringkat awal. Belum pun panas bangku penonton, wakil kita telah angkat bungkus, keluar dengan tangan kosong. Lain pula dengan Iraq yang mengalami peperangan yang tidak berkesudahan, yang hancur rumah dan bangunannya, yang kekeringan air minum dan roti untuk dimakan tetapi mampu berjuang dan memberi tentangan yang hebat di dalam perlawanan bola sepak. Bilakah mereka ini berlatih sedangkan suasana di dalam negara diisi dengan dentuman meriam dan peluru yang berterbangan?

Bagaimanapun di dalam menghadapi kekecewaan ini, saya rasa kita tidaklah sepatutnya tuding-menuding jari mencari kesalahan orang lain. Kita harus cuba mencari kesalahan sendiri - sebagai ibu bapa, guru, ketua dan pemimpin, malah sebagai orang berniaga, orang berilmu, pakar motivasi, pakar agama dan lain-lain. Kita seharusnya bertanya, apakah yang telah kita lakukan dalam membangunkan jiwa dan daya kekuatan anak-anak dan orang muda kita? Apakah yang telah kita lakukan untuk membina semangat berlumba dan daya ketahanan diri mereka? Kekuatan mental dan badan mereka? Kekuatan azam dan daya juang mereka?

Hal ini perlu kita periksa dengan serius dan teliti, kerana di antara penyumbang kepada kemenangan bagi atlet dan ahli sukan di dalam pertandingan, malah di dalam apa sahaja kerja dan usaha, sama ada dalam bidang ekonomi, menuntut ilmu dan sebagainya, ialah kekuatan daya juang, ketahanan mental dan emosi, di samping kekuatan jasmani dan fizikal. Lihatlah sahaja di dalam sukan yang hanya disertai oleh negara-negara Asia, umpamanya badminton. Kita tentulah tidak jauh bezanya dari segi saiz badan dan kekuatan dibandingkan dengan para pemain dari negara-negara jiran.

Oleh itu sesiapa yang mempunyai kelebihan dari segi kekuatan mental dan ketahanan diri, maka besar sekali harapan mendapat kemenangan.

Tegasnya di antara lain, kita haruslah membangunkan kekuatan mental, fizikal, dan emosi para atlet dan pemain.

Tetapi lihatlah sepintas lalu bagaimanakah kita membangunkan emosi dan mental anak-anak muda sekarang? Kita sering memesongkan perhatian dan tumpuan mental anak-anak kepada perkara-perkara yang sia-sia. Kita menekankan agenda keutamaan bagi anak-anak kepada hal-hal yang melalaikan, melekakan, sehingga mereka tidak lagi melihat bahawa hidup ini adalah perjuangan, hidup ini adalah usaha dan kerja, dunia ini adalah dunia kenyataan, bukan dunia fantasi dan angan-angan.

Yang kita berikan kepada anak-anak ialah kemudahan yang mewah, wang saku yang banyak, kenderaan yang selesa dan segala kesenangan hidup yang istimewa. Mereka tidak perlu berpenat sedikit, tak perlu berjalan kaki sedikit, mereka harus dimanja dan disuap sepanjang masa. Sebab itulah ramai ibu bapa yang membantah apabila anak-anak mereka terpaksa membuat kerja di sekolah, membawa beg sekolah yang agak berat, apa lagi diperintahkan supaya anak-anak itu membersihkan bilik air di sekolah dan sebagainya.

Di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berakhir tidak lama dulu, banyak ibu bapa yang membantah kerana tidak dapat melawat anak-anak mereka. Dan apabila ibu bapa dibenarkan melawat, berjumpa dengan anak-anak, apakah pandangan yang dapat kita lihat? Ibu bapa menyuap makanan kepada anak-anak yang telah besar panjang itu!

Ketika zaman anak-anak dulu, saya melihat ibu bapa bekerja keras di kampung. Mereka menoreh getah dan menguruskan hasilnya sehingga selesai yang memakan masa sehari suntuk, kemudian keesokannya mengulangi perkara yang sama. Di antara mereka pula, ada yang bekerja di sawah, mulai dari membajak tanah, menanam benih padi, merumput, membaja, kemudian apabila padi berbuah, mengetam atau memotongnya untuk dibanting, mengurui, iaitu menganginkan padi untuk memisahkan hampa padi daripada padi yang berisi dengan tiupan angin di tengah bendang yang panas terik. Mereka bekerja keras untuk mendapat hasil. Dan keadaan inilah yang sebenarnya sedang berlaku di negara jiran kita hingga kini. Sebab itulah anak-anak muda dari negara jiran yang datang ke negara kita ini sanggup berpanas dan berhujan, bekerja di tengah panas yang terik ketika membina rumah dan bangunan tinggi, membina jalan, lebuh raya dan jambatan serta kerja-kerja kasar lain yang memerlukan ketabahan, kesabaran dan kekuatan mental dan fizikal, ketika anak-anak muda kita melarikan diri dari kerja-kerja begitu.

Tambahan pula pada masa-masa yang terakhir ini, masyarakat muda dan tua kita sedang dilanda khayalan dan angan-angan hidup glamor. Kalau boleh semua orang ingin glamor, menjadi artis dan penyanyi yang masyhur, mendapat wang dengan mudah dan menjadi jutawan segera. Kita membawa anak-anak muda ke alam fantasi ini secara yang tidak kita sedari, iaitu sehingga mengorbankan pertumbuhan mental yang sihat dan emosi yang seimbang. Kenapa tidak? Bukankah anak-anak kita didedahkan kepada pandangan orang yang menangis dengan penuh hiba dan emosi semata-mata kerana penyanyi pujaannya terkeluar dari peraduan, dan tidak lagi menjadi pelajar di dalam akademi khayalan yang dinamakan Akademi Fantasia (AF) itu? Kerana terkeluar dari peraduan, orang akan menangis teresak-esak seolah-olah mereka akan diheret ke tali gantung dan akan mati pada hari itu atau hari esoknya.

Apakah ini merupakan cara yang sihat bagi kita membangunkan emosi dan akal anak-anak kita? Apakah cara itu merupakan cara yang baik membangunkan jiwa dan daya tahan anak-anak muda kita? Atau sebaliknya, dengan itu kita merosakkan pertumbuhan akal dan emosi orang muda kita? Lebih pelik lagi, nampaknya aliran ini telah melanda masuk ke dalam pemikiran semua lapisan rakyat, khususnya kaum Melayu, sehingga semuanya menjadi ketagih dengan program tv realiti itu.

Seorang pembaca tulisan saya pada minggu lalu, menghantar komen dengan mengatakan bahawa dia dan keluarganya telah mengunjungi teman suaminya pada satu malam hari Sabtu, dan mengalami satu keadaan yang pelik. Pertama, kedatangannya dirasakan tidak mendapat sambutan, seolah-olah sebagai tetamu yang tidak dialu-alukan. Kedua, sepanjang kunjungan tersebut mereka mahu tidak mahu terpaksa menghadap peti televisyen selama berjam-jam lamanya. Ketiga, pada akhir pertunjukan terdapat pula ahli keluarga tersebut yang sedih entah kerana apa, sehingga ada yang menangis melolong-lolong. Akhirnya barulah diketahui rupa-rupanya pada malam itu keluarga ini sedang menghadap televisyen kerana menyaksikan AF.

Penulis tersebut memberi komen, kalau beginilah keadaannya sebuah akademi, dan sambutan meriah yang diberikan kepadanya, maka elok sangatlah kalau ditubuhkan lebih banyak akademi yang serupa. Dia percaya bahawa sambutan yang akan diberikan kepada akademi ini tentulah amat baik sekali. Malah sesekali fikir, mungkin amat baik sekali sekiranya PLKN yang mengalami kepayahan untuk mendapatkan peserta, sehingga terpaksa menggunakan tindakan undang-undang itu, mengambil format AF untuk menarik para peserta. Cari pelatih lain, ubah acara latihan, dan adakan peraduan, kemudian ketepikan beberapa orang peserta pada setiap minggu (tentunya dengan esakan tangisan hiba), maka dengan itu PLKN bukan sahaja akan dapat menarik peserta yang lahir pada tahun yang telah ditentukan itu sahaja, malah orang lain yang lahir pada tahun yang lain pun akan memohon untuk menyertainya.

Saya tahu, bahawa pembaca ini hanya bergurau, kerana mungkin tidak akan terdapat sesiapa pun yang serius untuk meminda format PLKN kerana kedua-dua program ini, iaitu AF dan PLKN mempunyai objektif dan matlamatnya yang berbeza. Yang hendak dipersoalkan oleh pembaca tersebut, mungkin hanyalah tentang tahap dan cara berfikir yang hendak dihasilkan dari kedua-dua program tersebut, kerana hal inilah yang bakal menentukan mentaliti generasi muda kita dalam usaha membangunkan negara bangsa kita sebagai rakyat Malaysia, iaitu apakah kita seharusnya membangun bangsa kita mengikut cara AF atau cara PLKN?

Seorang pembaca lain mempertikaikan cara sebuah stesen televisyen di negara kita dalam mencari idola Malaysia melalui program Malaysian Idol. Dia cuba menjelaskan pandangannya, bahawa yang menjadi idola bagi sebuah negara itu biasanya adalah terdiri daripada warganegara yang amat istimewa, serba cemerlang, dan sumbangannya kepada negara dan bangsanya mengatasi sumbangan orang lain. Inilah konsepnya idola bagi sebuah negara. Cara televisyen tersebut mencari idola negara nampaknya lebih merupakan satu pencarian yang berat sebelah, iaitu hanya menumpukan kepada kebolehan yang terhad sahaja, dan kriteria idola yang hendak dinobatkan itu tentulah merupakan satu watak dan peribadi yang hanya mungkin layak menjadi idola kumpulan yang tertentu sahaja, bukannya idola bagi negara. Oleh itu, katanya, hal ini amatlah mengelirukan!

Saya rasa pandangan begini tentulah mempunyai pro dan kontranya. Bagi saya, sebagai khalayak haruslah menentukan pendirian sendiri berdasarkan ilmu pengetahuan serta nilai dan keimanan masing-masing. Kita dapat menilai segala sesuatu yang dihidangkan, sama ada hidangan itu seharusnya kita makan semuanya, atau memilih yang perlu, sesuai dengan selera kita.

Kita tidak seharusnya terus-menerus menerima sahaja apa yang dipersembahkan kepada kita, kerana semua kalangan mengetahui bahawa setiap program popular yang dihidangkan oleh stesen televisyen sering mempunyai motifnya tersendiri, khususnya dari segi keuntungan kebendaan yang menjadi matlamat utama dalam dunia yang penuh dengan persaingan sekarang ini. Apakah dengan itu kita perlu mengikut semuanya sehingga mengorbankan wang, maruah, nilai dan anutan agama kita sendiri? Atau kita sendiri seharusnya menjadi orang yang tahu memilih di antara batu dan kaca, yang baik dan yang tidak baik.

Bagaimanapun semuanya ini adalah bergantung kepada cara kita mendidik masyarakat iaitu melalui pendidikan formal, dan pendidikan yang tidak formal. Falsafah pendidikan negara kita amat unggul di atas kertas, iaitu gabungan ungkapan JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek) yang seharusnya dididik supaya menjadi seimbang dan harmoni. Hasrat ini amat agung sekali, kerana penekanan kita dalam pembangunan manusia itu ialah keharmonian di antara jasmani dan rohani, emosi dan intelek. Tetapi pendidikan tidak formal, malah kadang-kadang pendidikan formal juga, yang sedang berjalan di dalam masyarakat kita, nampaknya melupakan pembangunan intelek, melupakan pembangunan rohani dan jasmani, dan melupakan pendidikan emosi yang sihat. Yang menjadi tumpuan ialah pendidikan emosi yang pincang dan salah, jauh sekali dari pemupukan intelek dan rohani yang kuat dan perkasa.

Saya tidaklah pula bermaksud supaya kita kembali ke zaman ibu bapa kita yang sudah usang dan ketinggalan zaman. Tetapi kita mestilah segera menghayati semula pendidikan seimbang seperti yang digariskan di dalam falsafah pendidikan negara. Kita perlu mengurangkan pendidikan yang berbentuk hiburan melulu, kebendaan melampau dan kehakisan nilai budi serta maruah bangsa, kerana hal ini sering melalaikan kita dari tugas dan realiti hidup yang sebenarnya, malah mematikan hemah dan semangat juang serta patriotik kita sendiri.

Maka sekiranya kita telah tersalah jalan dalam memupuk semangat, intelek, rohani, jasmani, perasaan dan emosi anak-anak kita, hairankah kita sekiranya kita menjadi kaum yang ketinggalan di dalam semua bidang hidup? Hairankah sekiranya mentaliti kita masih menjadi mentaliti manja dan subsidi? Dan hairankah sekiranya atlet kita pun akan menyerah kalah kerana kekurangan semangat juang dan kelemahan daya tahan?

Entah berapa kali lagi agaknya Sukan Olimpik akan berlangsung di dunia kita ini, sebelum kita dapat melihat atlet kita memberi persaingan hebat dan kompetitif sebagai bangsa yang agung, kuat dan waja?

No comments: