Wednesday, July 18, 2007

Selesai masalah cara kita

KETIKA menghadiri satu sesi program Konvensyen Belia Negara _ Menangani Masalah Ekonomi Negara: Antara Pengajaran dan Ujian, pertengahan Mei lalu, seorang wakil belia bangun menyatakan pandangannya bahawa kita semua patut sujud syukur di atas kegawatan ekonomi yang melanda negara sekarang. Kenyataan begitu spontan itu menimbulkan banyak tanda tanya.

Bagaimanapun akhirnya para peserta dapat memahami maksudnya yang sebenar, iaitu bersyukur kepada Allah dalam keadaan ini bukanlah bererti bersyukur kerana negara dan bangsa kita dilanda bencana kegawatan ekonomi yang amat menyakitkan itu, tetapi maksudnya ialah bersyukur kerana kehadiran kegawatan ekonomi telah banyak memberi pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.

Saya bersetuju dengan pandangannya bahawa kegawatan ekonomi mengajar kita tentang erti tabungan dan perbelanjaan sederhana, erti dan nilai harta serta wang yang tidak selamanya dapat bertahan dalam kadar yang tertentu, erti sifat tamak dan haloba manusia yang tidak selamanya akan berjaya menghasilkan kebendaan yang melimpah-ruah, malah yang pentingnya erti penghidupan yang sederhana, penuh bahagia, aman dan tenteram dalam semua aspek, bersyukur dan berjihad seterusnya.

Bagaimanapun di atas segala kegawatan yang dirasakan itu, orang ramai tidak seharusnya merasa gelabah, marah, emosi, tidak beradab dan sebagainya. Orang ramai tidak seharusnya cuba membangkitkan emosi pihak-pihak yang tertentu, berlaku kasar, menuding jari kepada orang lain dan berbagai-bagai tindakan yang menambah lagi kekusutan yang sedia ada.

Dalam konteks ini, eloklah direnung dan difikirkan sejenak maksud firman Allah s.w.t. bahawa ''Mungkin apa yang kamu bencikan itu terdapat kebaikan padanya untuk kamu, dan apa yang kamu sukakan itu terdapat keburukan padanya untuk kamu, Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui'' (Al-Baqarah ayat 216).

Berdasarkan hal inilah maka kemerosotan ekonomi yang kita bencikan itu membawakan satu hikmah yang tidak pernah dapat kita gambarkan kebaikannya, iaitu agar apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai lalai dan sia-sia itu dapat kita sedari dan dapat dibuktikan keburukannya.

Namun begitu oleh kerana sesuatu krisis dan kegawatan itu sering menjadikan orang ramai terkejut, kebingungan dan tenggelam punca, maka bagi orang yang bijaksana dan berpengetahuan, mereka seharusnya tidaklah turut gelabah dan menambahkan lagi kegelisahan orang awam.

Maksud saya, seperti yang dapat kita lihat dalam keadaan kegawatan ekonomi di negara kita, pihak yang berkuasa dan kerajaan nampaknya masih dapat bertindak dan berikhtiar secara bijaksana untuk menangani krisis ini. Berbagai-bagai usaha cuba dijalankan oleh pimpinan negara dan pihak-pihak yang berwajib, fokusnya hanya satu iaitu untuk memulihkan ekonomi negara.

Oleh itu amat tidak wajar dalam kemuncak krisis ini isu-isu lain pula dibangkitkan yang boleh menjadi minyak panas untuk dicurahkan ke atas api yang sedang marak.

Orang awam akan menjadi semakin panik sekiranya perasaan tidak tenteram mereka ditokok lagi dengan cerita-cerita dan khabar-khabar angin yang tidak berasas.

Kalau orang di negara jiran berbicara tentang korupsi, kronisme dan nepostisme (KKN) ketika krisis ekonomi sedang memuncak sehingga berlaku pertumpahan darah, kematian orang yang tidak berdosa dan kemusnahan harta benda yang banyak, apakah kita juga harus mengikut rentak gendang itu pada saat genting ini sedangkan kes kita mungkin agak berlainan dan berbeza dari kes mereka?

Memang betul bahawa isu-isu ini merupakan isu-isu negara membangun yang amat ketara, dan seharusnya dibicara dan ditangani dengan bersungguh-sungguh tetapi keseriusan isu itu haruslah pula dianalisis dengan sebaik-baiknya mengikut keadaan setempat dan situasi yang sebenarnya di negara kita dan di negara orang lain. Selama ini pun peluang untuk menonjolkan isu-isu itu terbuka dengan luas, tetapi kenapa ia harus dibangkitkan sekarang, seolah-olah isu itu barah yang amat serius?

Isu-isu ini bukanlah merupakan isu-isu yang boleh dibicarakan secara slogan-slogan, atau isu emosi dan sentimen melulu yang boleh memarakkan perasaan marah secara yang kurang beradab, atau menimbulkan semangat juang secara melulu bagi membakar jiwa dan darah anak-anak muda dan para pelajar kita.

Kalau hal ini dapat dibicarakan secara terbuka kerana negara kita negara demokrasi, maka ia haruslah dibawa melalui saluran dan sistem yang ada secara ikhlas dan jujur kerana sistem kita tidak pernah menghalang pembicaraan apa saja isu untuk kepentingan bersama.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. pernah menyuarakan bantahan kepada Baginda dalam Perjanjian Hudaibiyah iaitu ketika Baginda menerima beberapa syarat yang dikenakan oleh pihak kaum Musyrikin kepada orang Islam yang tidak dibenarkan memasuki Mekah pada tahun itu. Salah satu syarat yang diterima Baginda ialah pada tahun itu rombongan Baginda tidak akan dibenarkan masuk ke Mekah. Tetapi mereka akan dibenarkan kembali ke Mekah pada tahun berikutnya.

Akibat dari penerimaan syarat ini terdapat kalangan para sahabat yang memohon kebenaran Baginda untuk menggunakan kekerasan sahaja supaya mereka dapat masuk ke Mekah pada tahun itu juga. Tetapi Baginda tidak setuju, kerana Baginda mempunyai tujuan yang lebih utama, iaitu memasuki Mekah secara aman dan mendapat pengiktirafan daripada orang Musyrikin adalah lebih baik daripada menggunakan kekerasan.

Baginda bersetuju untuk pulang sementara ke Madinah dan datang semula pada tahun hadapan sebagai orang yang telah mendapat kemenangan dan masuk ke Mekah secara yang terhormat.

Fokus Baginda ketika itu ialah menyelesaikan isu perselisihan dan permusuhan ini dengan cara yang terbaik, walaupun Baginda terpaksa berundur setapak tetapi ia dilakukan untuk memungkinkan Baginda esoknya mara tiga tapak ke hadapan.

Panduan perjuangan Baginda ini ialah menjauhkan cara kasar dan permusuhan, sebaliknya mengambil jalan damai dan hikmah dalam mencapai sesuatu objektif perjuangan, terutamanya ketika semua orang sedang berada dalam gelisah dan tertekan.

Ketika gerakan intifadah bersemarak di Palestin menentang penjajahan Yahudi dan memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan negara Arab itu, gerakan ini pada tahun 80-an sering juga dijadikan alasan untuk kembali kepada Islam secara kekerasan, iaitu ketika timbulnya kumpulan-kumpulan anak muda yang menyerang anak-anak gadis dan wanita yang tidak menutup aurat seperti yang pernah berlaku kepada para pelajar Sekolah Ahmad Shawqi di bandar Gaza, dan di jalan-jalan raya serta di tempat lain.

Keadaan ini menjadi satu unsur perpecahan dalam perjuangan rakyat Palestin, yang akhirnya corak intifadah bertukar menjadi konflik perjuangan di antara ''para pemuda intifadah'' dengan golongan kebangsaan berpunca dari isu pakaian wanita. Intifadah yang seharusnya berasaskan kesepaduan bangsa dan agama, bersatu tenaga dan cita-cita, kelihatan agak longgar dan memberi manfaat kepada rejim Yahudi. Perjuangan ''melontar batu'' kepada askar-askar Yahudi akhirnya menjadi medan lempar-melempar batu sama sendiri dengan diketawakan oleh askar-askar Yahudi yang menontonnya.

Oleh itu, dalam menghadapi krisis yang besar seperti krisis ekonomi sekarang, kita haruslah mengatur strategi yang padu dan bulat berdasarkan budaya dan cara hidup kita sendiri. Keadaan sosial dan politik negara kita amatlah unik yang tidak boleh disamakan dengan negara lain. Keadaan ekonomi dan pendidikan di negara kita juga mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang telah lama kita bangunkan sendiri.

Jadi apakah dalam keadaan ini, cara kita mengatasi masalah kita harus kita salin sebagai carbon copy negara orang lain? Apakah dalam keadaan ini kita juga harus bersentimen dan menjadi emosional seperti orang lain? Cubalah cermin ke dalam diri kita sendiri, dan bicaralah isu-isu kita melalui acuan sendiri. Ikutlah firman Allah s.w.t. ''....dan dalam diri kamu, apakah tidak kamu perhatikan...'' (Al-Zariyat, ayat 21).

Alam sekitar dan pendidikan

PROGRAM Pelancaran Buku-Buku Alam Sekitar dan Projek Wira Alam yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan didukung bersama oleh IKIM sempena Hari Alam Sekitar seluruh dunia pada 5 Jun, 1998 yang lalu sungguh mengenai sasarannya, iaitu melihat alam sekitar sebagai kurniaan Tuhan yang harus dipelihara dan dijaga. Program itu juga berjaya mengenai golongan sasarannya iaitu para pelajar sekolah yang seharusnya dapat memahami isu ini dengan sebaik-baiknya sejak dari awal lagi, iaitu sejak di sekolah melalui pendidikan formal dan tidak formal.

IKIM bersetuju memberi sumbangan artikel sepenuhnya kepada buku Alam Sekitar Anugerah Tuhan berdasarkan fakta di atas, iaitu mengambil inspirasi keagamaan sebagai wadah penyampaian mesej yang jelas tentang pemeliharaan alam sekitar, dan menyampaikan mesej ini secara saintifik berasaskan fakta-fakta sains supaya ia menjadi lebih berkesan kepada generasi muda untuk mendidik mereka memahami isu ini dan menghayatinya sejak dari alam kanak-kanak lagi.

Selama ini mungkin ramai juga orang yang beranggapan bahawa isu alam sekitar tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agama, dan isu ini juga mungkin dianggap tidak relevan dibicarakan daripada kaca mata agama. Tetapi pihak Jabatan Alam Sekitar melalui kajian dan visinya sekian lama, merasakan bahawa adalah tepat pada masanya, dan amat relevan sekali isu ini dibicarakan daripada perspektif agama, terutamanya untuk pelajar-pelajar sekolah daripada kepelbagaian kaum di negara kita.

Membicarakan soal planet bumi, air, udara, tanah, tumbuhan, haiwan dan manusia adalah membicarakan isu-isu kejadian Tuhan yang amat unik, dan membicarakan isu proses makhluk Tuhan yang sentiasa berkembang dan berubah-ubah.

Pembangunan alam sekitar dan perubahannya melibatkan proses yang amat kompleks iaitu yang membawa kepada kajian saintifik yang memerlukan ilmu pengetahuan yang mendalam. Isu alam sekitar seperti pencemaran udara, air dan lain-lain tidak mudah dibicarakan secara simplistik, terutamanya dari sudut pandangan agama sendiri. Isu ini bukanlah mudah dibicarakan sebagai isu retorika atau takdir secara melulu tanpa mempunyai sebarang penilaian dan analisis undang-undang alam seperti yang banyak diisyaratkan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci al-Quran.

Dilihat dari konteks ini saya rasa para penyelidik IKIM yang memberi sumbangan artikel kepada buku tersebut telah berjaya mewujudkan satu kombinasi kajian dari sudut pandangan saintifik dan agama bagi tajuk-tajuk yang dibicarakan. Dalam pembangunan ilmu sekarang dimensi agama dan akal haruslah disepadukan dengan sebaik-baiknya berdasarkan konsep keesaan Tuhan.

Sandaran kita kepada ayat-ayat Allah tentang alam sekitar dapat dilihat umpamanya di dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33 yang bermaksud:

''Allahlah yang menjadikan langit dan bumi, dan menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan itu Ia keluarkan buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu, dan Ia mudahkan bagi kamu kapal bagi kamu supaya ia berjalan di lautan dengan perintah-Nya dan Ia mudahkan bagi kamu sungai-sungai. Dan Ia mudahkan bagi kamu matahari dan bulan yang tetap berjalan, dan Ia mudahkan bagi kamu malam dan siang.''

Dari sini ternyata bahawa isu pemeliharaan alam sekitar bukanlah merupakan isu mudah yang boleh diringan-ringankan, kerana isu ini ditunjangi oleh agama sebagai satu tanggungjawab agama bersumberkan perintah Allah s.w.t.

Bagaimanapun, seperti yang termaklum, semua kebaikan adalah berasal dari rumah, maka demikian jugalah isu penjagaan alam sekitar ini seharusnya juga bermula dari rumah, iaitu dari aspek membentuk sikap dan kefahaman individu untuk menjadi peka kepada isu-isu alam sekitar, maka pendidikan di rumah memainkan peranan yang amat penting dalam hal ini.

Mungkin jika diambil satu sudut penjagaan alam sekitar yang penting, seperti menjaga kebersihan persekitaran umpamanya, maka dalam hal ini penanaman sikap kepekaan terhadap kebersihan amatlah penting dimulai di rumah.

Persoalan-persoalan mudah seperti berapa banyakkah rumah tangga dalam masyarakat kita yang menyediakan bakul-bakul sampah di dalam dan di luar rumah mungkin dapat ditanyakan. Persoalan ini menjadi lebih penting untuk dijawab di rumah-rumah di luar bandar atau di pinggir-pinggir bandar, terutamanya apabila sampah-sarap tidak diuruskan oleh pihak kerajaan tempatan.

Di luar bandar umpamanya adakah penduduknya berusaha menanam sampah-sarap daripada amalan biasa yang mudah selama ini, iaitu dengan membakarnya sahaja? Malah kita mengetahui bahawa membakar sampah adalah merupakan satu perbuatan pencemaran udara yang serius.

Menyentuh persoalan kebersihan ini juga, kita mungkin dapat bertanya lagi, berapa ramaikah isi keluarga yang mengambil tindakan melatih anak-anak mereka menjaga kebersihan bilik air dan tandas di rumah masing-masing supaya sentiasa bersih?

Malah persoalan ini boleh berlarutan kepada persoalan kepekaan anak-anak itu kepada kebersihan rumah tangga dan persekitarannya, apakah hal ini menjadi satu perkara penting dalam kehidupan mereka?

Anak-anak yang tidak dididik beginilah yang akan keluar ke tengah-tengah bandar raya dan sebagainya, dan mereka akan membawa sikap yang sama iaitu tidak peka kepada kebersihan, lalu akan bertindak membuang sampah di sana sini secara sewenang-wenangnya. Mereka jugalah yang tidak peka kepada kebersihan tandas awam dan tidak kisah dengan peraturan menggunakan tandas, maka dengan itu tandas awam akan terus dikotori, dirosakkan dan dibiarkan dalam keadaan yang amat memalukan.

Oleh itu, saya rasa keluarga haruslah memainkan peranan yang lebih bersungguh-sungguh melatih anak-anak supaya menjadi orang yang bersih dan peka kepada kebersihan semasa mereka masih kecil lagi, agar hal ini akan terbentuk menjadi sikap yang positif walau di mana saja mereka berada.

Kita mungkin tidak harus bergantung kepada undang-undang seperti denda kerana membuang sampah yang dikuatkuasakan selama ini, kerana undang-undang itu kelihatan amat sukar dilaksanakan kerana tidak ada penguatkuasaan yang cukup. Kita juga mungkin tidak perlu menunggu Perdana Menteri menegur atau pergi melihat sendiri tempat-tempat yang kotor, tempat pembakaran terbuka dan sebagainya seperti yang pernah dilakukan beliau sejak beberapa tahun dahulu sehingga ke masa-masa yang terakhir ini.

Hal yang demikian saya tegaskan, kerana saya beranggapan bahawa semua pihak seharusnya peka kepada hal ini dan akan mengambil tindakan sendiri dalam menangani perkara ini.

Oleh itu langkah Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pendidikan seperti yang diucapkan dalam majlis pelancaran buku di IKIM seperti yang disebutkan di atas, merupakan satu pandangan ke hadapan yang amat baik, iaitu cuba memfokuskan agenda pemeliharaan alam sekitar kepada pendidikan murid-murid di sekolah seperti yang dilakonkan juga oleh para pelajar Sekolah Rendah Damansara Utama di dalam majlis tersebut.

Sekiranya benar-benar keluarga dan sekolah dapat memainkan peranan ini secara bersungguh-sungguh, maka saya percaya segala kempen tentang isu-isu alam sekitar akan berkesan dan akan meninggalkan impaknya yang baik termasuk penjelasan yang bersumberkan nilai dan ajaran agama.

Perlunya umat Islam mahir multimedia

SUNGGUHPUN jawapan kepada persoalan apa dia dan kenapa umat manusia harus menggunakan multimedia pada masa kini, sudah terjawab dengan cara yang agak komprehensif dan mendalam di kalangan masyarakat negara-negara maju dan negara-negara yang kukuh prasarana sains teknologi dan ilmu pengetahuannya, namun bagi kita di Malaysia, khususnya di kalangan umat Islam, mungkin persoalan ini tidak banyak yang dapat difahami dan masyarakat keseluruhannya masih mencari-cari jawapannya yang tepat dan konsepnya yang jelas.

Malah dalam kegawatan sosial dan budaya yang sedang dihadapi negara, khususnya yang mencabar dan menggugat nilai-nilai agama dan cara hidup orang-orang Islam, maka masyarakat Islam sering menjadi spektikal dan mengambil sikap permusuhan secara total kepada sesuatu alat teknologi baru seperti multimedia ini.

Orang-orang Islam menjadi 'fobia' dan ketakutan melulu kepada peralatan elektronik yang dianggap sebagai satu penyumbang kepada kerosakan moral dan akhlak bangsa, khususnya golongan muda, seperti TV yang banyak menghidangkan 'makanan' beracun kepada penonton dengan program-program yang berbentuk permisif, tanpa nilai-nilai positif, atau menjadi mentor dan guru untuk mendidik penonton mengikut acuan Barat melulu yang lebih banyak menjurus kepada masyarakat antinilai dan antimoral, malah antiagama.

Maka dalam kegawatan sosial yang dihadapi ibu bapa dan masyarakat umumnya, yang diletakkan sebahagian besar kesalahannya ke atas TV, filem, video dan sebagainya, tiba-tiba muncul pula alat baru, iaitu komputer, dengan segala 'sampah sarap' yang dibawanya menurut apa yang mereka dengar daripada percakapan awam dan berita-berita yang disebarkan tentang keburukan komputer yang menjadi alat multimedia dan Internet itu, lalu ketakutan dan kebimbangan mereka menjadi lebih memuncak, dan kebimbangan inilah yang membentuk sikap mereka dan orang-orang awam untuk lebih berhati-hati dalam mendekati apa lagi mengambil peluang daripada kemajuan dan pembangunan multimedia ini.

Sebenarnya sikap ini termasuk dalam ungkapan yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali ibn Abu Talib bahawa ''kita sering takut terhadap sesuatu yang tidak kita ketahui''. Oleh itu ketakutan kita kepada multimedia, khususnya komputer dan Internet kerana kita tidak tahu dan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang kegunaan teknologi ini. Ilmu yang ada sedikit-sedikit tentangnya mungkin hanya berdasarkan kepada sumber-sumber yang tidak sah, atau komen-komen jalanan yang negatif, tidak bersifat saintifik dan menyeluruh tentang fungsi dan manfaat multimedia.

Dalam Seminar Multimedia dan Islam anjuran IKIM pada 26 - 27 Mei, 1998 para peserta mendengar dan mempelajari hampir segala aspek tentang multimedia dan peluang-peluang yang harus diambil oleh umat Islam dalam penggunaan teknologi ini untuk kebaikan bersama. Umat Islam mempunyai ruang yang baik melalui multimedia untuk memprojekkan nilai-nilai sejagat Islam dan mengemukakan penyelesaian terhadap isu dan masalah kemanusiaan berdasarkan ajaran Islam yang murni.

Cerita-cerita tentang unsur negatif dalam penggunaan Internet tidak seharusnya menjadi penghalang untuk ibu bapa dan anggota masyarakat Islam dalam menggalakkan anak-anak menjadi celik komputer. Memanglah komputer boleh memprojekkan imej-imej buruk tentang unsur-unsur lucah, dan boleh menjadi alat propaganda menyeleweng yang boleh mengeliru dan meracuni pemikiran mereka, tetapi langkah-langkah yang perlu haruslah diambil untuk menghadapi dan mengatasi cabaran ini secara khusus.

Tidak semestinya penyalahgunaan media elektronik ini akan merupakan satu halangan yang membantut usaha kita bagi memanfaatkan teknologi maklumat dan multimedia ini secara membina dan secara positif untuk kepentingan kita juga.

Multimedia sebenarnya menggabungkan industri komputer, komunikasi dan pengisian. Industri multimedia ini merupakan satu revolusi perubahan dunia yang sedang berlaku dengan pesat dan yang dapat mengatasi lebih jauh segala revolusi sebelumnya seperti media cetak, TV, telefon dan sebagainya.

Multimedia telah menunjukkan tanda-tanda yang jelas bahawa ia sedang melakarkan dunia umumnya, dengan kesan dan pengaruhnya yang amat besar terhadap kehidupan sosial dan politik sejagat.

Pembangunan ekonomi dunia melalui multimedia amat ketara sekali dan khususnya pembangunan ekonomi Amerika telah diuruskan dengan amat cekap melalui multimedia. Para peserta seminar IKIM yang tersebut diberitahu oleh seorang penceramah bahawa pada tahun 1996, di Silicon Valley, terdapat 11 syarikat ditubuhkan setiap hari, pada setiap lima hari satu syarikat disenaraikan di Bursa Saham dan melahirkan puluhan jutawan baru dalam jangka masa yang tersebut. Oleh itu Naib Presiden Amerika Syarikat, Al-Gore sejak tahun 1994 lagi menegaskan kepada rakyat Amerika supaya jangan berlengah-lengah lagi menguasai dan memimpin teknologi maklumat yang baru supaya perniagaan Amerika akan meningkat berlipat ganda di pasaran dunia.

Sungguhpun kemajuan yang disebutkan itu merupakan kemajuan ekonomi yang boleh dihubungkan dengan kepentingan kebendaan dan wang, tetapi sebenarnya ekonomi yang dibangunkan adalah berdasarkan ekonomi yang mengutamakan ilmu pengetahuan dan ekonomi maya, yang membuka lembaran minda dan pengetahuan manusia. Aset sebuah syarikat ialah agenda yang pintar dan pekerja yang pintar. Buruh dan pekerja atau manusia itu bukanlah komoditi, malah pengetahuan, kepintaran dan kreativiti menjadi kunci kejayaan bagi seseorang dan organisasi yang tertentu.

Dunia yang dikuasai multimedia beginilah yang akan menjelma menjelang alaf baru nanti. Oleh itu terlepas dari prasangka yang tidak berasas dan kekalutan pemikiran yang masih keliru, maka umat Islam dan dunia Islam seharusnya dapat sama-sama mengejar, menyaingi dan mengambil peluang daripada pembangunan teknologi ini untuk menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka di atas muka bumi ini yang diberi amanah sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t.

Teknologi maklumat merupakan pembuka hati, pembuka telinga dan pandangan manusia yang sering diperingatkan Allah s.w.t. supaya manusia ini memanfaatkannya dengan bersungguh-sungguh. Firman Allah s.w.t.: ''Allah telah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu, sedang kamu tiada mengetahui suatu apa pun; dan Dia adakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati, mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadaNya''. (al-Nahl, ayat 78).

Dan firman-Nya lagi: ''Kemudian Dia sempurnakan kejadiannya dan Dia tiupkan roh ke dalamnya, dan Dia adakan untukmu pendengaran, penglihatan dan hati.'' (al-Sajdah, ayat 9).

Jelaslah dari sini bahawa proses kejadian dan kematangan manusia boleh juga diterjemahkan dalam proses aplikasi multimedia yang menggabungkan aspek audio (pendengaran) visual (penglihatan) dan analisis (hati atau minda). Semoga dengan ini orang-orang Islam akan dapat cuba mencari jawapan kepada persoalan apa dan kenapa multimedia, seterusnya bersikap positif dan menceburi secara aktif dalam alam multimedia.

Membangun nilai-nilai bersama

KENYATAAN Tan Sri Alfred Jabu ketika merasmikan satu seminar yang disiarkan oleh akhbar tempatan pada 18 Mei 1998 tentang beberapa adat buruk di kalangan masyarakat Dayak rumah panjang di Sarawak amat menarik perhatian saya.

Saya percaya ia juga menarik minat para pengkaji sosial masyarakat di negara kita. Adat buruk yang diketengahkan oleh beliau ialah minuman keras, rokok dan perjudian. Beliau memberikan anggaran kira-kira RM96 juta dibelanjakan oleh masyarakat Dayak setiap tahun bagi tujuan tersebut yang dianggapnya membazir dan tidak berfaedah.

Saya mengemukakan perkara ini kali ini, kerana pada 10 April, 1998 yang lalu menerusi ruangan ini juga, telah saya bicarakan isu yang sama di kalangan masyarakat Cina yang diketengahkan oleh Timbalan Presiden MCA ketika beliau menyatakan sokongannya kepada program tiga tahun MCA untuk mengikis tradisi perjudian, kepercayaan khurafat dan majlis makan malam yang berlarutan sehingga beberapa jam lamanya. Beliau menyatakan bahawa hal ini tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya kaum Cina seperti yang diamalkan selama ini.

Bagi saya kenyataan-kenyataan positif seperti ini merupakan petanda baik bagi negara kita untuk membangun menjadi negara maju berasaskan nilai-nilai positif dan sihat bagi bangsa Malaysia keseluruhannya.

Isu pemupukan nilai dan budaya sihat di kalangan rakyat berbilang kaum merupakan isu nasional yang seharusnya didukung oleh semua kaum dan digemblengkan semua tenaga dan saluran untuk dibangunkan bersama termasuk kerajaan, NGO, persatuan belia dan sebagainya.

Malah Datuk Gramong Juna, Menteri Muda Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Sarawak dalam kenyataan yang disiarkan akhbar tempatan pada 10 April, 1998 yang lalu juga meminta kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan agar menyokong tindakan bagi menghapuskan tradisi buruk masyarakat Dayak tersebut.

Secara kebetulan pula pada 18 Mei turut terbaca pandangan Bulbir Singh dari Seremban yang menulis tentang televisyen yang seharusnya tidak menyiarkan program yang memberi kesan buruk kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Penulis ini memberi komennya kepada tulisan Y.P. dari Kuantan pada 8 Mei yang membuka perbincangannya tentang siri drama Cina yang banyak mendedahkan gejala minuman keras melulu di dalam siri-siri tersebut.

Bulbir Singh merasa terpanggil untuk menulis kepada akhbar kerana mengikut pandangannya siri-siri drama India dan filem-filem Hindi juga sering menonjolkan gejala tersebut yang boleh meninggalkan kesan negatif di kalangan para penonton siri-siri tersebut.

Dalam konteks ini saya teringat pada satu ketika dulu, para pemimpin India juga telah dengan lantangnya menyuarakan pandangan mereka agar filem-filem Tamil yang ''mempromosikan'' keganasan, kumpulan samseng, dan pesta minuman keras tidak ditayangkan di televisyen tempatan supaya hal ini tidak mempengaruhi minda dan sikap penonton-penonton India tempatan.

Dalam masyarakat Melayu, saya rasa hal ini telah banyak dibicarakan, malah telah menjadi agenda utama program-program keagamaan untuk memupuk nilai-nilai positif di kalangan masyarakat Islam berteraskan agama sendiri.

Bagaimanapun, sebagai satu agenda nasional untuk membina bangsa Malaysia yang bermoral dan beretika, saya rasa masanya sudah tiba di tengah-tengah kegawatan sosial dan moral sekarang, kita cuba menangani isu ini dari sudut nasional, terlepas daripada sentimen etnik dan kaum masing-masing.

Tujuan dan matlamat kita ialah untuk menangani isu nilai bersama yang dapat menyatukan semua orang dan semua kalangan rakyat tanpa sebarang polarisasi atau agenda berasingan bagi sesuatu kaum.

Tetapi kenyataan ini bagaimanapun tidak menafikan agenda-agenda berasingan yang harus dilakukan oleh sesuatu kaum untuk menangani gejala-gejala sosial dan moral yang menonjol di kalangan kaum masing-masing seperti yang dilakukan oleh kaum Cina umpamanya.

Namun pada umumnya apa yang diperjuangkan oleh kaum yang tertentu untuk dihapuskan di kalangan masyarakat mereka, sebenarnya juga dialami oleh kaum lain di kalangan mereka seperti gejala perjudian, minuman keras dan sebagainya.

Oleh itu, isu ini bukanlah merupakan isu yang khusus untuk sesuatu kaum dan keturunan, malah isu rakyat Malaysia keseluruhannya tanpa mengira budaya, agama dan sebagainya.

Oleh itu rakyat Malaysia keseluruhannya perlu menangani isu ini bersama dengan program-program bersama yang seharusnya dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Apabila dibicarakan soal nilai positif dan moral yang baik, maka yang dimaksudkan ialah satu standard atau tatacara perilaku dan sikap, perasaan dan hati yang mencerminkan siapa kita, bagaimana kita hidup dan bagaimana kita berurusan dengan orang lain. Nilai-nilai yang baik dan murni tentunya yang dapat membentuk manusia yang terbaik, kehidupan yang lebih bermutu dan cara yang terbaik ketika berhubungan dengan orang lain. Maka nilai-nilai agama masing-masing adalah merupakan teras kepada ciri-ciri perilaku dan kehidupan yang baik ini, kerana ia merangkumi ciri-ciri hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia sesama manusia.

Dalam masyarakat Islam, biasanya kita lebih banyak membicarakan soal teras yang mengandungi falsafah, hukum-hakam dan teori serta idealisme agama. Kita mungkin agak kurang membicarakan realiti hidup dan sosiologi serta psikologi manusia itu sendiri yang berasaskan kepada kehidupan hariannya dan lingkungan persekitarannya. Membicarakan isu tersebut dari sudut ini tidak bererti kita menyisihkan agama, malah sebaliknya cara ini lebih mendekatkan kita kepada agama kerana konsep dan teori akhlak Islam amat menyeluruh dan komprehensif.

Membicarakan isu moral dan akhlak dalam Islam adalah merupakan perbicaraan sepadu dengan akidah dan syariahnya. Cuma dalam hal ini soal pendekatan dan treatment bagi isu ini yang mungkin perlu dirubah dan direvolusikan supaya lebih berkesan dan lebih relevan dengan era baru ini.

Seandainya hal ini dapat ditangani dengan baik, saya percaya banyak persoalan sosial di kalangan masyarakat Melayu dapat dipecahkan.

Kehadiran para ibu bapa dalam keluarga, guru di sekolah, ulama dalam masyarakat dan sebagainya bukanlah untuk 'menghukum' semata-mata, atau memberi petua sahaja, tetapi yang pentingnya ialah mendidik, mendorong dan membuka minda orang serta membentuk sikap mereka tentang tingkah laku, cara hidup dan urusan diri sendiri ketika bersendirian dan ketika bersama-sama orang lain.

Menjelaskan hukuman belum tentu dapat mencegah perbuatan mungkar, tetapi menunjuk jalan dengan pendekatan yang penuh hikmah adalah lebih berkesan supaya nilai-nilai murni itu dapat dihayati dan diserapkan ke hati sanubari mereka.

Setelah itu, kalau berlaku juga kemungkaran maka barulah tindakan undang-undang dapat dilaksanakan, sama ada undang-undang rumah tangga, sekolah dan sebagainya.

Dalam konteks ini juga, sebagai rakyat Malaysia umumnya maka isu adat tradisi lama ini tentulah boleh dibicarakan mengikut kehadirannya dari semasa ke semasa terutamanya apabila amalan tradisi itu mungkin perlu diubah seperti yang ditulis oleh seorang pembaca Yeap Cheng Hock pada 18 Mei 1998 - Don't litter 'money' on roads, merujuk kepada tradisi orang orang Cina menabur 'wang kertas' bagi perarakan mayat mereka. Adat tradisi orang-orang Melayu seperti adat yang diamalkan dalam majlis perkahwinan dan sambutan orang-orang kenamaan umpamanya banyak yang perlu dikaji semula. Apakah adat itu perlu diteruskan atau dihapuskan sahaja kalau ia bukan bersumberkan agama.

Kalau kenyataan-kenyataan yang dibuat seperti yang dikemukakan di atas merujuk kepada khurafat yang membawa kepada pembaziran, maka orang-orang Melayu juga harus mengkaji adat meminang dan perkahwinan yang juga banyak berlaku pembaziran yang tidak berfaedah. Adat seratus dua ratus tahun yang tidak perlu dipertahankan, elok saja dibatalkan terutamanya dalam menghadapi kegawatan ekonomi sekarang ini.

Oleh itu pendekatan secara pragmatik yang diambil oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia ini diharapkan dapat mengundang satu agenda bersama bagi pembangunan nilai dan moral bangsa Malaysia keseluruhannya dan dengan itu kita akan dapat menempah satu era baru bagi merealisasikan wawasan negara bagi membentuk bangsa Malaysia yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agama, etika dan moral yang baik terlepas daripada khurafat dan kepercayaan karut dalam masyarakat kita.

Islam: Sumbangan Malaysia diiktiraf

SEKURANG-KURANGNYA tiga buah negara Islam di Timur Tengah telah memberi pengiktirafan rasmi dan menerima baik mesej Islam yang disuarakan Malaysia selama ini kepada dunia luar, Timur dan Barat.

Pengakuan rasmi kali ini datangnya dari negara Mesir dengan penganugerahan ijazah doktor falsafah kehormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dari universiti Islam tertua di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar.

Bagi sesetengah kalangan, mungkin hal ini dianggap sebagai perkara enteng dan biasa saja, tetapi jika ditinjau dari segi rekod universiti berkenaan, dan pengiktirafan negara Mesir kepada pemimpin di luar dunia Arab dalam bidang sumbangan dan kepimpinan Islam, maka anugerah ini membawa makna yang besar dan bererti, serta menggambarkan satu perubahan persepsi dunia Islam kepada perjuangan Islam di dunia Melayu di Asia ini.

Hal ini dikukuhkan lagi dengan pengiktirafan Saudi Arabia terhadap penonjolan Malaysia dalam membangunkan Islam di dunia Islam dan di kalangan dunia antarabangsa dengan penganugerahan yang diberikan kepada Perdana Menteri tidak lama dulu dan berita terakhir mengatakan bahawa PM juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Al-Khartoum di Sudan.

Pada saya, pengiktirafan yang diberikan kepada Malaysia dalam pembangunan Islam ini merupakan satu bentuk pandangan negara-negara tersebut yang merestui cara penghayatan dan pelaksanaan Islam yang diamalkan di Malaysia, di samping modus-operandi yang dilakukan dalam hal ini.

Isu-isu sensasi yang sering dibangkitkan tentang Islam terutamanya di kalangan masyarakat Barat ketika membicarakan tentang Islam ialah isu demokrasi, kebebasan, hak asasi manusia dan kedudukan wanita. Isu-isu ini sering disalahtafsirkan dan sering dikategorikan sebagai isu yang menjadikan Islam itu pada tanggapan mereka satu agama yang mundur, mengamalkan diskriminasi dan tidak berdaya menyaingi tamadun Barat kini.

Dalam menangani isu-isu ini di Malaysia, kita berjaya mengambil pendekatan yang amat praktikal sehingga pandangan-pandangan negatif terhadap Islam dalam konteks isu-isu tersebut dapat dibuktikan sebagai tuduhan-tuduhan melulu yang mempunyai motif politik dan ekonomi semata-mata, tanpa kehadiran sebarang elemen yang mempunyai hubungan dengan isu tamadun dan ilmu pengetahuan. Melalui mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri sama ada di forum-forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, OIC, dan G-15 baru-baru ini, atau di forum-forum kebangsaan, mesejnya jelas bahawa Malaysia memperjuangkan Islam yang toleran, adil, terbuka dan sederhana. Malah masyarakat Barat sendiri yang mempunyai persepsi salah tentang Islam terutamanya apabila melibatkan isu menegakkan keadilan bagi umat Islam yang tertindas, maka Barat sering mengamalkan sikap double standards.

Satu perkara lain yang agak menonjol di Malaysia dalam konteks ini, iaitu ketika membicarakan isu demokrasi dan kebebasan, hak asasi manusia, kedudukan wanita, dan sebagainya, maka kita di Malaysia sudah agak terkehadapan dari segi pratikaliti dan pelaksanaannya untuk membuktikan kepada dunia bahawa kita benar-benar menghayati dasar Islam dalam hal-hal yang tersebut.

Kita tidak mengehadkan diri dalam teori dan retorika, tetapi kita telah menunjukkan kepada dunia dengan model dan contoh serta realiti umat Islam di Malaysia dalam menonjolkan diri dan memainkan peranan aktif sesuai dengan falsafah, ajaran dan nilai-nilai Islam itu sendiri.

Kita masih dapat mempertahankan dasar demokrasi yang dituntut Islam dalam perpaduan bangsa, penerimaan dan penyerapan orang-orang bukan Islam dalam perkongsian kuasa politik, peluang-peluang ekonomi, pendidikan, kebebasan beragama dan sebagainya.

Pergantungan kepada sistem ekonomi conventional berasaskan sistem ekonomi kapitalis tidak mencegah kita untuk membangunkan aktiviti ekonomi yang berasaskan syariah dan berdasarkan sistem tanpa riba yang semakin hari semakin popular di dalam masyarakat kita termasuk masyarakat bukan Islam.

Sistem pendidikan Islam di negara kita mengalami anjakan paradigma yang mungkin mengejutkan sesetengah kalangan masyarakat primitif Islam sendiri di negara kita, iaitu dengan timbulnya rombakan-rombakan sistem pendidikan Islam yang lebih berbentuk kesepaduan ilmu wahyu dan ilmu akal sehingga kemuncaknya melahirkan pusat pengajian tinggi Islam dalam bentuk baru yang berasaskan konsep kesepaduan ilmu ini, pada tahun 1983, iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sistem kesepaduan ilmu menurut konsep pendidikan Islam yang sebenarnya ini menolak sistem tradisional yang lebih banyak memperkuatkan konsep pemisahan ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Malah dalam penonjolan masyarakat Islam sendiri, orang-orang Islam di Malaysia telah dapat membuktikan kepada dunia bahawa mereka tetap berkeyakinan bahawa nilai dan etika Islam merupakan teras kepada kesejahteraan manusia di tengah-tengah pergolakan dan persaingan ekonomi yang amat mencabar. Walau sehebat mana sekalipun ekonomi memainkan peranannya dalam membentuk dunia moden pada hari ini, namun akhlak dan etika tetap merupakan ciri penting kesejahteraan manusia.

Dengan itu dasar kebendaan dan gelojoh melulu dalam mencari kebendaan tetap ditolak dan dijauhi.

Umat Islam di Malaysia masih tetap dapat menolak dasar sekularisme walaupun dalam cabaran pembangunan dan proses industrialisasi begitu pesat sekali pada hari ini.

Kita tidak pernah menganggap agama sebagai sesuatu yang terpisah dari segala aspek kehidupan kita walau sekuat mana sekali pun tekanan pembangunan yang kita terima. Terlepas dari beberapa tanggapan negatif kumpulan-kumpulan yang tertentu, wanita Islam di Malaysia terus diberikan hak mereka dan amat aktif menceburi diri mereka dalam bidang dan aktiviti yang direstui agama dan tradisi kita. Agama dan budaya kita tetap masih segar membentuk dan mendorong pembangunan wanita dalam masyarakat berpaksikan sistem nilai yang positif.

Dalam hal ini, ditambah dengan usaha kita yang lain seterusnya, maka dunia Islam dan bukan Islam merasakan bahawa Malaysia dapat menyumbang kepada dunia dalam memajukan Islam dalam konteks dunia moden pada hari ini. Kita telah dapat membuktikan kepada dunia bagaimana Islam boleh menjadi kuasa positif untuk menegakkan keadilan, keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat.

Atas dasar inilah sesungguhnya pengakuan dan penghormatan yang diberikan kepada Malaysia merupakan satu pengiktirafan yang ikhlas, dan kita harap hal ini merupakan satu cahaya yang akan menerangi jalan perjuangan kita seterusnya, kerana jalan ini sebenarnya masih terlalu panjang, terlalu banyak ranjau dan durinya dan terlalu banyak cabarannya, termasuk dari kalangan umat kita sendiri yang masih belum mahu menerima perubahan.

Disiplin diri menonton TV

KETIKA saya menulis di ruangan ini minggu lalu tentang berapa lama masa yang dihabiskan di depan TV, sebenarnya Menteri Penerangan telah juga mengumumkan bahawa TV Malaysia akan memendekkan masa siarannya dengan melewatkan permulaan siaran dan mempercepatkan masa penutupnya. Sungguhpun alasannya agak berbeza.

Alasan pihak TV kerajaan ialah untuk menjimatkan perbelanjaan dalam kegawatan ekonomi negara sekarang, sedangkan alasan saya agar lebih banyak masa dihabiskan penonton bagi perkara-perkara lain yang lebih berkualiti daripada hanya menonton TV. Tetapi hasilnya tetap sama, iaitu dengan memendekkan masa siaran TV maka dengan sendirinya masa menonton TV penonton juga besar kemungkinan dapat dipendekkan.

Bagaimanapun, oleh kerana saluran TV di rumah-rumah kita - tanpa mengambil kira TV kabel dan satelit - sudah mencapai lima saluran, maka alasan untuk mengurangkan masa tontonan TV tentulah tidak dapat dicapai sekiranya TV swasta tidak turut memendekkan masa siarannya. Dan, sekiranya penonton tidak mengambil tindakan sendiri mendisiplinkan dirinya untuk mengawal masa tontonannya walaupun ada saluran TV dua puluh empat jam.

Pendeknya persoalan di sini ialah persoalan disiplin diri dan daya tahan penonton sendiri yang seharusnya dapat membuat keputusan sendiri tentang program mana yang hendak ditonton dan berapa lama masanya yang seharusnya dihabiskan untuk menonton TV.

Saranan golongan Parent Soup di Amerika seperti yang saya nyatakan dalam ruangan ini minggu lalu supaya dijadikan jangka masa seminggu iaitu dari 22 hingga 28 April 1998, sebagai minggu ''Tutup TV'' yang juga sebagai menyokong organisasi TV Free America (Amerika Tanpa TV) mendapat reaksi dan maklum balas yang agak positif daripada para ibu bapa yang mencuba eksperimen itu.

Ramai yang menyatakan bahawa rupa-rupanya kebiasaan anak-anak menghabiskan waktu yang panjang di depan TV itu dapat dikurangkan dengan mengalih pandangan dan aktiviti mereka kepada perkara yang lain seperti aktiviti mewarnakan gambar, menulis cerita dan surat, mencuba permainan baru, membaca buku cerita kanak-kanak, mencuba permainan luar rumah seperti bola jaring dan sebagainya.

Bagaimanapun dalam masyarakat moden sekarang ini, terutamanya di rumah-rumah yang mempunyai peti-peti TV di dalam bilik tidur masing-masing, maka kawalan secara yang amat ketat tentulah tidak dapat dijalankan. Maka dalam hal ini sekali lagi dapat ditegaskan bahawa disiplin diri dan bimbingan ibu bapa terhadap anak-anak dalam memilih dan mengehadkan program TV yang seharusnya ditonton, amatlah penting dan diperlukan dalam keadaan begini.

Bagi masyarakat Islam, masa sebelum maghrib dan selepas maghrib sehingga waktu isyak biasanya menjadi masa tanpa TV. Masa itu biasanya dihabiskan untuk persiapan dan pelaksanaan ibadat, atau selepas sembahyang maka baki masa seterusnya digunakan untuk belajar dan membuat kerja-kerja sekolah.

Hal ini harus disedari oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang bersekolah, dan seharusnya cuba dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dengan mengarahkan anak-anak. Sekurang-kurangnya masa ini dapat dimanfaatkan dengan baik, tanpa TV. Sekiranya disiplin ini dapat dijalankan dengan baik, maka ada kemungkinan dan ada harapan bahawa masa-masa yang lain juga dapat diteruskan dengan baik dan berkesan juga. Syaratnya mestilah ada keazaman dan ketegasan ibu bapa dalam hal ini serta menunjukkan contoh yang baik daripada mereka sendiri.

Linda dan Richard Eyre dalam buku mereka Teaching Your Children Values, menjelaskan bahawa masyarakat permisif menjadi sesat kerana anak-anak tidak diajar tentang nilai-nilai yang baik. Hal ini dibiarkan kepada anak-anak untuk belajar sendiri melalui kaedah cuba-cubaan (trial and error). Akhirnya mereka membesar tanpa panduan, dan akan hanya dibentuk oleh keadaan dan persekitaran mereka. Maka nilai-nilai mereka akan berbeza daripada nilai ibu bapa dan masyarakat umumnya.

Pandangan ini saya rasa amatlah benar, kerana dalam konteks tulisan ini, TV akan menjadi guru dan pembimbing kanak-kanak yang menontonnya, yang bakal memberikan mereka inspirasi dan pengertian hidup, tentang cara bertindak terhadap orang lain, berkelakuan terhadap adik beradik dan keluarga, serta seribu satu panduan lain.

Sekiranya seorang kanak-kanak menonton TV lebih daripada empat jam sehari, maka bererti ia akan menghabiskan waktunya selama 28 jam seminggu di depan TV, atau dua bulan dalam masa setahun. Masa sebanyak inilah yang menjadi masa belajarnya dari ''gurunya'' yang bernama TV dan dalam masa sepanjang itulah pula ia mempelajari tentang hidup dan kehidupan yang sedang dan akan ditempohinya. Apakah kita dapat menjamin bahawa masa sebanyak itu yang dihabiskannya di depan TV mereka benar-benar dapat mempelajari sesuatu yang baik? Atau sebaliknya?

Seorang guru sekolah yang memberi reaksi kepada kempen yang dilakukan oleh Parent Soup Turn Off Your TV menyatakan bahawa pada pandangannya TV adalah turut bertanggungjawab terhadap kelemahan pelajar untuk berfikir secara kritikal. TV menghidangkan segala-galanya iaitu dari segi penampilan imej, perwatakan, plot, konflik, dan penyelesaian. Penonton tidak perlu lagi berfikir untuk membentuk imej dari mindanya sendiri, atau memikirkan reaksi yang tertentu. Dengan ini penonton, terutamanya kanak-kanak tidak memerlukan lagi imiginasi sendiri, dan penyelesaian masalah yang sewajarnya, cara berunding dan mencari kemungkinan-kemungkinan yang tertentu dalam menghadapi sesuatu masalah seperti yang mereka seharusnya berfikir ketika bermain monopoli, checkers, word puzzles, menyusun blok dan sebagainya.

Saya rasa dalam menghadapi masalah ini ibu bapa haruslah berfikir dan mencari jalan penyelesaian sendiri sekiranya penyakit ketagih TV ini menjadi-jadi dalam keluarga masing-masing.

Dalam sebuah taman perumahan dan jiran-jiran, ibu bapa bolehlah menubuhkan kumpulan kecil untuk bertukar-tukar pengalaman dan fikiran apakah jalan yang paling baik untuk dilaksanakan dalam menghadapi masalah ini.

Kadang-kadang support group seperti yang dijalankan di kebanyakan negara maju merupakan satu golongan yang amat bermanfaat untuk keluarga dalam menghadapi masalah bersama, malah membuka fikiran kita tentang masalah yang kadang-kadang tidak ternampak sama sekali.

Hijrah dan perubahan

HARI ini telah empat hari kita memasuki tahun baru Hijrah 1419. Bagi orang Islam, saya rasa amat wajar sekali sekiranya ketibaan tahun baru hijrah dapat dijadikan satu titik permulaan bagi satu fasa hidup, azam baru atau agenda terhadap diri sendiri, keluarga atau masyarakat.

Saya hanya ingin mencadangkan satu perkara sahaja kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang bersekolah iaitu tentang masa yang diambil oleh anak-anak masing-masing bagi menonton televisyen (TV).

Saya pernah melihat beberapa kajian yang dilakukan tentang impak TV dan kesan negatif, positifnya kepada masyarakat umum khususnya kanak-kanak. Tetapi saya tidak tahu berapa banyakkah pula kajian yang pernah dilakukan tentang jumlah masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak di depan TV setiap hari, setiap minggu dan seterusnya setiap bulan dan tahun sehingga itu dapatlah dikira purata umur kanak-kanak yang dihabiskan untuk menonton TV, iaitu sama ada TV kerajaan, swasta, kabel, satelit, atau menonton video melalui mesin VCR atau bermain dengan computer game.

Oleh itu saya rasa bahawa langkah pertama yang harus mendapat perhatian serius kita sekalian ialah memastikan berapa banyak masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak untuk menonton TV atau yang berkaitan dengannya. Kita semua tahu bahawa ''masa itu emas'', ''masa itu seperti mata pedang, sekiranya anda tidak memotongnya, maka ia akan memotong anda.'' Malah al-Quran mengemukakan kepentingan masa dengan sumpah ''demi masa'', ''demi waktu duha'', ''demi malam'' dan sebagainya. Oleh itu masa yang kita habiskan itu amat penting diperhitungkan supaya dapat diketahui terlebih dulu berapa banyak umur kita dihabiskan dalam menjalankan sesuatu aktiviti dan dalam konteks ini berapa banyakkah masa yang dihabiskan menghadap peti TV itu.

Kalau dapat dipastikan purata masa itu dengan kadar yang tertentu, maka persoalan kedua yang harus dibicarakan pula ialah dalam jumlah masa yang dihabiskan di depan TV itu berapa peratuskah yang dapat dimanfaatkan seperti mendapatkan elemen-elemen pendidikan yang berguna, atau maklumat yang membina. Atau banyak manakah masa yang dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan hiburan yang melulu, yang banyak meninggalkan kesan buruk kepada pemikiran dan minda kanak-kanak itu.

Saya menyebut hal ini, kerana sebagai satu sebaran teknologi baru, TV seharusnya dapat berfungsi sebagai hasil teknologi maklumat yang dapat memberikan tiga unsur kepada masyarakat iaitu sebagai alat:

* Pendidikan.

* Maklumat.

* Hiburan yang sihat.

Satu persoalan yang timbul, apakah TV kita di Malaysia menyedari peranan ini dan dapat mengemukakan program-program secara seimbang bagi ketiga-tiga unsur yang tersebut di atas.

Saya tidak fikir TV kita benar-benar menyedari hal ini dan benar-benar dapat menyediakan program yang seimbang dan sepadu bagi ketiga-tiga unsur tersebut kerana mentaliti kita masih cenderung kepada hiburan, dan masih melihat TV sebagai alat hiburan semata-mata.

Rakyat di negara maju pun beranggapan demikian, dan realitinya pun memang demikian. Di Amerika Syarikat satu kajian menunjukkan bahawa 54 peratus kanak-kanak mempunyai peti TV di dalam bilik tidur mereka sendiri dan ketika mereka tamat sekolah elementary telah menonton lebih daripada 8,000 pembunuhan dalam TV.

Satu kumpulan ibu bapa yang prihatin dengan hal ini telah berusaha menubuhkan sebuah organisasi kira-kira tiga tahun yang lalu, yang diberi nama TV-Free America (TVFA), yang bukan bertujuan untuk mencampakkan peti TV ke dalam laut, tetapi untuk menolong para ibu bapa memfokuskan perhatian mereka tentang begitu banyaknya masa yang dihabiskan oleh anak-anak mereka di hadapan peti TV.

Baru-baru ini kumpulan Parent Soup telah berganding bahu dengan TVFA melalui program mereka sendiri yang dikenali dengan nama Turn-off Your TV (Tutup TV anda) dan melancarkan acara tahunan mereka TV-Turnoff, Week (Minggu Tutup TV) yang dijalankan pada minggu lalu iaitu mulai 22 hingga 28 April 1998 dengan slogan ''Tutup TV anda untuk seluruh minggu ini, dan buka kehidupan anda yang lain untuknya'' (Turn-off your TV for the entire week and ''turn on'' the rest of your life).

Kate Power dalam tulisannya It's 9 am. Do you know what your kids are watching? (Pukul 9 pagi. Tahukah anda apa yang sedang ditontoni anak anda?), mengemukakan beberapa fakta dan bahan yang ditayangkan dalam 45 saluran TV di Amerika. Beliau mengatakan bahawa untuk menyifatkan buruk baiknya program TV maka samalah halnya dengan cerita gajah dan orang buta, masing-masing mempunyai gambaran sendiri tentang bentuk rupa gajah yang dirabanya.

Bagaimanapun beliau menekankan bahawa pada masa kini terlalu banyak masa kanak-kanak terbuang di hadapan TV tanpa manfaat yang sewajarnya.

TVFA pula mengemukakan 100 aktiviti gantian untuk dimanfaatkan oleh ibu bapa dan anak-anak mereka daripada menonton TV iaitu mulai dari aktiviti luar rumah seperti bersukan, bertanam, mencuci laman, mengecat pagar sehingga kepada aktiviti dalam rumah seperti belajar memasak, menyusun bunga, membaca untuk diri sendiri atau untuk orang lain, belajar menulis cerpen atau artikel ringan dan seterusnya merancang aktiviti lawatan ke taman, muzium, berkelah, berkunjung ke kawasan pedalaman, belajar menggunakan kamera dan seratus aktiviti lain yang boleh dilakukan dengan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan jauh peti TV. Seratus aktiviti yang dicadangkan itu merupakan aktiviti alternatif daripada memerap di hadapan peti TV.

Saya rasa, masanya sudah sampai untuk kita semua, terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang bersekolah, agar dapatlah kita berganding bahu dan bersatu tenaga menyusun program bersama dalam membicarakan isu ini.

Kita harus membicarakan isu-isu ini berkaitan dengan persoalan-persoalan berikut:

* Mencari jawapan bagi persoalan kadar masa yang dihabiskan anak-anak di depan TV.

* Meneliti dan mengehadkan program TV yang wajar untuk anak-anak.

* Merancang aktiviti kejiranan dan kemasyarakatan secara bersama untuk mengisi masa anak-anak dengan pengisian yang berkualiti.

Sekurang-kurangnya azam tahun baru hijrah kali ini bolehlah difokuskan oleh ibu bapa kepada persoalan ini secara khusus daripada hanya mengeluh dan menunggu, menyalahkan orang lain dan menuduh pihak itu dan pihak ini.

Malah sekurang-kurangnya ibu bapa orang Amerika yang prihatin telah menyedari persoalan genting ini dan membuat sesuatu untuk memperbaikinya. Kenapa kita yang beragama ini tidak dapat pula melakukannya?

Kalau ibu bapa di Amerika boleh menubuhkan persatuan dan membincangkan hal ini bersama serta mencari penyelesaian-penyelesaian yang termasuk mengadakan hubungan seluruh dunia melalui Internet dan surat elektronik, kenapakah kita tidak boleh?

Membangun tamadun teknologi maklumat

KEMAJUAN teknologi maklumat dalam era baru sesungguhnya merupakan satu punca ilmu pengetahuan yang sungguh mengagumkan pernah dicapai oleh akal fikiran manusia yang dikurniakan Allah s.w.t. selama ini.

Penggunaan komputer untuk mencari kepelbagaian ilmu pengetahuan dengan cepat dan menyeluruh dalam Internet merupakan satu keistimewaan manusia pada hari ini. Bagi orang Islam yang beriman dengan kekuasaan Allah s.w.t. maka pencapaian manusia dalam teknologi maklumat adalah merupakan satu petanda pencapaian ilmu yang seharusnya digunakan untuk mencari kebenaran seperti firman Allah s.w.t.:

''Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di sekitar jagat dan di dalam diri mereka sendiri sehingga ternyatalah bagi mereka bahawa (Islam) itu benar.'' (al-Quran Fussilat (41), ayat 53).

Proses globalisasi dan pensejagatan ilmu merupakan satu proses yang dapat menyerlahkan kebenaran dan memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang positif sesuai dengan tuntutan agama sendiri.

Berdasarkan hal ini maka orang Islam tidak seharusnya menyisihkan diri dari perkembangan dan pembangunan teknologi maklumat pada hari ini, malah kita seharusnya dapat melibatkan diri secara aktif dan menjadi penyumbang utama untuk melahirkan satu masyarakat bertamadun bercirikan kebenaran seperti yang terkandung dalam agama kita.

Ketika saya menulis tentang Internet lawan dakwah dan membentangkan beberapa unsur pemusnah nilai-nilai agama melalui Internet dan surat elektronik, maka saya tidak bermaksud agar kita menjauhkan diri daripada menggunakan komputer dan Internet. Malah tujuan saya ialah agar kita turut terlibat secara langsung di dalam aktiviti keilmuan ini dengan menggunakan berbagai-bagai kemudahan komputer untuk menyebarkan ilmu dan sekali gus dapat memanfaatkan diri dengan pencapaian istimewa manusia dalam teknologi maklumat itu.

Daripada maklum balas yang saya terima, saya dapat mengesan beberapa pandangan yang membina tentang perkembangan teknologi maklumat dan kemanfaatannya. Tetapi peringatan dan amaran yang disuarakan ialah sama seperti yang telah saya suarakan iaitu kebimbangan dan kekhuatiran yang amat besar tentang pengaruh negatif perkembangan ini terhadap nilai dan pegangan akidah umat Islam, khususnya generasi muda yang sedang mencari nilai-nilai hidup sendiri dan yang kurang memahami asas-asas akidahnya secara mantap.

Unsur-unsur lucah dan gejala hedonisme daripada satu pihak amat menonjol dalam Internet yang seolah-olah disogokkan untuk merubah nilai dan pandangan hidup manusia sejagat dan mengepung mereka dalam satu lingkungan yang bebas daripada nilai-nilai agama dan moral yang positif untuk kesejahteraan manusia.

Daripada satu pihak yang lain unsur-unsur negatif dan mengelirukan yang ditonjolkan tentang kebenaran agama mungkin boleh membawa kekeliruan pandangan tenang akidah dan unsur-unsur tauhid agama, termasuk persoalan-persoalan tentang ketuhanan dan kerasulan.

Hal-hal seperti ini memang tidak dapat dinafikan kewujudannya, dan seperti yang dijelaskan maka unsur-unsur ini terbukti amat cepat penyebaran dan kebanjirannya dalam masyarakat manusia, termasuk masyarakat kita yang sedang menggalakkan pembangunan teknologi ini.

Oleh itu, seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, ketika merasmikan Infotech Malaysia '98 pada 21 April yang lalu, unsur-unsur pendidikan dan pengawasan diri haruslah dipertingkatkan ke tahap yang paling maksimum agar teknologi maklumat dapat dimanfaatkan oleh kita dalam membina masyarakat madani yang kita cita-citakan.

Unsur-unsur penapisan diri dan membina kekuatan dalaman haruslah dipertingkatkan dengan bersungguh-sungguh agar cabaran-cabaran negatif dalam teknologi maklumat itu dapat dilawan dan diatasi dengan sebaik-baiknya.

Semua faktor pengawasan dan pendidikan manusia, termasuk ibu bapa dan guru-guru, para pemimpin, dan jentera kerajaan sendiri haruslah dijanakan dengan sebaik-baiknya untuk mendidik semua peringkat generasi masyarakat kita yang sedang membangun supaya dapat menggunakan teknologi maklumat secara yang bertamadun untuk membina masyarakat madani.

Masyarakat bertamadun yang hendak kita bina ialah masyarakat yang berasaskan sistem nilai dan pembangunan ilmu pengetahuan yang menuju kepada kebenaran dan kekuasaan Allah S.W.T.

Hal ini memerlukan penyertaan orang-orang Islam sendiri dalam pembangunan teknologi maklumat secara positif dan proaktif. Biarlah ilmu dan kekayaan orang Islam dalam tamadun menjadi penyumbang yang konkrit untuk memajukan teknologi maklumat, dan bukanlah sebaliknya.

Contoh yang saya berikan dalam tulisan saya yang lalu tentang beberapa kumpulan anak-anak muda Islam yang membuka laman web mereka tentang kumpulan 'gay dan lesbian Islam' sesungguhnya amat memalukan dan merupakan satu tamparan hebat kepada kesucian agama kita.

Malah penyebaran junk e-mail dalam bahasa Melayu di negara kita sendiri nampaknya semakin meluas dan menjadi-jadi, iaitu yang merupakan satu perkembangan yang amat tidak sihat dalam pembangunan teknologi maklumat dan saluran elektronik di negara kita.

Masih banyak nampaknya unsur negatif dan mengelirukan disebar begitu mudah melalui e-mail oleh kalangan yang ingin menyebarkan fahaman fanatik mereka tentang agama, termasuk golongan yang mempersoalkan tentang sumber-sumber syariah, keutuhan sunah, kejituan ahli Sunah Waljamaah dan sebagainya. Malah tidak kurang pula yang menyebarkan fitnah dan prasangka buruk terhadap orang lain, yang hanya menyalahkan pihak lain, tidak dirinya sendiri, berasaskan fanatik politik kepartian sempit, khabar angin dan berbagai-bagai spekulasi yang hanya mencerminkan kecetekan ilmu dan taksub para pengirimnya.

Bagaimanakah hendak kita binakan masyarakat madani dan mengembalikan tamadun gemilang kita, sekiranya sikap negatif ini masih mencengkam jiwa orang-orang Islam sendiri dan unsur-unsur yang meruntuhkan ini lebih banyak mendapat perhatian daripada unsur-unsur yang dinamik dan membina.

Masyarakat islam sekarang amat memerlukan golongan berilmu dan berhikmah dalam membangun teknologi maklumat secara bertamadun, dan orang-orang Islam sendiri haruslah menjadi sumber ilmu dan hikmah itu sendiri, terutamanya apabila semua prasarana teknologi maklumat itu telah dibangunkan dengan jayanya di negara kita.

Gerakan pemusnah agama

KISAH seorang ibu kehilangan anak gadis kesayangannya seperti yang saya catatkan di ruangan ini pada 3 April lalu masih segar dalam ingatan, dan mendapat reaksi emosional dan mental yang agak hangat melalui maklum balas yang saya terima dari semua peringkat.

Kisah ini menarik perhatian kerana ianya melibatkan sikap anak gadis tersebut yang menjadikan ibu bapanya sebagai musuh nombor satu dan menjadikan semua anggota keluarga dan teman-teman baiknya juga sebagai musuh ketat.

Transformasi yang dialami anak gadis itu ternyata amat serius, iaitu seratus peratus terbalik dari peribadi dan sikap serta mental dan peranannya ketika ia masih normal dari sekolah rendah menjelang ke tingkatan lima. Andaian yang dibuat oleh ibunya ialah anak gadisnya besar kemungkinan telah melalui proses penyucian mental dan fikiran dari kalangan yang tertentu yang ada hubungan dengan God person.

Nama ini dicatat sendiri oleh anaknya dalam buku hariannya sebagai orang yang ditemuinya dalam proses transformasi peribadinya itu.

Andaian kita pula mungkin dapat disimpulkan bahawa proses transformasi mental dan pemikiran ini mempunyai hubungan dengan ideologi agama dan ketuhanan, kerana God person yang disebutkannya itu mungkin merupakan Tuhan dalam konsepnya yang tersendiri, atau sebarang peribadi yang mempunyai hubungan dengan penjelmaan Tuhan di dalam dirinya, atau yang mengakui dirinya sebagai Tuhan, utusan Tuhan dan sebagainya.

Pengaruh orang perantaraan atau ''Tuhan'' ini mengatasi segala hubungan ke ibu bapaan dan kekeluargaan serta kawan rakan karib, kerana ibu bapa tidak lagi ditegur sapa, keluarga tidak lagi perlu dilayan dan teman-teman karib juga tidak perlu dilawan berbicara dan berbincang.

Kisah ini saya kemukakan dengan satu tujuan sahaja, iaitu untuk memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa dalam era persaingan ekonomi dan teknologi pada hari ini, di luar sana terdapat juga persaingan golongan dan kalangan orang-orang yang cuba mengembangkan pengaruh ideologi kepercayaan agama dan anutan yang tertentu, dan adakalanya melalui platform ekonomi dan teknologi maklumat.

Mereka akan mencari titik kelemahan anak-anak muda untuk disuntik dengan racun berbisa yang tanpa disedari oleh anak-anak itu akan meresapi ke dalam darah daging dan pemikirannya sehingga mereka berubah menjadi manusia yang lain.

Inilah proses yang berlaku di dunia moden pada hari ini, iaitu pengisian rohani dan mental dengan ajaran-ajaran tertentu yang dapat mempengaruhi fikiran dan tindakan manusia yang adakalanya menjelma dalam bentuk ajaran sesat seperti golongan cult tertentu yang pernah berlaku di Jepun, England, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Pengikut-pengikut ajaran sesat cult ini akan menumpahkan sepenuh taat setia dan menaruh keyakinan penuh kepada pemimpin dan ketua mereka sehingga ke satu tahap yang tidak ada tolok bandingnya.

Mereka akan patuh kepada sebarang arahan ketuanya, walaupun ke tahap yang membinasakan diri sendiri, seperti membunuh diri dengan apa cara sekali pun. Gerakan pemusnah personaliti dan identiti ini merupakan satu gerakan antarabangsa dengan jaringan dan networking yang amat luas. Kita tidak tahu apakah anak gadis yang terlibat dalam peristiwa ini menjadi mangsa jaringan tempatan dan seberang laut.

Tetapi yang kita tahu anak ini berjaya melarikan diri ke luar negara dan sedang melanjutkan pelajaran di England dengan dijaga oleh guardian atau penjaga yang misteri, tidak diketahui oleh ibu bapanya sendiri.

Hal seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa dan pada bila-bila masa sahaja. Ia mungkin boleh mulai berlaku di pusat tuisyen seperti yang berlaku kepada gadis ini, atau di tempat lain melalui sesiapa saja yang tidak diketahui. Ibu bapa haruslah lebih tajam pandangannya kepada tingkah laku dan gerak geri anak-anaknya, terutamanya tentang cara berfikir dan perubahan kepekaannya terhadap nilai dan budaya tradisi keluarga dan agama.

Dalam keadaan pengaruh nilai-nilai sejagat dan masyarakat permisif, berbagai-bagai perubahan mengejut boleh berlaku kepada diri seseorang itu, terutamanya yang dapat mengubah persepsi dan world-viewnya.

Kemajuan teknologi maklumat merupakan satu unsur lain yang dapat memberi cabaran hebat kepada sistem kepercayaan dan ajaran agama pada hari ini. Menyebut tentang agama, saya tidak bermaksudkan Islam sahaja, malah termasuk juga agama-agama lain yang turut dicabar dan digugat kedudukannya, dan dalam hal ini Islam semestinya menghadapi cabaran yang amat hebat kerana ia mempunyai sistem yang meliputi segala aspek kehidupan manusia.

Dalam laman web Internet yang boleh dimasuki oleh sesiapa saja umpamanya, terdapat berbagai-bagai pengisian yang mempersoalkan tentang relevansi agama dalam masyarakat moden. Persoalan-persoalan itu dibangkitkan di atas nama hak asasi mutlak manusia dan amalan demokrasi dan kebebasan individu, termasuk isu kebebasan berfikir dan menganut sistem kepercayaan sendiri.

Seorang Islam yang memberi nama Islamnya menyediakan lamannya sendiri di dalam Internet dan mempersoalkan tentang ajaran Islam yang melarang manusia mengamalkan homoseksual, iaitu di manakah keadilan Islam dalam hal ini dan apakah rasionalnya larangan tersebut diwujudkan sedangkan manusia ini mempunyai keinginan dan perasaannya sendiri?

Apabila isu seperti ini ditimbulkan dalam laman web, maka akan terjalinlah interaksi dengan seluruh dunia. Si pemunya laman ini akan menerima banyak maklum balas yang menyokong pendiriannya sehingga mereka dapat melahirkan semacam pandangan yang cukup mantap dan established tentang isu ini, iaitu mengapa agama menjadi penghalang untuk manusia mengamalkan kebebasan mereka yang asasi.

Keadaan ini menjadi lebih kusut apabila laman ini diperkembangkan menjadi saluran kumpulan gay dan lesbian yang menamakan diri mereka Muslim Gay and Lesbian dengan menyuarakan protes mereka terhadap agama dan seribu satu persoalan yang dibangkitkan menyentuh segi rasional dan logik bercirikan asas-asas pemikiran bebas dan dasar sekularisme.

Tambah tidak menyenangkan kita orang Melayu ialah apabila laman yang sama digunakan oleh kumpulan keturunan Arab di Amerika Syarikat untuk mengiklankan persatuan gay dan lesbian Arab di US bagi mencari ahli untuk tujuan interaksi dan menjalankan aktiviti bersama.

Saya menyebut tidak menyenangkan orang Melayu, kerana orang awam kita sering melihat Arab sebagai model terbaik agama. Maka anak-anak kita juga mungkin akan bertanya: ''Kalau mereka boleh buat kenapa kita tidak boleh?''

Cabaran dan pengaruh sejagat dengan berbagai-bagai cara itu sesungguhnya haruslah berada dalam maklumat kita. Para cendekiawan, pimpinan, ibu bapa, pendidik dan semua golongan haruslah menyedari cabaran-cabaran yang dibawa oleh manusia sekarang melalui berbagai-bagai saluran dan jaringan, termasuk cabaran-cabaran terhadap ajaran asas dan teras agama yang telah kita warisi dari sumber asal, al-Quran dan Sunah.

Sebelum berlaku seperti peristiwa yang dialami oleh ibu tadi, atau yang lebih besar lagi, maka kita seharusnya menjadi lebih awas dengan mengenal pasti masalah dan cabaran itu serta membekalkan anak-anak kita dengan ilmu pengetahuan dan pendirian yang kukuh dalam menghadapi segala arus dan badai kehidupan global dan moden ini.

Membina nilai bangsa Malaysia

HARI Raya Korban yang disambut hari Selasa lalu bukan sahaja merupakan hari mengingati dan menghayati sunah Nabi Allah Ibrahim a.s. tentang perintah Allah untuk mengorbankan putera baginda Ismail, tetapi juga merenung kembali dan mengambil iktibar tentang sejarah perjalanan Nabi Ibrahim a.s. yang begitu prihatin tentang keturunan baginda umumnya.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 124, yang bermaksud: Dan ingatlah tatkala Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa perintah, lalu ia menyempurnakannya, (dan) dia berfirman, ''Sesungguhnya Aku hendak jadikan kamu ketua bagi manusia'' (maka ia (Nabi Ibrahim) bertanya: Daripada keturunanku (juga)? ''Dia (Allah) menjawab, ''perjanjianku tidak akan mengenai orang-orang yang zalim.''

Keprihatinan Naib Ibrahim jelas terbayang iaitu ketika baginda sendiri akan dilantik untuk memimpin manusia seluruhnya, maka baginda bertanya kepada Allah s.w.t. apakah anak cucu dan keturunannya juga akan dilantik menjadi pemimpin manusia seperti dirinya sendiri. Maka kepada pertanyaan inilah Allah menjawab bahawa janji Allah untuk baginda bukanlah janji yang menyeluruh, iaitu janji bagi Nabi Ibrahim untuk menjadi pemimpin manusia tidak akan dirasai oleh anak cucunya yang zalim dan tidak berlaku adil.

Keprihatinan Nabi Ibrahim tentang anak cucunya secara langsung dijawab oleh Allah yang memberi isyarat bahawa keturunan baginda tidak akan mewarisi kuasa baginda secara mutlak berasaskan warisan, malah mereka haruslah terdiri daripada manusia-manusia yang dapat berlaku adil, tidak bersifat zalim dan sebagainya.

Sebab itulah dalam urutan sejarah Nabi Ibrahim seterusnya Allah menjelaskan tentang perintah-Nya supaya Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail membersihkan rumah-Nya, iaitu Kaabah untuk orang-orang yang beribadat, tawaf, rukuk dan sujud di dalamnya. Kerjasama ayah dan anak ini merupakan satu simbol gabungan dua generasi penyambung untuk manusia Muslim sejagat yang berkekalan hingga ke hari ini dan masa yang akan datang.

Baginda pun (Nabi Ibrahim) mengambil berat tentang peringatan Allah s.w.t. bahawa dasar kepimpinan warisannya haruslah diasaskan di atas kesaksamaan, keadilan dan tidak berlaku kezaliman. Sebab itulah dalam surah yang sama ayat 127 dan 128 Allah s.w.t menjelaskan doa restu dan munajat Nabi Ibrahim kepada Allah s.w.t. seperti berikut.

Dan (ingatlah) ketika Ibrahim membina dasar-dasar Baitullah berserta Ismail (seraya berkata): Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Penerima Taubat Lagi Maha Penyayang.''

Doa Nabi Ibrahim ialah memohon Allah menunjukkan jalan yang lurus dan benar dalam mengerjakan ibadat mereka, juga memohon keampunan di atas segala keterlanjuran yang mungkin berlaku.

Mesej penting daripada beberapa ayat tentang kisah sejarah ini, ialah keprihatinan bapa terhadap kebahagiaan anak cucu dan keturunannya di dunia dan akhirat. Kalau dalam peristiwa yang memohon pengorbanan ayah dan anak ketika Allah memerintahkan ayah menyembelihkan anaknya, dan peristiwa itu berakhir dengan penutup yang melegakan, iaitu anak diganti dengan binatang korban, maka peristiwa-peristiwa selanjutnya menceritakan tentang pembentukan kerjasama fizikal dan mental serta aktiviti kerohanian ayah dan anak untuk membina keluarga mantap bercirikan unsur-unsur dunia akhirat, jasmani dan rohani.

Iktibar ini amat tepat pada masanya ketika kita menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini iaitu ketika kita sendang menyusun agenda membentuk keluarga bahagia berteraskan nilai-nilai murni akhlak dan kerohanian Islam sejagat. Nilai-nilai sejagat yang dimaksudkan itu ialah untuk dihayati dalam tradisi umat manusia keseluruhannya di sepanjang zaman.

Dalam konteks kita, nilai-nilai sejagat Islam tentang moral dan rohani perlu dikenal pasti dan dihayati dalam membentuk bangsa Malaysia yang mantap, berdisiplin, berkualiti dan bermaruah, jauh daripada tradisi dan budaya hidup yang merugikan, yang termasuk dalam istilah al-Quran sebagai lahwu dan laghwu, lalai dan sia-sia.

Saya membaca kenyataan Timbalan Presiden MCA Ahad, 5 April 1998 yang lalu dengan penuh minat dan amat menarik sekali. Beliau ketika menyatakan sokongannya kepada program tiga tahun untuk mengikis tradisi perjudian, kepercayaan khurafat, majlis makan amalam secara mewah dan adat tradisi kaum Cina di Malaysia, menyatakan bahawa ''perjudian tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya kaum Cina. Hal yang sama juga boleh ditujukan kepada majlis jamuan makan malam sepuluh course yang memakan masa beberapa jam.''

Kenyataan ini amat menarik, kerana hal ini juga merupakan satu isu keluarga dalam pembentukan generasi baru yang mengalami anjakan paradigma yang selama ini menghantui pandangan generasi lama. Kenyataan ini juga menggambarkan sebahagian daripada usaha bersama semua etnik secara sepadu dalam membentuk nilai dan budaya orang-orang Malaysia.

Saya sendiri selama ini sering mendapat kesan daripada maklumat-maklumat yang didengar dan dibaca, bahawa perjudian dan kepercayaan kepada khurafat adalah merupakan sebahagian daripada tradisi dan budaya kaum Cina yang tidak mungkin dikikis sama sekali.

Tetapi kenyataan Timbalan Presiden MCA itu nampaknya memberi satu persepsi baru tentang budaya kaum Cina yang boleh direformasi dan dibangun semula dengan program tiga tahun yang dicadangkan itu ke arah yang lebih positif dan membina.

Saya percaya bahawa kesungguhan program itu dan keazaman kental para pendukungnya akan berjaya membuka minda orang ramai tentang keperluan membina kehidupan yang lebih baik berasaskan satu nilai murni yang dinamik dan berkualiti.

Malah sebelum ini pun iaitu pada 4 April saya membaca kenyataan Presiden MCA sendiri yang menyatakan bahawa ''Pembangunan kerohanian mestilah diberikan penekanan yang sewajarnya di samping pembangunan ekonomi. Kepentingan kasih sayang, keprihatinan, perkongsian, memberi dan menerima, haruslah diterapkan di dalam masyarakat pada hari ini, kerana pembangunan ekonomi sahaja tidak dapat menjamin kemajuan bangsa seluruhnya.''

Kenyataan-kenyataan ini pada saya adalah kenyataan yang amat membina kerana ia dibuat atas dasar budaya dan pembangunan bangsa. Penerapan dan amalan nilai-nilai positif moral dan kerohanian tidak semestinya hanya mengambil pendekatan ritual atau ibadat semata-mata yang biasanya diasaskan kepada ajaran agama.

Memang benar bahawa bagi orang-orang Islam nilai-nilai moral kerohanian ini cukup lengkap dan amat menyeluruh dalam ajaran agama Islam, tetapi satu hal yang harus disedari bahawa nilai-nilai ini perlu disampaikan dalam bentuk kepelbagaian dimensi, sosial, budaya, psikologi, sejarah, falsafah dan sebagainya, dan hal ini tentulah tidak memadai dengan satu dua khutbah, ceramah atau forum rasmi sahaja.

Orang Islam sendiri mungkin memerlukan program berjangka seperti yang cuba ditunjukkan oleh MCA. Mungkin banyak program berorientasikan budaya dan sosiologi bangsa Melayu yang perlu dikaji dan disusun serta ditangani dengan sebaik-baiknya dalam membangun masyarakat Islam di Malaysia yang bermoral dan berakhlak.

Orang Melayu dengan gambaran negatif generasi mudanya yang banyak terlibat dengan gejala sosial, mungkin tidak menghadapi masalah yang besar tentang sembahyang dan puasa serta ibadat dan ritual yang lain. Tetapi isu keseluruhannya ialah isu moral dan akhlak, isu penghayatan nilai dan etika murni, termasuk nilai-nilai murni dan etika keislaman itu sendiri.

Selain daripada usaha ibu bapa dan institusi pendidikan formal di negara kita, maka saya rasa bahawa kerjasama di antara para sarjana dan ulama dengan ahli-ahli kajian sosial dan ekonomi amatlah penting untuk membentuk cara hidup dan budaya Melayu sebenarnya yang berasaskan agama dan berorientasikan nilai-nilai Islam yang murni.

Kalau MCA boleh melancarkan program tiga tahunnya untuk mereformasikan budaya dan tradisi kaum Cina di Malaysia, maka organisasi Melayu pun mungkin memerlukan program sendiri, dan saya percaya kaum India juga boleh turut sama dalam program pembangunan kaum India di Malaysia.

Harapan kita yang utama ialah membangunkan bangsa Melayu yang berpegang teguh kepada nilai-nilai etika, moral dan agama masing-masing dengan secara bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas.

Internet lawan dakwah

SAYA menerima beberapa pucuk surat e-mail yang memberti tahu tentang wujudnya beberapa kempen dalam Internet memburuk-burukkan Islam, menghina dan mempersenda-sendakan Islam.

Surat-surat itu melahirkan rasa bimbang bahawa dalam zaman informasi, komputer dan teknologi maklumat ini, kempen-kempen berunsur anti-Islam ditakuti akan mengelirukan pemikiran dan persepsi generasi muda Islam tentang kebenaran agamanya. Lebih-lebih lagi dalam jangka panjang, mungkin kempen-kempen seperti itu akan mempengaruhi pemikiran dan pendirian mereka tentang agama. Malah telah ada pun di antaranya yang mulai mempersoalkan tentang kebenaran agamanya.

Saya juga diberitahu oleh seorang ibu bahawa anak gadis remajanya yang mengikuti kelas tuisyen telah dipengaruhi oleh kalangan yang tertentu dengan mengacau bilaukan persepsi dan pemikirannya tentang agama, sehingga tidak lama kemudian anaknya menjadi antikeluarga, antiibu bapa dan tidak mahu lagi bermesra dengan keluarga, sehingga akhirnya melarikan diri ke luar negara. Bagi si ibu ia sudah kehilangan anaknya, dia mendapat mengesan bahawa anaknya juga telah meninggalkan agama Islam.

Dari kedua-dua kes yang disebutkan di atas, di antara beberapa banyak kes yang lain, ternyata bahawa pegangan agama di kalangan sebahagian generasi muda kita sekarang ini amatlah rapuh dan longgar, terlalu mudah dipatah-patahkan dan sudah dapat ditumbangkan dengan sedikit sahaja tiupan angin walaupun tiupan angin itu tidak sekuat ribut atau taufan yang besar.

Persoalannya sekarang yang harus difikirkan dan diselesaikan oleh orang Islam sendiri ialah kenapakah kempen-kempen yang dijalankan orang untuk menyebar idea antiagama itu amat mudah diterima oleh sesetengah kalangan generasi muda? Apakah kaedahnya?

Bagaimanakah pendekatan yang diambilnya? Dan beberapa persoalan strategik lainnya yang harus dikenal pasti, dihadami dan dianalisis dengan semasak-masaknya untuk mencari jawapan dan penyelesaiannya.

Pada pandangan mata kasar, ternyata bahawa pada masa kini, dakwah dan seruan untuk berpegang kepada agama sedang berada di tengah-tengah gelanggang masyarakat kita dengan jentera dakwah yang sistematik, teratur dan tersusun dengan baik. Pengajaran agama diajar secara formal di pusat-pusat pengajian rasmi di segala peringkat.

Penyebaran agama dilakukan dengan giat oleh agensi-agensi agama kerajaan dan swasta, pejabat-pejabat agama, media elektronik, media cetak dan sebagainya selain daripada program-program dakwah anjuran badan-badan bukan kerajaan, persatuan wanita, belia dan sebagainya.

Masjid-masjid dan surau menyediakan tadika Islam, kelas agama, fardu ain dan kelas al-Quran, malah mengadakan kuliah Subuh serta Maghrib di samping program-program ceramah yang diadakan secara besar-besaran dari semasa ke semasa terutamanya ketika menyambut hari-hari kebesaran agama.

Saya mendapat tahu, di samping agensi-agensi agama dan badan-badan tertentu, maka terdapat juga orang-orang perseorangan, tuan-tuan rumah secara individu, menganjurkan ceramah-ceramah agama di rumah kediaman mereka untuk suri-suri rumah dan jiran tetangga yang berminat dengan menjemput guru-guru agama bagi menyampaikan pengajaran dalam program tetap seminggu atau dua minggu sekali. Pendeknya, dilihat daripada aktiviti rasmi dan tidak rasmi aktiviti kumpulan dan individu dengan jentera dakwah yang agak komprehensif dan melibatkan tenaga pendakwah yang besar, maka masyarakat Islam di Malaysia nampaknya mempunyai persiapan yang cukup besar untuk menjadi masyarakat yang berilmu, bertakwa dan beriman.

Persoalannya sekarang, mengapakah dalam kegiatan pesat penyebaran agama, penanaman pengetahuan agama secara mendalam, dan pembinaan iman yang begitu teguh di kalangan generasi muda dan tua, tiba-tiba dengan tiupan angin yang tidak begitu kencang, dapat mematahkan pokok iman yang kelihatan kuat dan kukuh, malah ada kalanya pokok tercabut dan terbongkar sama sekali.

Kisah seorang gadis yang dikatakan murtad tidak lama dulu juga menimbulkan tanda tanya yang besar jika difikirkan bahawa gadis itu mempunyai asas pendidikan agama yang kuat, berpakaian melambangkan komitmen agama dan berkeperibadian Islam. Tiba-tiba dalam keadaan begitu, ia dikatakan telah mengisytiharkan dirinya keluar dari Islam. Hal ini tentu ada sebab tertentu yang amat sukar diteka dan diduga. Sekiranya perbuatan murtad dilakukan oleh seorang yang memang tidak punya kekuatan agama, atau mempunyai rekod yang terlalu buruk dalam penghayatan agama, maka hal itu tentulah tidak mengejutkan kita jika dibanding dengan orang yang punyai rekod dan latar belakang agama yang kuat, tiba-tiba mengambil tindakan yang begitu radikal tentang akidahnya.

Persoalan ini adalah satu persoalan amat besar. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Islam keseluruhannya untuk berusaha mengkaji masalah ini dan mendapatkan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Bagaimanapun persoalan yang ditimbulkan tentang penggunaan teknologi maklumat untuk mengelirukan pemikiran generasi muda Islam itulah yang seharusnya dibicarakan sebagai agenda yang paling urgent untuk dikaji kesan buruknya. Kemajuan teknologi komputer, komunikasi dan teknologi maklumat merupakan sesuatu yang amat diminati dan menarik perhatian generasi muda. Kalangan yang ingin mencipta kejutan dan menghadirkan kekeliruan tentang apa saja persepsi, termasuk persepsi dan isu-isu agama, akan mengisikan segalanya di dalam komputer untuk diikuti oleh para pencipta, terutama anak-anak muda.

Kebijaksanaan pengisian komputer yang diperkuatkan dengan alasan yang berbentuk logik dan ilmiah tentulah sedikit sebanyak akan mempengaruhi mereka lalu membuat mereka berfikir semula apakah segala sesuatu yang mereka pelajari dan dengar selama ini tentang agama mereka itu benar atau tidak. Kalau maklumat palsu tentang agama, dan pentafsiran negatif agama yang dimuatkan di dalam saluran-saluran maklumat komputer itu berjaya mewujudkan semacam kekeliruan pemikiran tentang agama di kalangan generasi muda, maka hal itu sebenarnya sudah merupakan kejayaan besar bagi kalangan yang berniat buruk terhadap kesucian agama Islam. Justeru, kita wajar memikir dan segera mengambil tindakan mengatasinya. Tindakannya tentulah tidak hanya menyalahkan orang lain.

Kita sendiri haruslah mengambil kesempatan untuk menggunakan saluran yang sama iaitu komputer untuk mengisikannya dengan fakta-fakta yang sahih tentang agama dengan pendekatan yang berasaskan ilmu pengetahuan Islam yang betul dan menarik.

Kita memerlukan lebih banyak homepage Islam dalam Internet dengan pengisian soal jawab yang sering ditimbulkan tentang agama (FAQ), perbualan Internet (IRC), kumpulan berita (newsgroup) dan sebagainya.

Kita memerlukan kumpulan-kumpulan pakar dan sarjana Islam yang dapat meneliti fakta-fakta salah tentang Islam yang disalurkan di dalam Internet untuk dikaji dan diberi penjelasan di dalam saluran yang sama. Para sarjana Islam seharusnya dapat berperanan secara lebih aktif untuk memberi penjelasan tentang Islam kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia melalui surat elektronik (e-mail).

Pendeknya, dalam menghadapi cabaran dan ancaman teknologi maklumat, orang Islam sendiri mestilah dapat bertindak secara proaktif dan penuh bijaksana.

Ibu bapa yang mempunyai komputer dengan Internet dan e-mail harus mengambil berat tentang maklumat yang diikuti oleh anak-anak mereka. Ibu bapa sendiri mestilah peka kepada sesuatu maklumat yang boleh mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran anak-anak mereka.

Eropah dan dunia Islam

JIKA dalam forum-forum yang diadakan selama ini tentang Eropah dan Islam, Barat dan dunia Islam atau apa saja namanya perbincangan tentang hubungan Islam dengan dunia Barat, orang-orang Barat umumnya kelihatan lebih bersikap diplomasi, tidak lantang mengemukakan pandangan negatif mereka tentang orang-orang Islam di negara mereka, tetapi keadaannya agak berbeza dengan pandangan-pandangan mereka yang dikeluarkan di dalam seminar di IKIM tentang Eropah dan dunia Islam pada 24 dan 25 Mac, 1998 yang lalu. Hal ini berlaku demikian, mungkin kerana seminar ini pada umumnya dihadiri oleh ahli-ahli akademik.

Terdapat para penceramah dan para peserta Eropah dalam seminar tersebut yang mengemukakan beberapa keadaan runcing yang mereka hadapi dalam menangani masalah orang-orang di negara mereka.

Ramai para pendatang Islam yang berhijrah dan menetap di Eropah secara kekal dengan mendapat taraf penduduk tetap atau kerakyatan negara bagi mereka yang secara positifnya menyumbang ke arah pembangunan negara kedua mereka dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Kerajaan negara-negara Eropah tidak menghadapi masalah dengan orang-orang Islam yang dapat mengintegrasi diri mereka dengan rakyat asal dan mematuhi undang-undang negara serta mengadaptasi budaya dan cara hidup Barat.

Malah ada terdapat negara Eropah seperti Belgium, Sweden, Sepanyol dan beberapa buah negara lain lagi yang mengiktiraf Islam sebagai agama yang setaraf dengan agama Yahudi dan Kristian.

Kerajaan-kerajaan tersebut membantu orang-orang Islam dan membiayai perbelanjaan mereka dalam bidang pendidikan, peribadatan, dan sebagainya. Wakil Belgium menyatakan bahawa di negaranya terdapat banyak masjid dengan peruntukan bilangan imam yang mencukupi untuk menampung keperluan orang-orang Islam di Belgium kira-kira tiga puluh enam ribu orang.

Kalau pandangan wakil Belgium itu dapat dijadikan sebagai kenyataan umum yang mewakili pandangan negara-negara Eropah yang lain maka keadaan nampaknya amat positif dengan wujudnya sebuah masyarakat Islam yang dapat menyumbangkan dengan baik kepada negara kedua mereka dan dapat pula menerima pengiktirafan dan bantuan yang perlu sebagai hak warganegara yang setaraf dengan rakyat asal.

Hal ini bagaimana pun tidaklah dapat digambarkan semudah itu, kerana gambaran sebenarnya perlulah dilihat secara yang lebih dekat, dengan kajian yang lebih teliti, kerana sikap dan layanan kepada orang Islam di negara-negara Barat masih banyak yang boleh dipersoalkan dan dijadikan isu.

Bagaimanapun, dari sudut yang ditimbulkan di atas, tentang keadaan sebenar sebahagian umat Islam di negara-negara Eropah, maka mungkin hal ini menjadi isu yang menarik dan patut menjadi bahan pemikiran untuk makluman dan tindakan kita sebagai umat Islam yang bertamadun.

Isu-isu yang ditimbulkan itu ialah wujudnya kumpulan-kumpulan politik Islam yang radikal, yang menjadikan negara Eropah sebagai pangkalan mereka untuk menjalankan aktiviti mereka, terutamanya untuk bergerak menentang negara asal mereka sendiri.

Mereka mengambil kesempatan daripada dasar kebebasan bergerak dan bersuara yang diamalkan di negara Barat bagi menyusun agenda dan pergerakan mereka yang dilihat sebagai satu ancaman bagi keamanan dan kestabilan politik negara-negara tersebut.

Malah amat memalukan juga apabila dijelaskan bahawa biasanya pangkalan gerakan-gerakan melampau ini ialah di masjid-masjid, tempat ibadat orang-orang Islam itu.

Masalah ini biasanya amat kompleks dan serabut, kerana pendatang Islam yang berhijrah ke negara-negara Eropah adalah terdiri daripada berbagai-bagai golongan. Terdapat orang-orang politik yang mencari perlindungan politik, orang-orang miskin yang mencari pekerjaan, orang-orang yang mencari peluang perniagaan, pelarian perang dan berbagai-bagai golongan dengan latar belakang budaya dan bahasa yang berbeza-beza. Mereka semua beragama Islam, tetapi berbeza-beza mazhab, Sunni, Syie, Ismaili dan sebagainya.

Hal ini benar-benar menjadi masalah, terutamanya dari segi komunikasi dan peningkatan budaya mantap yang sejajar dengan tahap budaya orang-orang Eropah sendiri, juga dari sudut kesepaduan fahaman Islam di kalangan mereka sendiri.

Malah seperti yang dijelaskan oleh wakil Sweden, orang-orang Islam dengan latar belakang yang serba lemah dan bercelaru itu kelihatan amat tidak terurus, tidak dapat berorganisasi secara mantap. Mereka mempunyai kelompok atau persatuan yang amat banyak. Masing-masing kelompok atau organisasi mendakwa diri mereka sebagai mewakili Islam dari segi doktrin pemikiran dan ajaran Islam itu sendiri.

Kerajaan negara Eropah mengalami kesukaran yang besar untuk berkomunikasi dengan pertubuhan Islam yang benar-benar mewakili majoriti orang Islam. Tidak ada wakil yang diberi mandat penuh dan rasmi.

Tidak ada jurucakap yang benar-benar representative untuk menyuarakan kehendak dan tuntutan orang-orang Islam yang sebenarnya kepada negara, kerana komuniti Islam berpecah kepada kelompok-kelompok yang banyak, malah mengikut mazhab fiqah mereka masing-masing.

Orang Islam amat berpecah belah, kadang-kadang mengikut etnik dan daerah dari mana mereka datang, atau bahasa apa yang mereka guna, atau latar belakang dan tradisi hidup asal mereka yang amat berlainan.

Satu perkara yang menjadi masalah besar di sesetengah negara Eropah, ialah wujudnya golongan fanatik yang mencuba untuk mengubah sistem sekular Barat itu sendiri mengikut sistem Islam yang mereka perjuangkan. Pergerakan mereka tentulah menjadi amat radikal dan mengancam perdamaian negara dan rakyat.

Gambaran-gambaran yang diberikan itu mungkin tidak sepenuhnya betul dan benar berlaku di semua negara Eropah. Tetapi satu hal yang pasti, ia berlaku di beberapa bahagian negara Eropah di tangan segelintir pendatang Islam yang berhijrah ke Eropah dengan tujuan tersebut.

Hal ini sebenarnya menjadi luka lama berdarah kembali. Dari segi sejarah seperti yang disebutkan juga oleh Perdana Menteri ketika membuka seminar ini, orang-orang Islam mendapat layanan buruk di tangan pemerintahan Barat dan orang-orang Islam serta agama Islam tidak dapat diterima oleh mereka, tidak seperti agama Yahudi dan Kristian. Maka dalam konteks sini, perbuatan melampau orang-orang Islam sendiri dan perpecahan yang wujud di kalangan mereka sekarang ini tentulah amat menyulitkan usaha untuk mencari ubat bagi menyembuhkan luka-luka lama itu.

Kerajaan negara Barat tentu akan tetap mencurigai orang-orang Islam dan mempertikaikan keikhlasan mereka disebabkan oleh tingkah laku sebahagian kecil daripada mereka yang merosakkan imej dan persepsi umum tentang Islam dan umatnya.

Hal ini saya sebutkan di sini bukan sebagai satu cara untuk menjustifikasikan ketidakadilan sesetengah negara Eropah terhadap agama dan orang-orang Islam di negara mereka. Malah isu ini selalu ditimbulkan iaitu tentang keadilan, hak asasi, demokrasi dan sebagainya yang kelihatan tidak diamalkan oleh orang-orang Barat terhadap orang-orang Islam.

Yang ingin saya kemukakan di sini, ialah isu orang-orang Islam sendiri yang sedang mencari identiti dan keperibadian mereka di Barat dan yang ingin menetap di Barat secara penuh integrasi, tetapi pada masa yang sama mahu menjamin keperibadian mereka sebagai orang Islam yang tetap mengamalkan ajaran dan nilai-nilai agama Islam, yang menjaga moral, dan akhlak Islamiah mereka.

Bagaimanakah hal ini dapat dicapai dan dijelmakan menjadi kenyataan sekiranya agenda orang-orang Islam untuk tujuan itu tidak disusun rapi dengan sebaik-baiknya dan tidak dikerjakan dengan hati dan tekad yang bulat, kerana umat Islam di sana amat berpecah belah dan amat tidak sepadu?

Orang Islam mestilah bermuhasabah diri mereka sendiri dan membetulkan perjalanan hidup mereka sebelum mengharapkan simpati dan pertolongan orang lain. Orang-orang Islam yang berhijrah ke Barat dan menetap di sana haruslah mencari jalan mewujudkan perpaduan dan mengurangkan jurang pemisah di antara mereka disebabkan perbezaan etnik, bahasa, mazhab dan sebagainya.

Melayu dan agama

MASALAH penghayatan nilai-nilai Islam di kalangan orang-orang Melayu (yang keseluruhannya beragama Islam) sering ditimbulkan dengan penuh rasa bimbang dan gawat sekali.

Selama ini kita sering merasa bingung dan tenggelam punca apabila dibangkitkan persoalan kenapakah anak-anak muda Melayu yang banyak terlibat dalam gejala sosial dan krisis moral yang berlaku di negara kita? Kenapakah peratusan kejadian jenayah sosial dan salah laku yang melanggar nilai-nilai moral dan akhlak semakin meningkat di kalangan anak-anak Melayu mengatasi peratusan kejadian yang sama di kalangan etnik yang lain?

Persoalan ini ditimbulkan kerana jika dikaji dari segi lojiknya maka anak-anak Melayu yang beragama Islam itu sepatutnya tidak akan terlibat dengan gejala sosial dan salah laku yang bertentangan dengan ajaran agama itu.

Anak-anak Melayu yang sepatutnya menjadi contoh dan model kepada orang lain tentang penghayatan nilai-nilai moral yang baik dan komitmen kepada ajaran agama yang suci. Tetapi apa yang berlaku nampaknya adalah sebaliknya, iaitu orang-orang yang menerima ajaran yang baik dan nilai-nilai moral yang murni itu pula yang lebih banyak terlibat dalam salah laku sosial dan melakukan seribu satu maksiat dari perbuatan yang menyalahi undang-undang negara hingga kepada perbuatan serius yang melanggar hukum-hukum agama.

Persoalan pokoknya tentulah bukan persoalan keunggulan dan kemurnian ajaran agama itu, kerana sememangnya tidak dapat dinafikan sama sekali bahawa ajaran agama adalah ajaran yang amat baik, mengandungi nilai-nilai sejagat yang dapat memberi kesejahteraan kepada manusia keseluruhannya sekiranya diamalkan dengan baik.

Jadi isunya di sini ialah isu penghayatan nilai-nilai agama dan pelaksanaan ajaran agama yang menjadi asas kepercayaan dan akidah orang-orang Melayu. Apakah orang-orang Melayu benar-benar memahami agamanya sebagai satu cara hidup yang lengkap? Dan kalau difahami sistem hidup agama itu, apakah orang Melayu benar-benar dapat menghayati dan melaksanakannya? Apakah kehidupan seharian dan aktiviti keseluruhannya sentiasa dipandu oleh nilai-nilai ajaran agamanya? Atau ajaran itu hanya tinggal menjadi pengetahuannya sahaja?

Dari satu sudut yang lain dalam kegawatan ekonomi, politik dan lain-lain, nampaknya soal moral yang menjadi inti pati ajaran agama mulai timbul satu demi satu yang membuktikan pegangan longgar orang-orang Melayu terhadap nilai-nilai moral yang bertunjangkan agama.

Timbul soal usahawan dan para peniaga Melayu yang tamak haloba, tidak ikhlas, berkepentingan diri dan bersikap kebendaan melulu.

Timbul soal salah guna kuasa, rasuah yang berleluasa, penipuan dan seribu satu manipulasi semata-mata untuk mengaut kekayaan.

Malah dalam kerancakan pilihan parti politik sekarang ini pun, nampaknya para pimpinan parti dari atas hingga ke bawah, seperti Presiden dan Timbalan Presiden, terpaksa bekerja keras untuk memupuk nilai-nilai moral di kalangan ahli-ahli parti supaya tidak tersalah laku dalam keghairahan merebut jawatan-jawatan yang tertentu.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada minggu lalu mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak memilih orang-orang yang tidak bermoral dan yang tamak menjadi pemimpin mereka. Malahan pilihan haruslah didasarkan kepada pertimbangan yang adil berpandukan kepada prinsip kebersihan dan persaingan yang sihat.

Hal ini dibangkitkan kerana dalam waktu-waktu yang terakhir ini parti politik bangsa Melayu ini pun mengalami keributan perebutan kuasa yang kadang-kadang bertukar menjadi keganasan fizikal dan penglibatan polis FRU.

Pendeknya perebutan wang, nama dan kedudukan ini sering menjadikan orang Melayu lupakan ajaran dan nilai-nilai moral agamanya.

Mursyid Am Pas sendiri pada satu ketika dulu mendedahkan bahawa dalam partinya juga terdapat orang-orang yang berjuang kerana kebendaan dan kepentingan diri. Kenyataan ini mengesahkan lagi tentang kelemahan manusia dalam menghadapi cabaran nafsu kebendaan dan kemasyhuran nama, pangkat dan sebagainya walau di mana sekalipun mereka berada.

Jadi dalam menganalisis dan memecahkan kebuntuan ini, atau dengan kata-kata yang lebih tegas, untuk menjadikan agama lebih berkesan, dan ajaran serta nilainya lebih dihayati dan dipraktikkan oleh orang-orang Melayu, maka pertama sekali haruslah dipecahkan persoalan bagaimanakah agama itu boleh menjadi kuasa yang berkesan dalam memandu kehidupan seharian orang Melayu.

Hal ini merupakan satu isu yang sungguh kompleks, terutamanya dalam masyarakat moden yang menghadapi era teknologi canggih dan proses globalisasi yang serba cepat ini.

Pelajaran agama di sekolah yang sering disemak dan ditambah masanya, kelihatan agak lesu untuk memberi kesan yang baik dalam membentuk keperibadian, tingkah laku dan sikap para pelajar.

Hal ini perlu dikaji secara serius oleh pihak yang mempunyai hubungan dengan pendidikan. Apakah dalam hal ini terdapat kesilapan dari segi pengisian kurikulum, kaedah mengajar, buku teks, atau kesilapan guru dan penonjolan model guru serta penekanan pengajaran yang silap?

Para sarjana dan ulama Islam sendiri boleh mengambil keadaan dan kelonggaran yang berlaku sebagai sebahagian daripada kelemahan dan kegagalan sendiri dalam usaha membentuk masyarakat yang bermoral dan berakhlak tinggi.

Apakah aktiviti dakwah dan pendidikan yang mereka jalankan selama ini berada di landasan yang betul? Apakah agama hanya dapat dilihat dan didedahkan dari sudut hukum fikah dan perundangan semata-mata? Apakah agama itu hanya hukum-hakam dan halal haram sahaja?

Kajian harus dilakukan apakah kita sudah cukup menjalankan dakwah dan pendidikan ummah dari segi pembangunan minda dan pemikiran, peningkatan ilmu pengetahuan dan teknologi maju berasaskan nilai-nilai murni dan ajaran Islam itu sendiri? Apakah kita sudah cukup mengkaji jiwa dan pengalaman manusia umumnya untuk menerima ajaran agama kita dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab?

Saya fikir kita harus memikirkan hal ini secara serius, dan para ulama Islam haruslah mengkaji semula agenda mereka dalam membangunkan agama sebagai wadah kehidupan orang-orang Melayu secara betul dan sistematik, merangkumi semua aspek yang penting, supaya apabila disebut 'orang Melayu' maka penghayatannya adalah 'Islam' dalam erti kata yang sebenarnya.

Imej Mahkamah Syariah

MAHKAMAH Syariah di Malaysia merupakan satu institusi perundangan yang agak baru dibangunkan. Imejnya sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa sering dipersoalkan, terutamanya oleh para wanita yang pernah mengalami berbagai-bagai masalah ketika cuba untuk menyelesaikan kes-kes mereka, iaitu dari segi kelewatan penyelesaian kes, hukuman yang tidak memberi kepuasan, penguatkuasaan undang-undang yang tidak dapat dilaksanakan secara berkesan, dan berbagai-bagai masalah lainnya.

Malahan persoalan imej ini kadang-kadang terbawa-bawa pula kepada persoalan tentang undang-undang Islam itu sendiri, sehingga ada pula yang cuba mempertikaikan tentang keadilan hukuman Islam dan sebagainya.

Seminar 'Undang-Undang Keluarga dan Wanita' yang diadakan di IKIM pada 9 dan 10 Mac, 1998 cuba membuka mata dan memberi pengetahuan yang jelas tentang undang-undang keluarga Islam dan pelaksanaan undang-undang tersebut melalui mahkamah.

Satu pekara penting yang saya rasa amat ketara kelemahannya dalam konteks undang-undang keluarga Islam ini ialah kejahilan umat Islam sendiri terhadap undang-undang tersebut. Malah perasaan tidak puas hati para wantia terhadap Mahkamah Syariah itu sebenarnya tidak ada hubungan dengan undang-undang Islam itu sendiri, oleh itu amatlah tidak adil sekiranya ada orang yang mempertikaikan tentang keadilan undang-undang keluarga Islam.

Seminar tersebut mendengar penjelasan yang menyeluruh tentang bagaimana undang-undang keluarga Islam di Malaysia telah digubal sebegitu rupa untuk menjaga dan menjamin hak wanita, yang menurut beberapa orang hakim dan pengamal undang-undang, bahawa peruntukan-peruntukan undang-undang tersebut tidak terdapat di kebanyakan negara Islam di dunia ini.

Beberapa peruntukan dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia terang-terang menyebelahi wanita seperti persetujuan wanita untuk berkahwin dan berpoligami, peruntukan takliq dalam daftar perkahwinan, perceraian secara tebus talak atau fasakh, hak terhadap mas kahwin, hak terhadap harta sepencarian, nafkah dan penjagaan anak.

Wanita juga dilindungi dalam peruntukan yang baru diperkenalkan, iaitu tentang penderaan isteri dan tindakan ganas suami yang sering berlaku pada masa kini, maka proses undang-undang boleh diambil dalam perkara ini.

Para wanita seharusnya diberi pengetahuan dan pendedahan yang cukup tentang pekara ini, iaitu apakah hak-hak yang perlu diperolehinya ketiak berlaku penceraian, iaitu soal ganti rugi, harta sepencarian, nafkah dan sebagainya.

Wanita juga harus mengetahui saluran-saluran yang tertentu untuk menuntut haknya, iaitu melalui biro bantuan guaman, peguam syarie, perunding undang-undang syariah dan sebagainya.

Sebenarnya Mahkamah Syariah mempunyai beban tugas yang amat berat, luas dan komprehensif. Ia bertanggungjawab memikul persoalan besar yang melibatkan setengah kehidupan manusia atau lebih dari setengah, iaitu persoalan keluarga

Keluarga dalam zaman moden ini menghadapi seribu satu krisis dan cabaran. Persaingan kehidupan era baru dalam kebendaan dan tuntutan-tuntutan nafsu kemanusiaan lainnya menjadi institusi keluarga seperti sebuah bahtera yang diperbuat daripada kertas kemudian dilepaskan di tengah-tengah lautan yang bergelora.

Akibatnya maka timbullah isu-isu keganasan dan tidak bertanggungjawab ke atas keluarga, perpecahan rumahtangga kerana soal-soal kecil, nafkah isteri dan anak-anak yang tidak dipenuhi, penyalahgunaan hukum perceraian dna poligami, permainan kayu tiga dan pengkhianatan rumah tangga, dan berbagai-bagai persoalan lain yang berpunca dari kelemahan manusia itu sendiri.

Maka Mahkamah Syariah dengan segala kelemahan tenaga manusia dan kepakarannya itu tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan seribu satu kes dan persoalan untuk diselesaikan dengan adil.

Rasa tidak paus hati terhadap keputusan mahkamah adalah merupakan suatu yang lumrah dalam proses pengadilan. Hal ini dirasakan dalam kebanyakan kes, sama ada di mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Pemandu kenderaan yang menyebabkan kematian beberapa orang awam dan dihukum sebulan penjara sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati. Demikian juga halnya dengan kes-kes di Mahkamah Syariah. hal ini berlaku ialah kerana kelemahan dan kadang-kadang kesilapan pihak yang menghukum kerana sebab-sebab yang tertentu.

Oleh itulah maka sistem perundangan memberi peluang rayuan di beberapa peringkat kepada pihak yang tidak berpuas hati.

Mahkamah Syariah juga mempunyai mahkamah tinggi dan rayuan. Peluang rayuan tetap ada bagi pihak yang tidak puas hati.

Bagaimanapun, seperti kata Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Lamin Mohd. Yunus ketika membuka seminar tersebut bahawa prosedur undang-undang yang tidak relevan hendaklah diubah bagi menjamin keadilan, dan yang pentingnya bahawa pentadbiran dan kaedah pelaksanaan dan mentadbir sesuatu undang-undang itu hendaklah diperkemaskan, kerana hal ini sering menjejaskan proses pelaksanaan keadilan.

Tidak keterlaluan jika ditekankan di sini bahawa Mahkamah Syariah sebagai sebuah institusi yang agak baru dan serba kekurangan, haruslah berusaha untuk memperkemaskan prosedur dan pentadbirannya.

Untuk memperkemaskan prosedur dan pentadbiran ini, maka ianya tentulah memerlukan tenaga yang profesional, berilmu, berwibawa dan bersikap adil serta tidak berat sebelah.

Masyarakat kita memerlukan lebih banyak peguam dan hakim syarie yang berkelayakan untuk mengendalikan sistem perundangan yang penting ini, agar imej Mahkamah Syariah yang disalahgunakan itu akan pulih menjadi imej yang positif dan dihormati, seperti kata Tan Sri Datuk Lamin lagi, ''...segala masalah yang timbul adalah berkaitan dengan pentadbiran atau kaedah mentadbir sesuatu undang-undang, dan bukannya kesilapan undang-undang itu sendiri.''

Imej Mahkamah Syariah haruslah diperbetulkan untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepadanya. Hal ini amat erat hubungannya dengan elemen manusia yang mengendalikan mahkamah tersebut dari segi ilmu pengetahuan dan kepakarannya, sikap yang positif dan ketegasan pelaksanaan bagi segala keputusannya.