Wednesday, October 10, 2007

Sekolah agama rakyat perlukan perubahan radikal

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SEPANJANG ingatan saya, isu sekolah agama rakyat di negara kita telah dibincangkan sejak belasan atau mungkin puluhan tahun yang lalu. Telah dianjurkan seminar, bengkel, malahan kongres dan konvensyen di seluruh negara untuk membicarakan isu sekolah agama rakyat, iaitu dari segi kedudukan kewangannya, kurikulum, guru, buku teks, peperiksaan dan sebagainya.

Tetapi resolusi dan rumusan yang diambil dalam perjumpaan dan perbincangan tersebut sering menjadi bahan lapuk di dalam fail dan kertas, tanpa langkah susulan sama ada oleh pihak penganjur seminar dan konvensyen, atau oleh pihak yang berkenaan dalam kerajaan.

Mungkin selama ini banyak pihak tidak prihatin dengan segala kesulitan yang berlaku dalam sekolah agama rakyat itu, terutama pihak kerajaan sendiri. Kerajaan mungkin telah berasa selesa dengan kewajipan yang ditunaikannya terhadap sekolah tersebut, iaitu dengan memberikan bantuan kewangan yang agak besar untuk kelangsungan pendidikan di sekolah agama.

Tanpa semakan terhadap sistem pengajian dan pendidikan di sekolah tersebut, akhirnya pengabaian itu telah menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat dan negara. Di samping itu mutu ilmu yang diajar di sekolah-sekolah tersebut tidak menunjukkan potensi untuk mengeluarkan warganegara yang berketerampilan dan mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran semasa serta dapat menceburkan diri dalam bidang pekerjaan bagi membantu pembangunan negara.

Akibat daripada pengabaian itu, ada sekolah agama rakyat gagal berfungsi sebagai pusat pendidikan yang mempunyai objektif untuk mencurahkan ilmu kepada para pelajar. Sebaliknya ia menjadi alat dan saluran untuk menyemaikan berbagai-bagai kefahaman yang menyimpang daripada pengajaran ilmu pengetahuan agama.

Sekolah agama rakyat juga memupuk berbagai-bagai sikap taksub yang lebih bercorak partisan. Orang ramai termasuk para ibu bapa sebenarnya tidak banyak mengetahui tentang perkara ini.

Ibu bapa dalam zaman kegawatan moral dan era kebangkitan Islam ini sentiasa mengharapkan sekolah agama menjadi pusat pengajian untuk anak-anak mereka. Apalagi anak-anak yang semakin terdedah kepada pengaruh negatif yang melanda masyarakat moden.

Hal inilah yang mendorong ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama, sama ada sekolah agama kerajaan atau sekolah agama rakyat.

Mereka amat mengharapkan bahawa dengan pendidikan agama yang dibekalkan kepada anak-anak mereka, maka anak-anak itu akan lahir di tengah-tengah masyarakat sebagai insan yang baik, berakhlak dan berperwatakan Islam yang cemerlang. Mereka diharapkan tidak terlibat dalam masalah sosial yang semakin menjadi-jadi.

Sebab itulah sejak sekian lama kita dapat melihat bahawa permintaan untuk memasuki sekolah agama semakin meningkat dari tahun ke tahun. Permohonan ke sekolah agama selalunya melebihi berkali ganda bilangan tempat yang dapat ditawarkan.

Bagi pelajar yang tidak dapat memasuki sekolah agama kerajaan, mereka akan memasuki sekolah agama rakyat.

Saya amat ingin melihat satu kajian mendalam dapat dijalankan untuk memberi jawapan kepada persoalan harapan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama, iaitu sejauh manakah harapan ibu bapa yang ingin melihat anaknya menjadi anak yang baik dan berakhlak dipenuhi.

Atau dengan kata lain, apakah pelajar sekolah agama benar-benar akan keluar sebagai manusia yang sempurna dari segi akhlaknya?

Sememangnya kita mengetahui bahawa agama mengajar penganutnya menjadi manusia yang baik. Agama merupakan satu wadah pendidikan yang paling unggul untuk mendidik para pelajar menjadi manusia yang cemerlang dalam semua aspek kehidupannya di dunia dan akhirat.

Persoalannya mengertikah kita konsep pendidikan agama sebenar yang akan dapat mengeluarkan manusia sempurna dan cemerlang seperti yang diharapkan itu? Apakah kita benar-benar memahami konsep ilmu dan pendidikan menurut perspektif Islam?

Kita mungkin memahami agama dalam bentuk yang sempit dan terhad. Kita juga mungkin melihat agama sebagai satu ritual atau ibadat khusus semata-mata. Maka sekiranya kita mengehadkan kefahaman kita tentang agama dalam skop sekecil itu, saya yakin kita tidak akan dapat mengeluarkan manusia yang cemerlang dari semua sudut kehidupan bagi menghadapi cabaran-cabaran dunia moden dan global hari ini.

Kita mungkin dapat mengeluarkan para pelajar yang baik dari segi kelakuan dan tingkah laku tetapi dalam masa yang sama mungkin kita gagal untuk mengeluarkan manusia yang dapat berdikari dan mandiri dalam perjuangan hidup sebagai individu atau kumpulan dalam masyarakat Islam.

Kita mungkin gagal untuk mengeluarkan manusia yang dapat bersaing dengan umat lain dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, ekonomi dan perdagangan serta berbagai-bagai cabaran dari bidang keilmuan Allah yang amat luas di muka bumi ini.

Ketika itu kita tentu akan bertanya, apakah Islam hanya sekadar mengajar umatnya beribadat khusus dan menguasai ilmu fardu ain, atau hanya mampu menguasai separuh sahaja ilmu Allah, iaitu ilmu wahyu, tanpa dapat menguasai ilmu ciptaan akal manusia yang begitu luas bidangnya di atas muka bumi ini?

Al-Quran sering merujukkan kita kepada alam, langit dan bumi, gunung dan bukit, unggas dan haiwan, kejadian manusia dan kehidupannya, alam sekitar dan cuacanya, malah perumpamaan-perumpamaan yang disebutkan oleh al-Quran tentang lebah dan unta, haiwan yang berjalan dengan dua kaki seperti manusia, dan haiwan yang berjalan dengan empat kaki.

Apakah kita dapat melupakan sahaja pengajaran al-Quran tentang air dan hujan, bumi yang subur dan sungai yang mengalir, pertembungan antara air masin dan tawar? Bukankah semua ini merupakan ajaran Allah tentang ilmu pengetahuan yang seharusnya dikuasai oleh manusia sebagai khalifah di atas muka bumi?

Kefahaman Islam secara menyeluruh sebagai satu agama yang `syumul' atau `cara hidup yang lengkap' nampaknya lebih banyak merupakan permainan bibir yang amat sukar dikonsepsikan, apalagi untuk direalisasikan, termasuk dalam melaksanakan pendidikan Islam di pusat-pusat pengajian di semua peringkat.

Salah faham inilah yang menyuburkan pemisahan yang amat ketara pada hari ini dalam bidang pendidikan kita, iaitu yang menimbulkan persepsi masyarakat bahawa pendidikan agama hanya terdapat di sekolah agama, sedangkan sekolah aliran kebangsaan umpamanya tidak lagi merupakan pusat pendidikan untuk memberikan pelajaran agama, walaupun sekolah tersebut sebenarnya menawarkan berbagai-bagai kursus agama.

Hal yang sama mulai berlaku ketika ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke tadika. Telah berlaku pemisahan yang amat ketara pada peringkat ini dari segi Islam dan tidak Islamnya sesebuah tadika itu, termasuk perbezaan dari segi lahiriah seperti nama tadika dan pakaian kanak-kanak.

Dalam keadaan ini, saya rasa kita seharusnya lebih memberatkan kepada kesepaduan bidang pendidikan iaitu di antara pendidikan agama dan konvensional, tegasnya di antara pendidikan dunia dan akhirat, terutama di peringkat pendidikan kanak-kanak dan peringkat rendah.

Kanak-kanak di peringkat tadika tidak seharusnya dididik dalam suasana yang terhad dan terkongkong. Malah pada peringkat ini, kanak-kanak amat memerlukan sistem pendidikan yang dapat membangunkan emosi dan nalurinya secara bebas, memupuk akal fikiran dan bakat kurniaan Tuhan kepadanya dengan agak terbuka tanpa menjejaskan sistem akidah dan iman kanak-kanak itu.

Kita sering berbicara tentang konsep sekular dan agama dalam kehidupan kita. Konsep sekularisme merupakan satu dasar dan falsafah yang memisahkan urusan agama daripada kehidupan umum. Tetapi nampaknya dalam masyarakat kita, kita sendiri yang sering memisahkan agama daripada urusan kehidupan dunia ini termasuk dalam bidang pendidikan.

Nampaknya dengan secara tidak langsung kita sendiri yang bertindak mengikut dasar sekular, iaitu memisahkan kehidupan dunia daripada agama, dan sebaliknya.

Berbalik kepada keadaan sekolah agama rakyat yang menjadi isu dalam masyarakat kita hari ini, saya lebih cenderung agar dasar dan struktur sekolah itu diubah secara radikal.

Langkah ini bertujuan untuk membawa sekolah itu ke dalam arus perdana pembangunan pendidikan untuk generasi akan datang.

Saya melihat ada fakta yang agak menggawatkan dalam pendidikan agama di Kedah. Menurut kenyataan seorang pemimpin negeri itu, Kedah kini mempunyai 43 buah sekolah agama rakyat.

Sungguhpun bilangan pelajarnya tidak dinyatakan, tetapi daripada perangkaan pelajar yang biasanya terdapat di sesebuah sekolah, bilangan pelajarnya tentulah mencapai angka puluhan ribu.

Kita tentulah tidak berasa sangsi dengan mutu pencapaian dan masa depan pelajar-pelajar berkenaan sekiranya sekolah-sekolah tersebut mempunyai sistem pendidikan yang baik, tenaga pengajar yang bermutu dan profesional, persekitaran pembelajaran yang sihat, terlepas daripada pengaruh yang tidak sihat atau merosakkan, dan berbagai-bagai kriteria lain yang seharusnya wujud di sebuah institusi pendidikan yang cemerlang.

Tetapi yang menjadi persoalan apakah kita mengetahui bentuk pendidikan yang terdapat di sekolah-sekolah tersebut?

Nampaknya setelah sekian lama keadaan ini terabai dan terbiar, sekali lagi orang memerlukan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk bangun bercakap. Setelah beliau bercakap, barulah keadaan menjadi panas, dan barulah semua orang akan berbicara.

Kita masih belum terlambat. Orang ramai harus memahami isu sebenar ketika membicarakan isu ini. Kita semua mestilah bersikap ikhlas dan jujur untuk pembangunan pendidikan dan umat Islam pada masa akan datang.

No comments: