Wednesday, October 10, 2007

Skandal politik wang, e-mel memalukan masyarakat Melayu -- Agama kutuk rasuah, fitnah

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


TERLALU banyak peristiwa yang berlaku mutakhir ini yang memalukan bangsa Melayu sama ada dicetuskan sendiri oleh orang Melayu, atau dimarakkan oleh kaum lain, yang kembali berani mengungkit atau mempersoalkan keistimewaan orang Melayu.

Dua peristiwa yang berlaku baru-baru ini umpamanya, telah menconteng arang di muka orang Melayu. Pertama ketika berlaku fitnah dan ugutan siber yang melibatkan penyanyi Siti Nurhaliza, dan kedua isu politik wang yang riuh-rendah memenuhi ruang Perhimpunan Agung UMNO seterusnya menjadi berita utama media cetak dan elektronik di negara kita.

Peristiwa pertama tentang fitnah-memfitnah dan caci-mencaci peribadi orang melalui mel elektronik bukanlah lagi merupakan perkara baru di negara kita ini. Sejak orang Melayu pandai menggunakan media komputer, iaitu melalui mel elektronik dan laman-laman web peribadi, atau laman web lainnya, maka sedikit demi sedikit penggunaan media elektronik yang canggih ini disalahgunakan. Mel elektronik yang sepatutnya digunakan untuk berhubungan dan menghantar mesej antara teman kenalan dengan sahabat handai atau sanak saudara, termasuk hubungan rasmi dengan pihak yang tertentu di seluruh dunia, tiba-tiba digunakan untuk tujuan yang lain. Ia digunakan untuk memaki hamun, menyebar berita palsu, membuat fitnah dan menceritakan keburukan orang sama ada yang betul atau tidak betul, sehingga semua itu telah menjadi permainan yang amat disukai, dan menjadi satu alat penghibur yang amat murah.

Kalau dulu kaedah memburuk-burukkan orang lain sering dilakukan dengan menulis surat layang, malah sehingga kini kaedah itu masih digunakan, namun penggunaan mel elektronik dan Internet, tiba-tiba memberikan kemudahan yang amat lumayan sekali kepada penggunanya. Penggunaan ini seperti e-mel amat mudah sekali disalin kepada seberapa banyak orang yang mempunyai alamat mel ini, dan orang yang menerimanya pula akan dapat memanjangkannya kepada ramai orang lain, sehingga dengan itu surat elektronik yang hanya berasal dari seorang manusia sahaja, akan dapat tersebar ke seluruh dunia, dan dapat dibaca oleh ribuan, atau mungkin juga jutaan orang dengan mudah dan cepat.

Kadang-kadang tidak cukup dengan kata-kata dan tulisan, maka surat elektronik ini akan mengandungi gambar yang berwarna-warni pula yang dapat dihantar bersama surat tersebut. Gambar-gambar ini juga dapat dibuka dan ditatap dengan cepat oleh seberapa ramai orang yang menerimanya. Malah kecekapan para pengguna yang agak tidak waras pemikirannya itu sering digunakan untuk memalsukan gambar-gambar lucah yang diketemukan kepala dengan badan orang lain umpamanya, sehingga gambar itu dikatakan sebagai gambar si polan yang dibencinya. Akhirnya, orang yang melihatnya akan mengatakan bahawa benarlah gambar itu merupakan gambar si polan dan si anu itu.

Yang menjadi mangsanya adalah orang-orang tertentu, iaitu yang kadang-kadang tidak bersalah, tetapi kerana dorongan-dorongan buruk yang terpendam di dalam hati busuk lawannya, maka fitnah dan cacian siber ini berlaku, dan si mangsa akan menjadi bahan mainan kata nista yang amat memalu dan menghinakan.

Oleh itu tindakan polis yang dapat mengesan punca penyebaran mel elektronik ini diharap dapat memberikan pengajaran yang amat baik kepada sesiapa sahaja yang berniat buruk terhadap orang lain dengan menulis surat elektronik jahat dan hina itu.

Orang yang melakukan perbuatan buruk ini nampaknya tidak takut kepada Tuhan, oleh itu sekurang-kurangnya biarlah mereka berasa sedikit ketakutan kepada undang-undang dunia.

Tidak harus lagi terdapat orang yang menyangka bahawa dia akan dapat membaling batu dan menyembunyikan tangannya, sehingga dengan itu dia mengira bahawa orang tidak akan dapat mengesan perbuatan kejinya itu. Lupakah dia bahawa mel elektronik ini adalah surat yang dihantar dengan menggunakan telefon, dan lupakah dia bahawa nombor telefon itu akan dapat dikesan dan dapat pula mengesan pemiliknya? Tapi itulah hakikatnya kehendak Tuhan, orang selalu lupa dan lalai akan jerat yang akan memerangkapnya, maka akhirnya sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Isu kedua yang lebih hebat merupakan isu yang berulang setiap kali terdapat segelintir orang yang terlalu rakus dalam mencari kedudukan dalam politik, iaitu isu politik wang yang amat memalukan. Orang Melayu yang bertindak membeli undi politik untuk terpilih memegang jawatan di dalam parti politik kalau betul seperti yang diperkatakan. Orang Melayu juga yang membuka pekung ini di khalayak ramai, sehingga ia menjadi isu nombor satu negara, dan diketahui oleh semua lapisan dan kalangan rakyat, tanpa mengira keturunan, latar belakang agama dan budaya. Semua orang yang membaca akhbar, menonton televisyen, mendengar radio, malah mendengar omong-omong di tepi jalan dan di warung, atau di kedai kopi dan nasi campur, pasti akan mendengar cerita politik wang, dan kisah pengedaran wang di dalam sampul surat yang beredar dengan pantasnya dari tangan ke tangan. Hal ini juga didedahkan oleh orang yang tahu, dan mungkin oleh orang yang sama-sama melakukannya.

Dulu ungkapan politik wang tidak sangat difahami oleh orang awam, kerana yang diketahui, politik adalah wadah perjuangan suci yang seharusnya diamalkan dengan ikhlas dan jujur, dan politik pula bukanlah merupakan satu perahu yang digunakan untuk belayar di dalam sungai atau lautan bagi mencari kekayaan atau harta karun. Pada masa itu juga, wang hanya digunakan untuk membeli barang atau membayar hutang ceti, atau digunakan untuk menebus barang kemas yang digadaikan di kedai pajak gadai tauke Cina, atau menebus tanah sawah dari orang kaya yang memberi hutang kepada penanam padi, yang dikenali dalam istilah padi kunca. Yang pastinya ketika itu orang tidak pun mengetahui bahawa politik adalah tempat untuk mencari wang dan kekayaan dunia, oleh itu mereka berpolitik adalah atas kesedaran dan semangat patriotisme mereka sendiri, yang ikhlas dan terbit dari hati nurani mereka yang sejati, bukan semangat patriotisme yang hanya menjadi permainan bibir semata-mata.

Orang awam, malah orang-orang politik sendiri, tidak pernah mengetahui bahawa politik itu boleh dibeli dengan wang, kerana bagi mereka politik bukanlah merupakan ayam itik, atau ikan dan udang, yang dapat dibeli di pasar untuk dimakan. Keadaan ini berterusan sehingga ke beberapa waktu menjelang kemerdekaan negara dan selepas kemerdekaan, politik adalah satu amalan demokrasi yang bersih untuk memperjuangkan agenda bangsa dan negara oleh orang-orang yang jujur dan ikhlas tanpa mengharapkan pulangan kebendaan yang melulu.

Tetapi mutakhir ini, senario itu telah berubah, terutamanya ketika manusia menjadi terlalu bersifat kebendaan dan tamak, maka politik juga telah menjadi sebagai barang komoditi yang dapat dibeli dan dijual dengan berbagai-bagai harga mengikut kualiti dan mutu barangan tersebut, dan orang yang membelinya pula lebih pintar daripada tukang lelong yang pernah kita dengar dan lihat di pantai-pantai yang menjadi tempat menjual ikan segar yang baru dibawa naik dari laut.

Agaknya orang politik yang mengamalkan politik wang ini telah meniru cara sekelompok nelayan di Kedah seperti yang dapat kita tonton di televisyen baru-baru ini, iaitu nelayan yang menggunakan kaedah bisik-membisik dengan peraih atau pembelinya. Nelayan ini tidak menggunakan kaedah terbuka ketika melelong ikan mereka, kerana cara ini dapat didengar oleh semua orang yang ingin membelinya, dan dengan itu pembeli akan bersaing sesama mereka dengan meninggikan harga tawarannya.

Sebaliknya nelayan ini menggunakan kaedah bisik di telinganya tentang harga yang ditawarkan oleh pembeli. Maka orang politik yang membeli jawatan yang diingininya itu pun mungkin juga telah menggunakan taktik bisik-membisik ini untuk mendapatkan jawatan tersebut, dan harganya pula tentulah amat tinggi, melebihi harga yang ditawarkan oleh pesaingnya.

Namun apa sahaja kaedah yang digunakan untuk membeli jawatan di dalam parti politik ini, kita tidak mengetahui siapakah yang bercakap benar, dan siapakah yang bercakap bohong. Kalau diikut secara lahirnya, semua orang yang menghadiri perhimpunan agung itu, sama ada sebagai calon untuk jawatan yang tertentu, atau perwakilan yang membuang undi, semuanya bercakap berapi-api menentang politik wang. Politik wang adalah perbuatan terkutuk, boleh membinasakan parti, boleh menghancurkan orang Melayu dan negara, dan bermacam-macam lagi ungkapan mereka yang penuh hikmah dan kebijaksanaan dihamburkan di dalam pidato atau kenyataan mereka kepada media.

Jadi kalau semua orang menentang politik wang, kenapakah akhirnya mereka sendiri juga yang menimbulkan tentang hal ini, iaitu sesudah diketahui keputusan pengundian, maka timbullah desas-desus tentang politik wang ini. Bukankah ini menunjukkan bahawa mereka mengetahui tentang hal ini? Dan kalau telah diketahui, kenapakah masing-masing berdiam diri, menyepi seribu bahasa?

Demikianlah skandal orang Melayu mutakhir ini. Agama melarang mengumpat dan mengeji serta memfitnah, maka orang kita akan melakukan perbuatan itu melalui kaedah teknologi moden yang canggih. Agama melarang rasuah, si pemberi dan penerimanya akan masuk neraka, namun orang kita melakukannya juga. Bukankah perbuatan ini menunjukkan sikap dan sifat buruk kita sendiri? Bukankah ini maknanya kita menconteng arang ke muka kita sendiri?

Inilah akibatnya apabila kita bertindak melawan perintah dan pantang larang agama kita. Kita sendiri juga yang menanggung malu akibat perbuatan segelintir kawan kita yang dirasuk syaitan.

No comments: