Wednesday, October 10, 2007

Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri

Oleh Dr. Ismail Ibrahim


SEPERTI saban tahun, Hari Raya tiba lagi. Tahun ini, pada hari ini, Ahad 14 November 2004. Kita merayakan Hari Raya tahun ini dalam suasana sejuk, hujan hampir setiap hari. Tetapi seperti setiap tahun, kita tetap merayakan hari ini dengan gembira dan meriah, walaupun dalam hati kecil kita tetap tersemat rasa dukacita dan simpati terhadap nasib saudara-saudara seagama di beberapa buah negara lain. Mereka terpaksa merayakan Hari Raya ini dalam letupan meriam, ledakan roket yang memusnahkan harta benda dan mengambil nyawa orang-orang yang tercinta seperti yang sedang berlaku di Iraq, khususnya di bandar Fallujah, yang sedang dimusnahkan dengan bersungguh-sungguh oleh tentera Bush dan sekutunya.

Kita ditimpa juga beberapa kejadian yang mendukacitakan, tetapi sekadar runtuhan bukit yang merosakkan rumah dan beberapa batang lebuh raya. Bagaimanapun, kita tetap bersimpati dan bersedih dengan mangsa tragedi ini, khususnya anak kecil yang meninggal dunia sebagai korban tanah runtuh yang merobohkan rumahnya baru-baru ini. Kita boleh membayangkan perasaan hiba dan dukacita ibu bapa dan saudara-mara kanak-kanak itu. Namun kita semua mengalami kehilangan ini sepanjang waktu sebagai yang ditakdirkan oleh Allah. Maka takdir itu tetaplah kita terima, tidaklah seperti saudara-saudara seagama kita yang sengaja dibunuh dan diseksa tanpa kerelaan mereka seperti yang saya sebutkan di atas. Maka hal ini sesungguhnya amat mendukacitakan. Saya percaya ramai yang mengalirkan air mata bercampur marah dan benci ketika melihat tentera asing mengikat, menendang dan memperlakukan seperti binatang ke atas orang-orang Iraq yang ditawan di Fallujah itu.

Senyap

Bagaimanapun kita hanya dapat bersimpati dalam senyap. Kenapa tidak, sedangkan semua dunia Islam yang mempunyai ramai penghuninya dan mempunyai sumber kekayaan yang banyak tidak dapat bertindak apa-apa, maka apatah lagi kita yang kecil dan jauh ini, tentulah lebih-lebih lagi tidak berdaya.

Namun begitu simpati kita tentulah lebih besar lagi kepada saudara-saudara kita di selatan Thailand yang ditimpa malapetaka baru-baru ini, akibat krisis politik dan ekonomi yang telah lama berlarutan di rantau tersebut. Keluarga yang kehilangan sanak saudaranya dalam bulan Ramadan lalu, sama ada kerana tembakan peluru yang menembusi kulit dan tulang belulang mereka, atau kerana lemas di dalam kenderaan tentera yang membawa mereka seperti kayu balak yang bertindih-tindan, maka tentulah raya tahun ini tidak sama lagi dengan raya tahun-tahun yang lalu. Kali ini raya tidak memberi erti lagi. Yang tinggal, tentulah rasa kesal, marah dan berbagai-bagai perasaan yang sungguh mengelirukan.

Jadi, dalam apa keadaan sekalipun, kita masih dapat bersyukur kepada Allah, kerana sekurang-kurangnya di tempat kita, suasana berhari raya sejak zaman-berzaman, tetap sama, iaitu meriah, gembira, mewah seperti biasa.

Saya selalu menceritakan hal di kampung semasa kecil dan menjelang remaja. Maka demikianlah juga tentang suasana dan sambutan Hari Raya. Seingat saya di kampung dulu, sambutan Hari Raya tetap sama dengan cara sekarang. Kanak-kanak terutamanya yang berasa seronok kerana mendapat duit raya. Cuma bezanya dulu hanya dapat 5 atau 10 sen sudah amat bernilai, mungkin seperti nilai RM10 sekarang ini.

Rumah orang kampung sering juga ditukar langsir dan dibersihkan kawasan sekelilingnya sebelum ketibaan Hari Raya tetapi tidaklah seperti kualiti kain langsir dan permaidani yang mahal seperti sekarang ini, atau seperti keindahan yang dihiaskan pada rumah batu ketika ini, terutamanya rumah para hartawan.

Saya teringat juga sejak malam satu likur sehinggalah malam raya, kampung yang sentiasa gelap-gelita itu akan diterangi lampu minyak, tetapi bukanlah terang-benderang bermandikan cahaya seperti cahaya lampu elektrik yang berbagai-bagai warna sekarang.

Orang kampung juga agak kreatif mencipta lampu bagi menerangi halaman rumah. Salah satu caranya ialah dengan mengumpul tempurung kelapa yang kering. Tempurung itu ditebuk dan disusun ke dalam sebatang kayu yang tinggi. Maka pada malam raya, mereka akan membakar tempurung itu dari atas supaya apinya akan menyala secara perlahan selama beberapa jam sehingga ke bawah. Cahaya api ini agak mencukupi untuk menerangi halaman rumah masing-masing, kerana semua orang akan membuat lampu yang sama.

Dalam cahaya api inilah kanak-kanak bermain bunga api dan membakar mercun melalui api tersebut, kerana pada zaman itu, mercun tidak diharamkan. Dan dalam cahaya api ini juga orang-orang tua, khususnya ahli keluarga berdekatan, berkumpul sambil mengacau dodol, atau membalut ketupat pulut, dan menunggu berita dari radio usang mereka tentang pengumuman sama ada kelihatan anak bulan atau tidak.

Oleh itu saya rasa, bagaimanapun corak dan tahap sambutan Hari Raya di dalam masyarakat kita, maka sambutan sejak turun-temurun, telah menjadi satu sambutan hari kebesaran agama yang disepadukan dengan budaya dan tradisi orang Melayu sendiri. Malah lebih tepat lagi jika dikatakan bahawa perayaan agama itu telah memberi pengaruh yang kuat kepada kita dalam corak tradisi dan budaya menyambut dan merayakannya.

Agama menyuruh kita bergembira kerana menyambut kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan, menyuruh kita berpakaian baru dan berhias dengan pewangi yang harum pada pagi Hari Raya, maka orang kampung dulu pun pada Hari Raya memakai baju baru, dan melumur minyak atar pada bajunya. Tapi baju baru ketika itu hanyalah merupakan kain sarung baru yang dipakai dengan baju Melayu yang baru. Kainnya tentulah tidak bermutu tinggi seperti sekarang, apalagi segala songket tenunan berkilat-kilat, atau baju sutera berharga ratusan ringgit satu meter seperti masa kini, tentulah tidak pernah terjamah oleh orang kampung ketika itu. Malah songkok hitam yang dipakai orang kampung juga bukanlah ditukar setiap tahun, kerana ada juga songkok yang dipakai itu telah berubah warna menjadi kekuningan dan lusuh. Tapi mereka tetap meriah dan kelihatan amat bahagia dan reda dengan nikmat kurniaan Allah kepada mereka.

Pada masa itu tidak banyak tok guru agama yang menegur cara mereka menyambut Hari Raya dan berpakaian, berhias atau menyediakan juadah seperti kedengaran sekarang. Guru agama kampung kami yang bernama Lebai Dolah, kemudian bertukar menjadi Haji Dolah, setelah kembali dari haji, tidak pernah pun menegur orang kampung yang bersungguh-sungguh membeli kain, menjahit dan menggantungnya bagi menggantikan kain langsir yang lama. Tetapi sekarang ini, kadang-kadang terdengar juga komen dan teguran yang agak sinikal terhadap cara masyarakat Melayu menyambut Hari Raya dari segi menghias rumah, memasang lampu dan sebagainya.

Terdapat penceramah agama yang menyindir orang yang memasang lampu di halaman rumah pada malam-malam tertentu di akhir Ramadan, kononnya mereka memasang lampu kerana takut malaikat tidak nampak jalan untuk datang ke rumahnya, iaitu satu hal yang tidak sepatutnya dijadikan isu, kerana adat ini telah diamalkan sejak lama di dalam masyarakat Melayu. Adat ini tidak bercanggah dengan prinsip agama, asalkan niat orang yang mengamalkannya bukanlah untuk sesuatu perkara yang bercanggah dengan akidah.

Haji Dolah juga tidak merungut mengatakan orang kampung dah mula jemu beribadat ketika tibanya hari-hari terakhir bulan Ramadan kerana terlalu sibuk menyediakan juadah dan kuih-muih Hari Raya. Ia seolah-olah menyerahkan hal ini kepada pertimbangan orang kampung sendiri, malah ia mungkin juga menyedari bahawa dalam bersiap sedia menyambut Hari Raya ini, mereka tidak mengabaikan ibadat terhadap Maha Pencipta, dan masih juga dapat mendengar suara sayup-sayup orang kampung membaca al-Quran sehingga ke tengah malam.

Sememangnya kita harus juga mengakui bahawa mungkin juga ulama kita kini terpaksa bercakap, kerana masyarakat telah banyak berubah. Tradisi menyambut hari mulia itu terlalu banyak dipengaruhi oleh budaya hiburan melulu sehingga tidak lagi merupakan satu upacara menyambut hari kebesaran agama. Dalam hal ini sememangnya amat relevan para ulama memberi teguran, tetapi janganlah sehingga menegur secara keras dan kasar umat Islam di negara kita yang menggantikan perabot atau langsir dan permaidani baru menjelang Hari Raya, kerana amalan budaya yang tidak melanggar akidah dan syariah serta nilai moral Islam, seharusnya dapat diterima dengan sangkaan baik.

Hidangan

Budaya orang Melayu menyambut raya dengan persediaan tersebut, dan hidangan segala jenis macam makanan dan minuman, adalah menunjukkan kegembiraan orang Islam menyambut hari bahagia itu. Malah orang Melayu tetap memelihara segala adab kesopanan agama dalam merayakan hari baik bulan baik ini.

Yang seharusnya ditentang dan diberi teguran ialah budaya hedonisme yang cuba diterapkan di dalam masyarakat kita ketika menyambut ketibaan Hari Raya. Kita tidak hanya terpengaruh dengan budaya Barat, khususnya Amerika Syarikat dan Hollywood dalam cara bercakap dan menegur orang lain, dengan ungkapan ``hai'' di sana dan ``hai'' di sini. Begitu 1 Syawal disamakan seperti perayaan lain yang asing sama sekali daripada amalan budaya dan agama kita, terutamanya jika dibandingkan dengan cara orang-orang dulu.

Hal inilah yang saya rasakan setiap tahun diamalkan, dan setiap tahun pula ditegur. Tetapi kesannya tidak langsung kelihatan, malahan semakin menjadi-jadi tahun demi tahun. Seperti tahun-tahun yang lalu, maka sekali lagi kita mengharapkan pihak yang berwajib memberikan perhatian tentang perkara yang amat bertentangan dengan nilai moral dan agama kita ini, malah bertentangan juga dengan amalan tradisi dan budaya kita.

Bagaimanapun, pada umumnya, dulu atau sekarang, kemeriahan Hari Raya tetap dirasakan oleh semua orang. Dalam takbir dan tahmid memuja kebesaran Allah yang berkumandang dari malam hingga ke pagi raya, orang kampung mengalami rasa khusyuk dan tawaduk, menyedari kebesaran Tuhan, dan menginsafi kekerdilan dirinya, menghargai tali silaturahim dengan ibu bapa dan sanak saudara serta teman sekeliling.

Semangat dan perasaan inilah juga yang sebenarnya dapat kita rasakan pada Hari Raya saban tahun sejak dulu kala, sehinggalah Hari Raya pada tahun ini, dan akan terus kita rasakan menjelang Hari Raya yang akan datang, pada tahun-tahun yang akan menjelang tiba. Selamat Hari Raya daripada saya, dan maaf zahir batin sekiranya terdapat sesuatu yang menyinggung.

No comments: