Wednesday, October 10, 2007

Peranan media dalam melaporkan perbicaraan kes berkaitan seks - Jangan komersialkan keaiban

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SEKIRANYA sebuah cerpen atau novel ditulis dengan terperinci tentang kehidupan seks para wataknya seperti yang dilaporkan oleh media ketika membuat liputan tentang kes Noritta Samsudin minggu lepas, saya percaya bahawa cerpen atau novel itu akan diharamkan. Sebabnya ialah kerana ia mengandungi unsur lucah yang melampaui batas-batas nilai moral dan agama dan penulisnya akan dikutuk sebagai seorang yang tidak bersopan.

Tetapi oleh kerana liputan berita yang dibuat oleh media itu merupakan berita tentang perbicaraan di dalam mahkamah, maka orang awam dapat menerimanya. Malah mungkin pula terdapat di antara para pembaca akhbar atau penonton televisyen yang tertunggu-tunggu untuk mengikuti berita tersebut selanjutnya saban hari.

Saya berasa bahawa Menteri Penerangan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir telah menyatakan pandangannya yang ikhlas ketika beliau mengatakan bahawa beliau sendiri berasa malu untuk membaca berita yang mendedahkan peristiwa aib itu. Sememangnya apa yang disebut itu adalah merupakan satu hakikat yang dapat kita ikuti di dalam liputan berita media cetak dan elektronik. Hal yang mengaibkan itu nampaknya telah diberitakan secara terperinci dan telus tanpa berselindung atau berbelit-belit lagi seperti yang biasa kita amalkan ketika membicarakan sesuatu yang sulit dan mengaibkan.

Saya rasa ramai juga para ibu bapa yang menjadi merah padam wajah masing-masing apabila tiba-tiba terkeluar berita perbicaraan itu ketika mereka sedang menonton televisyen bersama-sama keluarga, termasuk anak-anak yang belum berkahwin. Dalam suratnya kepada editor sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 26 Mei yang lalu, seorang pembaca bertanya bagaimanakah ia akan menjelaskan kepada anak perempuannya berumur 12 tahun yang bertanyakan apakah itu oral sex dan sexual asphyxia?

Terlintas di dalam pemikiran saya bahawa agaknya anak perempuan ini tentulah mendengar istilah tersebut ketika menonton atau membaca kes perbicaraan yang terlalu amat berterus terang itu, dan ia menjadi bingung, sebab itulah ia bertanya kepada ayahnya.

Dengan itu kita nampaknya sedikit demi sedikit telah memecahkan adat resam dan budaya kita ketika membicarakan persoalan yang sulit dalam perhubungan lelaki dan perempuan, terutamanya tentang seks. Kita pada kebiasaannya, sering menyatakan sesuatu yang amat bersifat peribadi itu secara yang penuh kiasan dan tersembunyi. Orang tua-tua yang masih berpegang kepada nilai budaya, tidak akan mengucapkan sesuatu ungkapan secara langsung di hadapan umum tentang sesuatu yang mempunyai hubungan dengan kehidupan suami isteri, atau perhubungan lelaki perempuan yang sulit. Malah ungkapan ``datang bulan'' yang menjadi kiasan kepada satu perkembangan yang dialami oleh wanita setiap bulan itu pun, tidak akan diucapkan oleh sesiapa sahaja mengikut selera sendiri, terutamanya oleh anak-anak dan orang muda. Tetapi sekarang ini nampaknya ungkapan ini telah terkeluar di dalam televisyen ketika diiklankan tuala wanita.

Bagaimanapun isu yang cuba saya timbulkan di dalam tulisan ini, bukanlah isu perbicaraan kes tersebut di mahkamah secara panjang lebar dan terus terang. Mahkamah di dalam negara demokrasi seperti negara kita ini, adalah merupakan mahkamah yang terbuka dan telus. Pemeriksaan kes dan persoalan yang ditimbulkan di dalam mahkamah oleh semua pihak haruslah bersifat telus, jelas dan terang, tanpa tersembunyi atau diucapkan dalam bahasa yang berbelit-belit. Kerana hakikat inilah maka segala peristiwa sulit dalam perbicaraan ini terpaksa didedahkan dengan sepuas-puasnya untuk memuaskan hati semua yang terlibat di dalam kes itu.

Selagi tidak ada bantahan daripada peguam, dan selagi pihak hakim tidak mengeluarkan sesuatu arahan, maka selama itulah segala persoalan dan jawapan di dalam kes tersebut seharusnya diberikan penjelasan yang panjang lebar walaupun hal itu merupakan pembukaan rahsia, atau gambaran bagi sesuatu keadaan yang amat mengaibkan.

Saya rasa pihak mahkamah dalam bersikap terbuka dan telus berasa bertanggungjawab untuk mendengar segala keterangan dan kesaksian dalam proses menegakkan keadilan. Tugas mahkamah dalam hal ini bukanlah untuk mengajar adab dan moral, tetapi tugasnya ialah mendapatkan fakta yang dapat dipertimbangkan untuk menentukan siapakah yang bersalah dan siapakah yang tidak bersalah.

Maka dalam hal ini juga, oleh kerana perbicaraan bagi kes tersebut telah dijalankan di dalam mahkamah yang terbuka kepada umum, termasuk media, lalu liputannya juga telah dibuat secara telus dan terbuka. Orang media berhujah bahawa tugas media ialah untuk menyalurkan maklumat kepada orang awam, maka maklumat inilah yang seharusnya disalurkan kepada awam melalui pemberitaan yang panjang lebar. Dalam pungutan suara melalui SMS TV3 pada 25 Mei yang lalu, peratusan penonton yang tinggi menyokong supaya perbicaraan di mahkamah yang menyentuh seks, diberitakan secara meluas di dalam berita televisyen. Jadi nampaknya bagi sesetengah kalangan anggota masyarakat kita pada hari ini, isu membesar-besarkan berita seks, termasuk yang mengaibkan, bukanlah merupakan isu lagi. Jadi kenapakah hal ini harus dipertikaikan pada pandangan mereka?

Hal ini mungkin dapat diperkuatkan lagi oleh hujah yang menyatakan bahawa media, termasuk televisyen, sama juga seperti alat komunikasi moden yang lain seperti internet umpamanya. Televisyen dan internet adalah merupakan alat yang bersifat neutral, tidak mempunyai sebarang nilai baik atau buruk pada zatnya. Oleh itu apa sahaja yang dihidangkan, termasuk yang buruk dan negatif seharusnya ditapis oleh diri orang yang menonton atau menatapnya sendiri. Televisyen dan Internet tidaklah boleh disalahkan, atau dipertanggungjawabkan terhadap keruntuhan moral para remaja yang melanda masyarakat kita pada hari ini. Oleh itu tidaklah salah jika pihak media membuat liputan yang meluas tentang berita seks yang dibicarakan di mahkamah. Sebaliknya mereka yang menonton atau membaca berita-berita tersebutlah yang sepatutnya bertanggungjawab sekiranya paparan tersebut mempengaruhi tingkah lakunya. Dalam hal ini, kata para pengkaji, apakah bezanya televisyen dan pisau atau pistol. Semuanya boleh digunakan untuk tujuan yang baik, atau disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik, maka kenapakah harus disalahkan media?

Meneliti dan menyedari akan segala fakta dan pemikiran di atas, maka nampaknya masyarakat kita mungkin akan berlarutan menjadi masyarakat yang serba salah. Untuk menjadi masyarakat yang tertutup, malu dan segan, atau menyalahkan media, dan mempertahankan tradisi serta adat lama, maka mungkin masyarakat kita akan dituduh sebagai masyarakat yang kuno, ketinggalan zaman dan tidak mengikut arus kemodenan dan proses globalisasi. Sebaliknya jika masyarakat kita terus dibiarkan hanyut mengikuti arus permisif dan global seperti masyarakat Barat, maka adat resam dan budaya, malah nilai moral dan agama akan terancam.

Oleh itu, saya beranggapan, bahawa dalam kes perbicaraan kes-kes yang melibatkan latar belakang dan kelakuan seks yang memalukan dan mengaibkan, maka masyarakat kita seharusnya dapat menentukan garis sempadannya yang tersendiri. Hal ini saya tegaskan, kerana selama ini memang terdapat mahkamah yang dalam keadaan tertentu, telah menjalankan perbicaraan secara tertutup mengikut budi bicara para hakim. Tetapi hakim juga mempunyai penilaiannya yang tertentu agar perbicaraan tidak seharusnya dijalankan secara tertutup sepanjang masa kerana undang-undang menghendaki supaya perbicaraan dijalankan secara terbuka, kalau tidak, mungkin akan terdapat pula pihak-pihak yang akan menuduh bahawa sistem perbicaraan kita tidak telus, tidak adil dan sebagainya.

Oleh itu bagi saya perbicaraan secara tertutup atau terbuka di mahkamah, tidaklah menjadi isu yang besar. Tambahan pula perbicaraan di mahkamah secara terbuka hanya dapat diikuti oleh kumpulan orang awam yang terhad sahaja bilangannya. Mereka sahajalah yang mendengar tentang perincian yang dibicarakan itu, walaupun hal itu mengaibkan diri sendiri. Tetapi yang menjadi isu sekarang ialah apabila segala butiran perbicaraan itu dipindahkan secara terperinci dan tanpa berselindung lagi ke dalam media cetak atau elektronik. Media seperti televisyen diikuti oleh jutaan orang, ditonton oleh semua peringkat penonton, termasuk oleh semua anggota keluarga. Akhbar yang melaporkan berita ini di muka hadapannya, menarik minat jutaan pembaca. Maka berita yang sensasi ini pun berjaya disalurkan kepada ramai rakyat kita sebagai berita utama dan berita yang paling popular.

Dengan menegaskan demikian, saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa kita seharusnya menutup segala kesalahan yang dilakukan oleh anggota masyarakat kita dari pengetahuan umum. Kerana dalam konteks ini, orang dapat juga berhujah tentang pengajaran dan kesedaran yang dapat dimanfaatkan oleh banyak kalangan di dalam masyarakat itu sendiri ketika membaca atau menonton berita tersebut.

Tetapi, sementara kita menerima hujah yang tersebut, kita juga seharusnya mungkin dapat menimbangkan hujah yang menyatakan bahawa liputan meluas media, terutamanya dalam bahasa Melayu, tentang kes seks itu, seolah-olah memberi gambaran umum bahawa masyarakat Melayu adalah satu masyarakat yang amat ghairah dan gelojoh tentang berita seks, sehingga berita itu mendapat ruang dan liputan utama mengatasi berita lain yang lebih penting. Maka mungkin kerana persepsi inilah juga, terdapat segala macam iklan, promosi dan perbicaraan tentang ubat, makanan tambahan dan sebagainya sering membicarakan tentang kehidupan seks, tongkat ali, kacip fatimah dan sebagainya.

Oleh itu dalam memberikan penilaian terhadap isu yang kita perkatakan ini, maka saya berpandangan, isu itu seharusnya dipandang dengan amat teliti dari pandangan nilai budaya, adab sopan dan agama. Kita umumnya mengetahui bahawa segala tingkah laku dan amalan kita adalah dipandu oleh nilai-nilai moral dan akhlak serta etika kita sendiri.

Islam sendiri amat banyak meletakkan batas-batas dan sempadan bagi pergerakan dan tingkah laku kita. Islam juga sering menutup pintu yang boleh membawa kepada perbuatan mungkar dan maksiat. Mengelakkan tayangan program seks dan keganasan di dalam televisyen umpamanya adalah merupakan satu cara menutup pintu maksiat dan dosa, walaupun televisyen itu dikatakan bukan pembawa dosa. Kehidupan malam yang berlarutan sehingga pagi dengan segala aktiviti liar dan permisif adalah merupakan satu lagi contoh bagaimana persekitaran yang tidak sihat ini seharusnya dikawal dan dihadkan supaya dorongan yang membawa kepada keruntuhan moral itu diberhentikan.

Maka demikianlah juga tentang pemberitaan kes seks secara melampau dan mengaibkan. Pemberitaan secara meluas ini sebenarnya tidak memberikan manfaat yang baik, selain dari menjadi bahan hiburan melulu yang dibina di atas kehormatan orang lain. Oleh itu saya rasa, walau seluas mana sekalipun perbicaraan di mahkamah yang menyentuh kehidupan dan latar belakang seks, maka media sendiri haruslah mengamalkan etika yang baik dalam menulis berita itu.

Semua institusi mempunyai etikanya, maka media pun sebenarnya mempunyai etikanya yang tersendiri. Para editor dan pemberita tentulah dapat memahami sempadan dan batasan yang seharusnya di pelihara dalam membuat liputan berita yang menyentuh kehidupan dan kelakuan seks ini. Malah lebih dari itu, media tidaklah seharusnya mengeksploitasikan keaiban seseorang itu untuk tujuan komersial sendiri.

No comments: