Wednesday, October 10, 2007

Gagasan Islam Hadhari tidak seharusnya jadi isu politik - Hentikan debat slogan, istilah

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
AKHIRNYA orang ramai juga yang menjadi keliru. UMNO mencipta istilah Islam Hadhari, dan memasukkannya ke dalam manifesto pilihan raya umum tetapi mengalami kepayahan untuk menjelaskannya kepada orang awam. Maka Pas yang selama ini menggunakan slogan perjuangannya Membangun Bersama Islam, menolak pula gagasan Islam Hadhari, kerana gagasan ini dianggap tidak berdasarkan al-Quran dan hadis.

Orang awam yang selama ini diberi penjelasan bahawa Islam Hadhari itu adalah merupakan Islam yang dinamik, bertamadun dan berilmu, yang mengamalkan pentafsiran dan pelaksanaannya secara praktikal, akhirnya keliru pula apabila Pas mengatakan bahawa Islam Hadhari itu adalah merupakan ``konsep Islam yang direka dengan sewenang-wenangnya (dan) Islam Hadhari tidak berasaskan kepada al-Quran dan hadis.''

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat di dalam jawapannya kepada pertanyaan seorang anggota Dewan Undangan Negeri UMNO yang ingin tahu apakah konsep Islam Hadhari itu selaras dengan dasar kerajaan (Kelantan) Membangun Bersama Islam, seperti yang dapat kita baca di dalam akhbar pada 28 Jun lalu.

Ternyata bahawa forum tentang Islam yang dibawa oleh ahli politik dan diperdebatkan di dalam DUN Kelantan itu mempunyai motif politik yang membawa implikasi yang serius kepada kefahaman orang awam tentang Islam. Islam itu seolah-olah mempunyai berbagai-bagai wajah atau sekurang-kurangnya dua wajah, satu berwajah Pas dan satu lagi berwajah UMNO. Orang awam, atau umat Islam yang ingin memahami Islam dalam bentuk hakikinya akan tertanya-tanya, Islam perjuangan manakah yang seharusnya mereka ikut, atau secara yang lebih serius lagi mereka akan bertanya, Islam perjuangan siapakah yang mewakili ajaran Islam yang sebenar?

Jawapan kepada pertanyaan ini tentunya tidak seharusnya dipolitikkan pula, kerana mengikut tafsiran politik, maka kedua-dua belah pihak akan mendakwa bahawa Islam yang diperjuangkan oleh mereka itulah sahaja yang benar, dan Islam perjuangan lawan mereka adalah batil dan tidak benar.

Orang biasa yang mengikuti perdebatan mengenai istilah ciptaan kerajaan Pusat ini terpaksa berhadapan dengan permainan politik kedua-dua belah pihak yang bertelagah ini. Yang satu mencipta istilah dan menjadikannya sebagai konsep perjuangan menegakkan Islam di negara ini, dan yang satu lagi menolak istilah ini dengan alasan yang amat serius sekali, terutamanya kerana mereka sendiri telah mempunyai slogan perjuangan Islamnya sendiri.

Menteri Besar Kelantan dalam jawapan tersebut seterusnya membuat kenyataan tentang Islam yang sebenarnya menurut tafsiran beliau iaitu ``Islam itu merangkumi Islam dan iman, iaitu Islam di luar dan iman di dalam, justeru sebarang konsep Islam yang tidak menyebut soal pegangan kepada al-Quran dan hadis adalah ditolak. Oleh itu kewujudan konsep Islam seumpama ini adalah (merupakan) konsep Islam palsu, kosmetik dan plastik''

Ertinya menurut pengertian ini, Islam perjuangan UMNO merupakan bahan kosmetik seperti bedak dan celak yang hanya menjadi perhiasan luaran untuk menampakkan kecantikan sahaja, sedangkan wajah sebenarnya adalah buruk, iaitu sekiranya tidak dilumurkan bedak atau celak dan bahan-bahan kecantikan lain. Manakala orang UMNO pula akan mengatakan bahawa Islam perjuangan Pas hanyalah merupakan slogan kosong, tidak praktikal dan tidak berisi, terutamanya dalam menyaingi percaturan dunia global dalam era moden ini. Maka kedua-duanya akan lahir sebagai ahli tinju di gelanggang perlawanan, yang berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan lawannya dan membuktikan kepada penonton bahawa dialah yang kuat. Para penonton pun akan bersorak dan bertempik sekuat hati mereka, tidak kira sama ada kalah atau pun menang, kerana para penonton tidak mendapat keuntungan apa-apa.

Maka kita sebagai orang awam yang berhadapan dengan konflik ini akan kebingungan, dan mengalami kesukaran untuk menentukan pendirian dalam memahami konsep perjuangan Islam yang dilakukan oleh parti politik umat Islam yang berbeza itu, sedangkan semua orang mengetahui bahawa Islam itu tidak mempunyai wajah yang berbeza pada konsep terasnya. Islam itu adalah satu, iaitu satu agama yang datangnya daripada Allah untuk umat manusia seluruhnya, bukan untuk orang Inggeris atau Melayu, atau Arab dan orang Afrika sahaja, malah Islam bukan untuk orang UMNO atau Pas, tetapi Islam merupakan agama dan peraturan hidup kita semua. Oleh itu kenapakah di negara kita ini harus timbul Islam UMNO dan Islam Pas?

Kita haruslah faham bahawa Islam itu merupakan agama yang merangkumi sistem hidup dunia dan akhirat, yang merupakan peraturan yang lengkap sebagai satu cara hidup seorang Islam, tanpa dapat dibeza-bezakan di antara ``Islam UMNO'' atau ``Islam Pas''. Islam adalah agama orang Melayu dan sebahagian keturunan lain di negara kita. Maka dalam konteks ini apakah kita seharusnya berbeza pandangan tentang Islam mengikut perbezaan ideologi politik kepartian yang wujud di negara kita ini? Apakah kita seharusnya berpecah belah dalam memahami konsep Islam yang sebenarnya semata-mata kerana Islam itu diperjuangkan oleh beberapa pihak yang tertentu berasaskan perjuangan politik masing-masing?

Konflik perjuangan Islam yang berteraskan politik kepartian inilah yang mengundang kekacauan dan kecelaruan pemikiran umat Islam di seluruh dunia pada masa ini. Konflik Islam dalam seribu wajah inilah yang melahirkan Islam Taliban, Islam Sunni dan Shi'i, yang ada kalanya mencetuskan perkelahian, pertumpahan darah, pembunuhan dan sebagainya, dan yang juga mengundang kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat untuk masuk campur dalam pentadbiran negara Islam tertentu seperti yang berlaku di Afghanistan dan Iraq.

Maka dalam konteks ini, kita di negara ini tidak seharusnya membiarkan pertelagahan otot yang serius ini mencetuskan ketegangan yang tidak wajar di dalam masyarakat umat kita yang telah sedia terperangkap di dalam konflik dan perpecahan. Orang awam haruslah dididik dan diberikan kefahaman bahawa Islam itu dalam apa sahaja nama dan sifatnya yang diberikan oleh semua pihak adalah merupakan Islam yang hakiki dan fundamental. Orang awam seharusnya memahami konsep Islam dalam komponennya yang asas iaitu akidah, syariah dan akhlak. Fahamilah asas akidah, syariah dan akhlak Islam yang sebenarnya secara jelas dan terang. Fahamilah pengertian iman dan amal, ibadat dan aktiviti kehidupan dunia dan akhirat. Fahamilah dasar etika dan akhlak Islam yang sebenarnya, maka pada ketika itu kita akan mempunyai visi yang jelas tentang apakah Islam itu yang sebenarnya, terlepas dari prasangka yang tertentu dalam konteks Islam Hadhari atau tidak Hadhari, membangun bersama Islam atau sebaliknya.

Umat Islam seharusnya dapat membezakan di antara kefahaman Islam berdasarkan ilmu pengetahuan yang asli tentang ajaran agama suci itu, dan Islam yang dijaja oleh aliran politik sempit seperti satu komoditi miliknya. Tegasnya orang awam mestilah memahami Islam sebagai satu agama dan sistem hidup, bukan Islam yang ditafsirkan oleh ahli politik untuk kepentingan politik mereka.

Maka dalam konteks ini juga, umat Islam tidak seharusnya mencari fakta Islam daripada ceramah-ceramah yang jelas sekali bermotifkan politik, walau pun penceramah itu memakai serban sebesar bakul, kerana agama yang disebarkan melalui pengajaran dan ceramah politik itu adalah merupakan Islam yang akan mengelirukan pandangan orang awam. Islam yang bermotifkan politik sempit dan melulu sering menjadikan pengikutnya bersifat taksub dan fanatik melulu pula.

Malah para agamawan yang menyertai parti politik pula seharusnya tahu meletakkan sempadan dan had yang tertentu apabila tiba kepada satu titik dan isu yang tertentu dalam membicarakan tentang ajaran agama yang sebenarnya. Mereka seharusnya bertanggungjawab kepada Tuhan ketika membicarakan tentang agama, bukan bertuhankan fahaman politik kepartian yang melulu ketika membicarakan hal agama, atau lawan politik masing-masing.

Sesungguhnya amat baik sekali sekiranya kita mampu berbuat sesuatu, bahawa para ulama yang sebenar-benarnya ikhlas dalam menyebarkan dakwah dan ajaran agama dapat mengelakkan diri daripada terlibat secara aktif di dalam politik kepartian seperti yang berlaku di negara kita ini. Parti politik seringkali menjadi pendorong yang besar ke arah mencorakkan pemikiran dan pandangan para ulama itu, sehingga dengan itu pandangan dan pentafsiran para ulama tersebut kelihatan amat ganjil dan menyimpang daripada ajaran agama yang sebenarnya.

Tentang Islam Hadhari umpamanya, maka kita mungkin dapat bertanya, apakah bezanya Islam Hadhari dengan Islam dinamik, Islam tamadun, Islam toleransi, Islam berhikmah dan berilmu, dan Islam yang bersifat dengan begitu banyak sifat lain lagi yang menjadikan Islam itu satu agama yang sesuai sebagai satu peraturan dan sistem hidup manusia dunia akhirat. Dan sekiranya demikianlah sifatnya Islam itu, apakah dalam keadaan ini kita merasakan bahawa Islam yang dilabelkan dengan satu sifat yang tertentu itu, tidak dapat diterima, malah tidak berdasarkan al-Quran dan hadis seperti yang tergambar di dalam kenyataan Menteri Besar Kelantan yang saya sebutkan di atas.

Dan sekiranya demikianlah sifatnya Islam Hadhari itu, apakah ahli-ahli UMNO akan mendabik dadanya pula dengan mengatakan bahawa Islam Hadhari itulah sahaja satu gagasan Islam yang benar dan unggul dalam negara ini, dan yang lain-lainnya itu tidak merupakan gagasan Islam yang sesuai dengan peredaran zaman. Sedangkan Pas pula akan menegaskan bahawa motonya Membangun Bersama Islam itulah sahaja satu-satunya moto perjuangan Islam yang sejati di negara ini. Akhirnya kedua-dua belah pihak akan bertelagah kerana istilah dan simbol, dan akan menolak simbol dan istilah itu bermati-matian, tanpa membicarakan dengan lebih lanjut tentang pengisian dan dasar Islam itu sendiri.

Sekiranya konflik ini berterusan, dan kedua-dua belah pihak masing-masing bertegang leher mengatakan bahawa Islam kepunyaannya itulah yang benar dan baik, sedangkan kepunyaan orang lain itu tidak benar dan batil, maka selama-lamanya perjuangan Islam yang dilancarkan atas nama politik itu tidak akan bertemu dalam satu wadah perjuangan yang sama. Sebaliknya Islam akan timbul sebagai satu agama yang dipunyai oleh kelompok manusia yang tertentu, bukan agama kepunyaan umat Islam seluruhnya.

Telah tibalah masanya umat Islam memberhentikan perdebatan tentang konsep Islam yang jelas, iaitu Islam yang berasaskan al-Quran dan hadis. Yang harus didebatkan bukan konsep dan kefahaman Islam yang hakiki itu, tetapi pendekatan pembangunan Islam, pengisiannya yang dinamik dan berilmu serta bertamadun, pelaksanaannya yang sejajar dengan peredaran zaman dan masa itulah yang seharusnya dibincangkan. Tidak seharusnya slogan dan label itu yang diperdebatkan, tetapi isi dan hasil pelaksanaan slogan dan label itulah yang seharusnya diketengahkan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat dan ummah.

No comments: