Wednesday, October 10, 2007

Penghormatan kepada Dr. Mahathir menjelang 31 Oktober -- Hormat bukan bermakna taksub

TIBA-TIBA bulan Oktober 2003 menjadi bulan yang bersejarah dan penuh erti bagi warga Malaysia. Bulan itu bagi tahun-tahun biasa tidak mempunyai sebarang keistimewaan kecuali mungkin kepada beberapa individu atau kumpulan tertentu. Tetapi Oktober 2003 merupakan bulan bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia dari semua lapisan dan kalangan, kerana pada akhir bulan inilah seorang manusia yang bernama Dr. Mahathir Mohamad, yang telah berkhidmat membangunkan negara Malaysia selama lebih daripada dua dekad akan mengakhiri hidupnya sebagai Perdana Menteri negara ini.

Pengunduran beliau dari jawatan Perdana Menteri Malaysia menjadi satu detik bersejarah yang bakal tercatat di dalam buku sejarah negara kita, satu detik pengunduran seorang yang kreatif, dinamik, tegas, berani, berwawasan dan berperwatakan sebagai seorang pemimpin yang luar biasa.

Saya percaya bahawa penghormatan yang diberikan kepada Dr. Mahathir menjelang persaraannya adalah merupakan penghormatan yang tulen, bukan berdasarkan rasa fanatik atau sentimen melulu kerana beliau merupakan seorang Perdana Menteri. Hal ini lebih-lebih lagi kita rasai apabila mereka yang memberikan penghormatan kepada beliau menjelang tempoh akhir perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah juga terdiri daripada orang asing, dari negara-negara lain, yang tentunya lebih bersifat penilaian yang objektif, bukan kerana sesuatu rasa taksub melulu terhadapnya.

Sebaliknya mungkin terdapat segelintir rakyat Malaysia sendiri yang menyimpan rasa prasangka terhadap hasrat beliau untuk berhenti, atau masih berasa benci dan mendoakan kecelakaan menjelang hari-hari akhir perkhidmatannya. Maka perasaan dan niat hati orang seperti ini adalah amat bersifat peribadi melulu yang tidak dapat membezakan di antara penghargaan kepada seseorang yang telah berjasa besar, dengan rasa benci dan meluat dengan peribadi seseorang yang dirasainya sebagai seorang yang tidak baik, seorang ``Firaun'', ``kejam'' dan seribu satu perasaan yang terpendam di dalam hati dan benaknya tanpa usul periksa dan penilaian yang lebih bersifat objektif.

Ketika saya menulis begini pun, mungkin orang telah menyangka bahawa saya sendiri adalah seorang yang fanatik kepada beliau, pengampu dan berbagai-bagai sifat ``buruk'' seorang manusia ketika menyukai beliau. Orang akan menuduh dengan pelbagai tuduhan terhadap sesiapa yang menyukai beliau, terutamanya mereka yang mempunyai latar belakang agama yang masih menyokong dan menghargai dasar-dasar negara di bawah pimpinan Dr. Mahathir.

Saya rasa di sinilah terletaknya kelemahan dan kemunduran berfikir segelintir orang Malaysia, khususnya orang Islam dan Melayu, yang tidak dapat memahami di antara perasaan peribadi dan penilaian rasmi terhadap seseorang itu. Semua perkara sering dijadikan perkara personal, sehinggakan segala dasar rasmi yang dirangka dan dijalankan oleh kerajaan pun semuanya dianggap sebagai dasar peribadi Dr. Mahathir, kerana beliaulah yang menjadi ketua kerajaan. Oleh itu sesiapa yang menyokong sesuatu dasar kerajaan, maka ia dianggap sebagai pak turut Dr. Mahathir dan pengampunya. Sebab itulah mereka telah pun meletakkan kepercayaan dan tanggapan bahawa untuk menjadi orang yang termasuk ke dalam golongan pembangkang Dr. Mahathir, maka seseorang itu hendaklah menentang semua dasar kerajaan, mencabulinya atau melakukan sabotaj supaya merosakkan sebarang dasar kerajaan.

Saya mengenali Dr. Mahathir secara rasmi hanya kira-kira 10 tahun sahaja, iaitu ketika saya dilantik oleh beliau untuk mengetuai Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada tahun 1992. Sebelum itu saya mengenalinya dari jauh, terutamanya ketika saya menemui beliau di dalam satu majlis anjuran Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah yang diadakan dalam tahun 1975 untuk meraikan ahli-ahli yang baru pulang dari luar negara setelah berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah dari Mesir dan United Kingdom. Allahyarham Datuk Wan Kadir yang mengetuai persatuan tersebut ingin menonjolkan kepada Dr. Mahathir ahli-ahli persatuan yang mampu menyambung pelajaran ke peringkat tinggi dan bukan hanya dari Mesir, tetapi juga dari negara Barat.

Sebagai pelopor dan Ketua Pengarah pertama IKIM, saya sememangnya perlu mendengar dan memberi pandangan kepada Perdana Menteri sebelum IKIM ditubuhkan lagi. Dalam pertemuan dan perbincangan yang saya adakan dengan beliau, berlaku pertukaran pandangan dan pendapat, yang semuanya bukanlah merupakan pandangan sehala daripada beliau. Sekiranya terdapat pandangannya yang saya tidak setuju, saya akan memberikan pandangan balas kepadanya, dan sering kali beliau dapat menerima sekiranya saya dapat memberikan alasan dan sebab-sebab yang boleh meyakinkannya.

Prasangka

Beliau bukanlah seorang yang bersifat kuku besi atau seorang yang bersikap keras melulu tanpa mahu menerima pandangan yang baik. Orang yang tidak mengenalinya sahaja yang sering beranggapan begitu. Hal ini tentulah tidak menghairankan, kerana manusia ini sering mempunyai rasa prasangka atau takut terhadap sesuatu yang tidak diketahui atau dikenalinya. Oleh itu orang yang tidak mengenali Dr. Mahathir dari segi ini, maka ia sering beranggapan bahawa Dr. Mahathir adalah seorang diktator dan kejam. Bagi saya, beliau bukanlah seorang yang degil dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain, tetapi beliau adalah

seorang yang tegas dan berani dalam pandangannya, sehingga pada akhirnya ternyata bahawa pandangannya sentiasa tepat atau mempunyai kebenaran dan memberi kesan yang besar terhadap sesuatu perkara itu.

Kerana ketegasan dan keberaniannya inilah maka saya rasa beliau telah dapat merangka dan melaksanakan berbagai-bagai dasar negara kita dengan sebegitu rupa, sehingga Malaysia yang kecil dan tidak ternama ini berjaya menjadi negara berkuasa agak besar dan mempunyai nama. Kita berbangga bukan kerana nama Malaysia yang harum di mata dunia, tetapi kerana segala kemajuan dan pembangunan tanah air kita telah memberikan manfaat yang amat besar kepada rakyat dan warganegara Malaysia sendiri.

Saya sedar bahawa penilaian dan penghargaan orang ramai di negara kita terhadap orang lain menjadi amat tercemar dan rosak kerana pengaruh kefahaman politik kepartian yang melulu. Taksub kepartian telah mengubah seluruh penilaian dan pemikiran serta visi orang awam terhadap orang lain. Dasar hitam putih yang telah bersemadi di dalam sanubari dan benak seseorang berdasarkan keahlian dan sokongan kepada parti politik yang tertentu telah mencorakkan seluruh persepsi dan pemikiran orang itu terhadap orang lain yang bukan dari partinya.

Oleh itu dalam hal ini walau sebanyak mana pun perkara baik yang dilakukan oleh orang lain, tetapi sekiranya orang itu bukan daripada kalangan ahli atau penyokong partinya, maka amalan atau kelakuan baik orang itu tetap tidak akan dihargai. Hal inilah yang berlaku di kalangan para penyokong taksub parti politik di negara kita yang kita anggap amat malang dan penuh tragedi, sedangkan negara kita telah mengamalkan dasar demokrasi selama berpuluh-puluh tahun yang lalu. Kita telah pun melalui 10 kali pilihan raya umum, malah dalam banyak hal, negara kita telah mencapai kemajuan yang tinggi di dalam kepelbagaian pembangunan fizikal dan material, jasmani dan rohani, pendidikan, ekonomi, teknologi dan sebagainya yang menghampiri matlamat negara maju. Tetapi mentaliti dan cara berfikir kita nampaknya masih lagi berada di tahap yang lama, di tahap mundur dan beku.

Saya selalu mengharapkan bahawa ketua-ketua parti politik di negara kita, terutamanya ketika mengemukakan isu-isu sensitif umat Islam, seperti isu-isu keagamaan, akan lebih bersikap jujur dan ikhlas dalam ``mendidik'' para pengikut mereka di akar umbi, di kampung dan kawasan luar bandar, malah di kalangan para ilmuwan sendiri yang ada kalanya cenderung kepada pemikiran taksub dalam isu-isu agama kerana kejahilan mereka.

Saya menyebut perkara ini kerana pernah terjadi bagaimana seorang kawan saya telah diberikan `ceramah politik' oleh seorang doktor pakar di sebuah hospital yang melatih para pelajar perubatan tentang ``keburukan'' Malaysia dan pemimpinnya ``yang menjual orang Melayu'' dan berbagai-bagai perkara negatif lain yang kononnya selama ini dilakukan ``oleh Dr. Mahathir''. Lalu dia bertanya, ``Kenapakah tidak dijatuhkan sahaja Dr. Mahathir?'' Kawan saya itu sebagai pesakit tentulah tidak berdaya untuk berkata sesuatu apa pun, sedangkan di dalam hatinya tertanya-tanya kenapakah doktor pakar ini bersikap demikian dan bersikap amat tidak profesional?

Sebab itulah saya tetap beranggapan bahawa selagi ketua-ketua parti politik tidak bersikap lebih terbuka dan toleran, atau tidak mementingkan kepentingan umum yang lebih utama untuk kebaikan masyarakat kita, maka saya bimbang selama itulah sikap dan cara berfikir rakyat, khususnya umat Islam akan berkecamuk dan keliru dan persepsi mereka akan menjadi samar-samar, termasuk isu syurga dan neraka, dosa pahala, Islam dan tidak Islam. Mereka akan terus-menerus menjadi orang yang taksub, termasuk menjadi pak turut yang membuta tuli tanpa ilmu dan kesedaran terhadap realiti hidup yang sebenarnya dan terus menerus menjadi orang yang emosional tanpa dapat menggunakan akal fikiran yang rasional lagi.

Hal inilah yang terjadi ketika IKIM ditubuhkan. Berbagai-bagai spekulasi dan berita yang disebarkan di seluruh pelosok kota dan bandar di negara kita kononnya penubuhan IKIM adalah untuk menjadi alat parti UMNO bagi menyerang Pas. IKIM juga dikatakan akan menjadi platform Dr. Mahathir untuk menjalankan propaganda bagi dirinya. Sebab itulah orang yang mengetuai IKIM juga harus dihentam habis-habisan dan dicincang sehingga musnah.

Bagaimanapun setelah mengenali sikap dan cara berfikir segelintir orang yang taksub tanpa rasional itu, saya tidak pernah menghiraukan kecaman dan tuduhan melulu itu. Yang saya tahu bahawa dunia Islam tidak pernah terfikir untuk menubuhkan sebuah institusi pemikir Islam seperti IKIM bagi memperbaiki imej dan gambaran Islam dan umatnya yang sering dicemarkan oleh media Barat itu. Yang saya alami juga bahawa sepanjang perkhidmatan di IKIM, kami tidak pernah berusaha memainkan taktik politik kepartian yang kotor, malah kami bekerjasama dengan semua pihak, termasuk pihak pembangkang untuk memberikan ilmu pengetahuan bagi kepentingan umat Islam seluruhnya.

Yang pentingnya selama 10 tahun saya mengetuai IKIM, tidak pernah sekalipun Dr. Mahathir memanggil saya untuk membuat itu atau membuat ini bagi kepentingan parti politik atau peribadinya. Beliau amat profesional. Maka atas dasar inilah saya menghormatinya.

No comments: