Wednesday, October 10, 2007

Cadangan penubuhan Institut Pemikiran Dr. Mahathir - Membudayakan pembangunan ilmu

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PENUBUHAN sebuah institut yang dicadangkan untuk mengkaji pemikiran Dr. Mahathir Mohamad yang ditimbulkan baru-baru ini, adalah satu cetusan idea yang baik. Dalam menghadapi perubahan yang berlaku dalam dunia pemikiran pada hari ini, negara kita amat memerlukan satu agenda penyelidikan dan pembangunan untuk menilai dan melaksanakan segala gagasan yang baik untuk kepentingan bangsa dan negara. Maka segala pemikiran itu perlulah dikaji dari masa ke masa, terutama segala wawasan yang ditimbulkan dan dilaksanakan oleh pemimpin negara sendiri.

Kajian ini perlu dilakukan dengan komitmen kerajaan sendiri, agar segala rumusan dan pandangannya dapat dimanfaatkan oleh kerajaan, terutama ketika dikaji segala agenda dan program yang dijalankan oleh kerajaan selama ini dari sudut kejayaan dan kegagalannya, iaitu dari segi baik buruk sesuatu dasar yang dilaksanakan selama ini.

Reformis Jamaluddin Al-Afghani pernah menegaskan tentang keperluan yang amat segera bagi membangunkan Islam sebagai sebuah masyarakat dan tamadun. Beliau seolah-olah tidak dapat melihat kejayaan Islam sebagai sebuah masyarakat dan tamadun yang seiring dengan pembangunan masyarakat dan tamadun lain di dunia ini. Oleh itu beliau menegaskan bahawa Islam haruslah dibangunkan dengan sebaik-baiknya pada masa kini sebagai sebuah masyarakat dan tamadun yang tinggi.

Malah beliau menegaskan bahawa keperluan ini amat mendesak ketika masyarakat Islam yang kelihatan seolah-olah hanya membangun dari segi akidah. Beliau menegaskan bahawa pembangunan akidah itu amat penting, tetapi pembangunan itu sememangnya merupakan pembangunan yang berterusan dalam masyarakat Islam, iaitu yang dilakukan dalam semua masyarakat Islam di seluruh dunia. Maka yang ketinggalan, ialah pembangunan masyarakat dan tamadun Islam itu sendiri yang kelihatan amat kaku dan tidak dapat bersaing dengan masyarakat lain.

Oleh itu sebagai sebuah negara yang sedang giat membangunkan masyarakat dan tamadun, maka negara kita amat memerlukan agenda yang konkrit untuk membangunkan tamadun kita sendiri, sama ada sebagai tamadun Melayu atau seterusnya sebagai tamadun Islam untuk menjadi pelopor dalam kerangka pembangunan tersebut secara yang berstruktur dan sistematik.

Allah berfirman: Dan tanah yang baik, tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah, dan tanah yang tidak baik, tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan yang bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kekuasaan) Kami dengan berbagai-bagai cara bagi orang-orang yang bersyukur - Al-A'raf, ayat 58.

Dengan itu kita haruslah menyediakan ``tanah'' yang subur di negara kita untuk menghasilkan tanaman yang subur dan mengeluarkan buah yang baik untuk faedah bersama. Maksudnya kita harus menjadikan negara kita sebagai tapak semaian yang baik untuk menumbuhkan benih yang baik pula dalam membangunkan masyarakat maju dan tamadun yang tinggi.

Kerana itu saya merasakan bahawa cadangan untuk menubuhkan institusi penyelidikan bagi mengkaji pemikiran pemimpin kita merupakan satu langkah yang baik dalam membudayakan penyelidikan dan pembangunan ilmu dalam masyarakat kita yang dalam beberapa segi pembangunan ilmu, nampaknya masyarakat kita agak leka dan lalai.

Malah matlamat penubuhan institusi ini tentulah dengan sendirinya akan merangkumi satu skop kajian pemikiran para pemimpin Islam lain yang pernah lahir dan pergi di dunia ini. Hal ini dirasakan penting kerana dalam dunia Melayu di Nusantara ini sendiri kita telah menyaksikan kelahiran dan sumbangan para pemimpin dan sarjana kita dalam membangunkan masyarakat dan bangsa kita sepanjang sejarah pembangunan daerah kita ini dalam berbagai-bagai bidang.

Kita tentu tidak lupa akan sejarah kelahiran majalah Al-Imam pada tahun 1906 di tanah air kita yang merupakan satu forum pemikiran sarjana Islam kita yang mendapat pendidikan di Asia Barat dan pernah terdedah kepada pemikiran reformis Islam di Mesir, Syeikh Muhammad Abduh, juga pernah mengikuti tulisan para sarjana Islam moden di dalam majalah Al-Manar di dalam bahasa Arab. Malah Al-Imam sebenarnya merupakan cetusan idea dan inspirasi dari Al-Manar. Maka dengan itu telah dapat kita lihat bagaimana pemikiran yang dinamik dan berbentuk universal tentang Islam itu telah cuba dipindahkan ke dalam masyarakat Melayu oleh para pemikir Islam yang merasakan bahawa Islam perlu dibangunkan dalam bentuk yang lebih maju dan bertamadun.

Kita juga pernah membaca novel karya Syed Syeikh Al-Hadi, Hikayat Faridah Hanum, yang juga diinspirasikan oleh pemikiran sastera dari Asia Barat, iaitu yang mengisahkan tentang kehidupan para wataknya yang dimanifestasikan dalam gerakan pembangunan Islam yang dinamik dalam bidang pendidikan, kebebasan wanita dan sebagainya.

Dengan beberapa contoh ini sahaja kita telah dapat melihat bagaimana pemikiran orang Melayu amat cepat memberikan reaksi positif ke arah pembangunan Islam yang lebih maju dan terkehadapan selain daripada kekuatan akidah dan kerohanian. Dalam tulisan dan karya para pemikir Melayu ketika itu, kita telah dapat melihat bagaimana mereka telah memberi kesedaran kepada masyarakat bangsa Melayu agar dapat membebaskan diri daripada tradisi dan cara hidup Barat yang tidak mempunyai nilai dan ajaran bersandarkan agama. Semangat inilah yang kemudian dicetuskan dengan begitu hebat untuk memerdekakan tanah air daripada belenggu penjajahan Barat.

Saya pernah membicarakan hal ini dengan Dr. Mahathir ketika beliau mengemukakan idea untuk menubuhkan sebuah kumpulan pemikir Islam dalam tahun 1991, iaitu ketika saya mencadangkan supaya institut ini akan dapat berfungsi sebagai sebuah institusi penyelidikan strategi tentang pemikiran Islam di Nusantara. Tetapi beliau menegaskan bahawa buat permulaan, masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di negara kita memerlukan satu gambaran dan kefahaman yang lebih jelas tentang Islam itu sendiri. Kesalahfahaman tentang Islam, terutama seperti digembar-gemburkan oleh media Barat, telah mengelirukan pemikiran orang ramai, terutama masyarakat bukan Islam, tentang Islam sebagai agama yang lengkap dan sesuai untuk semua manusia dan segala zaman.

Oleh itu beliau menegaskan bahawa agenda utamanya ialah memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat tentang Islam dan pengajarannya, hubungan Islam dengan kehidupan dunia dan manusia berbilang agama, Islam dan perhubungan antarabangsa, pembangunan sosial dan keluarga, nilai dan etika yang baik, konsep perdamaian dan keganasan, pembangunan ekonomi dan industri, dan perkara-perkara lain yang memerlukan penjelasan dan kefahaman dari sudut tasawur Islam yang sebenar. Maka dari titik tolak pemikiran inilah telah ditubuhkan institut yang khusus untuk memberikan kefahaman Islam, iaitu dengan tertubuhnya Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada tahun 1992.

Oleh itu selepas lebih satu dekad institut itu ditubuhkan, maka saya rasa masanya amat sesuai untuk kerajaan menubuhkan satu institut yang khusus membicarakan tentang agenda pemikiran dan tamadun serta ilmu yang seharusnya digarapkan dalam pembangunan negara kita bagi melahirkan masyarakat dan bangsa yang benar-benar membangun sebagai satu bangsa yang bertamadun dan berilmu tinggi. Dalam hal ini komitmen kerajaan amatlah penting, agar apa saja agenda penyelidikan oleh institut itu benar-benar berada dalam kawalan negara, tanpa diambil kesempatan atau diperalatkan oleh sumber luar.

Di samping itu kita amat menyedari pada hari ini, bahawa satu agenda penting yang melibatkan dunia Islam, ialah kekecohan pemikiran umat dan pemimpinnya tentang politik Islam. Sejarah jatuh bangun umat dan negara Islam diselubungi oleh berbagai-bagai peristiwa dan krisis yang berlaku dalam politik umat itu, dan seperti dapat kita saksikan, pergolakan politik yang dikaitkan dengan Islam telah menjelma dalam arus perdana pembangunan negara-negara Islam, dan Islam telah menjadi satu agenda perjuangan politik yang amat penting.

Senario ini telah menyerlahkan di hadapan kita akan kejayaan dan kegagalan umat Islam untuk membangunkan bangsa dan negara mereka. Terdapat unsur-unsur positif dan negatif yang mempengaruhi pembangunan umat dan negara Islam dalam situasi ini. Maka saya berpandangan bahawa hal ini perlu dikaji dan diselidiki secara lebih berilmiah dan sistematik.

Kita melihat kemunculan kumpulan-kumpulan yang berlabelkan Islam dalam sejarah kebangkitan negara-negara Islam di dunia ini, termasuk pertubuhan-pertubuhan yang lahir selepas sebuah negara Islam itu mencapai kemerdekaan, seperti Ikhwanul Muslimin yang lahir di Mesir. Pertubuhan ini melahirkan para pemimpinnya yang aktif dalam bidang sosial dan politik negara dengan para pengikutnya yang agak besar. Pengaruh Syed Qutub umpamanya amat meluas, bukan sahaja di Mesir, tetapi menjalar ke merata dunia Islam. Demikian juga dengan kelahiran Abu Ala' Al-Maududi di Pakistan, beliau juga mempunyai pengaruh yang besar di kalangan umat Islam, terutama belianya.

Pada hari ini kita melihat lahirnya pertubuhan Islam yang amat enak nama-namanya seperti Jamaah Islamiah, Kumpulan Jihad dan sebagainya. Tetapi di sebalik nama yang enak itu, tersembunyi seribu satu rahsia kegiatan anggotanya yang berbagai-bagai rupa, termasuk agenda perjuangan yang berdasarkan kekerasan.

Kumpulan dan watak-watak ini sebenarnya perlu difokuskan dalam mengkaji pemikiran dan agenda mereka, kerana pengaruh mereka terlalu besar dalam pemikiran umat pada hari ini. Apakah impak yang ditinggalkan mereka itu positif atau negatif, betul ataupun salah? Orang awam sering terikut-ikut sahaja dalam menilai pemikiran dan perjuangan mereka.

Nampaknya idea penubuhan institusi seperti dicetuskan itu amat perlu direalisasikan dengan segera, agar banyak jawapan yang selama ini terpendam, dapat diketengahkan kepada masyarakat, bukan dalam bentuk dakyah kosong dan propaganda berat sebelah, tetapi berdasarkan penyelidikan yang bebas, berilmu dan mempunyai analisis yang konkrit.

No comments: