Wednesday, October 10, 2007

Sejarah Islam perlu ditulis semula

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PADA majlis tilawah al-Quran yang dilangsungkan di negara kita minggu lalu, satu perkara yang membuka mata ialah penyertaan beberapa buah negara Islam yang baru muncul setelah berjaya melepaskan diri daripada kuasa komunis seperti Uzbekistan, Azerbaijan dan beberapa buah negara lain dari Asia Tengah, juga Bosnia-Herzegovina.

Kehadiran mereka pada majlis anjuran kerajaan Malaysia itu telah cukup memberikan isyarat yang jelas bahawa negara-negara tersebut sedang dalam proses menonjolkan jati diri mereka sebagai negara merdeka dan telah bersedia untuk terlibat dalam kesatuan umat Islam seluruh dunia.

Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu pandangan daripada almarhum Al-Shaikh Muhammad Al-Ghazali dalam tulisannya satu ketika dulu yang menekankan tentang perlunya kita menulis semula sejarah umat Islam, terutama untuk dijadikan bahan bacaan dan kajian generasi akan datang.

Beliau menegaskan bahawa satu kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam penulisan sejarah umat Islam sekarang ini ialah dari segi kuantitinya yang tidak menyeluruh. Beliau menekankan bahawa umat Islam terdiri daripada satu per lima penduduk dunia. Umat manusia menganut Islam dari merata pelosok dunia, orang Turki, Parsi, Kurdis, India, Afrika, Cina, Moghul, di samping umat Melayu dan Arab.

Malah pada masa ini penganut Islam terdiri daripada orang Eropah dan Amerika Utara dan Selatan, maka umat Islam tidak lagi dapat dilingkungkan dalam umat Arab, dan tidak lagi hanya berpusat di Asia Barat.

Tetapi yang ditulis, dipelajari dan difahami oleh umat Islam dan umat-umat lain sekarang ini ialah sejarah Islam itu adalah sejarah umat Arab, dan negara Islam itu adalah terdiri daripada negara-negara yang terletak di Asia Barat. Sejarah umat Islam yang lain, dan sejarah negara lain, tidak dianggap sebagai sejarah umat Islam atau sejarah negara Islam.

Itulah pandangan beliau yang sememangnya membuka mata kita tentang keperluan melebarkan skop pemikiran kita terhadap umat dan negara Islam dalam era baru ini.

Islam bukanlah boleh dihubungkan dengan Arab semata-mata, budaya Islam bukanlah budaya Arab, pemikiran Islam itu pula bukanlah pemikiran Arab. Demikianlah juga dengan identiti dan jati diri Islam itu yang tidaklah dapat dilihat dari persepsi yang sempit sebagai sesuatu yang bercorak Arab.

Islam adalah agama untuk manusia seluruhnya, iaitu satu peraturan dan sistem hidup yang melampaui golongan kaum dan bangsa, merentasi negara dan sempadan geografi, menjadi agama sejagat dengan sifat globalnya yang asli.

Oleh itu Islam tidaklah dapat disempitkan daerah dan kawasannya, malah tidaklah boleh disepadukan dengan kaum dan bangsa yang tertentu.

Menghubungkan Islam dengan rupa bangsa yang tertentu inilah yang sering memberikan kesalahfahaman kepada masyarakat manusia tentang ajaran Islam dan nilai-nilai akhlak dan budayanya.

Malah dalam kegawatan politik dan sosial serta keadaan dunia pada masa ini, nampaknya umat Islam yang tidak terlibat dengan segala salah laku dan tindakan tidak bertamadun sesuatu bangsa itu yang dilakukan kononnya atas nama Islam, telah dihubungkan dengan keseluruhan umat Islam. Maka seluruh umat Islam telah dilabelkan dengan segala macam label kejahatan dan keganasan.

Muhammad Al-Ghazali memberikan beberapa contoh dalam menekankan pandangannya agar sejarah umat Islam ditulis semula dengan secara menyeluruh, iaitu dengan mengatakan bahawa beliau pernah melawat Albania dan di sana beliau melihat majoriti umatnya adalah terdiri daripada orang Islam. Mereka sedang dicengkam oleh gerakan penyelewengan akidah, tetapi tiada sesiapa pun dari kalangan umat Islam yang mahu mendengar aduan dan keluhan mereka.

Demikian juga dengan nasib umat Islam minoriti yang menjadi mangsa dalam negara masing-masing; tidak kelihatan sesiapa pun dari kalangan negara Islam yang bertindak menolong mereka. Malah ketika kejatuhan Andalusia dari tangan Islam, hanya penyair Ahmad Shauqi dari Mesir sahaja yang meratap kejatuhannya:

Wahai saudara Andalusia yang sejahtera - musnahlah pemerintahan dan Islam darimu.

Sebenarnya isu yang dibawa oleh Muhammad al-Ghazali merupakan satu isu yang telah disedari oleh banyak pengkaji Islam dari Timur dan Barat. Kita telah lama mendengar beberapa pandangan para sarjana dan pengkaji agar kefahaman tentang Islam dipisahkan hubungannya dengan kaum dan bangsa Arab.

Malah lebih jauh daripada itu terdapat pandangan yang menekankan bahawa kepemimpinan Islam seharusnya diluaskan daerahnya dari kawasan Asia Barat, iaitu melangkah keluar sehingga ke daerah kita di nusantara ini.

Dari sudut sejarah dan penganalisisannya, kita dapat melihat kecetekan ilmu yang terdapat dalam penulisan sejarah umat Islam seperti yang diulang-ulangkan pengajarannya di kalangan generasi Islam selama ini.

Malahan terdapat beberapa fakta yang tidak ditonjolkan kerana sengaja disembunyikan, atau kerana bahan-bahan sejarah itu telah dipandang dari sudut pandangan dan persepsi para orientalis yang ingin menyembunyikan beberapa fakta sejarah yang sebenar.

Saya ingin merujuk kepada pandangan Al-Shaikh Muhammad Al-Ghazali sekali lagi tentang perkara ini. Menurut beliau, selama ini para pelajar kita membaca sejarah bahawa kejatuhan Baghdad ibu negara kerajaan Abbasiah adalah semata-mata kerana serangan kuasa Tatar.

Sedangkan, menurut beliau, para pelajar Eropah mempelajari hal yang sama dengan mengingati hakikat bahawa kejatuhan empayar Islam itu adalah juga kerana gerakan Moghul Salibiyyah. Para aktivis dan gerakan salib sebenarnya amat aktif bergerak di dalam negara pemerintahan khalifah Islam sendiri, sedangkan orang Islam tidak menyedarinya.

Dari satu sudut yang lain, Al-Muhammad Al-Ghazali juga menyatakan tentang pentingnya menulis sejarah Islam yang benar-benar menggambarkan segala tingkah laku dan kelemahan yang berlaku di kalangan umat Islam, terutamanya selepas pemerintahan Khulafak Al-Rasyidin. Segala penyelewengan kuasa dan kebendaan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Islam seharusnya dapat dicatatkan dengan jelas supaya para pelajar benar-benar dapat mempelajari fakta sejarah dan mengambil iktibar daripada sejarah tersebut.

Saya rasa perkara yang hendak dikemukakan oleh beliau ialah untuk membuka mata dan minda generasi baru tentang krisis dalaman yang berlaku di dalam kerajaan dan masyarakat Islam seperti yang terjadi di dalam sejarah, juga bagaimana umat Islam telah amat leka dan hanyut di dalam dunia fantasi yang berbentuk nafsu dan kebendaan melulu, sehingga dengan itu negara dan kerajaan mereka dapat dijatuhkan.

Atas dasar inilah saya tegaskan di atas bahawa melihat kepada kehadiran wakil-wakil tilawah al-Quran dari negara-negara Islam yang baru sahaja bangun dari tidurnya ratusan tahun selama ini, kita seharusnya menyahut seruan almarhum Al-Shaikh Muhammad Al-Ghazali agar satu penulisan semula sejarah Islam diusahakan supaya meliputi negara dan umat Islam dari seluruh pelosok alam ini.

Terdapat negara Islam di Asia Tengah yang telah pun dibuka pada zaman khalifah yang ketiga, iaitu pada zaman Sayyidina Othman ibn Affan. Negara itu baru kini dapat bangun semula dan mulai mencari tapak untuk berdiri tegap sebagai sebuah kerajaan yang kuat dan mempunyai jati diri sendiri sebagai negara Islam.

Negara-negara begini sebenarnya yang menjadi rebutan pihak kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di Barat untuk dijajah semula kerana negara-negara ini juga merupakan negara-negara yang kaya dengan hasil petroleum.

Penaklukan semula Afghanistan oleh penjajahan bentuk baru merupakan satu langkah permulaan untuk menguasai rangkaian negara-negara jirannya yang kaya. Negara-negara itu bakal disambung dengan paip minyak yang menjadi rebutan kuasa penjajah baru itu. Tetapi apakah yang dapat dilakukan oleh negara-negara Islam dalam keadaan ini?

Saya percaya bahawa ramai di antara kita yang tidak mengetahui bahawa negara-negara bukan Arab di Asia Tengah itu dihuni oleh orang Islam dan telah pun menerima Islam berkurun-kurun yang lalu sehinggalah kita melihat kehadiran wakil-wakil mereka di dalam majlis tilawah tersebut.

Seperti yang disebut oleh Al-Muhammad Al-Ghazali bahawa ketika membicarakan tentang nama-nama besar dalam kesarjanaan Islam pun, beliau sering terpaksa menjelaskan bahawa mereka itu bukanlah orang Arab.

Sesiapa yang pernah melawat Uzbekistan akan dapat melihat tempat-tempat bersejarah di sana yang melahirkan ahli falsafah dan ulama Islam termasyhur. Lawatilah kota Samarkand dan Bukhara. Dan ketika melawat Sepanyol, lawatilah tanah Andalusia, Korduba dan Granada untuk melihat sejarah peninggalan Islam di sana yang amat jarang dipelajari oleh para pelajar kita.

Apakah sejarah itu dapat kita tulis dengan sebaik-baiknya? Saya yakin bahawa para penyelidik dari negara kita akan mampu melakukannya jika kita mempunyai hemah yang tinggi untuk menyumbang ke arah peningkatan ilmu pengetahuan bagi diwarisi oleh anak-anak kita yang akan datang.

Kita tidak seharusnya menjadi burung kakak tua dalam zaman global ini. Burung kakak tua hanya tahu mengulang-ulang apa yang didengarnya tanpa memahami sesuatu apa pun. Kita juga tidak mahu mengulang-ulang apa yang kita telah dengar dan pelajari selama ini untuk 1,000 tahun lagi.

No comments: