Wednesday, October 10, 2007

Belajar daripada kesilapan orang

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
BARU seminggu lalu, iaitu di dalam tulisan saya minggu lepas, saya telah cuba mengingatkan warganegara kita, khususnya orang Islam, supaya cuba mengambil pelajaran dan iktibar daripada gerakan dan perjuangan yang berbentuk militan dan kekerasan yang pernah dilancarkan oleh golongan tertentu di negara lain, termasuk di negara jiran kita yang terdekat.

Perjuangan itu berakhir dengan sia-sia, malah sering membawa kerugian kepada nyawa, harta benda, ekonomi, dan boleh menjatuhkan maruah seluruh bangsa.

Inilah yang saya sebutkan bahawa kebanyakan masyarakat Islam amat ketandusan strategi perjuangan. Yang kedapatan hanyalah slogan, emosi dan sentimen melulu.

Kita perlu mempelajari segala kepincangan dan kerugian yang diakibatkan oleh gerakan melulu berasaskan keganasan dan kekerasan itu, kerana negara kita masih terselamat daripada perbuatan begitu secara besar-besaran, dan kerana itu kita masih dapat menikmati keamanan, kestabilan politik dan ekonomi. Dengan itu juga kita masih dapat hidup dalam keadaan makmur, aman damai dan harmoni.

Hal inilah yang seharusnya kita pertahankan di negara kita, walaupun dalam pergolakan politik negara kita akhir-akhir ini terdapat berbagai-bagai cabaran secara langsung atau tidak langsung agar kita juga menerima gejala kekerasan dan militan. Tetapi syukurlah rakyat kita nampaknya masih waras dan terbuka pemikiran mereka sehingga tidak terpengaruh dengan seruan-seruan ke arah kekerasan itu.

Maka dalam keadaan begini, amatlah malang bagi kita sekiranya terdapat orang asing yang cuba mempersoalkan kedaulatan dan kewibawaan peraturan yang kita amalkan di negara kita. Sebagai orang Islam, kita sentiasa diperingatkan supaya tidak mengganggu hak dan kedudukan orang lain. Ingatlah pesanan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang bersabda:

Di antara kebaikan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tiada kena-mengena dengannya.

Ertinya jika sesuatu urusan, agenda atau peraturan berjalan di negara orang lain, tidaklah wajar kita cuba untuk mencampurinya tanpa usul periksa. Hal ini perlulah disedari oleh semua orang termasuk orang lain yang sering mencampuri urusan dalam negara kita.

Saya menyebut hal ini kerana saya telah terbaca berita di tanah air kita bahawa terdapat orang luar yang datang ke negara kita dan menjalankan dakyah dan propaganda tentang ``keburukan'' dalam negara kita tanpa usul periksa akan kebenaran sesuatu yang diheboh-hebohkan itu.

Ada penceramah, penyair, aktivis dan lain-lain sama ada yang berwadahkan agama, semangat kebangsaan atau sastera, yang datang merantau dan menjelajah di negara kita untuk menerangkan kepada orang ramai tentang ``ketidakadilan'' yang berlaku di negara kita, ``tidak demokratiknya'' negara kita, terhadnya ``hak asasi manusia'' dalam peraturan dan sistem undang-undang negara kita dan sebagainya.

Mereka melihat seolah-olah peraturan di negara kita semuanya tidak betul dan tidak sesuai dengan dasar demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan yang diperlukan mengikut persepsi mereka.

Kira-kira lima enam tahun lalu, seruan dan propaganda yang sama pernah disuarakan oleh ``pahlawan-pahlawan'' dari kuasa besar Amerika Syarikat dan beberapa orang ``pejuang hak asasi manusia'' dari beberapa buah negara Asia Barat dan Eropah.

Suara mereka lantang memekik slogan dan amaran supaya peraturan dan pemerintah yang ada dijatuhkan ``untuk menegakkan keadilan''.

Pada masa itu terdapat rakyat kita yang taksub menyokong seruan itu, dan menyambut baik segala campur tangan dari luar untuk merombak segala peraturan dan sistem yang telah lama berjalan di negara kita.

Akhir-akhir ini nampaknya ombak dan arus itu telah mulai meresap masuk ke dalam negara kita iaitu dengan kehadiran orang asing membawa misi untuk menghidupkan kembali rasa tidak puas hati rakyat dan menanamkan rasa ragu-ragu orang ramai terhadap dasar kerajaan kita, dengan mendapat sokongan segelintir warga kita sendiri yang mempunyai agenda dan sebab-sebab tertentu.

Bagi saya, para insan yang kononnya amat prihatin dengan ``nasib malang'' negara dan rakyat kita itu seharusnya mengingati akan firman Allah yang sering kita paparkan di sini, iaitu ketika Allah menyeru orang-orang mukmin supaya ``tidak memperkatakan sesuatu yang mereka sendiri tidak melakukannya, kerana amatlah besar dosanya bagi orang-orang yang hanya pandai berbicara, tetapi tidak pandai mengotakannya'' (Ayat 2, surah Al-Saf).

Apakah para pengkritik yang mengecam dasar negara kita itu, tidak kira sama ada mereka datang dari Barat atau Timur, dari jauh dan dekat, pernah mencerminkan apa yang berlaku di negara mereka sendiri? Apakah negara dan dasar negara mereka tidak dilanda kepincangan dan kezaliman, apakah semua yang berlaku di dalam negara mereka itu amat ideal dan sempurna? Atau apakah keadaan di negara mereka lebih baik lagi daripada keadaan negara kita?

Sebab itulah Allah memberi amaran kepada kita supaya kita memperbetulkan diri sendiri, mengkaji dan melihat ke dalam diri sendiri, sebelum melihat dan menuduh orang lain dengan berbagai-bagai tuduhan melulu. Sekiranya kita menyangka orang lain tidak adil, zalim dan sebagainya, apakah kita sendiri benar-benar adil dan sempurna?

Peristiwa letupan bom di Bali minggu lalu, dan tuduhan yang dilemparkan kepada pihak orang Islam yang dikatakan melakukan keganasan itu, merupakan satu lagi pengalaman penting yang seharusnya dipelajari oleh warganegara kita. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa serangan itu dilakukan oleh kumpulan pelampau Islam, malah sehingga ini masih belum terdapat sebarang kesimpulan yang dibuat tentang orang-orang yang melakukan keganasan itu.

Tetapi bagi pihak Amerika Syarikat dan sekutunya, mereka segera menuding jari kepada orang Islam dengan menuduh bahawa kumpulan Islam itulah yang melakukan keganasan tersebut.

Mereka sebenarnya segera mengambil kesimpulan tersebut kerana mereka sememangnya akan menuduh orang Islam melakukan keganasan di mana-mana sahaja keganasan itu berlaku, walau- pun ada kalanya keganasan itu dilakukan oleh umat lain seperti yang terbukti daripada pengeboman di Oklahoma City beberapa tahun lalu.

Mereka juga akan sentiasa mencari alasan untuk menganggap pemerintah Indonesia tidak dapat mengawal dengan baik keganasan yang berlaku di negara itu. Selama ini telah banyak kejadian keganasan dan pembunuhan berlaku, iaitu di antara etnik yang berbeza atau di antara penganut agama Islam dan Kristian.

Negara itu juga mengambil sikap yang amat terbuka terhadap demonstrasi jalanan yang telah berlaku sekian lama, dan semua itu merupakan bibit-bibit kekerasan yang sentiasa menunggu saat untuk meletus dengan lebih parah lagi. Maka amatlah mudah bagi Amerika Syarikat dan sekutunya membuat keputusan bahawa keganasan di Bali itu adalah perbuatan orang Islam.

Pengalaman inilah yang saya ingin kita sebagai rakyat yang cintakan perdamaian mengambil iktibar. Malah kita tidak seharusnya segera melatah mengikut emosi marah jika pihak kerajaan kita mengambil tindakan segera ketika timbul tanda-tanda awal tentang gerakan radikal dan ganas di kalangan rakyat negara kita.

Penguatkuasaan undang-undang di negara kita yang bertujuan untuk membendung keganasan seharusnya direstui oleh semua golongan tanpa mengira kefahaman politik kepartian masing-masing.

Apalah gunanya kita terlalu liberal dan terlalu mengikut Barat dalam memberikan hak asasi dan kebebasan kepada orang ramai sehingga bahayanya tidak dapat kita bendung lagi? Apakah demokrasi itu bererti memberikan kebebasan mutlak kepada umum sehingga tidak perlu lagi mempunyai undang-undang untuk mengawal dan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Islam sendiri memberi hak kebebasan kepada manusia, tetapi pada masa yang sama Islam mempunyai banyak peraturan dan undang-undang untuk menjaga disiplin dan tingkah laku manusia supaya tidak terjerumus ke dalam perangkap hawa nafsu dan kemungkaran.

Apatah lagi dalam kehidupan manusia di zaman moden yang penuh dengan hawa nafsu dan kemungkaran ini, kita tentulah seharusnya lebih berhati-hati lagi dalam menjaga disiplin dan peraturan hidup kita supaya sentiasa terpelihara.

Amerika Syarikat sendiri yang sering berbicara tentang hak kebebasan manusia, selalu berhadapan dengan pelbagai gejala keganasan, iaitu pembunuhan yang berlaku di sekolah, di kolej dan sebagainya, dan dalam seminggu dua ini terjadi pula pembunuhan yang melibatkan seorang demi seorang mangsanya ditembak mati melalui tindakan ganas penembak curi.

Peristiwa di Bali pada 12 Oktober lalu telah dengan sendirinya mengundang campur tangan kuasa asing di dalam urusan pemerintahan Indonesia atas dasar memerangi keganasan, sedangkan keganasan itu telah dari awal-awal lagi dikatakan sebagai perbuatan golongan pengganas Islam.

Pendek kata dalam keadaan yang serba genting dan kritikal ini, kita umat Islam mestilah sentiasa berjaga-jaga supaya kita sendiri tidak melakukan kesilapan, kerana tanpa melakukan sesuatu kesilapan pun, orang akan mengatakan bahawa orang Islam adalah golongan pengganas.

Saya telah jelaskan di ruangan ini minggu lalu bahawa dalam keadaan serba genting ini, kita rakyat Malaysia haruslah sentiasa berfikir dan berpandangan jauh dalam mengatur strategi perjuangan dan tindakan kita agar segala yang dilakukan sentiasa dijalankan dengan hikmah dan fatanah, jauh daripada sikap melampau dan radikal melulu.

Belajarlah daripada pengalaman pahit orang lain untuk kebaikan kita sendiri.

No comments: