Wednesday, October 10, 2007

Mencari keseimbangan dalam kepesatan kemajuan negara -- Pembangunan moral dan fizikal

Terdapat kalangan yang mengatakan bahawa oleh kerana pembangunan fizikal kita terlalu cepat, maka pembangunan kerohanian dan moral serta tenaga manusia di negara kita tidak dapat mengejar pembangunan fizikal tersebut. Atas alasan inilah mereka selalu menghujah dan menegakkan pandangan mereka tentang berleluasanya kejadian maksiat, jenayah, salah laku remaja, penyelewengan moral, salah guna kuasa, rasuah. Ini termasuk keganasan yang berlaku di kalangan para pelajar dan anak muda seperti yang dapat disaksikan di dalam masyarakat kita pada masa-masa yang terakhir ini.

Saya tidak bermaksud untuk berhujah tentang perkara ini di dalam ruangan ini, kerana pembicaraan ini bukanlah boleh dibuat secara sambil lewa tanpa bersandarkan fakta ilmu dan bukti dalam masyarakat bagi menyokong atau menentang teori tersebut.

Cuma yang mungkin kita bicarakan di sini ialah dengan mengambil fakta sejarah dari perjuangan baginda Rasulullah s.a.w. sendiri ketika baginda membawa mesej agama tauhid daripada Allah dan ketika baginda membangunkan negara setelah baginda berhijrah ke Madinah.

Baginda sebenarnya mengambil masa yang tidak begitu lama untuk mengembangkan agama Islam di kalangan masyarakat Mekah dan Madinah. Setelah baginda dilantik menjadi rasul ketika usianya meningkat 40 tahun, maka dalam masa 23 tahun sahaja baginda telah berjaya menyebarkan ajaran agama ke tanah Arab yang luas, dan akhirnya mendirikan negara yang kuat serta mempunyai struktur yang moden pada ketika itu dengan sistem politik, ekonomi, ketenteraan, dan sosial yang mantap. Seterusnya negara tersebut berjaya menegakkan tamadun yang ulung untuk umat Islam dan manusia umumnya berasaskan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang berpandukan kepada ajaran agama tauhid dari Allah.

Maka dari contoh dan teladan yang amat mudah ini, kita mungkin tidak dapt menerima hujah yang mengatakan bahawa kita perlu mengambil masa yang panjang untuk membangunkan segala pembangunan fizikal kita, agar pembangunan akhlak dan rohani dapat sama-sama membangun serentak secara sepadu dan seimbang dengan pembangunan fizikal tersebut.

Malah sebaliknya pembangunan fizikal dan infrastrukturnya yang pesat di dalam masyarakat seharusnya menjadi pendorong dan pemangkin pembangunan moral dan nilai budaya yang seiring dengan pembangunan fizikal itu.

Ketika saya menumpang teksi dari kota London menuju ke lapangan terbang Heathrow tidak lama dulu, pemandu teksi tersebut yang berasal dari salah sebuah negara Afrika menyatakan kepada saya, setelah mengetahui saya dari Malaysia, bahawa negaranya mencapai kemerdekaan dari penjajah Inggeris pada tahun yang sama dengan Malaysia, iaitu pada tahun 1957. Menurutnya, Malaysia telah berjaya mencapai kemajuan dan pembangunan yang pesat di dalam semua bidang. Tetapi negaranya masih mundur tanpa pembangunan fizikal, ekonomi, moral, politik dan sebagainya seperti Malaysia.

Menurutnya lagi pemimpin negaranya bercakaran kerana kepentingan sendiri untuk mengumpul kekayaan dan memegang kuasa, rakyat tidak pernah hidup dalam rukun dan damai, malah berbunuhan dan menumpahkan darah, kekayaan negara tidak diusahakan dengan baik dan dibahagikan kekayaan itu secara adil kepada semua lapisan rakyat. Kerana itu katanya negaranya masih mundur dan ketinggalan di belakang, tidak seperti Malaysia.

Saya mengambil pandangannya sebagai pandangan yang ikhlas dari seorang warganegara yang insaf dan yang terpaksa merantau ke luar negaranya untuk mencari rezeki tanpa perlu berperang sesama sendiri.

Dengan itu saya tetap beranggapan bahawa pembangunan dalam semua bidang seharusnya dilakukan dengan cepat dan pantas, tanpa terikat dengan teori yang mengatakan bahawa pembangunan fizikal, ekonomi, sains dan teknologi yang pesat itu akan mengakibatkan berlakunya krisis dan kemelut pembangunan moral dan akhlak warga kita. Untuk menghubungkan pembangunan pesat bidang ekonomi dan teknologi dengan keruntuhan moral dan akhlak amatlah sukar untuk dilakukan secara saintifik dan konkrit.

Ketahanan fizikal

Berkaitan dengan kenyataan pemandu teksi dari Afrika yang bekerja di London tadi, pengalaman keluarga sendiri membayangkan hal yang sama, iaitu tentang pembantu rumah yang kami dapatkan dari negara jiran kita. Menurut pembantu rumah tersebut, ia tinggal di Jawa dan ejen yang menguruskan kedatangannya ke Malaysia tinggal di Sumatera. Ia terpaksa menaiki bas selama lima hari lima malam untuk sampai ke rumah ejennya yang akan menghantarnya ke Malaysia melalui pelabuhan Tanjung Balai ke Pelabuhan Klang. Di rumah majikannya pula ia terpaksa bermalam sehingga sebulan untuk menerima gilirannya bagi di hantar ke Malaysia. Oleh kerana ramai yang menunggu giliran, maka ia terpaksa berkongsi bilik tidur yang kecil dengan sepuluh atau sebelas orang yang lain. Makanan yang disediakan tentulah tidak selumayan di rumah sendiri kerana terlalu ramai yang harus diberi makan.

Pengalaman ini tentulah banyak mengajarnya dari segi ketahanan fizikal dan mental untuk mencari rezeki bagi meneruskan hidupnya, kerana di negara sendiri pintu rezekinya amatlah terhad. Hal yang sama sebenarnya berlaku kepada warganegara dari banyak negara membangun seperti yang diceritakan oleh pemandu teksi dari Afrika yang terpaksa berhijrah ke London untuk mencari kehidupan yang agak lumayan.

Kerana desakan hidup beginilah kita dapat melihat ramai warganegara membangun dan miskin yang terpaksa meninggalkan negara mereka berhijrah ke negara Amerika Syarikat dan negara Eropah untuk bekerja. Bagaimanapun pengalaman mereka sering juga mengajar mereka menjadi orang-orang yang mempunyai ketahanan dan keyakinan diri yang kuat, sehingga dengan itu akhirnya mereka menjadi orang yang terkemuka di dalam bidang kerjaya mereka di negara orang.

Hal ini dapat kita saksikan di kalangan masyarakat warga asing di Amerika Syarikat dan negara-negara maju lain, iaitu dengan munculnya para pakar dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan dari kalangan warganegara asing yang pada mulanya berhijrah ke negara-negara tersebut semata-mata kerana hendak mencari rezeki peribadi yang kira-kira dapat menampung kehidupan hariannya sahaja. Tetapi akhirnya mereka dapat merebut peluang yang baik dengan kedudukan yang tinggi di dalam negara asing itu semata-mata kerana pengalaman mereka telah mengajar mereka untuk belajar dan bekerja keras dalam sebarang bidang yang mereka ceburi.

Hal yang sama dapat kita saksikan di negara kita umpamanya, iaitu dengan kemunculan beberapa kumpulan tenaga asing dari negara jiran kita dalam bidang bangunan yang kadang-kadang mendapat kepercayaan kontraktor bangunan yang besar untuk diberikan kerja sebagai subkontraktor yang tertentu sehingga dengan itu mereka dapat mengumpul kekayaan dan kemahiran mengatasi warganegara kita sendiri.

Oleh itu saya melihat bahawa kekurangan yang mungkin terdapat di dalam masyarakat tenaga kerja dan para belia kita ialah semangat dan motivasi serta keyakinan diri untuk belajar dan bekerja dengan gigih dan bersungguh-sungguh. Dorongan untuk bekerja dan berusaha untuk memajukan diri mungkin agak kurang kerana mereka tidak pernah, atau terlalu kurang mengharungi kehidupan yang pahit dan terdesak di sepanjang hayat mereka seperti yang pernah dihadapi oleh warganegara yang mundur dan miskin.

Namun begitu kita tentulah tidak juga mengatakan bahawa semua warganegara dari negara miskin dan mundur dapat terkemuka dan maju di negara orang lain, kerana peratusan mereka yang benar-benar berjaya di negara orang lain tentulah terlalu kecil dibandingkan dengan jumlah pendatang yang ramai berhijrah ke negara luar itu.

Oleh itu saya rasa kita tetap dapat mempertahankan konsep pembangunan pesat yang berlaku di negara kita pada masa ini iaitu dengan harapan bahawa pembangunan pesat itu sebenarnya yang akan melahirkan rakyat kita yang seharusnya turut meningkat dan maju di dalam semua pembangunannya, termasuk pembangunan moral dan akhlak, iaitu sebagai individu dan insan , dan sebagai rakyat negara maju yang dapat berdiri di atas kaki sendiri dengan penuh bangga dan yakin.

Pembangunan pesat tidak bererti melahirkan warganegara yang malas, tidak berdedikasi, tidak kreatif, tidak bersemangat untuk memajukan diri, atau warganegara yang masih mempunyai pemikiran dan mentaliti negara mundur dan miskin.

Demikian juga dalam bidang pembangunan moral dan akhlak, bahawa pembangunan pesat fizikal di dalam bidang sains dan teknologi, ekonomi dan perdagangan, juga dalam bidang ilmu yang lain, tidak seharusnya menjadi pendorong untuk orang menjadi nakal, tidak berakhlak, salah laku dan sebagainya.

Hal ini seharusnya difahami oleh masyarakat kita, terutamanya masyarakat moden pada hari ini yang saya rasa amat perlu melihat kepada situasi ini dengan penuh insaf dan sedar.

Kita juga seharusnya mengakui akan kebenaran pandangan yang menghubungkan pembangunan pesat dalam bidang yang tertentu sedikit sebanyak menjejaskan nilai moral dan akhlak rakyat kita. Ketika pembangunan ekonomi dan perdagangan amat pesat berlaku, maka tentulah akan lahir orang yang gelojoh dan mengambil kesempatan untuk mengamalkan penipuan, rasuah dan sebagainya untuk merebut kebendaan secara melulu dan segera. Namun begitu kita juga dapat melihat orang-orang yang benar-benar ikhlas dan jujur serta bermoral dalam mendapatkan peluang dari pembangunan ekonomi yang pesat itu. Hal yang sama dapat dibuktikan di dalam bidang-bidang pembangunan yang lain, iaitu yang membawa akibat yang negatif kepada pembangunan moral, tetapi peratusannya mungkin kecil sahaja.

Saya ingin meninggalkan hal ini untuk pemikiran para pembaca bagi memikirkannya dan cuba mencari penyelesaian masing-masing. Bagi saya penyelesaian yang paling utama ialah melalui pendidikan formal dan tidak formal, yang dilakukan oleh kerajaan dan individu, juga institusi keluarga, pendidikan, media dan sebagainya. Pendidikan yang mantap dan teratur akan dapat menyatupadukan semua pembangunan dengan pembangunan moral dan akhlak. Sebaliknya negara yang tidak membangun dan tidak mencapai kemajuan itulah yang sebenarnya lebih banyak mengakibatkan keruntuhan moral dan akhlak rakyatnya, dan melahirkan berbagai-bagai gejala keruntuhan moral dan akhlak.

No comments: