Wednesday, October 10, 2007

Imam wanita memalukan Islam

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


SAYA amatlah berharap bahawa tindakan segelintir orang yang mendakwa dirinya Islam untuk memodenkan segala sesuatu di dalam agama, termasuk di dalam mengerjakan ibadat tidak mempengaruhi pemikiran umat Islam khususnya para belia dan anak muda kita. Ini termasuklah tindakan Dr. Amina Wadud yang mengimamkan sembahyang Jumaat di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Saya berharap tindakan-tindakan itu tidak mempengaruhi kita terutamanya anak-anak muda sehingga menerimanya sebagai satu amalan yang dibolehkan oleh ajaran agama.

Hukum yang sedia ada, dan diamalkan ribuan tahun di dalam agama kita, bahawa wanita hanya boleh mengimamkan sembahyang bagi jemaah wanita, atau kanak-kanak, tidaklah seharusnya berubah dengan mudah, hanya semata-mata kerana perbuatan beberapa orang wanita yang membuat tafsiran sendiri tentang ajaran agama, khususnya dalam ibadat itu.

Jelas daripada ajaran agama, bahawa manusia yang paling baik pada Allah s.w.t. termasuk dalam melakukan sesuatu amal ibadat kepada Allah adalah berdasarkan ketakwaan kepada-Nya. Amalan yang kita lakukan mestilah kerana bertakwa kepada Allah, bukan kerana ingin menonjolkan perjuangan kesamarataan gender, atau jenis umpamanya seperti yang ingin dibuktikan oleh Amina Wadud, bahawa apa saja yang dilakukan oleh lelaki, maka wanita boleh melakukannya, termasuk menjadi imam sembahyang untuk makmum lelaki.

Kerana itulah Allah menerangkan di dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud Wahai manusia, sesungguhnya telah Kami jadikan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan berbagai-bagai kaum dan puak, supaya kamu dapat berkenal-kenalan. Sesungguhnya golongan yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah, ialah golongan yang paling bertakwa.

Ungkapan al-Quran ini memberi pengertian kepada kita, bahawa segala pembahagian gender, kaum, puak dan sebagainya tidak mempunyai makna dan kepentingan kepada Allah, tetapi yang pentingnya ialah sifat takwa kepada Allah. Maka sifat takwa kepada Allah adalah terhenti kepada niat dan matlamat kita mengerjakan sesuatu itu semata-mata kerana Allah. Jadi perjuangan gender sehingga menyamaratakan gender dalam semua hal, termasuk dalam merobah peraturan agama tentang sistem ibadatnya, adalah merupakan satu perjuangan yang dipengaruhi oleh gerakan imansipasi wanita berdasarkan fahaman sekular yang tidak selaras dengan sistem agama dan peraturan Allah dan Rasul-Nya. Maka dapatlah ditegaskan di sini bahawa perjuangan untuk meletakkan wanita sebagai imam sembahyang ketika kewujudan jemaah lelaki adalah merupakan satu perbuatan di luar batas-batas ketakwaan.

Meletakkan wanita untuk menjadi imam sembahyang ketika para lelaki menjadi makmumnya adalah satu tindakan yang bukan untuk mendapatkan keredaan Allah, atau kerana bertakwa kepada-Nya, malahan tindakan itu adalah berdasarkan perjuangan pembebasan wanita secara melulu, yang terkeluar daripada batas-batas agama seperti yang telah ditetapkan.

Malah dalam melantik diri menjadi imam sembahyang, seseorang itu haruslah mempunyai kriteria yang tertentu, iaitu dipandang dari sudut ilmunya yang lebih baik daripada orang lain, bacaannya mestilah juga mempunyai kelebihan daripada makmum, malah ada kalanya umur imam adalah juga diambil kira, iaitu seharusnya lebih tua, di samping syarat-syarat ketakwaan, keikhlasan, keilmuan dan ketokohannya dari sudut pandangan agama dan akhlak. Ini kerana imam ialah pemimpin dan ketua bagi sekumpulan jemaah, ia seharusnya ialah seorang yang terpilih, istimewa dan lebih baik daripada makmum di dalam segala aspeknya.

Kita sebagai umat yang menganut agama terbesar, berasa malu, tersinggung, marah dan benci dengan cara perjuangan melulu yang dilancarkan golongan minoriti yang hanya mewakili beberapa kerat manusia yang melampau ini. Malah kita berasa lebih malu kepada dunia umumnya, yang memerhatikan kita dalam keadaan yang amat tidak bersefahaman sehingga orang asing itu pula yang terpaksa menjaga keselamatan imam wanita dan para jemaahnya itu daripada disakiti atau diancam keselamatannya oleh orang Islam sendiri, yang menentang perbuatan yang mencatatkan sejarah hitam di dalam amalan agama ini.

Pasukan keselamatan Amerika Syarikat pula yang terpaksa melindungi mereka yang bersembahyang berimamkan wanita ini daripada golongan Islam lain yang mengecam perbuatan tersebut. Bukankah hal ini amat memalukan kita sebagai umat yang sentiasa mendakwa bahawa kita adalah penganut agama yang bertamadun dan berkemajuan, agama yang menggalakkan keamanan dan kesejahteraan dunia dan akhirat?

Apakah dalam situasi ini, kaum wanita yang sama sealiran perjuangannya dengan Amina Wadud, akan terus melakukan gerakan dan tindakan mereka yang amat pelik itu, semata-mata kerana ingin menegakkan matlamat perjuangan mereka sebagai golongan yang memperjuangkan hak asasi mereka sebagai wanita dalam amalan ritual ini, sedangkan lebih banyak lagi bidang perjuangan lainnya yang sepatutnya mereka perjuangkan?

Apakah perjuangan pembebasan wanita dan hak asasi wanita ini tidak lagi mengenal batas-batas prinsip agama? Apakah mereka akan sentiasa mempersoalkan kenapa Allah tidak mengutuskan para nabi dan rasul wanita untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada umat manusia? Kenapakah Tuhan itu harus digunakan segala sifat ganti namanya dalam bentuk maskulin, tidak feminin, iaitu untuk diwujudkan Tuhan wanita umpamanya?

Sunah Rasulullah

Sesungguhnya amalan ibadat di dalam Islam tidak selamanya bersandar kepada logik dan rasional akal fikiran semata-mata. Amalan ibadat seperti yang disampaikan kepada kita adalah berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Amalan ibadat dalam bentuk yang ditentukan itu seharusnya diterima tanpa mempersoalkan lagi kenapa begitu dan begini. Sebab itulah dalam bersembahyang umpamanya, kita tidak seharusnya mempersoalkan kenapa lima kali sehari semalam, kenapa semestinya dibaca bacaan-bacaan yang tertentu, dan dilakukan pula perbuatan tertentu seperti rukuk, sujud dan lain-lain lagi, malah kenapa pula sembahyang zuhur empat rakaat, maghrib tiga rakaat dan sebagainya?

Kalau kita benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka kita haruslah menerima peraturan ibadat itu tanpa sebarang prasangka yang didasarkan kepada gender, kaum, puak dan sebagainya.

Dalam situasi yang amat liberal ini, dan dalam keadaan yang membenarkan penganut agama Islam membuat berbagai-bagai tafsiran tentang hukum yang tertentu bagi ibadat dan ritual inilah, maka kita seharusnya mengambil dasar agama seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan sunah Rasulullah sebagai penyelesaiannya, bukan logik dan pemikiran yang berdasarkan landasan dan ukuran keduniaan sekular mengikut perjuangan satu golongan yang tertentu.

Al-Quran dan hadis merupakan unsur penyatuan umat dalam banyak urusan dunia dan agamanya, termasuk urusan amal ibadatnya. Sebab itulah al-Quran menyeru umat manusia ketika berlaku perselisihan dan krisis di antara mereka, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya untuk mendapatkan penyelesaian, bukan kepada logik akal fikiran yang penuh sentimen melulu tentang sesuatu perkara, seperti perjuangan hak asasi dan kaum wanita yang tidak terbatas.

Al-Quran jelas memberikan peranan kepada lelaki untuk memimpin dan membimbing wanita secara prinsipnya. Maka dalam aspek ini, para lelaki itulah yang seharusnya dididik untuk menjadi manusia yang beramanah, bertanggungjawab dan berkemampuan untuk menjalankan amanah itu dengan sebaik-baiknya, bukan dengan perjuangan untuk mengambil alih tugas lelaki dalam semua hal dan bidang semata-mata kerana kelemahan lelaki dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Tetapi dalam banyak hal, lelaki dan wanita mempunyai kewajipan dan hak yang sama di hadapan Allah, tidak ada perbezaan. Namun begitu dalam isu menjadi imam bagi makmum lelaki, peraturan telah pun tetap dan tegas.

Oleh itu perjuangan wanita, sebenarnya dapatlah dibangunkan di dalam banyak hal lain yang secara langsung atau tidak langsung menyentuh hak mereka di dalam keluarga dan masyarakat yang lebih luas.

Lihat kepada negara kita sendiri umpamanya, bagaimana sebenarnya hak wanita telah dinobatkan dalam banyak hal dan situasi, termasuk dalam kehidupan keluarga, sosial, ekonomi, politik, undang-undang dan sebagainya.

Tidak banyak negara Islam yang mempunyai peraturan yang amat ketat tentang amalan berpoligami seperti negara kita. Banyak negeri di dalam negara kita ini yang telah menggubal akta dan undang-undang agar amalan ini tidak diamalkan secara sewenang-wenangnya. Tujuannya ialah untuk melindungi wanita dan keluarga, dan memastikan bahawa amalan ini seharusnya dilakukan di dalam sempadan yang tertentu, yang dibolehkan oleh agama.

Maka dalam pada itu pun sekiranya terdapat sebarang kezaliman di dalam amalan ini, maka kesalahan itu bukanlah terletak di atas dasar Islam itu sendiri, tetapi adalah berdasarkan kepada perbuatan menyalahgunakan amalan ini oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Apakah kerana perbuatan manusia seperti ini, maka peraturan syariah itu seharusnya dihapuskan langsung?

Untuk menjaga kepentingan wanita juga maka terdapat peraturan yang kita amalkan di negara ini tentang pembahagian harta kepada isteri yang dinamakan harta sepencarian, iaitu para isteri berhak mendapatkan sebahagian daripada harta suaminya ketika bercerai, walaupun isteri tidak bekerja sepanjang masa perkahwinan mereka itu. Kehadiran isteri di dalam keluarga, kesetiaannya menjaga rumah tangga, termasuk anak-anaknya, dan ketenteraman rumah tangga yang dipupuk oleh isteri itulah yang membolehkan suaminya bekerja dengan tenang dan produktif, dan mendapat rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Maka hal ini adalah dianggap sebagai satu sumbangan isteri yang amat tinggi nilainya, yang harus diberikan ganjaran kepadanya, maka ganjaran inilah yang diberikan dalam bahagian harta sepencarian tersebut.

Pendeknya, hak wanita sememangnya mesti dipelihara dan diberikan kepada mereka dengan sewajarnya, sesuai dengan ajaran Islam sendiri yang memberikan hak yang selayaknya kepada mereka. Maka perjuangan seperti inilah yang seharusnya dilakukan oleh semua golongan masyarakat, bukan oleh golongan wanita sahaja.

Perjuangan untuk wanita bukanlah perjuangan memecahkan hukum dan peraturan agama yang telah sedia ada, seperti menjadi imam kepada jemaah lelaki dan seumpamanya. Perbuatan ini sebenarnya mengundang banyak perpecahan dan kekeliruan yang tidak sewajarnya timbul di dalam masyarakat Islam kini, ketika kita menghadapi banyak cabaran dan persoalan lain yang lebih global dan besar.

Semoga apa yang dilakukan tidak akan menggugat segala peraturan agama yang telah kita amalkan turun-temurun selama ini, dan tidak akan meracuni pemikiran para penganut agama Islam, khususnya para belia dan anak-anak muda yang sedang mencari-cari apakah sebenarnya ajaran agamanya ini.

No comments: