Wednesday, October 10, 2007

Tahanan ISA mula insaf

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PROGRAM Tafaqquh Fiddin (Memahami Al-Din) yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mulai 16 hingga 20 Disember lalu merupakan satu program yang penting dan bermakna. Saya beranggapan demikian ialah kerana program ini diadakan khusus kepada peserta-peserta tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertempat di kem Tahanan Perlindungan, Kamunting, Taiping. Peserta yang menghadiri program ini terdiri daripada ahli Jamaah Islamiah (JI) Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Al-Ma'unah.

Bagi saya sendiri, ketika sesi dialog selepas ceramah saya tentang Fatwa dan Pandangan Individu, memberikan sedikit kesan yang agak positif daripada beberapa orang peserta yang bangun menyatakan perasaan mereka yang sebenarnya setelah melalui proses tahanan di kem tersebut. Saya mendapat kesan ini semata-mata berdasarkan kepada percakapan mereka yang saya dengar sendiri. Motif dan niat di sebaliknya, tidaklah saya ketahui, malah saya pun tidak berminat untuk mencungkilnya daripada mereka kerana niat dan motif dalaman seseorang manusia, hanya Allah yang mengetahuinya.

Namun yang saya dengar bahawa yang mengeluarkan percakapan itu sebenarnya telah menginsafi dirinya setelah menjalani tahanan dan amat ingin segera kembali ke pangkuan masyarakat sebagai orang biasa dan bersama-sama rakyat yang sedang berusaha membangunkan negara dan masyarakat sendiri secara aman damai dan bertamadun. Mereka menyedari akan kebolehan dan ilmu yang ada pada mereka dan pada masa ini nampaknya mereka amat sedar bahawa ilmu dan kepakaran yang ada pada mereka itu seharusnya dapat dipergunakan pada jalan yang baik, yang dihalalkan oleh undang-undang dan yang lebih pentingnya, tidak bercanggah dengan ajaran agama sendiri.

Saya melihat bahawa dalam keghairahan orang muda untuk merealisasikan cita-cita keagamaan mereka yang menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim, mereka sering terjebak dalam perangkap militansi dan radikal. Mereka diberikan satu doktrin psikologi yang amat berkesan bahawa dalam dunia pada hari ini umat Islam seharusnya bangun berjuang bagi mencapai idealisme agama mereka dalam politik, sosial dan lain-lain dalam jemaah tertentu, dengan cara-cara tertentu, termasuk cara kekerasan dan pembunuhan. Bagi mereka, hanya jalan inilah yang merupakan satu-satunya jalan yang mendapat restu Allah, kerana hanya tindakan demikian yang dapat ditafsirkan bahawa mereka sebenarnya telah berjuang pada jalan Allah.

Perjuangan ini diperkuatkan lagi dengan nama pertubuhan atau organisasi yang mereka tubuhkan. Nama Jamaah Islamiah umpamanya adalah merupakan satu nama yang amat suci dan murni, iaitu yang bererti kumpulan atau pertubuhan Islam. Sesuatu nama yang disandarkan kepada Islam, maka ia tentulah suci dan mulia, seperti suci dan murninya agama Islam itu sendiri. Nama begini sering menjadi daya tarikan kepada orang-orang yang bersemangat untuk berjuang kerana agama, apalagi kemurnian nama pertubuhan ini akan disertakan pula dengan tujuan dan objektif pertubuhan tersebut, iaitu untuk berjuang menegakkan Islam, menegakkan negara Islam dan semuanya ini dilakukan kerana Allah.

Bagi orang Islam, terutama yang ingin berjuang kerana Islam tetapi tidak mempunyai ilmu dan kesedaran yang mencukupi tentang kaedah-kaedah kemaslahatan Islam, pentafsiran sebenar tentang ajaran Islam dalam dunia nyata, maka mereka amat mudah terpengaruh dengan tujuan perjuangan yang amat lunak didengar, terutama ketika dijanjikan syurga pada hari akhirat nanti.

Gerakan begini sering mempunyai rangkaian di sebahagian negara Islam, atau di luar dunia Islam. Agenda mereka amat unggul dan besar, sehingga bagi orang yang berpijak di bumi nyata akan terasa bahawa agenda perjuangan mereka, terutama dalam menegakkan empayar Islam mengikut cara mereka sendiri, termasuk dengan menggunakan kekuatan senjata dan fizikal, kelihatan seperti orang yang bermimpi pada siang hari. Cita-cita yang menjadi impian mereka sering digembar-gemburkan di kalangan mereka, seolah-olah cita-cita itu akan dapat dicapai dengan mudahnya berdasarkan perjuangan sakti mereka yang tidak berpijak di bumi nyata.

Saya juga mendapat kesan, bahawa perjuangan kekerasan yang sering dilakukan oleh pihak kumpulan radikal ini adalah juga berpunca daripada kesalahfahaman mereka tentang beberapa konsep suci agama, seperti konsep ``jihad'' dan ``syahid''. Malah terdapat kumpulan yang berjuang ini yang menamakan diri mereka kumpulan mujahidin, atau kumpulan jihad Islam.

Jihad adalah satu tuntutan agama yang amat murni sekiranya istilah jihad ini difahami maksud dan tujuannya yang sebenar. Istilah ini pun sebenarnya telah digunakan oleh pihak musuh Islam untuk menggambarkan bahawa agama Islam adalah agama kekerasan, atau agama yang suka kepada pertumpahan darah. Mereka menterjemahkan istilah jihad sebagai holy war iaitu berperang dan mengangkat senjata yang mempunyai hubungan dengan pertumpahan darah, pembunuhan, kemusnahan harta benda dan sebagainya.

Sedangkan istilah jihad seperti yang diketahui umum, tidaklah sebenarnya terbatas kepada peperangan. Konsep peperangan itu pun sebenarnya merupakan satu tindakan orang Islam untuk mempertahankan diri dan membalas pencerobohan musuh. Jalan terakhir bagi orang Islam dalam mempertahankan negara, agama dan maruah diri mereka terhadap pencerobohan musuh, ialah dengan mengangkat senjata dan berperang. Namun begitu, peperangan dalam Islam juga mempunyai etika dan batas-batas tertentu. Sekiranya konsep ini dipelajari dan difahami dengan sebenar-benarnya, maka dalam Islam tidak ada istilah yang cuba dilabelkan kepada Islam oleh orang Barat dengan istilah holy war yang disalah tafsirkan itu.

Yang amat malang bagi masyarakat Islam yang jahil dan taksub ialah kesalahfahaman mereka tentang konsep dan pengertian jihad yang sebenar. Penekanan dalam jihad seharusnya difokuskan kepada jihad melawan hawa nafsu sendiri. Jihad menentang kejahilan dan kemiskinan merupakan satu jihad yang besar, terutama alam konteks masyarakat Islam pada masa kini. Malahan jihad menuntut ilmu dan menguasai segala bidang pengetahuan yang dikuasai oleh umat manusia pada zaman moden dan global hari ini merupakan satu jihad yang amat penting. Maka umat Islam seharusnya menyusun agenda dan strategi bagaimanakan melancarkan jihad ini sebagai memenuhi satu tuntutan agama Islam sendiri yang mahukan umatnya berilmu pengetahuan dan menjadi umat yang kuat.

Bagi kumpulan mujahidin yang memahami bahawa jihad itu adalah terbatas dalam perjuangan bersenjata, maka kefahaman ini sudah memadai untuk mendorong mereka melakukan tindakan yang keras dan ganas tanpa menyedari kekuatan dan keupayaan sendiri, terutama dalam menghadapi dunia lain yang serba canggih dan perkasa.

Mereka pula akan meneruskan perjuangan bersenjata kerana mereka telah diberi jaminan bahawa sekiranya mereka mati, maka mati mereka adalah mati syahid. Orang mati syahid akan dijamin syurga. Oleh itu apakah lagi yang mereka takutkan?

Janji-janji keagamaan yang manis begini sememangnya amat mudah ditaburkan pada masa kini, iaitu ketika umat Islam sedang menuju matlamat penghayatan Islam yang menyeluruh, dan ketika persaingan sengit sedang melanda masyarakat manusia, yang bagi kumpulan ini mereka melihat bahawa persaingan dan pertentangan itu adalah merupakan persaingan agama. Sedangkan persaingan masyarakat dunia kini lebih merupakan persaingan kebendaan dan kuasa. Sesiapa yang kuat, maka dialah yang berkuasa.

Ternyata bahawa nama kumpulan sering membawa kepada penyelewengan konsep dan matlamat. Nama suci kumpulan Islam dan kumpulan jihad Islam menjadi tercemar dan rosak keseluruhannya kerana perbuatan segelintir umat Islam yang berbentuk radikal dan ganas. Maka telah saya jelaskan kepada para peserta program tersebut, bahawa sebagai umat yang bertanggungjawab dan memikul amanah Allah, kita tidak seharusnya mencemarkan nama Islam dengan perbuatan kita yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Saya percaya bahawa para penceramah lain dalam program lima hari ini, telah menyampaikan mesej yang amat jelas tentang konsep jihad dan syahid, konsep toleransi sesama sendiri dan dalam masyarakat majmuk, konsep keselamatan dan kebebasan, serta perkara lain lagi.

Pada anggapan saya, konsep negara Islam, jihad, syahid, kebebasan bergerak dan kedaulatan undang-undang, adalah merupakan beberapa tajuk penting yang seharusnya difahami oleh umat Islam secara betul. Kesalahfahaman dalam memahami persoalan inilah yang sering mengakibatkan timbulnya gerakan dan aktiviti kumpulan Islam yang menyeleweng. Persoalan ini amat mudah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab. Malah ia boleh membangkitkan emosi dan sentimen yang melulu sehingga boleh membawa kepada rasa taksub dan fanatik. Hal ini seharusnya difahami dalam konteks siasah syariah, fiqh al-aulawiyat iaitu agenda keutamaan, dan realiti umat Islam di kalangan masyarakat dunia sekarang dari segi kekuatan dan kelemahannya.

Sekiranya umat Islam menjadi umat yang emosi dan kehilangan arah, maka umat Islam mungkin akan berjaya dengan tindakan mereka membunuh dan merosakkan infrastruktur, mengganas dan merusuh di sana sini, tetapi pada akhirnya tidak ada sesuatu apa pun yang dapat dicapai. Cara dan strategi perjuangan umat Islam pada hari ini haruslah sesuai dengan perkembangan zaman dan keupayaan mereka meningkatkan kualiti mereka dalam semua bidang kahidupan.

Saya berasa gembira kerana daripada percakapan seorang dua yang saya dengar dalam program tersebut, maka nampaknya mereka menyedari hakikat perjuangan ini. Hal ini seharusnya menjadi pelajaran yang amat baik bagi mereka dan menjadi teladan bagi umat Islam umumnya.

No comments: