Wednesday, October 10, 2007

Semak sistem pendidikan - Pelajaran agama asas membina sahsiah manusia

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


KETIKA negara dan pemerintah menjanjikan pelaksanaan Islam Hadhari, maka bidang pendidikan merupakan satu bidang yang amat penting. Oleh itu saya yakin bahawa penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi amatlah tepat pada masanya, terutamanya menteri yang diamanahkan untuk menerajui kementerian baru ini, iaitu Datuk Shafie Salleh merupakan seorang yang berpengalaman dan mempunyai kefahaman yang luas tentang tasawwur Islam di negara kita ini.

Dalam konteks tulisan saya ini, saya amatlah berharap bahawa kementerian tersebut akan dapat memberikan masa dan tenaga yang agak banyak untuk mengkaji perjalanan dan pembangunan pendidikan agama yang dikendalikan oleh institusi agama di seluruh negara kita pada hari ini, iaitu institusi pendidikan tinggi agama di bawah Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan swasta.

Bilangan institusi tersebut, terutamanya di peringkat kolej dan maktab, agak banyak, termasuk yang dianjurkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di negara kita ini. Wang yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk tujuan ini adalah tinggi, dan rakyat sendiri yang menyedari akan kepentingan pendidikan agama telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membiayai anak-anak mereka bagi melanjutkan pelajaran ke institusi dan kolej agama swasta.

Oleh itu, kementerian tersebut haruslah menjalankan kajian dan semakan semula yang serius, terutamanya untuk menilai semula falsafah ilmu dan pendidikan agama yang menjadi teras penganjuran dan penubuhan institusi yang dilabelkan sebagai kolej, maktab atau institusi pengajian tinggi agama tersebut, dan yang benar-benar menjadi harapan umat Islam untuk melahirkan generasi baru umat Islam yang lebih baik.

Falsafah dan konsep ilmu dan pendidikan Islam inilah yang sering mencorakkan kurikulum pengajaran, penyusunan buku teks, latihan tenaga pengajar, dan pembangunan pendidikan di institusi tersebut. Malah falsafah pendidikan Islam inilah juga yang menentukan objektif dan matlamat penubuhan dan pengajaran institusi tersebut. Maka tenaga manusia yang mendapat latihan di dalam institusi inilah yang akan lahir ke tengah-tengah masyarakat negara kita pada masa yang akan datang, sama ada akan menjadi warganegara yang sihat mental dan akal, rohani dan jasmaninya, juga warganegara yang berakhlak dan bermoral tinggi, bertamadun dan berperadaban atau sebaliknya.

Falsafah dan objektif pendidikan negara sememangnya telah menggariskan tentang pembangunan insan yang sepadu dan seimbang ini. Tetapi kaedah umum ini haruslah diterjemahkan dengan sebaik-baiknya di dalam semua peringkat dan disiplin ilmu pengetahuan, termasuk dalam pendidikan agama. Kita tidak lagi seharusnya mengambil kesimpulan yang mudah bahawa pengajaran dan pendidikan agama merupakan satu saluran pendidikan yang ideal untuk mengeluarkan manusia yang unggul, berguna untuk dunia dan akhirat. Kesimpulan yang mudah ini sebenarnya lebih banyak mengundang masalah dalam masyarakat kita, malah di dalam masyarakat Islam dan negara Islam di seluruh dunia. Kesimpulan yang demikian telah menanamkan satu pemikiran yang mudah pula tentang pendidikan Islam yang sebenarnya ke dalam pemikiran umat kita. Maka dengan itu kita menganggap bahawa pendidikan Islam adalah satu sistem pendidikan yang mudah pula, dan modelnya telah tersedia sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Seperti yang pernah saya bicarakan dengan ringkas di dalam ruangan ini tempoh hari, kematian Mohamad Farid Ibrahim, pelajar sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan pada 28 Mac yang lalu telah menimbulkan banyak tanda tanya. Pertamanya kita harus bertanya apakah kesilapan yang telah berlaku kepada generasi muda kita pada hari ini sehingga mereka kehilangan arah tujuan dan menjelma menjadi makhluk yang tidak berperi kemanusiaan? Soalan kedua ialah di manakah pula silapnya pentadbiran sekolah kita sekarang sehingga anak didiknya terlepas dari pengawasan dan pendidikannya hingga sanggup melakukan kekejaman di luar batas-batas tingkah laku yang bermoral dan berakhlak. Ketiga, di manakah hilangnya asas pendidikan anak-anak ini ketika mereka membesar di dalam asuhan keluarga mereka sendiri sebelum mereka memasuki sekolah berasrama, atau apakah anak-anak ini sebelum ini tidak pernah dididik oleh ibu bapa mereka untuk menjadi manusia yang berpekerti mulia?

Tetapi persoalan yang paling kritikal yang timbul dalam konteks tulisan saya hari ini, ialah, oleh kerana tragedi ini berlaku di sekolah agama, maka kita tentulah akan bertanya kenapa pula hal ini berlaku di sekolah agama, iaitu sekolah yang mengajar agama kepada para pelajarnya? Bukankah agama merupakan satu peraturan hidup jasmani dan rohani yang mengajar pemeluknya menjadi manusia yang baik, berkelakuan tertib, mempunyai perasaan belas kasihan sesama manusia, bersopan santun, beradab, beretika dan sebagainya? Kenapakah dalam sekolah yang sepatutnya menjadi pusat akhlak dan moral, rohani dan jasmani yang sihat, tiba-tiba menjelma menjadi satu tempat malapetaka, sehingga melahirkan manusia buas yang sanggup membunuh rakan sendiri?

Pihak berkuasa agama yang menubuhkan sekolah ini, dan para guru agama yang mengajar di sekolah ini juga, mungkin tidak mampu memahami krisis ini, apalagi menyelesaikannya menurut ajaran agama. Mereka telah menyusun kurikulum, memilih buku teks, dan para guru agama pula telah mengajar mengikut kurikulum dan buku teks yang telah disediakan, mengajar sembahyang dan ibadat lain, mengajar kandungan al-Quran dan hadis, malah para pelajarnya pun mungkin telah kelihatan amat beragama, terutamanya dipandang dari segi lahiriahnya, iaitu berkopiah putih sebagai lambang agama. Jadi apalagi yang dapat mereka lakukan lebih daripada itu?

Masalah psikologi

Persoalan inilah yang saya rasa amat memerlukan jawapan yang menyeluruh. Jawapan mudah dan jalan keluar yang terlalu simplistik seperti yang selalu kita berikan dalam menyelesaikan masalah kehidupan kita ini, iaitu dengan memberikan satu jawapan sahaja untuk menyelesaikan seribu satu persoalan yang kita hadapi, tidaklah seharusnya menjadi cara penyelesaian lagi dalam situasi yang amat runcing dan rumit ini. Jawapan yang mengatakan bahawa hanya dengan agama kita akan dapat membentuk satu masyarakat dan umat yang baik dan berakhlak dalam konteks ini mungkin amat meleset, sekiranya kita tidak berusaha memahami pendidikan agama bagaimanakah yang sebenar-benarnya akan dapat melahirkan manusia yang ideal dan berguna di dunia dan akhirat.

Jawapan secara simplistik yang kita berikan di atas dengan sendirinya dinafikan oleh kejadian terakhir di sekolah agama tersebut, walaupun sebenarnya kejadian itu adalah merupakan satu kejadian yang terpencil dan amat jarang berlaku. Bagaimanapun kejadian itu telah berlaku, dan berlaku di dalam sekolah agama sendiri. Malah lebih daripada itu, kejadian pukul-memukul, mencuri dan gejala samseng yang berlaku di kalangan pelajar sekolah umumnya pada masa ini, telah berlaku juga di sekolah-sekolah agama. Ajaran agama yang diturunkan Allah tentulah tidak ada cacat-celanya, malah agama adalah satu peraturan hidup yang lengkap dan sempurna. Jadi di manakah silapnya dasar dan sistem pendidikan agama dalam konteks yang kita bicarakan pada hari ini, malah di dalam sistem pendidikan kita umumnya?

Persoalan yang kita hadapi sekarang ini bukanlah satu atau dua, malah persoalannya terlalu banyak, iaitu masalah psikologi, kejiwaan, persekitaran, moral, adab sopan, cabaran alam global, keibubapaan, pendidikan, sosiobudaya, kerohanian dan agama itu sendiri. Oleh itu, dalam konteks tulisan saya pada hari ini, kita perlulah memeriksa semula segala-galanya yang berkaitan dengan sistem pendidikan agama di negara kita bermula dari konsep dan falsafahnya, membawa kepada kurikulumnya, penyusunan buku teks, latihan guru dan pentadbirannya.

Kita mempunyai puluhan institusi pelajaran agama, termasuk maktab dan kolej agama. Bilangan institusi yang banyak ini melibatkan ramai pula pelajar dan tenaga pengajar. Malah sistem pendidikan, sukatan pelajaran, kurikulum dan pentadbirannya mempunyai pendekatan yang berbeza-beza. Objektif pengajarannya juga tidak pernah dinilai dengan baik, maka akibatnya para lepasan institusi ini tidak mempunyai satu kefahaman dan pemikiran yang baik tentang satu tasawwur atau world-view Islam. Inilah krisis pemikiran umat Islam sekarang yang membawa kepada kehancuran dan kemunduran umat dan negara Islam seluruhnya di dalam dunia moden pada hari ini.

Malah dalam hal ini, kita sering juga mengambil model institusi pendidikan luar negara untuk kita salinkan sebagai carbon copy bagi sistem dan struktur pendidikan agama di negara kita, seperti Universiti Al-Azhar, Madinah dan sebagainya tanpa membuat penilaian yang terkini tentang kekuatan dan kelemahan institusi agama itu. Mungkin dari segi ilmu terasnya, maka pendidikan agama itu adalah sama sahaja di mana-mana sekalipun, tetapi dari segi pendekatannya, perkembangan ilmunya, kaedah pengajaran dan latihan tenaga pengajarnya haruslah dinilai dengan sebaik-baiknya, supaya dengan itu kita akan dapat menyusun dan membangun pendidikan Islam kita sendiri yang sesuai dengan tuntutan agama dan tuntutan dunia semasa.

Kita tidak boleh lagi mengambil mudah tentang pengajaran agama yang selama ini dianggap sebagai satu pengajaran yang menyentuh akidah dan syariah, dengan segala hukum-hukum, dosa pahalanya sahaja. Seperti yang kita maklum bahawa pelajaran agama adalah merupakan satu asas pendidikan yang menyeluruh untuk membina sahsiah manusia. Pelajaran itu perlu dihubungkan dengan sejarah manusia, pertumbuhan ilmu dalam berbagai-bagai bidang yang berhubung rapat dengan alam dan manusia, dengan sains teknologi dan sebagainya supaya pelajar agama benar-benar menginsafi bahawa pelajaran agama yang dipelajarinya itu adalah satu disiplin ilmu yang relevan dengan peredaran masa, terkini, luas, global dan menyeluruh.

Di atas asas inilah agama dapat memainkan peranannya sebagai satu teras pembentukan manusia yang kuat, terutamanya dari sudut nilai dan akhlak kerohaniannya. Oleh itu kita tidak lagi dapat membuat kenyataan yang mudah bahawa dengan mengajar agama dan mendapat pendidikan agama, terutamanya di sekolah agama, maka anak-anak kita akan menjadi manusia yang baik. Pelajaran agama sahaja bukanlah merupakan tongkat sakti yang dapat mengubah minda dan sikap serta kerohanian para pelajar, sebaliknya pendidikan menyeluruh dan bersepadu yang dihubungkan dengan ajaran agama itulah yang akan menjadi lebih berkesan.

Maka nampaknya kita haruslah mengkaji bagaimanakah cara yang lebih berkesan untuk mengajar agama kepada anak-anak kita, supaya agama akan dapat menjadi satu mekanisme yang kuat bagi membentuk minda, akal pemikiran, keperibadian dan pembangunan fizikal dan spiritualnya yang baik? Tegasnya pendidikan agama haruslah dilaksanakan untuk para pelajarnya memahami agama itu sebagai al-deen, iaitu mendapat kefahaman yang menyeluruh tentang apakah itu agama Islam, dan bagaimanakah Islam itu seharusnya dihayati di dalam dunia yang bergolak ini, dan seterusnya bagaimanakah mempersiapkan diri untuk muncul sebagai umat yang bertanggungjawab menjalankan amanah Allah untuk dunia dan akhirat?

Pelaksanaan pendidikan Islam yang menyeluruh inilah yang dapat menepati konsep Islam Hadhari yang seharusnya difahami dengan baik, terutamanya oleh pemerintah yang diberi amanah untuk menggubal dasar pendidikan negara yang global, moden dan dinamik.

No comments: