Wednesday, October 10, 2007

Perselisihan biarlah menguntungkan bukan menimbulkan kekeliruan - Hentikan konflik umat Islam

KETIKA umat Islam menghadapi tekanan dan permusuhan dari segenap penjuru alam ini dengan amat serius, umat Islam nampaknya lebih suka berkonflik sesama sendiri. Dan amat mendukacitakan bahawa isu yang dikonflikkan itu pula bukanlah menyentuh persoalan dasar umat, malah menyentuh isu yang telah lama dibicarakan dan telah pun selesai, atau isu dalaman yang amat dangkal. Kita nampaknya lebih terhibur dan amat seronok berbicara dan bertelingkah sesama kita, ketika kita dizalimi dan dijajah, anak-anak Islam dibunuh seperti semut atau tikus, nyawa umat Islam menjadi semakin murah setiap hari seperti yang dapat kita saksikan sekarang di Afghanistan, Palestin dan Iraq.

Sebagai contoh bagi konflik dan perselisihan pandangan tersebut ialah isu yang diperkatakan baru-baru ini tentang hukum bertudung kepala bagi wanita Islam. Isu ini menarik banyak perhatian dan pandangan masyarakat Islam di negara kita, kerana selama ini, umat Islam telah berpegang kepada hukum yang telah ditetapkan sejak lama bahawa aurat wanita adalah seluruh badannya kecuali tapak tangan dan muka. Maka apabila terdapat satu `fatwa' bahawa kepala itu bukan aurat, sudah tentulah hal ini menarik perhatian umum kerana fatwa ini merupakan satu fatwa baru yang berbeza daripada pengetahuan dan amalan masyarakat Islam selama ini.

Saya tidak bermaksud untuk membicarakan isu ini dari segi hukum fikah dalam tulisan sependek ini, terutamanya kerana saya merasakan bahawa soal hukum ini perlulah dijelaskan oleh para sarjana dan alim ulama yang telah membuat kajian sejak sekian lama tentang aurat, sama ada aurat lelaki atau wanita. Saya hanya ingin melihat isu ini dari segi hikmah dan maslahatnya kepada umat Islam, terutamanya kepada masyarakat Islam di negara kita.

Seperti kita semua maklum, bahawa sesuatu hukum yang ditentukan dalam agama adalah menjadi komitmen umat Islam untuk mematuhi dan mengamalkannya. Makanan umpamanya terdiri daripada makanan yang halal dimakan, yang makruh dan yang haram. Orang Islam seharusnya mematuhi hukuman ini dan memakan hanya makanan yang halal. Tetapi dalam masyarakat Islam, tidak terdapat seratus peratus orang Islam yang mematuhinya, maka terdapatlah orang Islam yang melanggar hukuman ini, iaitu dengan memakan atau meminum makanan dan minuman yang haram. Perbuatan orang Islam yang tidak mematuhi hukuman agamanya, tidaklah sebenarnya mengubah hukum asal yang telah jelas itu.

Namun begitu terdapat keadaan tertentu yang membolehkan penggantungan sementara hukuman itu iaitu apabila terdapat keadaan yang membolehkan umat Islam memakan atau meminum makanan dan minuman yang haram ketika wujudnya keadaan ini. Dalam keadaan darurat umpamanya ketika ketiadaan minuman atau makanan halal sedangkan seorang individu itu akan terdedah kepada bahaya kehilangan jiwanya, maka ia bolehlah meminum atau memakan makanan haram sekadar yang dapat menyelamatkan nyawanya, kerana nyawa manusia adalah satu kurniaan Allah yang amat suci dan berharga kepada makhluk-Nya. Oleh itu agama memerintahkan kita supaya memeliharanya dengan sebaik-baiknya.

Maka dalam keadaan ini tindakan menyelamatkan nyawa diberikan keutamaan daripada membiarkan seseorang itu mati kerana kelaparan atau kehausan disebabkan ketiadaan makanan dan minuman yang halal. Saya pernah mendengar cerita dari tahanan politik di beberapa buah negara Islam sendiri yang ditahan makanan dan minumannya ketika dalam tahanan, maka mereka terpaksa meminum air kencing sendiri, yang saya percaya ketika ini menjadi halal bagi mereka walaupun air kencing adalah haram diminum kerana najis. Tetapi demi menjaga nyawa, maka minuman yang haram ini menjadi harus.

Andaian saya bahawa tudung kepala yang seharusnya dipakai oleh wanita Islam akan menjadi haram umpamanya sekiranya dengan bertudung itu boleh membawa kepada ancaman nyawa pemakainya dalam keadaan yang tertentu. Mungkin dalam pergolakan manusia yang menjadi terlalu ganas pada masa ini, terutamanya ketika terdapat permusuhan umat bukan Islam terhadap umat Islam di Barat selepas peristiwa 11 September yang lalu sehingga terdapat keadaan yang boleh mengancam nyawa wanita Islam, maka pada ketika ini, demi menjaga keselamatan jiwa wanita Islam, ia mungkin membuka tudungnya.

Bagaimanapun seperti saya sebutkan di atas, oleh kerana saya tidak berniat untuk membicarakan isu tudung kepala ini dari segi hukum fikahnya, maka biarlah di sini saya timbulkan isu yang lebih penting dalam kaitan ini, agar masyarakat Islam seharusnya memahami keutamaan agenda hidup mereka dalam masyarakat manusia sejagat yang penuh dengan segala persaingan ini.

Persoalannya, apakah untungnya umat Islam berbicara tentang hukum yang telah wujud di dalam agama kita untuk mengeluarkan hukum baru berdasarkan dalil dan hujah yang umumnya lebih berbentuk logik dan akal sendiri? Apakah dalam keadaan ini kita memerlukan satu fatwa baru yang lebih merupakan satu pandangan untuk menjaga maslahat umat Islam daripada membicarakan isu hukum itu sendiri?

Kalau kita ingin membicarakan sesuatu isu agama itu berdasarkan kemaslahatan umat yang termasuk di dalam pembicaraan siyasah syar'yyah, maka kita agak bebas untuk membicarakannya mengikut keadaan dan masyarakat setempat, termasuk isu menggantungkan sesuatu hukuman yang telah muktamad. Dalam konteks ini, isunya ialah isu maslahat dan kepentingan umat Islam umumnya, bukannya isu fatwa yang melibatkan perubahan yang asasi bagi fatwa itu.

Namun sekiranya isu tudung kepala wanita ini masih dianggap isu hukum fikah yang telah disalahkan fatwanya oleh para ulama selama ini, dan disalahtafsirkan pula ayat al-Quran yang mempunyai hubungan dengan aurat wanita ini, maka hal ini tentulah merupakan satu persoalan serius yang perlu diselesaikan dengan segera, supaya masyarakat Islam tidak akan terus-menerus berada dalam kebingungan dan kekeliruan akibat perkembangan yang terbaru ini. Umat Islam kini telah pun berada di dalam kebingungan dan kekeliruan yang lebih besar lagi akibat cabaran-cabaran yang mereka hadapi dari masyarakat sekelilingnya, terutamanya yang memusuhi mereka. Kebingungan ini tidak perlu kita tambahkan lagi dengan kepelbagaian isu baru yang ditimbulkan, terutamanya dalam urusan akidah dan hukuman syariah yang menjadi amalan mereka selama ini.

Saya tidak bermaksud untuk menentang sesuatu pandangan baru terhadap amalan kita selama ini yang mungkin sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Kita memang seharusnya menerima sesuatu yang baru dalam amalan dan ibadat kita sekiranya segala amalan kita selama ini salah. Tetapi yang menjadi masalah, apakah hukuman baru itu sekuat hukuman lama dan merupakan sesuatu yang fundamental? Sekiranya tidak begitu, maka akibatnya kita hanya menjadi umat yang akan terus-menerus bersengketa dan berselisih pandangan di hadapan masyarakat umum dunia tanpa kesudahan. Saya menyebut begini kerana umat Islam sentiasa boleh mencungkil segala pentafsiran yang telah sedia ada dengan mengeluarkan tafsiran baru terhadap sesuatu hukuman dan fatwa yang lalu. Malah umat Islam boleh mencari hadis yang tertentu, tanpa mengira hadis sahih atau tidak, untuk mengubah sesuatu pandangan dan hukum yang telah sedia ada di dalam masyarakat.

Akibatnya kita akan sentiasa mencari kesalahan orang lain dan membesar-besarkan perkara yang tidak seharusnya dibesar-besarkan di dalam masyarakat yang telah sedia berkonflik ini, apalagi perkara yang dibesar-besarkan itu adalah perkara yang tidak menentukan mati hidupnya umat Islam yang sedang mengalami sakit yang agak tenat sekarang ini, atau mempersoalkan juga perkara-perkara ghaib di akhirat nanti.

Pembaharuan dalam agama biarlah menyentuh soal survival dan nasib umat Islam dalam mempertahankan agama, negara dan umatnya di dalam dunia yang sedang bergolak, dan di dalam keadaan yang menjadikan umat Islam tertindas, teraniaya dan hina. Kita memerlukan lebih banyak pandangan dan polemik tentang peningkatan umat kita di dalam bidang ilmu pengetahuan moden, bidang sains dan teknologi, ekonomi dan perdagangan yang selama ini dikuasai oleh umat lain, sedangkan kita sentiasa menyanyi-nyanyikan lagu lama tentang ketinggian umat Islam.

Isu halal haramnya daging biawak, membaca lafaz usalli atau tidak sebelum sembahyang telah diperdebatkan pada satu ketika dulu sehingga memecahbelahkan masyarakat Islam, tetapi lama kelamaan, umat Islam berasa penat membicarakan masalah itu, maka terhentilah segala perbincangan, namun masyarakat Islam selepas itu tidak juga bergerak ke mana-mana, dan tidak pun memperoleh sebarang keuntungan daripada perdebatan itu. Yang nyatanya orang Melayu dan umat Islam di dalam masyarakat kita tetap tidak makan biawak, dan di kalangan umat Islam pula terdapat umat Islam yang membaca lafaz usalli sebelum sembahyang dan ada yang tidak pun membacanya.

Sebab itulah telah saya sebutkan bahawa kita akan sentiasa boleh berkonflik dan berselisih pandangan sekiranya kita mahu di dalam apa saja isu yang wujud di dalam masyarakat kita ini. Tetapi yang pentingnya konflik dan perselisihan itu biarlah yang asasi dan menguntungkan umat kita, tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan dan kebingungan masyarakat kita sehingga merugikan kita sendiri.

Kita tidak seharusnya membelakangkan institusi agama di negara kita yang telah diberikan autoriti oleh raja-raja Melayu sebagai ketua agama bagi menyelesaikan sebarang fatwa yang melibatkan akidah dan syariah yang menjadi amalan umat Islam di negara kita.

Namun begitu, saya rasa para sarjana dan ulama mestilah tampil ke hadapan secara yang lebih positif untuk memberikan pandangan dan hujah yang berbentuk ilmu pengetahuan yang asasi berdasarkan sumber-sumber syariah sama ada daripada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias. Asas-asas dan sumber hukum ini haruslah dipertahankan sekiranya kita tidak mahu melihat masyarakat kita menjadi masyarakat yang porak-peranda dan berpecah belah kerana terlalu banyak fatwa yang disebarkan oleh berbagai-bagai pihak.

Bagaimanapun, satu perkara yang pasti, bahawa kita tidak seharusnya terlalu banyak membuang masa berdiskusi sesama kita tentang isu hukum-hukum yang telah sedia ada, kerana kita haruslah lebih menumpukan segala kemampuan ilmiah dan intelektual kita melawan serangan yang dihadapkan kepada kita dengan amat hebat sekali pada waktu ini, khususnya daripada golongan zionisme antarabangsa, dan penjajahan Yahud dan Nasara, daripada membicarakan masalah tudung kepala atau azab di dalam kubur.

No comments: