Wednesday, October 10, 2007

Tidak mampu bertindak secara toleransi dalam memperjuangkan hak mereka - Manusia semakin ganas, radikal

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
TELAH dibincangkan minggu lalu bahawa Hari Raya dan bulan berkat, bulan Ramadan sebagai bulan ibadat, hampir-hampir tidak mempunyai maknanya bagi segelintir umat Islam yang telah mencemarkannya dengan segala perbuatan mungkar dan ganas. Tindakan mereka itu sebagai membalas dendam dan reaksi marah kepada perbuatan orang lain yang sememangnya ingin melihat umat Islam terus-menerus menjadi umat yang emosional dan gelabah. Maka semakin hampir Hari Raya, iaitu pada akhir-akhir bulan Ramadan al-mubarak itu, kejadian membunuh secara sewenang-wenangnya semakin rancak berlaku, seperti dapat kita saksikan di dalam kejadian serangan bersenjata yang mengorbankan nyawa sebilangan rakyat Iraq yang sedang menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan.

Kalau di Turki sebelum itu, berlaku peristiwa pembunuhan yang ditujukan ke atas kepentingan British, maka kejadian terbaru di Iraq nampaknya ditujukan kepada sesama sendiri. Jika kumpulan yang melakukan pembunuhan itu terdiri daripada orang Islam, maka yang terbunuh juga mungkin sebahagian besarnya beragama Islam, yang bererti bahawa orang Islam telah berbunuhan sesama Islam, dan berlakunya pula di dalam bulan Ramadan.

Peristiwa yang berlaku dengan agak rancak dan memakan korban banyak nyawa yang tidak berdosa itu menunjukkan bahawa umat manusia pada hari ini lebih cenderung mengambil pendirian radikal dan ekstrem dalam memperjuangkan kes masing-masing, dan lebih yakin kepada cara ganas untuk mencapai objektifnya, walaupun dalam kebanyakan kes, cara ganas sering kali tidak membawa kepada kejayaan.

Dalam kata lain nampaknya umat manusia pada hari ini tanpa mengira latar belakang agama dan bangsanya tidak lagi dapat bertindak sebagai umat yang sederhana, bertoleransi dan berperikemanusiaan. Kita sebagai umat Islam amat memahami ajaran al-Quran yang telah menyifatkan umat ini sebagai umat pertengahan, umat sederhana, iaitu umat yang sabar, toleran, bertimbang rasa, berhikmah dan bersifat terbuka. Hal ini semua memberi pengertian bahawa umat Islam adalah umat yang sederhana, tidak terlalu ke kiri dan tidak terlalu ke kanan dalam sebarang tindakan mereka.

Sementara itu para pemimpin imperialis Barat yang bertindak merampas tanah air dan negara orang lain, seperti berlaku di Palestin dan beberapa buah negara Asia Barat, sebenarnya telah bertindak secara yang amat ekstrem dan radikal. Dalam proses memaksakan kekuasaan mereka ke atas negara lain, mereka menggunakan taktik yang amat keras sehingga sanggup membunuh, meruntuhkan rumah dan bangunan orang yang mereka tindas, menangkap dan memenjarakan orang-orang yang tidak bersalah dan tindakan lain yang terang-terang menunjukkan pencerobohan hak asasi manusia yang mereka sendiri sering mendabik dada bahawa kononnya merekalah pejuang hak asasi manusia dan pejuang demokrasi dan keamanan sejagat.

Kita membaca baru-baru ini bagaimana kumpulan hak asasi manusia Amnesty telah mengeluarkan kenyataan bahawa askar Amerika di Iraq telah bertindak menindas rakyat Iraq di luar batas-batas hak asasi manusia. Sebelum ini telah banyak kita mendengar tentang rejim Israel yang juga melakukan berbagai-bagai tindakan kejam ke atas rakyat Palestin tanpa menghiraukan hak asasi manusia.

Inilah sebenarnya sikap radikal dan ekstrem yang dilakukan oleh negara penjajah Barat ke atas umat yang lemah dan tidak berdaya. Tetapi sering kali perbuatan mereka tidak mendapat perhatian dunia, kerana hal itu dilakukan oleh kerajaan mereka, dan mereka sering kali dapat mengabui mata dunia dengan slogan bahawa mereka melakukan semuanya itu adalah untuk memerangi pengganas antarabangsa, dan menyelamatkan umat manusia dari keganasan antarabangsa.

Perbuatan ganas yang berlaku ke atas umat yang lemah, khususnya umat Islam, menuntut kita untuk mengkaji dengan lebih teliti kenapa al-Quran sering kali mengingatkan kita supaya berhati-hati terhadap golongan Nasara dan Yahud, iaitu ketika al-Quran mengingatkan kita bahawa kedua-dua golongan ini tidak akan reda dengan kita selagi kita tidak mengikut mereka. Malah diingatkan juga bahawa golongan itu tidak wajar diberi kuasa untuk menjadi pemerintah. Hal ini ditegaskan oleh al-Quran agar kita sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga, walaupun sebenarnya apa yang ditegaskan oleh al- Quran itu tidak membawa pengertian umum bahawa semua kalangan mereka adalah musuh kita dan tidak harus diintegrasikan di dalam masyarakat kita.

Islam sebenarnya mempunyai sikap yang amat terbuka terhadap bangsa lain yang tidak beragama Islam, iaitu seperti ditegaskan oleh al-Quran tentang kejadian manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai puak dan bangsa, sama juga seperti kejadian manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, maka manusia seluruhnya tanpa mengira jantina dan bangsa adalah diciptakan untuk berinteraksi di antara semua umat itu. Malah al-Quran menegaskan kepada umat Islam supaya jangan memaki hamun atau mencerca Tuhan orang yang tidak beriman agar mereka juga tidak mencerca Allah subhanahu wa taala.

Jadi berdasarkan sikap terbuka dan toleransi ini tidak mungkin sama sekali bagi sesiapa pun melemparkan fitnah dan tuduhan bahawa ajaran Islam adalah berasaskan bangsa dan agama, malah di dalam sejarah klasik dan moden kita dapat melihat bagaimana sikap toleran Islam yang amat tinggi terhadap umat bukan Islam. Cuma yang harus diperhatikan ialah sikap segelintir manusia Nasara dan Yahud dalam masyarakat dunia ini yang sememangnya mungkin menepati pengertian ayat yang mengatakan bahawa golongan itu selama-lamanya tidak akan reda dengan Islam dan umatnya.

Hal ini sama juga sebenarnya dengan segelintir umat Islam sendiri yang bersikap fanatik dan taksub melulu terhadap orang bukan Islam. Islam juga menentang golongan yang taksub ini seperti terbukti di dalam pengertian ayat-ayat yang saya sebutkan di atas. Maka golongan inilah juga yang saya rasa golongan yang radikal dan ekstrem yang melakukan segala perbuatan ganas atas nama Islam seperti berlaku selama ini, termasuk peristiwa terakhir yang tidak lagi menunjukkan sebarang rasa hormat terhadap bulan mulia, iaitu bulan Ramadan. Malah perbuatan membunuh sesama Islam, termasuk juga yang berlaku di antara para pengikut mazhab tertentu di dalam agama kita sehingga membawa kepada pertumpahan darah sesama saudara Islam, semuanya ini merupakan satu tindakan keterlaluan dan melulu yang amat menyimpang jauh dari ajaran Islam yang suci.

Sebab itulah telah saya sebutkan di atas, bahawa pada masa kini nampaknya manusia lebih cenderung mengambil jalan radikal dan melampau dalam tindakan mereka, sama ada yang beragama Islam atau tidak beragama Islam. Masing-masing nampaknya bersaing dan berlumba-lumba menunjukkan kekuatan dalam bentuk kekuatan senjata dan menceroboh hak orang lain yang sepatutnya dapat hidup dalam aman dan damai.

Sebab itulah juga, kuasa Barat tidak seharusnya bertanya kenapakah golongan yang mereka namakan sebagai pengganas Islam telah bertindak begitu melampau terhadap mereka dan kepentingan mereka. Kuasa Barat seharusnya telah mengetahui jawapannya kenapakah golongan radikal Islam itu bertindak terhadap kepentingan Amerika, British dan Israel. Mereka seharusnya terlebih dahulu memeriksa dasar luar mereka terhadap negara membangun dan lemah, dan terhadap hak rakyat negara lain untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Berdasarkan hal ini, maka mereka sebenarnya dengan tindakan melampau itulah yang mengundang serangan dari puak ``militan Islam''. Oleh itu selagi pihak penjajah Barat tidak mengubah dasar dan tindakannya terhadap sebahagian negara Islam dan umat Islam yang dianggap sebagai musuh itu, maka selama itulah agak sukar pula pihak radikal tersebut akan mengubah perjuangan mereka terhadap kepentingan penjajah itu. Pihak rakyat Palestin umpamanya tentulah agak sukar untuk memberhentikan serangan mereka terhadap negara Israel dan kepentingan rejim tersebut selagi pihak Israel sendiri terus-menerus bertindak dengan kejam menekan rakyat Palestin.

Perkembangan terbaru yang berlaku di Iraq umpamanya juga mengundang rasa marah rakyat Iraq terhadap tentera bersekutu, khususnya tentera Amerika. Perkembangan yang saya maksudkan itu ialah apabila pemerintah tentera Amerika tidak melayan tuntutan rakyat Iraq agar diberhentikan tindakan tentera Amerika terhadap umat Islam Iraq semasa perayaan Aidilfitri yang lalu. Sebaliknya tentera Amerika tanpa menunjukkan sedikit penghormatan pun terhadap hari mulia Aidilfitri itu telah bertindak kasar pada hari tersebut iaitu dengan terus-menerus menggelidah dan memeriksa rumah kediaman orang Islam yang mereka syaki. Perbuatan ini tentulah merupakan satu tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan oleh pihak tentera Amerika terhadap rakyat Iraq yang ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri di dalam suasana aman damai, terlepas daripada sebarang rasa takut dan bimbang.

Oleh itu apakah dunia seluruhnya akan berasa hairan sekiranya manusia kini menjadi semakin ganas dan radikal? Bukankah perbuatan kejam dan ganas akan dibalas dengan perbuatan kejam dan ganas juga oleh pihak yang tertindas dan tertekan?

Bagaimanapun seperti dibincangkan dalam ruangan ini, dalam keadaan dunia pada hari ini yang sedang menuding jari kepada umat Islam apabila berlaku sebarang keganasan dan kekerasan, maka umat Islam seharusnya mulai insaf dan kembali kepada dasar perjuangan yang berbeza daripada serangan dan tindakan keras yang dilakukannya selama ini. Umat Islam pada hari ini seharusnya dapat menjalin perpaduan dan kerjasama yang lebih baik dalam bidang ekonomi, teknologi, kewangan dan sebagainya, dan berusaha memperkuatkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang lebih tinggi untuk bersaing dengan umat lain.

Sungguhpun umat Islam sebenarnya merupakan umat yang toleran dan adil, dapat bekerjasama dengan umat lain dalam segala bidang, tetapi gerakan militan dan ekstrem nampaknya semakin berleluasa di dalam masyarakat dunia pada hari ini.

Secara khususnya, oleh kerana negara kita juga pada masa-masa yang terakhir ini telah menerima tempias gerakan radikal dan militan, dan kerajaan telah dapat bertindak pantas mengekang gerakan itu sebelum merebak, maka langkah-langkah yang lebih konkrit dan serius haruslah diambil agar kecenderungan manusia untuk menjadi pelampau dan radikal itu segera dihapuskan. Kita semua haruslah bertanggungjawab untuk mencapai tujuan ini, walaupun kita mengetahui bahawa pada umumnya manusia pada hari ini telah menjadi semakin ganas dan radikal. Umat Islam seharusnya dapat menunjukkan corak dan contoh yang berbeza daripada orang lain.

No comments: