Wednesday, October 10, 2007

Korporat Melayu mampu mengejar kebahagiaan di dunia, akhirat - Kelebihan orang rajin berusaha

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
HARI ini, kita telah memasuki hari ke-24 berpuasa. Minggu lepas, kita merayakan Nuzul Quran, dengan mengadakan berbagai-bagai acara. Walau selama mana pun kita berpuasa setiap tahun, namun setiap kali menjelang bulan yang berkat ini, kita tetap merasakan pengalaman yang manis, meriah dan suasana luar biasa berbanding bulan-bulan yang lain. Namun dalam masa yang sama, ketika kita menjalankan ibadat puasa ini, terutamanya pada waktu malam selepas menunaikan sembahyang tarawih, sebelum melelapkan mata, atau ketika bangun bersahur, maka perasaan seseorang itu kerap kali bercampur antara suka dengan duka. Cetusan rasa dan emosi ini sering kali menjadikan seseorang itu teringatkan hidupnya sendiri yang belum sempurna amal baktinya kepada Tuhan, atau mengenangkan seseorang yang amat dekat dengan hatinya yang telah pergi menjelang puasa tahun ini.

Bagi generasi seangkatan saya, puasa mungkin mengingatkan pengalaman silam, ketika kami masih kanak-kanak atau menjelang remaja. Suasana kampung yang tidak berlampu elektrik, yang biasanya gelap-gelita dan sunyi sepi pada waktu malam, tiba-tiba menjadi hidup dengan ketibaan bulan puasa, suluhan lampu yang baru ditukar baterinya bersimpang-siur menyinari suasana malam. Suara kanak-kanak bermain berkumpulan di bawah pokok rambutan atau di dalam semak-samun di sekeliling surau, menjadikan malam itu agak hingar-bingar, ketika orang-orang tua berjemaah di surau atau masjid.

Keadaan ini akan berterusan begitu, sehinggalah imam yang memimpin sembahyang tarawih sampai ke akhir sembahyang, iaitu dengan membaca surah al-Lahab yang dimulai dengan kalimah tabbat, sebagai bacaan terakhir bagi sembahyang tarawih, sebelum memulakan sembahyang witir, maka kanak-kanak akan berlarian menuju ke surau sambil berteriak ``kerabat, kerabat'' ertinya ayuh segera panjat surau untuk makan moreh kerana sembahyang dah hampir selesai. Maka keadaan di surau atau masjid pula menjadi kecoh, dan kanak-kanak yang sedang tidur di dalam surau atau masjid itu juga akan bangun sambil mengesat mata, untuk menyertai kawan-kawan yang mulai memenuhi ruangan kosong di dalam bangunan.

Ingatan dan pengalaman ini tidak mungkin akan luput buat selama-lamanya ketika menjelang Ramadan saban tahun. Bagi saya, segala pengalaman ini merupakan sesuatu yang perlu bagi kehidupan kita sebagai manusia yang sentiasa mengalami perubahan dalam diri dan persekitaran, dan manusia sememangnya memerlukan cetusan emosi dan gerak hati yang tertentu, untuk meneruskan hidup dalam keadaan yang lebih bermakna lagi.

Ketika saya dijemput menghadiri majlis berbuka puasa di rumah orang-orang kenamaan, sama ada di dalam sektor kerajaan atau swasta sekarang ini, maka saya dapat membandingkan suasana dan perubahan yang berlaku pada masa kini, dengan suasana semasa saya berada di kampung tiga empat dekad yang lalu. Perubahan amat pesat, suasana amat berbeza, lampu yang menerangi di sekitar rumah dan di dalam dewan makan serta dewan sembahyang, amat bergemerlapan dibandingkan dengan persekitaran kampung yang gelap, kecuali ketika menjelang bulan purnama, maka barulah kampung yang biasanya gelap-gelita itu akan bermandikan cahaya bulan.

Baru-baru ini, saya menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman salah seorang ahli korporat yang termasuk di dalam kategori sepuluh orang jutawan di negara kita, iaitu Tan Sri Datuk Mustapha Kamal. Ramah-tamah beliau, dan suasana keseluruhan yang saya alami di kediaman beliau yang indah tersergam itu, menjadikan saya terfikir bahawa perubahan ekonomi negara kita yang memberikan kemewahan kepada orang Melayu di negara kita ini, telah mencipta satu suasana dan persekitaran yang berbeza dalam menyambut dan menghidupkan bulan ibadat ini.

Saya dapat melihat suasana khusyuk dan tawaduk, ketika kami menunaikan sembahyang maghrib berjemaah selepas berbuka puasa dengan makanan yang ringan, dan suasana ini berulang lagi ketika kami menunaikan sembahyang isyak dan tarawih berjemaah dengan diimamkan oleh seorang imam yang persis bacaannya seperti salah seorang imam di Masjidilharam, Mekah.

Hal ini mengingatkan saya kepada kenyataan yang sering dikeluarkan oleh ramai peserta seminar atau bengkel, terutamanya yang bertemakan rasuah. Mereka sering berkata bahawa kita mengalami masalah ini, termasuk masalah politik wang, ialah kerana kita terlalu sangat dimanja-manjakan dengan wang, projek, pembangunan berjuta ringgit, kebendaan melulu dan sebagainya. Kita disogokkan dengan bangunan besar tersergam di Putrajaya, KLIA, Menara Berkembar Petronas dan sebagainya. Jadi hairankah kita sekiranya orang Melayu dan Islam di negara ini mengalami sakit jiwa kerana keghairahan mengejar kebendaan?

Pada mulanya saya merasakan agak tepat juga analisis beliau itu, kerana pengaruh bendalah maka semua orang ingin kaya cepat, dan tanpa berusaha, maka akan melakukan amalan rasuah, termasuk mencari pangkat di dalam parti pemerintah, dengan politik wang.

Tetapi melihat keadaan di kediaman Mustapha Kamal, juga rumah-rumah ternama lain yang pernah saya hadiri, maka saya terfikir juga apakah betul kenyataan umum yang selama ini sering kita sebut berulang-ulang kali dengan menyalahkan pembangunan ekonomi sebagai faktor yang menyebabkan orang kita menjadi terlalu bersifat kebendaan, sehingga sanggup melakukan berbagai-bagai perkara haram dan dilarang agama.

Saya terfikir begitu kerana pengalaman saya bergaul dan mempelajari perjalanan hidup sebahagian besar ahli korporat yang saya kenali, ternyata bahawa mereka sebenarnya berada di puncak dunia dengan segala kemewahan itu adalah hasil daripada titik peluh dan usaha mereka sendiri yang tidak mengenal jemu dan penat. Mereka telah mengambil peluang daripada kemewahan negara dan peluang yang disediakan untuk menempah kehidupan mereka sendiri tanpa melakukan penyelewengan yang sering dihubungkan dengan orang korporat. Mereka juga sebenarnya merupakan orang yang menyedari tanggungjawab kepada Allah dan agama.

Memang betul, ramai ahli korporat yang rosak binasa dan tersungkur di dalam kariernya di pertengahan jalan. Malah hal ini dapat kita akui. Tetapi kita tentulah tidak mungkin membuat kenyataan umum yang amat simplistik itu untuk menggambarkan orang-orang kaya di negara kita ini, kerana semuanya itu bergantung kepada rasa hati dan pemikiran masing-masing untuk bertindak, sama ada mendapatkan kekayaan secara yang salah, atau mendapatkan segala hasil kebendaan secara yang diredai Allah.

Di kediaman Tan Sri tersebut umpamanya, saya dapat melihat bagaimana beliau membelanjakan wang jutaan ringgit untuk membina surau yang serba lengkap di dalam kawasan perumahannya, yang mengalahkan sesetengah bangunan masjid di luar. Zaman dulu mungkin orang sekaya itu, akan mendirikan pub dan bar di dalam rumah, tetapi beliau mendirikan surau yang serba indah.

Oleh itu hal ini adalah terletak di tangan individu yang mendapat peluang menjadi mewah. Yang menjalankan usaha secara silap, sering berhadapan dengan kekecewaan di pertengahan jalan, tetapi yang berusaha dengan betul, semakin mendapat berkat.

Saya mengetahui bahawa ramai juga ahli korporat Melayu yang membuat amal di luar, membina sekolah dan kolej, mendirikan masjid dan surau, memberi bantuan kepada ramai, membantu penerbitan buku dan kitab suci dan berbagai-bagai sumbangan kepada masyarakat dan agama yang mereka lakukan tanpa pengetahuan umum.

Yayasan Al-Bukhary umpamanya, yang diterajui oleh Tan Sri Syed Mokhtar, telah banyak sekali menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk kebajikan dan peningkatan ilmu pengetahuan di dalam negara kita. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) amat banyak terhutang budi kepada beliau di atas sumbangan dana yang tidak putus-putus dari dahulu lagi untuk membantu institut tersebut menjalankan aktiviti persidangan, penerbitan dan lain-lain lagi, yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Dengan itu nampaknya ahli-ahli korporat yang pemurah hati dan dermawan ini tidak hanya berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan dunia semata-mata, tetapi mereka juga berusaha untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan mencari keredaan Allah.

Mereka tentulah lebih baik daripada kebanyakan kita yang mungkin hanya mencari kebahagiaan di akhirat sahaja, sedangkan di dunia ini tidak sebanyak mana amalan dan kerja kebajikan yang dapat kita lakukan. Malah, ramai pula orang Islam, yang mungkin tidak banyak juga kebahagiaan yang mereka peroleh di dunia dan di akhirat. Di dunia mereka miskin, maka dengan itu mereka tidak dapat menolong orang lain, apalagi mengeluarkan zakat yang wajib ke atas mereka, atau memberi sumbangan kepada kebajikan orang lain, dan kebahagiaan yang diharapkan di akhirat juga mungkin merosot, kerana amalan untuk akhirat pun amat kurang dilakukan, maka mereka akan kerugian kedua-duanya sekali, iaitu dunia dan akhirat.

Jadi majlis berbuka puasa tersebut, bagi orang-orang yang mahu mengambil iktibar, tentulah telah membuka satu ufuk pemikiran yang baru terhadap dunia kebendaan dan keduniaan yang disepadukan dengan dunia khusyuk tawaduk dan kerohanian sebagai pendekatan kepada Allah di dalam bulan yang mulia ini.

Hal ini merupakan bukti yang kuat dan konkrit kenapa Allah menyeru manusia yang mukmin supaya mencari rezeki di dunia ini, dan apabila telah mendapat rezeki, maka janganlah dilupakan hak manusia lain, dan hak Allah di dalam rezeki yang makmur itu, maka di sinilah timbulnya kewajipan berzakat, bersedekah jariah, berbakti dan membuat kebajikan kepada orang lain.

No comments: