Wednesday, October 10, 2007

Tokoh bukan hanya dalam bidang kebendaan dan glamor - Hargai ulama, sarjana dan ilmuwan

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
REAKSI spontan kanak-kanak sekolah terhadap hadiah wang tunai kepada Tokoh Ma'al Hijrah tahun 1424 menggambarkan rasa terperanjat dan kagum mereka terhadap hadiah besar yang akan diterima oleh tokoh tersebut. Reaksi itu dapat dilihat semasa juruacara majlis mengumumkan jumlah hadiah tersebut semasa sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 4 Mac 2003 yang lalu.

Jumlah RM30,000 sumbangan kerajaan, dicampur dengan RM20,000 dari Yayasan Ubaidi yang berjumlah RM50,000 semuanya, memanglah besar, terutama bagi kanak-kanak yang hanya baru mengenal jumlah wang seratus dua sahaja.

Maka dalam diam-diam mungkin telah terdapat kanak-kanak yang hadir menyaksikan anugerah tersebut yang sedang berangan-angan bahawa pada suatu masa nanti, mereka pun ingin menjadi Tokoh Ma'al Hijrah, dan merebut wang tunai RM50,000 itu.

Inilah rasa saya mesej penting yang dapat disampaikan kepada para penonton muda yang menghadiri majlis tersebut, iaitu untuk menjadi tokoh, maka seseorang itu mestilah merupakan seorang yang berjaya menguasai bidang ilmu, gigih belajar, dan dalam kes tokoh yang baru, ia mestilah juga seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, atau menjadi seorang ulama.

Mungkin reaksi mengejut yang dilahirkan oleh kanak-kanak terhadap jumlah wang ``sebegitu banyak'' yang diberikan kepada tokoh tersebut ialah kerana mereka tidak menyangka bahawa seorang ulama, yang belajar agama, akan mendapat anugerah sebanyak itu. Mereka selama ini tahu bahawa tokoh yang mendapat ganjaran wang yang lumayan ialah tokoh sukan, filem, penyanyi dan artis sahaja. Rupa-rupanya orang agama pun mendapat wang sebanyak itu. Oleh itu mereka pun tentu mahu belajar agama, untuk menjadi Tokoh Ma'al Hijrah.

Berdasarkan andaian yang terakhir inilah, masyarakat Islam di negara kita seharusnya dapat menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan kepada panel pemilih Tokoh Ma'al Hijrah yang sejak akhir-akhir ini telah mengubah beberapa kriteria untuk memilih tokoh tersebut, iaitu menumpukan kepada calon berdasarkan kepakaran dan kelulusan dalam bidang agama, sumbangan kepada pembangunan pendidikan dan pengajian Islam, serta beberapa kriteria lain yang lebih menjurus kepada pemilihan tokoh agama sebagai tokoh yang mendapat penghormatan ketika umat Islam menyambut tahun baru Hijrah.

Negara kita memberikan penghormatan kepada tokoh-tokohnya dalam berbagai-bagai bidang, iaitu sukan, sastera, budaya, kesenian, kewartawanan, korporat, kewangan, perfileman dan sebagainya. Mereka mendapat penghormatan dengan anugerah wang dan keistimewaan yang agak banyak. Kita dapat melihat baru-baru ini bagaimana pemain muda badminton kita mendapat penghormatan ketika memenangi kejohanan seluruh England, sehingga diadakan majlis sambutan kepadanya di beberapa tempat di negara kita yang memakan masa berhari-hari dengan penyampaian hadiah yang istimewa.

Oleh itu saya rasa bahawa keputusan panel pemilih Tokoh Ma'al Hijrah akhir-akhir ini memilih ulama dan tokoh agama untuk menerima penghormatan Ma'al Hijrah setahun sekali itu adalah satu keputusan yang tepat. Ia menepati inspirasi serta semangat sambutan kedatangan tahun baru Hijrah, yang membawa bersama-samanya erti perjuangan menegakkan agama Islam yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. serta para sahabat baginda ketika mereka berhijrah dari Mekah ke Madinah dalam bulan Jun tahun Masihi 622 itu.

Titik permulaan sejarah penyebaran agama secara lebih luas dan konkrit adalah bermula dengan hijrah Rasulullah dan agenda kerja baginda yang besar dan menyeluruh setelah baginda menubuhkan kerajaan di Madinah.

Hijrah baginda telah meletakkan asas kekuatan umat Islam dalam bidang kenegaraan, perekonomian, ilmu pengetahuan, pertahanan negara dan yang penting ialah meletakkan strategi sosial dan politik untuk menjamin kekuatan dan kemajuan negara Islam yang baru ditubuhkan itu.

Hal ini semua dapat difahami dan dihayati oleh para sarjana yang melibatkan diri dalam kajian ilmu Islam berasaskan sumber asli agama dan yang mendalami ilmu tafsir al-Quran dan hadis. Mereka adalah tokoh dan sarjana yang sememangnya layak diberi penghormatan ketika kita semua mengingati peristiwa penting dalam sejarah dan tamadun Islam itu.

Bertolak daripada semangat tersebut, maka kita juga seharusnya berani membuat perubahan cara berfikir kita dalam zaman persaingan ilmu masa kini. Penghormatan dan anugerah tidak seharusnya ditonjolkan dalam bidang kebendaan dan glamor seperti yang diamalkan selama ini. Sememangnya kita tidak menafikan kepentingan tokoh sukan, korporat, budaya, sastera dan sebagainya yang merupakan penyumbang istimewa dalam negara kita ini.

Tetapi dalam beberapa keadaan, kita mungkin terlalu amat menonjolkan unsur glamor ini dalam penghormatan kita kepada tokoh-tokoh tertentu. Generasi muda kita mungkin hanya akan berfikir bahawa orang yang bernama tokoh itu adalah orang yang berlakon filem, yang menjadi penghibur dan penyanyi, yang bersukan dan sebagainya sahaja, sedangkan orang yang cemerlang dalam ilmu pengetahuan, terutama dalam bidang agama, maka mereka itu bukanlah tokoh yang seharusnya ditonjolkan dan dipuja serta dipuji.

Mengapakah tidak kita agung-agungkan kejayaan tokoh-tokoh ilmu dalam universiti umpamanya? Kenapakah tidak kita rayakan kejayaan sarjana kita dalam bidang ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang telah mendapat anugerah dalam projek-projek penyelidikan tertentu, atau telah berjaya mendapat pengiktirafan di luar negara dengan hasil kajian mereka, atau pelantikan mereka dalam berbagai-bagai posisi antarabangsa? Apakah kejayaan mereka itu tidak mengharumkan nama negara?

Sekiranya kita benar-benar mahukan anak-anak muda kita mencintai ilmu dan mempunyai matlamat untuk mendapat kejayaan dalam bidang keilmuan, maka gambaran-gambaran seperti ini seharusnya ditonjolkan dan dipopularkan, sehingga dengan itu masyarakat akan dapat melihat, bahawa kita sememangnya mengagungkan orang-orang yang berilmu, dan kita menghormati ilmu pengetahuan itu sendiri.

Semasa saya menyambung pelajaran di Mesir, saya dapat melihat bagaimana kerajaan menghormati para ilmuwan yang berjaya, termasuk menghormati para pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam pengajian mereka di peringkat pengajian tinggi. Setiap tahun kerajaan mengadakan perayaan yang dikenali sebagai perayaan ilmu. Dalam perayaan itu disediakan beberapa anugerah peringkat kebangsaan kepada pelajar-pelajar lepasan ijazah dalam berbagai-bagai bidang dari semua universiti, termasuk hadiah istimewa untuk pelajar seberang laut.

Di negara kita hal ini hanya dirasai ketika universiti mengadakan majlis konvo masing-masing secara berasingan, dan suasana penghormatan kepada ilmu dan kejayaan para pelajarnya hanya dapat dirasakan sebentar sahaja oleh orang-orang yang menghadiri majlis tersebut. Tetapi perayaan peringkat kebangsaan dengan publisiti yang menyeluruh ke segenap pelosok negara, melalui siaran TV secara langsung, seperti yang sering dilakukan terhadap perayaan lain, nampaknya tidak pernah diadakan untuk majlis-majlis ilmu atau majlis tokoh-tokoh sarjana dan ilmuwan kita.

Maka dengan itu kesan yang dapat dirasakan oleh masyarakat, bahawa perayaan yang berbentuk hiburan dan penuh glamor sahaja yang seharusnya dinikmati oleh masyarakat, tidak sesuatu yang lebih serius sifatnya.

Berbalik kepada Tokoh Ma'al Hijrah yang saya perkatakan di atas, maka adalah wajar sekali ditonjolkan para ulama dan sarjana agama sebagai orang-orang yang seharusnya diberikan penghormatan berdasarkan ketokohan dan kesarjanaan mereka sempena sambutan peristiwa bersejarah itu. Apakah dalam majlis yang lebih berbentuk keagamaan ini juga kita mahu menonjolkan tokoh lain dari bidang agama sehingga kita meninggalkan tokoh agama, sedangkan di serata pelosok negara kita terdapat para ilmuwan agama yang gigih dan berdedikasi dalam menyumbang tenaga dan fikiran mereka kepada agama tanpa jemu dan tanpa menuntut upah atau ganjaran seperti yang dilakukan oleh tokoh kita pada tahun ini.

Tokoh-tokoh lain tanpa ditonjolkan dalam perayaan agama seperti Ma'al Hijrah pun, sebenarnya telah dapat menonjolkan diri mereka dalam bidang kepakaran masing-masing, dan majlis penghormatan atau anugerah kepada mereka telah banyak disediakan di segala peringkat. Mungkin dalam negara kita ini hanya dalam anugerah Tokoh Ma'al Hijrah itulah sahaja yang dapat dibuka pintunya kepada para sarjana dan ilmuwan Islam yang seharusnya tidak dibolosi masuk oleh orang lain, apalagi sekiranya orang itu tidak mempunyai keahlian yang selayaknya untuk digelarkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah.

Saya mengenali Tokoh Ma'al Hijrah tahun ini sekian lama, iaitu semenjak saya menjadi muridnya di sekolah Arab Alor Star. Saya mengetahui keilmuannya yang amat mendalam dan keperibadiannya yang amat unggul. Sebagai ahli ilmu agama, beliau amat merendah diri, tulus ikhlas dalam segala tindakannya. Beliau tentulah tidak dikenali ramai oleh masyarakat negara kita kerana beliau tidak pernah menonjolkan dirinya. Perjuangan dan kerjanya yang gigih di segala bidang iaitu semenjak menjadi guru, pegawai agama, mufti dan ahli berbagai-bagai jawatankuasa peringkat negeri dan kebangsaan yang penting, tidak pernah diketahui oleh masyarakat. Beliau bolehlah dianggap sebagai tentera yang tidak dikenali, tetapi usahanya meninggalkan kesan yang amat banyak kepada agama dan pembangunan ummah.

Sebab itulah saya menyebut di atas bahawa tokoh-tokoh seperti inilah yang seharusnya ditonjolkan dalam masyarakat kita untuk menjadi teladan kepada angkatan muda, dan mengenang jasa mereka yang amat besar dan bernilai. Saya menyanjung tinggi keputusan panel pemilih Tokoh Ma'al Hijrah yang menonjolkan tokoh agama untuk anugerah besar dan berprestij ini. Teruskanlah kerja baik ini dengan keberkatan Allah subhanahu wa taala.

No comments: