Wednesday, October 10, 2007

Hayati hikmah peristiwa korban

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


MENJELANG akhir tahun 2004, iaitu pada 26 Disember, kita telah dikejutkan, tanpa sebarang pengetahuan dan persiapan, dengan bencana ombak besar yang tidak pernah kita alami. Setelah malapetaka itu berlaku dengan hebatnya, barulah kita mengetahui bahawa ombak luar biasa berbentuk raksasa setinggi pohon kelapa itu adalah dikenali dengan nama tsunami. Barulah kita mengetahui melalui media antarabangsa bahawa ombak besar tsunami itu, telah melanda beberapa buah negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara, termasuk negara kita, akibat daripada gempa bumi yang melanda Indonesia.

Setelah reda sedikit kisah-kisah yang dibawakan bencana tsunami, maka pada hari Jumaat 21 Januari 2005, kita menyambut Hari Raya Korban buat pertama kalinya selepas bencana besar tsunami tersebut. Hari Raya tersebut datang pada ketika kita sedang bergelut dengan kepelbagaian perasaan, pengorbanan, dugaan Allah dan seribu satu masalah hidup dan mati manusia penghuni alam ini.

Dalam menghadapi bencana tsunami, dan menyambut Hari Raya Korban, kita melihat hidup ini sebagai satu pengalaman panjang dan jauh, yang membawa kepelbagaian erti dan hikmah yang terlalu banyak. Di antara erti hidup kita ini ialah hidup yang amat sarat dengan pergorbanan, kesabaran, keazaman, dan yang paling penting sekali ialah keimanan serta keyakinan kepada Maha Pencipta yang melakukan segala-galanya di dalam dan di luar diri kita ini.

Dalam sejarah manusia, pengorbanan besar dan ujian yang paling getir yang pernah dihadapi penghuni alam ini, ialah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah untuk mengorbankan puteranya yang amat tersayang, Ismail, iaitu dengan menyembelihnya.

Perintah menyembelihkan anak untuk dijadikan korban, tentulah merupakan satu perintah yang tidak sanggup dijalankan oleh sesiapa saja yang bernama bapa atau sebarang manusia yang waras. Tetapi hakikat itulah yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, dia sebagai bapa yang diperintahkan supaya mengorbankan anak darah dagingnya sendiri.

Maka di dalam segala kepayahannya berfikir itulah, dia menerima perintah Allah itu dengan tabah dan yakin, lalu dia pun bersedia untuk menyembelih putera kesayangannya itu.

Bagaimanapun, pengorbanan saudara-saudara kita mangsa tsunami yang terpaksa menanggung kesedihan kerana kehilangan orang-orang yang tersayang baru-baru ini, walaupun tidak sebesar pengorbanan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun pengorbanan itu sudah terlalu cukup untuk mengejutkan mereka, menyedihkan dan amat menyayat hati mereka yang menanggungnya. Mereka terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tersayang itu telah pergi buat selama-lamanya ke pangkuan Allah, sedangkan di dalam kisah Nabi Ibrahim itu, Nabi Ismail, terselamat daripada pisau sembelihan bapanya, ketika Allah yang menguji Nabi Ibrahim, telah menggantikan puteranya dengan binatang ternakan sebagai korban yang disembelihnya.

Namun apa saja bentuk pengorbanan yang terpaksa dihadapi oleh Nabi Ibrahim atau mangsa tsunami yang secara mengejut kehilangan ramai orang yang tercinta, maka pengorbanan tetaplah merupakan pengorbanan, derita, sakit, kehampaan, tekanan emosi dan perasaan, ujian lahir dan batin, semuanya adalah menuntut ketabahan, kesabaran, keinsafan dan keazaman. Pengorbanan adalah merupakan ciri-ciri yang mewarnai hidup manusia sepanjang masa dan seumur hidupnya.

Kekuasaan-Nya

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah kerana pada saat-saat terakhir kehadiran tempoh penyembelihan yang bakal dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas puteranya itu, maka Allah dengan segala kekuasaan-Nya, telah menggantikan Nabi Ismail dengan binatang ternakan. Sekiranya Nabi Ismail benar-benar telah disembelih oleh bapanya untuk dijadikan korban kerana mematuhi perintah Allah, maka kita pada zaman ini, dan pada zaman-zaman seterusnya, akan terpaksa menyembelih anak-anak kita sebagai korban kepada Allah, iaitu satu keadaan yang tidak mungkin digambarkan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran dan perasaan yang waras, apalagi untuk melakukannya.

Dengan itu dapatlah difahami bahawa perintah Allah kepada Nabi Ibrahim bukanlah merupakan satu bencana dan bala yang hendak diturunkan kepada beliau, tetapi perintah itu sebenarnya lebih merupakan ujian kepada hamba-Nya, apakah ujian itu dapat diterima oleh makhluk yang menjadi hamba Allah ini? Maka ketika Nabi Ibrahim menerima perintah itu dengan tabahnya, Allah segera menyelamatkannya.

Bencana tsunami juga dalam satu persepsinya yang berhikmah tidaklah seharusnya dilihat sebagai balasan dan bala bencana untuk menimpakan kecelakaan kepada hamba Allah, sebaliknya hal itu juga merupakan satu ujian yang besar kepada kita, apakah dalam keadaan itu kita masih mempunyai iman yang kuat kepada pencipta kita?

Maha Agung sekali Allah yang mempunyai sifat al-rahman dan al-rahim, sifat pemurah dan penyayang, untuk semua makhluk-Nya di alam maya ini, sehingga Dia tidak sekali-kali akan memberatkan hamba-Nya untuk melakukan sesuatu yang tidak dapat ditanggung oleh manusia biasa, malah sebaliknya menuntut hamba-Nya untuk melakukan sesuatu perintah yang dapat dilakukan oleh mereka.

Kisah al-Quran tentang perintah Allah supaya Nabi Ibrahim mengorbankan anak tersayangnya mempunyai hikmah dan pengajaran yang tidak akan luntur sepanjang zaman. Inilah sebenarnya perintah yang mengandungi ujian besar untuk manusia, apakah perintah Allah seberat itu harus dipatuhi dan dilaksanakan? Sebab itulah Nabi Ibrahim ketika menerima suruhan Allah itu, segera membuka dialog dengan anaknya Ismail, dan anaknya memberikan perangsang kepada bapanya, bahawa sekiranya hal itu merupakan perintah Allah, maka laksanakanlah, dan dia akan menerimanya dengan sabar dan tabah.

Hal inilah sebenarnya yang sering berlaku di dalam kehidupan kita sepanjang hayat. Banyak dugaan dan ujian yang terpaksa kita hadapi, yang ada kalanya amat berat sekali untuk ditanggung, apa lagi akan mengalami segala kekecewaan dari ujian itu. Tetapi dalam sebarang situasi dan keadaan, manusia juga dilengkapi dengan rasa sabar, tabah dan yang terpentingnya ialah keimanan dan keyakinan kepada penciptanya, Allah. Keimanan dan keyakinan inilah yang menjadikan manusia bangun semula sesudah terjatuh tanpa dikehendakinya, atau terjerumus ke lembah kotor yang tidak diduganya. Ketabahan dan kesabaran inilah yang menjadikan manusia sedar semula, dan dengan beraninya menghadapi hidup ini sekali lagi, sambil menghadap wajahnya kepada Yang Maha Kuasa dan berkata, ``Tuhanku, inilah hamba-Mu datang menghadap-Mu dengan tabah, yakin dan berani,'' dan seruan inilah yang diucapkan oleh para jemaah haji yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah sekarang ini.

Kita telah menyaksikan bencana besar tsunami yang pertama kalinya berlaku di dalam sejarah negara kita. Kita melihat nyawa manusia terkorban, kemusnahan yang besar, penderitaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, dan seribu satu pengalaman yang merentasi pemikiran dan penglihatan kita semua.

Itulah sebenarnya kehendak Allah dan kesan undang-undang alam yang diciptakan-Nya. Apabila ombak besar memukul pantai dan memusnahkan segala-galanya yang berada di laluannya, maka semuanya akan musnah dan hancur. Tetapi undang-undang alam itu adalah tunduk di bawah kekuasaan pencipta-Nya, iaitu Allah. Maka sebarang sesuatu yang tidak dikehendaki-Nya, seperti beberapa buah masjid yang masih tegak tersergam perkasa di laluan ombak tsunami itu, akan kekal berdiri, dan beberapa orang manusia yang hanyut ke tengah lautan yang tidak bertepi, yang seharusnya telah menemui kematiannya, tiba-tiba masih dapat bernafas, hidup dan segar.

Gantian

Hal inilah juga yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dan Ismail. Pisau tajam yang seharusnya memotong leher Nabi Ismail, tentulah akan memutuskan urat dan daging leher Nabi Ismail, tetapi Allah tidak menghendakinya, maka pisau itu telah memotong leher binatang gantiannya.

Dalam situasi inilah, sebagai umat Islam, kita seharusnya berusaha mempelajari undang-undang alam dan kesannya ke atas makhluk bumi ini. Kita telah melihat bagaimana pisau yang tajam seharusnya telah memotong leher Nabi Ismail, tetapi akhirnya memotong leher binatang gantiannya.

Kita juga telah melihat bagaimana api yang sepatutnya membakar dan menghanguskan segala-galanya, tetapi jasad dan roh Nabi Ibrahim tidak terjejas sedikit pun dengan unggun api yang amat marak yang disediakan oleh kaumnya untuk membakar baginda. Maka undang-undang alam ini ternyata dikuasai sepenuhnya oleh Allah, dan perintah Allah supaya api itu menjadi sejuk dan selamat ke atas Nabi Ibrahim telah dapat mengatasi kesan biasanya yang membakar dan menghanguskan.

Di dalam bencana tsunami yang melanda itu pun, sepatutnya ombak besar dan perkasa itu akan menghancurkan segala-galanya yang berada di laluannya, tetapi dengan kehendak Allah juga, ombak itu tidak berdaya meruntuhkan beberapa buah rumah Allah, iaitu masjid, yang ternyata masih dapat berdiri dengan tegak. Undang-undang alam sememangnya mempunyai peraturan bahawa bangunan yang kuat, tidak akan tumbang dengan tolakan ombak yang perkasa itu, tetapi banyak bangunan lain yang kuat diruntuhkan, sedangkan terdapat beberapa buah tempat ibadat yang strukturnya lemah, tetapi masih dapat bertahan pukulan ombak yang perkasa itu.

Maka dalam menghadapi situasi ini, ketika kita mengakui kesan undang-undang alam di sekeliling kita, tetapi kita haruslah akui bahawa ada ketikanya, Allah akan menunjukkan kekuasaan-Nya yang mengatasi undang-undang alam tersebut, yang juga merupakan undang-undang ciptaan-Nya.

Bagaimanapun kita tidaklah selama-lamanya akan mengabaikan usaha kita dalam menghadapi kesan undang-undang alam ini seterusnya, kerana pertolongan Allah tidak selama-lamanya akan tiba untuk menyelamatkan kita daripada bencana dan kesan undang-undang alam tabii itu. Maka dalam konteks inilah kita seharusnya membuat pelbagai persiapan untuk mengetahui bahaya dalam hidup ini, termasuk bahaya ombak besar tsunami, yang seharusnya dihadapi dengan kemajuan ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang masih dikuasai oleh orang Barat, bukan oleh kita yang sering membaca kitab suci, dan memahami kandungannya, yang terlalu banyak memberitahu kita tentang alam, bumi, langit, bintang, cakerawala, angkasa dan sebagainya.

Sesungguhnya ketibaan Hari Raya Korban beriringan dengan landaan bencana besar tsunami, mengandungi ujian dan hikmah, pengorbanan dan ketabahan, kecekalan dan keazaman. Yang perkasanya hanyalah Allah, yang apabila Dia menghendaki sesuatu, dan Dia memerintahkan agar perkara itu terjadi, maka hal itu akan berlaku.

Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf segala kesilapan.

No comments: