Wednesday, October 10, 2007

Campur tangan kuasa asing dalam urusan dalaman -- Penjajahan ke atas negara Islam

SEJARAH moden mencatatkan bahawa negara kuasa besar boleh menjajah negara lain yang mempunyai kerajaan sendiri seperti yang berlaku di Afghanistan dan beberapa buah negara lemah yang lain. Kuasa besar dunia itu boleh pula menjatuhkan kerajaan yang dikehendakinya dan menggantikannya dengan kerajaan baru.

Cara serangan yang membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa dan menduduki negara tersebut untuk menentukan siapakah yang berhak memerintah dan mengendalikan negara itu, merupakan satu bentuk penjajahan era baru. Penjajahan ini boleh dijustifikasikan dengan alasan-alasan tersendiri, dan dalam kes Afghanistan, alasannya ialah untuk mencari dan membinasakan seorang ``pengganas'' maka keseluruhan negara itu harus digelidah dan dimusnahkan, termasuk manusia-manusia yang berada di dalamnya.

Alasan yang sama seperti inilah juga yang sedang dicanangkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan konco-konconya ketika mereka sedang bersiap-siap untuk menyerang Iraq, iaitu untuk menjatuhkan Saddam Hussein mengikut dakwaan mereka. Maka kerana hendak menjatuhkan seorang manusia yang mereka anggap menjadi arkitek senjata pemusnah ini, semua pelosok negara Iraq akan digempur, dan sesiapa sahaja akan terbunuh dalam serangan itu, walaupun Saddam tidak dapat dibunuh.

Yang amat menarik dalam hal ini ialah sasaran penjajahan baru itu ialah negara Islam yang sememangnya selama ini telah mengalami berbagai-bagai kelemahan dan kemunduran, termasuk cara berfikir dan bertindak sebahagian umatnya. Kelemahan ini amat terasa ketika suara negara-negara Islam dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tenggelam begitu sahaja di dalam suara penjajah yang lebih nyaring, atau suara OIC yang hanya kedengaran sebagai suara-suara sumbang, tidak perlu diberi perhatian oleh sesiapa pun.

Dalam mesyuarat dan perjumpaan ketua-ketua negara Arab atau Islam, mereka sering tidak dapat bercakap dengan satu suara. Ketua negara-negara Arab akan berselisih pendapat yang amat ketara, sehingga menimbulkan peperangan mulut yang serius tentang sesuatu dasar dan pendirian negara masing-masing, termasuk dalam isu menentang AS yang mahu memusnahkan Iraq dan ketua negaranya. Dengan itu kewibawaan negara Islam akan terjejas, dan negara Islam atau Arab tidak akan dihormati oleh dunia.

Ketika terdapat banyak negara Islam yang menentang peperangan yang bakal dilancarkan oleh AS ke atas Iraq, terdapat segelintir negara jiran yang mempelawa buminya untuk menjadi pangkalan bagi memerangi Iraq. Keadaan yang sama berlaku ketika sebahagian besar negara Islam menyatakan pendirian agar hal ehwal dalaman negara Iraq, termasuk menentukan siapakah ketua negaranya diserahkan kepada rakyat negara itu menentukannya tanpa campur tangan kuasa asing. Masih ada suara dari segelintir negara Islam sendiri yang mencadangkan supaya Saddam berundur, menyerah kalah mengikut telunjuk Bush dan penyokong-penyokong kuatnya.

Kita tidak dapat bersuara dalam satu nada. Kita berbicara mengikut kepentingan diri masing-masing, mungkin didorong oleh pengaruh kebendaan dan bantuan wang dari kuasa penjajah, atau kerana terhutang budi kepada negara penjajah yang telah menyelamatkan satu takhta dan satu kerajaan, atau kerana sebab-sebab lain yang tersembunyi daripada pengetahuan umum.

Dengan itu, umat Islam yang sedia lemah dan mundur, akan menjadi semakin lemah dan mundur, taringnya tidak akan kelihatan sama sekali, jati diri dan identitinya akan lenyap seperti kabus yang timbul di waktu pagi, tetapi apabila matahari bersinar, maka kabus itu akan lesap dan hilang tanpa dapat dikesan lagi. Umat Islam tidak akan digeruni dan tidak juga akan dihormati. Puncanya adalah kerana perpecahan, kemunduran dan kelemahan umat Islam sendiri.

Keadaan ini sebenarnya telah wujud sekian lama. Maka dengan terjadinya peristiwa 11 September 2001, keadaan ini menjadi bertambah parah dan menyeluruh. Ibarat retak menunggu belah, maka pandangan buruk dan negatif terhadap Islam dan umatnya menjadi semakin teruk, umat Islam dan agamanya menjadi bahan momokan pihak yang sememangnya sekian lama menaruh sifat permusuhan terhadap umat dan agama Islam.

Dalam keadaan ini adakah kita hairan andainya seorang manusia yang bernama dengan nama Islam, atau berpakaian sebagai seorang Islam, maka dia akan dimusuhi dan dijejaki setiap langkahnya di mana-mana sahaja di dunia ini? Kita pernah mendengar bahawa penumpang-penumpang Islam telah diturunkan dari pesawat yang akan berangkat ke destinasinya kerana penumpang-penumpang lain berasa tidak selesa dengan penyertaan para penumpang ``bakal pengganas'' itu.

Hairankah kita andainya seorang Islam akan sering dipandang dengan jelingan permusuhan dan dicurigai segala gerak lakunya di mana-mana sahaja dia berada?

Peristiwa 11 September telah dijadikan satu titik permulaan untuk mencontengkan arang di muka orang Islam walaupun punca peristiwa itu dan orang-orang yang terlibat amat samar-samar. Namun seperti cerita anak penggembala kambing dengan jeritan-jeritan palsunya tentang serigala yang mahu membaham kambingnya, maka demikianlah pula kisahnya dengan orang Islam yang sering terjebak dalam peristiwa keganasan. Sekiranya berlaku sebarang keganasan, orang Islamlah yang akan menerima tudingan jari dari semua orang lain, dan orang Islam yang akan menerima padahnya.

Peristiwa 11 September mencatat sejarah baru. Musuh yang selama ini berusaha menegakkan penjajahannya, akan lahir dalam bentuk yang lebih berani dan agresif. Hairankah kita andainya Yasser Arafat dikenakan tahanan di dalam negaranya dan tidak dibenarkan keluar, seperti yang berlaku baru-baru ini ketika Yasser tidak dibenarkan menghadiri Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Kuala Lumpur?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia moden bahawa seorang ketua negara akan dikenakan tindakan sedemikian oleh sebuah kuasa asing di negara tanah tumpah darah pemimpin itu sendiri. Lebih malang pula bahawa tindakan ini didahului oleh serangan yang menggunakan segala peralatan tentera yang amat perkasa ke atas rakyat biasa yang berlindung di dalam khemah pelarian, yang hanya bersenjatakan batu-batu kecil dan air ludah sahaja.

Menjadi korban

Apabila kuasa besar bertindak mengikut undang-undang sendiri, maka kuasa-kuasa penjajahan kecil lainnya akan bertindak lebih agresif. Tindakan ketua selalunya meluluskan tindakan pengikut setianya,

terutama apabila pengikutnya itu merupakan anak manja yang sering dilindungi oleh ketuanya itu. Hal inilah yang berlaku ketika pemerintah rejim Zionis Israel mengganas dengan begitu buas membunuh rakyat Palestin yang tidak mempunyai sebarang perlindungan dan pertahanan.

Yang menjadi korbannya siapa lagi kalau tidak orang yang lemah dan kehilangan maruah serta penghormatannya. Orang-orang inilah yang akan terdedah sepenuhnya kepada serangan dan tindakan, yang muncul seperti cerita awang kenit dengan gergasi gagah yang sedang bersedia untuk menggenggamnya sehingga lumat.

Jadi hairankah kita jika sekarang ini terdengar suara-suara yang mengancam akan menyerang negara-negara lain dalam dunia Islam? Hairankah kita andainya Iraq akan menjadi sasaran yang berikut, kemudian mungkin Iran, Somalia, Sudan, dan kemudian lagi entah negara mana pula yang akan menjadi sasaran serangan dan penaklukan?

Hairankah kita sekiranya terdapat tanda-tanda campur tangan kuasa asing dalam urusan dalaman negara tertentu dan tindakan merencanakan cara memerintah kepada kerajaan-kerajaan Islam tertentu? Pernah terdengar berita dalam CNN bahawa kerajaan negara Islam yang menerima bantuan berbilion dolar setiap tahun haruslah mengawal para khatibnya supaya bantuan itu tidak ditarik balik. Para khatib yang mendedahkan keburukan penjajahan bentuk baru hendaklah diberhentikan pengucapannya itu.

Fakta-fakta berikut seharusnya menjadi satu iktibar dan dorongan untuk umat Islam bersatu dan berpadu, khususnya selepas peristiwa 11 September:

(1) Penjajahan bentuk baru yang mengancam dunia ketiga, terutama yang melibatkan negara-negara membangun dan negara Islam, semakin terserlah dan berani, malahan telah pun terlaksana.

(2) Ejen-ejen penjajahan bentuk baru yang berada di merata pelosok dunia, mulai aktif dan bertindak memudahkan kuasa besar untuk melaksanakan agendanya. Kuasa penjajahan akan bertindak mencurahkan wang dan kemudahan serta kemewahan kepada ejen-ejennya, termasuk di antara sesama bangsa dan agama yang mahu bertindak terhadap saudara-saudaranya atas kepentingan sendiri, atau permusuhan peribadi yang membuahkan dendam kesumat sesama sendiri.

(3) Umat Islam akan dijebak dan didorong untuk melakukan lebih banyak aktiviti keganasan, sama ada kerana tertipu, atau terpaksa melakukannya untuk menyelamatkan anak cucu dan negaranya pada masa yang akan datang, maka dengan itu umat Islam akan dilihat dan dilabelkan sebagai umat yang terus-menerus akan memakai topeng keganasan untuk selama-lamanya.

(4) Ada ketikanya pemikiran dan sikap orang Islam akan menjadi lebih radikal dan militan kerana diselubungi oleh emosi dan sentimen yang diapi-apikan oleh unsur luaran yang sering dilakonkan di hadapan matanya.

Oleh yang demikian, selain daripada meletakkan celaan dan umpatan ke atas musuh dan penjajah, maka orang Islam haruslah mempunyai agendanya tersendiri untuk memperbaiki keadaan mereka. Kita memerlukan lebih banyak negara Islam yang akan lahir ke tengah-tengah dunia antarabangsa sebagai negara yang bermaruah, bebas mengendalikan urusan politik dan ekonominya dengan berjaya, dan menguruskan pembangunan dan pembinaan sosialnya secara dinamik, toleransi, sederhana dan sebagainya yang dapat mengangkat tarafnya sebagai negara yang berwawasan dan berwibawa, mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara dan kuasa yang lain.

Masalahnya sekarang mampukah negara-negara Islam melakukan hal yang demikian tanpa diganggu gugat oleh musuh dari luar atau dari dalam negara sendiri seperti yang kita sendiri alami di negara ini? Apabila kita cuba membangunkan negara kita secara moderat, terbuka, bertoleransi dan bebas daripada kongkongan pengaruh asing, maka kita menghadapi banyak masalah dari dalam negara sendiri, terutama daripada kalangan orang yang sempit pemikiran, taksub dan tertutup mindanya. Kalau demikianlah keadaannya, maka bilakah agaknya dunia Islam akan maju dan progresif ?

No comments: