Wednesday, October 10, 2007

Iktibar daripada perang - Sampai bilakah kita akan tertipu dengan helah orang lain?

Cetusan Pemikiran OLeh Dr. Ismail Ibrahim
KETIKA rencana ini ditulis, Amerika Syarikat (AS) telah pun melancarkan serangan ke atas negara malang, Iraq. Dan ketika rencana ini habis ditulis, malah ketika rencana ini sampai ke tangan para pembaca, mungkin Baghdad telah pun musnah dan nyawa penduduk Iraq amat banyak kehilangan. Bedilan roket dan peluru berpandu AS sering menepati sasaran, dan peluru itu tidak perlu ditemani oleh manusia, maka bangunan dan nyawa manusia yang menjadi sasaran akan musnah dan terkorban tanpa mengorbankan nyawa askar AS dan sekutunya.

Saya menghantar mesej SMS kepada teman saya bangsa Iraq yang bekerja di London bertanya pandangannya tentang peperangan dan serangan ke atas Iraq. Berapa lamakah agaknya peperangan itu akan berlarutan? Dia menjawab pada pandangannya perang itu tidak akan berlanjutan terlalu lama kerana peperangan ini amat mudah bagi AS dan sekutunya. Angkatan bersenjata Iraq adalah lemah. Tetapi kota Baghdad agak sukar ditembusi, namun sekiranya AS bercadang menaklukinya maka banyak nyawa manusia yang akan terkorban.

Saya bertanya lagi apakah Perdana Menteri British, Tony Blair bercakap benar di Parlimen? Dia menjawab tidak, kerana Blair tidak pernah bercakap benar, mereka berperang adalah kerana wang dan kebendaan.

Melalui pesanan SMS juga saya menerima mesej sebelum berlakunya serangan ke atas Iraq. Mesej menyayat hati itu berbunyi berdoalah untuk saudara kita orang Islam, kerana dalam beberapa jam sahaja lagi Iraq akan dibedil tanpa berhenti oleh AS dan British dengan pertolongan raja-raja Arab yang menawarkan kemudahan ketenteraan kepada musuh. Panjangkan mesej ini.

Bagi saya dua ungkapan pendek mesej ini telah cukup memberikan banyak bahan pengajaran yang dapat dipelajari daripada peristiwa serangan ke atas Iraq oleh AS yang amat perkasa itu.

1. AS sengaja menggunakan taktik peperangannya dengan persiapan yang begitu besar untuk memberi gambaran kepada dunia kononnya Iraq adalah sebuah negara berbahaya, yang kuat, mempunyai senjata kimia, racun dan sebagainya. Sedangkan Iraq sebenarnya tidaklah sekuat dan berbahaya seperti yang cuba digambarkannya itu

2. Peperangan dilancarkan selain untuk mencapai tujuan politik bagi menguasai negara Iraq atas dasar penjajahan baru, iaitu untuk meletakkan satu kerajaan bonekanya, maka ia juga bertujuan mencari keuntungan daripada kekayaan minyak Iraq kerana Iraq mempunyai simpanan minyak yang amat besar.

3. Sejarah kejatuhan Empayar Islam Turki yang dibantu oleh orang Islam sendiri yang menjadi konco Barat, berulang lagi kali ini apabila orang Islam sendiri memberi ruang dan buminya untuk digunakan oleh AS dan sekutunya bagi menjatuhkan Iraq.

Pada tahun 1991 ketika berlaku peperangan Teluk yang dilakukan oleh bapa Bush, presiden AS sekarang, hal yang sama telah berlaku ketika kerajaan yang diterajui oleh orang Islam menjemput campur tangan AS bagi menyelesaikan krisis antara dua buah negara Islam.

4. Dalam konflik dan krisis yang berlaku ke atas dunia Islam ini, kita hanya dapat berdoa memohon pertolongan Allah sambil menyesali nasib sendiri dan menggigit jari melihat dan menyedari kelemahan sendiri. Semoga dengan doa dan sembahyang hajat yang kita lakukan, pertolongan Allah akan turun kepada umat Islam yang teraniaya itu.

5. Perpecahan sesama sendiri, kepelbagaian aliran politik negara-negara Islam, mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan nasib saudara sesama Islam, membantu pihak musuh untuk memecahbelahkan lagi umat Islam, dan menjadikan umat Islam satu umat yang tidak dihormati.

Sayangnya orang Islam tidak pernah mahu belajar daripada sejarah kejatuhan sendiri. Malah orang Islam tidak pernah mahu menyusun strategi mantap mengikut firman Allah dalam al-Quran yang menyeru supaya mereka bersiap sedia dengan segala kekuatan semaksimum mungkin untuk menakut dan menggerunkan musuh Allah dan musuh mereka. Persiapan umat Islam tentulah merangkumi persiapan kebendaan dan ekonomi, semangat, kekuatan jati diri, maruah yang besar, ilmu pengetahuan dalam kepelbagaian bidang, sains dan teknologi yang moden, kekuatan pertahanan dan infrastruktur yang menyeluruh dan berbagai-bagai persediaan yang dapat menandingi segala yang dimiliki oleh orang lain, terutama orang yang memendam permusuhan terhadap Islam dan umatnya.

Sebelum menulis rencana ini, kebetulan saya telah dijemput untuk memberikan satu ceramah tentang Islam di Malaysia. Seorang peserta bertanya, oleh kerana AS telah menyerang Iraq dan membunuh umat Islam di sana, kenapakah kita tidak mengambil tindakan terhadap AS dengan cara memulaukan barang-barang makanan dan sebagainya dari sana.

Saya menjawab kita boleh memulaukan barang AS, tetapi barang-barang yang kecil-kecil sahaja seperti minuman Coca-Cola, burger dan makanan segera yang dihasilkan oleh restoran makanan segera. Namun pemulauan itu pun tidak akan menyeluruh, kerana anak-anak kita telah diasuh dalam budaya makanan segera dari Barat itu. Apakah kita dapat menyediakan gantiannya daripada produk kita sendiri yang sama seperti produk mereka itu?

Malah kalaupun kita memulaukan barangan kecil itu, apakah kita juga akan memulaukan keluaran AS yang besar seperti kapal terbang, peralatan teknologi, pengangkutan dan lain-lain yang dihasilkan oleh mereka atau sekutu-sekutu mereka dari Barat? Mampukah kita mengeluarkan segala produk itu di negara kita, atau dari negara-negara Islam yang lain?

Namun begitu, negara kita sebenarnya telah membuat persiapan untuk menghasilkan produk teknologi berat itu sendiri, dan menggunakan teknologi yang dipindahkan dari luar untuk mencari gali minyak, membangunkan perindustrian, sains perubatan dan sebagainya dalam usaha untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan lama-kelamaan akan dapat menggunakan barangan buatan sendiri mengikut kemampuan kita.

Kita sering mempunyai semangat yang besar dan angan-angan yang tinggi, tetapi dalam masa yang sama kita amat kurang berusaha. Hal inilah yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat Islam di mana-mana sahaja di dunia ini. Kita berbicara secara retorika dan emosi, tetapi kita tidak dapat hidup di alam nyata.

Seperti yang pernah saya jelaskan dalam ruangan ini tidak lama dulu, semasa saya berada di Kaherah pada awal tahun 1967, Presiden Gamal Abdul Nasir berjaya membakar semangat orang Arab dan membangkitkan semangat juang yang meluap-luap di dalam kepala mereka melalui ucapannya yang menggegarkan dunia Arab bahawa kita boleh menghancurkan Israel, kita boleh menyapu bersih negara dan penduduk Israel ke dalam lautan. Dengan itu negara Arab berperang dengan Israel dalam bulan Jun tahun tersebut.

Peperangan hanya berlaku dalam masa lima hari, akibatnya Semenanjung Sinai, Bukit Golan dan Baitulmaqdis jatuh ke tangan Israel, dan orang Arab mengalami kehampaan dan kekalahan teruk. Sehingga ke hari ini Baitulmaqdis berada di dalam tangan Yahudi Zionis yang kejam itu, dan segala tiupan semangat serta bakaran emosi yang dilakukan sebelum peperangan ini ternyata tidak memberikan sebarang pulangan dalam peperangan yang singkat ini, apalagi niat dan hasrat untuk menyapu bersih negara Israel dan penduduknya ke dalam lautan hanya menjadi angan-angan kosong.

Saya mengambil semua ini sebagai iktibar bagi umat Islam di negara kita sendiri. Kerana di negara kita sendiri, ketika kita berbicara tentang Islam dan pembangunannya, ramai orang yang akan membakar emosi dan meniupkan semangat kosong seperti ini. Ramai yang meletakkan angan-angan mat jenin tanpa memikirkan realiti dan peringkat pelaksanaan dan operasinya di alam nyata.

Seorang peserta dalam ceramah yang sama bertanya saya, jika di dalam al-Quran telah dinyatakan tentang berbagai-bagai perkara tentang kehidupan kita, bilakah lagi agaknya negara kita dapat melaksanakan al-Quran itu dalam pemerintahannya? Saya amat terkejut dengan soalan ini, kerana soalan ini memberi gambaran bahawa negara kita tidak pernah menjalankan perintah al-Quran selama ini. Bukankah segala sesuatu yang dilakukan dalam amalan ibadat, muamalat, teknologi, alam sekitar, malah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perhubungan sesama Islam dan bukan Islam, semangat bekerjasama dan toleransi, pembangunan dan peluang pendidikan, sistem pemerintahan demokrasi, syura dan sebagainya merupakan amalan yang berasaskan al-Quran?

Kesimpulannya, daripada peperangan yang serius seperti yang sedang berlaku di antara AS dan sekutunya dengan Iraq, membawa kepada peperangan kecil yang berlaku dalam masyarakat Islam, termasuk seperti yang berlaku di dalam negara kita sendiri, maka semuanya itu banyak memberi peluang kepada umat Islam untuk menghitung dan menilik diri sendiri. Sampai bilakah kita akan tertipu dengan helah orang lain, termasuk musuh agama kita? Dan sampai bilakah kita tidak akan menyedari hakikat kelemahan kita sendiri? Malah sampai bilakah kita harus bercakaran sesama sendiri kerana kepentingan sendiri? Akhirnya kita hanya dapat berdoa dan orang lain yang mendapat keuntungan.

No comments: