Wednesday, October 10, 2007

Melihat diri dengan jujur dan ikhlas selepas menang atau kalah - Muhasabah pilihan raya umum

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PENANTIAN yang mendebarkan telah berakhir, iaitu dengan selesainya proses pengundian bagi pilihan raya umum yang ke-11 pada 21 Mac yang lalu, dan keputusannya telah diketahui. Sama seperti para peserta di dalam pertandingan yang lain, maka dalam pilihan raya umum ini juga terdapat calon yang menang dan terdapat pula yang kalah. Yang menang melonjak kegembiraan, dan yang kalah berasa hampa dan berdukacita. Dan di antara calon yang menang dan kalah itu termasuklah juga ramai teman saya sendiri yang bertanding di atas tiket parti politik yang berbeza. Maka terlepas dari sebarang ideologi politik mengikut parti yang mereka wakili, saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada yang menang, dan simpati kepada yang kalah.

Kepada yang menang, ataupun yang kalah, keputusan yang telah menimpa mereka bukanlah merupakan yang terakhir, kerana Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa, Demikianlah hari-hari itu akan Kami gilirkan di antara manusia ertinya ada hari dan waktu yang memberi kemenangan kepada kita, dan terdapat pula hari dan waktu, ketika kita akan mengalami kekecewaan dan berdukacita. Jadi dalam menghadapi kekalahan atau kemenangan inilah, seseorang itu harus berusaha supaya waktu yang terbaik akan menjelang tiba lagi.

Sebenarnya di dalam kehidupan ini, terdapat dugaan dan cabaran, saat bahagia dan derita, yang semuanya harus kita terima dengan dada yang terbuka. Yang penting sekali dalam menghadapi kegembiraan dan kekecewaan ini, ialah bagaimana kita mengurus kejayaan dan kekecewaan itu, bagaimana kita harus mengawal diri agar tidak dihanyutkan arus gembira atau dukacita, sehingga kita melupakan maha pencipta, iaitu Allah, yang telah memberikan kejayaan atau menduga kita dengan kekecewaan.

Pada masa kini saya rasa para calon yang menang dan yang kalah telah pun dapat mententeramkan diri selepas hampir dua minggu pilihan raya berlalu. Satu perkara lain yang seharusnya juga dilakukan oleh yang menang atau yang kalah, ialah menghitung dan menilai sebab-sebab kemenangan atau kekalahan mereka. Saya menyebut begini, kerana telah menjadi satu tradisi di dalam masyarakat kita, bahawa kita sering kali menyeru orang yang kalah agar segera bermuhasabah diri iaitu dengan mencari sebab-sebab kekalahan.

Bagi saya, orang yang menang juga, haruslah bermuhasabah diri iaitu dengan memeriksa segala faktor yang mendorong kepada kemenangannya, supaya dengan itu dia tidak akan menjadi seorang yang terlalu yakin bahawa dia adalah segala-segalanya sehingga dia telah berjaya, dan mungkin dengan itu akan timbul pula perasaan angkuh dan sombong di dalam hatinya.

Oleh kerana menang atau kalah mempunyai sebab-sebabnya tersendiri, maka orang yang menang atau yang kalah itu sendiri yang seharusnya melihat dirinya dengan ikhlas dan jujur kenapakah dia kalah atau menang. Di antara persoalan yang seharusnya diajukan kepada diri sendiri ialah adakah dia menang kerana dia benar-benar berkemampuan sebagai individu dan anggota di dalam partinya, atau adakah dia kalah kerana dia merupakan seorang yang dinilai oleh pengundi sebagai seorang yang tidak berguna lagi di dalam dunia ini, sedangkan dia mengetahui bahawa selama ini, iaitu sebelum bertanding di dalam pilihan raya, orang ramai amat menghormatinya.

Satu hakikat yang seharusnya kita akui bahawa di dalam pilihan raya umum, para pengundi yang mengundi dengan rasional sering memilih pasukan, atau dalam konteks ini, mereka memilih parti politik yang diwakili oleh seseorang calon itu tanpa sangat memberikan penumpuan seratus peratus kepada diri calon. Buktinya amat jelas, iaitu ketika mengundi, sering juga terdapat anggota keluarga yang tidak mengundi abang atau adiknya sendiri, malah suami atau isterinya juga, sekiranya calon yang terdiri daripada anggota keluarganya itu tidak bertanding di atas tiket parti politik pengundi tersebut.

Maka dalam hal ini ternyata bahawa pengundi sentiasa memilih parti yang disukainya, walaupun calon yang mewakili parti politik lawannya adalah terdiri daripada kaum keluarganya sendiri, atau calon itu lebih berwibawa. Terdapat juga keadaan yang amat luar biasa seperti yang berlaku ketika terdapat kes calon bebas yang terlalu istimewa dipilih dengan suara terbanyak untuk menjadi wakil rakyat, atau mungkin juga berlaku di dalam kawasan tertentu yang para pengundinya tidak terlalu memberikan perhatian kepada parti politik yang tertentu pula. Kumpulan pengundi yang terakhir inilah yang dikenali sebagai pengundi di atas pagar, dan menjadi tumpuan kempen yang sering dilancarkan secara besar-besaran oleh calon-calon dan penyokong masing-masing.

Oleh itu, apa sahaja kemungkinan dan andaian kita tentang kecenderungan pengundi, maka pilihan raya umum di negara kita saya rasa lebih banyak merupakan pertandingan di antara parti. Orang Melayu terutamanya, yang amat terpengaruh dengan perjuangan parti sehingga kadang-kadang terlalu taksub dan fanatik, seolah-olah parti politik itulah yang menentukan hidup matinya kita di dalam dunia ini. Malah terdapat juga kalangan yang mempercayai bahawa parti politik itulah yang menentukan syurga nerakanya pada hari akhirat.

Kemelut pemikiran yang mengelirukan ini, terutamanya yang bersarang di kepala sesetengah kalangan yang taksub, menjadi semakin meluap-luap apabila perjuangan politik kepartian dihubungkan dengan perjuangan agama, terutamanya ketika terdapat parti politik yang menamakan dirinya dengan nama Islam. Maka orang awam akan segera mengambil kesimpulan bahawa parti yang menamakan dirinya Islam itulah sahaja yang memperjuangkan agama, sedangkan parti politik lain tidak.

Kekeliruan inilah sebenarnya yang pernah menjadi bahan perbincangan di dalam Majlis Raja-Raja, sehingga majlis tersebut telah merujukkan hal ini kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, iaitu dalam bentuk pertanyaan apakah benar perpecahan orang Melayu yang berlaku selama ini disebabkan oleh salah satunya kerana nama Islam yang telah digunakan untuk pertubuhan termasuk pertubuhan parti politik.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan hal ini, dan memutuskan bahawa tiada halangan nama Islam digunakan untuk sebarang institusi atau pertubuhan termasuk pertubuhan parti politik. Masalah perpecahan orang Melayu yang timbul selama ini, ialah kerana gelagat dan tingkah laku para pendukung pertubuhan yang menggunakan nama Islam itu sendiri yang kelihatan telah terlanjur dan melampaui batas adab dan ajaran Islam yang sebenarnya sehingga sanggup menggunakan nama Islam itu sebagai lambang keislaman pertubuhan dan status mereka sendiri.

Masyarakat Melayu yang terkeliru dengan fatwa-fatwa beginilah yang sering berpecah belah dan bermusuhan sesama sendiri atas dasar siapakah yang lebih Islam, dan siapakah yang mempunyai akidah yang benar dan siapakah yang tercemar akidahnya. Maka keputusan pilihan raya sering kali dipengaruhi oleh faktor ini, iaitu faktor agama.

Saya masih beranggapan bahawa keputusan pilihan raya umum yang ke-11 tetap mencerminkan persepsi dan kefahaman agama majoriti masyarakat kita. Tetapi nampaknya pengundi kini telah menunjukkan satu perubahan sikap terhadap agenda Islam yang mereka mahu, dan perubahan sikap itu nampaknya amat mengejutkan banyak orang, terutamanya di kalangan yang selama ini menganggap bahawa agama dan pembangunannya adalah monopoli segolongan para pejuangnya yang tertentu sahaja.

Oleh itu saya amatlah berharap bahawa dengan berakhirnya pilihan raya umum ini, satu muhasabah diri haruslah dilakukan oleh semua pihak, iaitu yang menang atau yang kalah. Mereka haruslah mengkaji corak dan bentuk serta pengisian agama dalam perjuangan masing-masing selama ini. Juga haruslah dikaji pendekatan masing-masing dalam perjuangan agama tersebut, termasuk cara mempengaruhi orang lain dalam ceramah, pengucapan, kenyataan media, penggunaan bahasa dan ungkapan, adab, akhlak dan sebagainya, yang selama ini sentiasa terdedah kepada semua anggota masyarakat umum dan menjadi cermin untuk orang ramai menatap wajah mereka yang memperjuangkan Islam itu.

Dasar dan agenda parti politik dalam memberikan kefahaman tentang Islam kepada masyarakat, malahan pelaksanaan agenda agama dan skop perjuangan Islam yang dilakukan juga haruslah menjadi agenda kajian, supaya dengan itu dapatlah disimpulkan, perjuangan Islam bagaimanakah yang dikehendaki oleh masyarakat sekarang, dan imej pemimpin Islam bagaimanakah yang dapat menawan hati orang awam.

Malah satu penilaian penting yang seharusnya dibuat sekarang ini ialah tentang perubahan mendadak yang berlaku di dalam masyarakat majoriti Melayu ketika memilih wakil-wakil mereka itu. Kita seolah-olah melihat satu senario politik Melayu yang amat berbeza dari empat lima tahun yang lalu, iaitu ketika berlangsungnya pilihan raya umum 1999. Keputusan pilihan raya umum kali ini merupakan satu gambaran yang amat bertentangan dengan keputusan pilihan raya tahun 1999.

Semua ini perlu dikaji dengan ikhlas dan teliti, kerana kita tidak boleh selama-lamanya mengandaikan bahawa semua orang akan dapat kita kepung untuk memasuki kandang kita, sedangkan kandang kita tidak diminati oleh mereka, dan kita juga tidak boleh mengatakan bahawa majoriti orang Islam di dalam negara kita semuanya salah, dan kita sahaja yang betul, malah kita juga tidak boleh segera mencari jalan keluar yang mudah untuk menutup kelemahan kita sendiri iaitu dengan cara menuding jari menyalahkan orang lain, termasuk mereka yang tidak mengundi kita.

Kalau semuanya itu dapat dimuhasabah, maka mungkin kita akan dapat melakukan perubahan terhadap imej dan haluan kita, atau mungkin juga kita dapat mengubah strategi perjuangan kita, sekiranya kita mahu berubah. Tetapi sekiranya kita tidak mahu juga berubah, maka Tuhan tidak akan mengubahnya, dan semua orang mengetahui tentang hal ini.

Namun apa sahaja kesimpulan yang diambil, bagi saya keputusan pilihan raya umum yang telah berakhir ini, telah menunjukkan satu angin perubahan yang positif dari segi kesatuan orang Melayu, iaitu dari sudut agama, nampaknya majoriti orang Melayu mulai memahami wawasan pembangunan Islam yang mereka kehendaki, dan imej kepimpinan Islam yang mereka minati. Suara majoriti tentulah memberikan satu isyarat yang amat penting tentang corak perjuangan Islam yang relevan dengan tuntutan masa dan zaman global ini, di samping penekanan yang masih kukuh tentang teras dan pengisian Islam sebagai al-deen.

No comments: