Wednesday, October 10, 2007

Cara menonjolkan simbol agama secara hikmah dan bijaksana -- Peranan pembesar suara masjid

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


KETIBAAN bulan Ramadan membawa bersama-samanya memori dan segala perasaan kerohanian dan sentimental yang agak sukar digambarkan dalam kata-kata, terutamanya bagi insan yang telah kehilangan orang-orang yang tersayang, sama ada kehilangan itu baru berlaku, atau telah lama berlalu. Ketika inilah emosi tumbuh dengan suburnya, dan rasa pilu menjelma di dalam kalbu. Tetapi bulan Ramadan tetap datang dan pergi. Maka manusia haruslah meneruskan bakti kepada Allah.

Dulu, kira-kira dua tiga puluh tahun yang lalu, kebanyakan kita menyambut bulan puasa di kampung, yang ada antaranya belum mendapat bekalan elektrik dan air paip. Belum lagi mempunyai jalan raya, dan kedai atau pasar raya yang berdekatan.

Orang kampung terpaksa membeli bahan makanan seperti ikan, daging dan sayur-sayuran segar setiap hari kerana tidak ada peti sejuk. Ketika hari panas di bulan Ramadan ini, orang akan menjual air batu yang berbentuk seperti kayu empat segi yang panjang, dan sesiapa yang membelinya terpaksa menunggu giliran, kerana si penjual akan menggergajinya mengikut saiz yang hendak dibeli, 20 sen, 30 sen atau lebih.

Kanak-kanak yang paling gembira pada waktu malamnya, kerana mereka mendapat kebebasan keluar rumah. Ketika orang tua berjemaah bersembahyang tarawih, mereka akan bermain segala macam permainan di dalam gelap malam, kecuali cahaya lampu suluh yang telah ditukar baterinya. Sampai masa orang selesai bersembahyang, mereka akan ramai-ramai berlari ke surau atau ke masjid untuk menjamu selera, makan kanji (bubur nasi yang dimasak dengan rencah udang kering), atau bubur kacang.

Sungguhpun Ramadan tahun ini, dan beberapa Ramadan dalam jangka masa yang terbaharu ini, menjelma di dalam zaman moden dan serba maju, tetapi semangat kemeriahannya tetap sama seperti dulu. Masjid dan surau tetap dihidupkan dengan amal ibadat yang meriah sehingga ke larut malam, dan para jemaahnya semakin bertambah sehingga surau dan masjid yang begitu besar menjadi agak sempit dan sesak.

Maka dalam kemeriahan kita menyambut Ramadan itu diharapkan semoga suara azan dan sembahyang tarawih yang bagi kebanyakan surau dan masjid dipancarkan melalui corong pembesar suara saban malam di dalam bulan Ramadan ini, tidak akan menjadi bahan sungutan dan keluhan masyarakat pula. Masyarakat yang semakin terbuka dan global, yang setiap orang dan kalangan telah menyedari hak masing-masing untuk bersuara dan menyatakan perasaan, akan sentiasa mendengar dan memerhati segala apa yang berlaku di sekeliling mereka, dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak atau bersuara bagi menyatakan perasaan dalam berbagai-bagai cara dan bentuk.

Oleh itu ketika semua umat Islam mulai berpuasa dan menunaikan sembahyang tarawih di surau dan masjid dengan bilangan jemaah yang ramai, maka akan bersemaraklah suasana ibadat itu, terutamanya apabila suara imam dan makmum yang bersembahyang dan mengucapkan selawat, memenuhi ruang udara melalui corong pembesar suara di menara dan bumbung surau atau masjid.

Dengan itu mungkin akan ada orang yang akan berasa terganggu dengan suara nyaring orang bersembahyang dan berselawat.

Hal ini mungkin timbul, kerana mutakhir ini ramai orang yang telah bersuara, menulis dan mungkin juga berbisik-bisik dan merungut sesama sendiri tentang suasana ``bising'' dan ``mengganggu'' oleh suara azan dan sebagainya yang terpancar daripada pembesar suara masjid.

Seperti yang telah kita dengar dan baca, para ulama dan pembesar agama di Mesir, sebuah negara Islam yang telah banyak mengeluarkan ulama sejak seribu tahun yang lampau, telah membicarakan isu ini. Mereka mengeluarkan pandangan tentang gangguan dan pencemaran suasana yang berlaku akibat suara azan yang bergema di angkasa ketika tibanya waktu sembahyang dari begitu banyak masjid yang masing-masing melaungkan azan melalui pembesar suara yang amat nyaring. Mereka cuba mengemukakan saranan untuk mengatasi ``masalah'' ini.

Debat

Tetapi bagi saya, laungan azan yang dipancarkan daripda pembesar suara surau dan masjid di negara kita mungkin tidak menimbulkan masalah seperti di Mesir sehingga memerlukan pandangan ulama atau kalangan lain di dalam masyarakat untuk berdebat tentang kewajaran atau tidaknya azan dilaungkan melalui pembesar suara.

Azan yang disuarakan itu hanya mengambil masa beberapa minit dan amat baik untuk setiap surau dan masjid melaungkannya bagi mengingatkan masyarakat tentang ketibaan waktu sembahyang setiap hari. Sekiranya terdapat tukang azan yang agak leka dan terlambat menyuarakan azan, maka mungkin hanya terlewat seminit dua dari tukang azan yang lain.

Oleh itu saya rasa cara Mesir melihat isu azan ini tidaklah seharusnya dianggap sebagai mencerminkan cara kita di negara ini melihat isu tersebut sehingga memerlukan penyelesaian yang sama seperti yang mereka lakukan. Malah amalan turun-menurun ini telah diterima oleh masyarakat kepelbagaian agama di negara kita.

Bagaimanapun saya amat ingin melihat satu perdebatan dan perundingan yang sihat tentang cara-cara kita menonjolkan simbol keagamaan kita mengenai penggunaan pembesar suara di surau dan masjid sebelum azan dilaungkan.

Kita sememangnya mengakui kepentingan sesuatu yang bersifat simbolik dalam agama, sehinggakan apabila kita menyambut Hari Raya pun kita diminta berpakaian baru dengan bauan yang wangi, malah berwajah ceria sebagai tanda bersuka ria dan bergembira serta bersyukur di atas kemenangan dan kejayaan kita menunaikan ibadat yang penting kepada Allah.

Berdasarkan kesedaran inilah saya beranggapan bahawa jawatankuasa surau dan masjid akan memperdengarkan bacaan al-Quran melalui corong pembesar suara sebelum masuk waktu sembahyang setiap waktu setiap hari sepanjang tahun. Bacaan ayat-ayat suci ini sering diperdengarkan dengan menggunakan kaset atau pita rakaman, sama ada yang dibaca oleh para pembaca tempatan atau pembaca yang termasyhur dari Mekah dan Madinah atau Mesir.

Jangka masa rakaman ini dimainkan juga berbeza-beza. Terdapat surau atau masjid yang memainkannya sehingga setengah jam atau lebih dari waktu azan, dan ada juga yang hanya memainkannya beberapa minit sahaja sebelum azan setiap waktu.

Saya mengemukakan hal ini untuk difikir dan dibincangkan bukanlah semata-mata dari sudut gangguan atau pencemaran bunyi yang ditimbulkan tetapi atas kesedaran apakah penonjolan simbol agama ini memberi kesan yang baik kepada masyarakat, khususnya umat Islam di sekeliling, dari segi menjadikan bacaan ayat-ayat suci itu sebagai ibadat yang diberikan ganjaran baik oleh Allah.

Hal ini saya sebut, kerana ketika al-Quran dibacakan, Allah memerintahkan kita supaya mendengar dengan khusyuk dan mentadbirkan maknanya dengan baik, jadi apakah ketika al-Quran dipancarkan melalui pembesar suara itu maka masyarakat Islam kita benar-benar mendengar dan menghayatinya, atau laungan yang nyaring itu hanya menjadi simbol yang tidak diendahkan sahaja? Kerana ketika bacaan itu diperdengarkan, terlalu banyak aktiviti yang sedang dilakukan oleh orang-orang di sekeliling yang memerlukan perhatian mereka, sehingga dengan itu bacaan ayat-ayat suci dari masjid atau surau tidak menerima perhatian.

Hal ini juga membawa kepada pertanyaan apakah wajar sembahyang yang ditunaikan di dalam surau atau masjid itu juga seharusnya dipancarkan secara langsung melalui pembesar suara ke ruang angkasa kampung atau daerah di sekeliling tempat ibadat kita itu, sedangkan yang beribadat ialah para jemaah di dalam bangunan itu sendiri?

Hal yang sama juga boleh ditimbulkan ketika kita menyambut bulan Ramadan ini, iaitu apakah ibadat sembahyang tarawih itu juga perlu dipancarkan melalui alat pembesar suara keluar bangunan masjid atau surau, sedangkan sembahyang berjemaah itu adalah dilakukan oleh para jemaah di dalam masjid.

Kita sememangnya menyanjung bacaan kitab suci al-Quran, malah kita mahu supaya bacaan al-Quran itu dapat diperdengarkan sepanjang masa, dan didengar oleh seberapa ramai mungkin di kalangan anggota masyarakat, dan kerana itulah surau dan masjid mengambil tindakan memperdengarkan bacaan ayat suci itu dengan senyaring-nyaringnya setiap kali menjelangnya waktu sembahyang.

Bagaimanapun, berdasarkan beberapa perkara yang saya sebutkan di atas, maka saya ingin sekali masyarakat membuka perdebatan yang ikhlas dan jujur tentang perkara ini tanpa merasa sebarang tekanan dari mana-mana pihak sekalipun. Masyarakat Islam sendiri yang seharusnya mengambil inisiatif untuk membicarakan isu ini dengan mencari rasional dan matlamat yang sesuai dengan syariah serta hukum agama sendiri.

Di kampung dulu orang membaca al-Quran, menyuarakan azan dan bersembahyang tidaklah kedengaran sehingga berbatu-batu, kerana pada waktu itu tidak terdapat alat pembesar suara. Tetapi dalam zaman teknologi canggih ini, kita haruslah mengambil manfaat dari kemajuan tersebut. Cuma pertanyaannya sehingga ke sempadan manakah yang sepatutnya kita berhenti, dan bagaimanakah kita harus menggunakannya dengan hikmah yang bijaksana?

No comments: