Wednesday, October 10, 2007

Peristiwa ganas mencemarkan nama pertubuhan yang berasaskan Islam - Bebaskan dari gerakan militan

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
BARU-BARU ini berlaku lagi satu peristiwa yang menambahkan kekusutan dalam dunia Islam dan masyarakat Islam umumnya, iaitu pengeboman ke atas sebuah hotel terkemuka di Jakarta, ibu kota bagi sebuah negara yang paling ramai penduduknya yang beragama Islam. Amat menyedihkan bahawa pertubuhan yang mendakwa bertanggungjawab terhadap pengeboman itu ialah pertubuhan yang mempunyai nama yang amat enak dan besar maknanya iaitu Jamaah Islamiah, atau Pertubuhan Islam.

Sepintas lalu nama ini memberi implikasi yang amat baik terhadap perjuangan Islam, iaitu yang merupakan satu pertubuhan yang mewakili umat Islam dan berjuang atas nama agama. Tetapi sebenarnya peristiwa ganas yang berlaku sehingga membunuh ramai orang yang tidak berdosa, dan berlaku pula di luar kawasan yang sering menjadi medan pembunuhan atau penindasan ke atas orang Islam seperti Palestin umpamanya, maka peristiwa ini sebenarnya merupakan satu pencemaran kepada umat Islam dan agama suci kita.

Pertubuhan yang mewakili umat Islam dan yang cintakan perdamaian tidak akan melakukan satu tindakan yang demikian atas nama Islam dan atas nama umat Islam yang bertamadun. Perjuangan dalam masyarakat dunia moden sekarang tidak akan mendapat sebarang kejayaan dengan melakukan kekerasan dan keganasan. Sebaliknya perjuangan begitu akan membawa kepada keadaan yang merugikan umat Islam dan agama suci kita sendiri.

Ketika kita memahami situasi yang membawa kepada perjuangan yang ganas dan militan ini, terutamanya yang berlaku di dalam masyarakat Islam yang tertindas dan terjajah, yang diperlakukan sebagai binatang dan hamba abdi oleh pihak musuh Islam seperti yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan, Bosnia dan tempat-tempat lain yang dengan itu mengundang tindak balas yang ganas, maka kita juga harus sedar bahawa perjuangan begitu mungkin dapat memberi keuntungan hanya kepada beberapa individu atau pemerintah yang tertentu.

Pada umumnya umat Islam dan negara-negara Islam tidak akan mendapat sebarang prestasi baik pada kaca mata masyarakat dunia berperadaban atau dunia yang cintakan keamanan. Perjuangan militan dan menggunakan kekerasan, lebih merupakan perjuangan untuk menarik perhatian dunia moden terhadap nasib orang yang tertindas dan terjajah, tambahan pula dalam keadaan yang tertentu, terdapat kuasa besar dunia, iaitu Amerika Syarikat yang lebih cenderung menyokong dan membantu penindasan dan perhambaan ke atas masyarakat Islam yang tertentu.

Maka kemarahan dan kehampaan inilah yang menjadikan segelintir masyarakat Islam segera mengambil tindakan militan menyerang kepentingan kuasa penjajah itu, termasuk di negara yang jauh dari arena perjuangan menentang keganasan pihak zionisme dan AS, seperti yang berlaku di Jakarta minggu lalu.

Seperti yang saya tegaskan di atas, serangan seperti ini sebenarnya hanya meninggalkan kesan negatif kepada umat Islam dan negara Islam seluruhnya. Kita perlu membaca segala peristiwa yang berlaku di dalam bentuk ini dari segi implikasinya ke atas masyarakat dan negara Islam seluruhnya, iaitu dari kaca mata intelektual dan ajaran agama Islam yang cintakan perdamaian, serta mempunyai pendekatan lain dalam menghadapi penindasan yang dilakukan ke atas masyarakat Islam.

Serangan ke atas AS pada 11 September yang lalu mengakibatkan masyarakat Islam sentiasa berada dalam keadaan bertahan dan surut ke belakang. Masyarakat Islam pada umumnya menjadi sasaran serangan dari segenap penjuru dunia, sama ada secara kekerasan, atau serangan psikologi, serangan mulut dan kata-kata sinikal, dan sentiasa dipandang dengan pandangan yang penuh waspada dan ragu-ragu. Imej Osama bin Laden telah dipahat begitu sebati di atas wajah-wajah orang Islam dan pertubuhan-pertubuhan mereka, dengan tanggapan bahawa orang Islam adalah Osama bin Laden dan pertubuhan-pertubuhan mereka juga adalah pertubuhan-pertubuhan militan yang sentiasa mengintai-intai masa untuk mengganas dan melakukan kemusnahan.

Pergerakan Abu Sayaf yang berpangkalan di negara Filipina sejak akhir-akhir ini dihubungkan dengan begitu kuat sekali dengan pergerakan Osama bin Laden dan jaringannya Al Qaeda. Hal yang sama juga telah ditonjolkan terhadap gerakan-gerakan Islam lain dari seluruh dunia, bahawa pergerakan-pergerakan itu adalah bertunjangkan keganasan yang dibawakan oleh kumpulan pengganas antarabangsa yang secara langsung atau tidak langsung didakwa mempunyai kaitan dengan Al Qaeda Osama bin Laden.

Dengan itu masyarakat Islam menjadi masyarakat yang defensif, serba salah, marah yang bercampur dengan rasa malu dan terhina. Tetapi dalam masa yang sama, orang Islam tidak dapat menolak kenyataan bahawa dalam masyarakat mereka terdapat banyak gerakan radikal dan militan. Gerakan ini sering mengambil jalan kekerasan tanpa mengikut undang-undang untuk mencapai objektif masing-masing, sama ada untuk melakukan kekerasan sesama sendiri, atau mencari mangsanya di luar kawasan sendiri.

Gerakan militan yang berlaku di dalam negara-negara yang tidak mengamalkan dasar demokrasi dan menekan hak rakyat serta mencabul hak asasi manusia, mungkin dapat diberikan justifikasinya, walaupun cara ini sebenarnya tidak menunjukkan ketamadunan manusia dan peradabannya. Tetapi gerakan keganasan yang berlaku di dalam negara sendiri yang mengamalkan pemerintahan demokrasi dan memberi kebebasan kepada rakyatnya tentulah merupakan gerakan ganas yang tidak seharusnya berlaku. Mengapa mengambil jalan keganasan sedangkan cara-cara aman melalui proses demokrasi amat luas terbuka di hadapan semua orang untuk dipergunakannya?

Sebenarnya banyak peristiwa yang menekan masyarakat orang Islam serta pergerakan-pergerakan mereka sedang berlaku di empat penjuru alam yang tidak diberitakan. Ramai orang Islam yang sebenarnya berjuang secara halal juga telah ditangkap dan dikurung, yang tidak juga diberitakan untuk pengetahuan umum. Hal ini berlaku kerana bayang-bayang Osama dan Al Qaedanya sering menghantui kerajaan dan pihak berkuasa yang sedang diserang oleh perasaan takut dan gerun itu. Maka mereka sering mencari jalan keluar untuk meringankan ketakutan dengan bertindak mencari mangsa-mangsanya, yang sering juga terkena ke atas mangsa-mangsa yang tidak bersalah. Mereka telah bertindak menembak dan menyerang sasaran yang salah kerana keadaan telah menjadi amat kelam kabut.

Namun apa saja yang berlaku, nampaknya masyarakat Islam akan mengambil masa yang amat panjang untuk mengubati penyakit yang terlalu parah ini. Umat Islam akan terus-menerus diburu sepanjang zaman oleh anasir-anasir yang sentiasa melihat imej keganasan terpahat dengan hebatnya di dalam semua pergerakan umat Islam itu. Imej Islam yang amat negatif ini akan terus-menerus terpampang dan terserlah pada semua wajah orang Islam, walaupun pada hakikatnya gerakan radikal dan keganasan itu hanya dilakukan oleh segelintir umat Islam, sama seperti yang dilakukan oleh umat-umat lain juga.

Satu persoalan yang amat sukar bagi kita untuk menjawabnya ialah bagaimanakah agaknya masyarakat Islam dapat dibebaskan dari unsur-unsur keganasan dan kekerasan, dan bagaimanakah pula caranya untuk mengikis imej militan dan radikal dari masyarakat kita seterusnya.

Persoalan ini amat sukar dijawab kerana masyarakat Islam amat tercemar dengan imej negatif ini, dan punca pencemarannya pula adalah terlalu banyak dan agak sukar difahami dalam beberapa keadaan yang tertentu.

Keseluruhan masyarakat Islam sendiri tidak pernah mencuba untuk mencari punca keganasan orang Islam, apa lagi mencari penyelesaiannya secara bersepadu di antara negara-negara Islam itu sendiri. Masyarakat Islam lebih banyak diajar untuk mencari kesalahan orang lain dan dididik untuk membenci dan menuding jari kepada orang lain serta pihak-pihak yang tertentu sejak dari peringkat tadika lagi. Oleh itu sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik dan tidak sesuai dengan ajaran dan nilai-nilai Islam maka kesalahan itu sering diletakkan ke atas bahu orang lain. Maka dalam pencemaran imej Islam ini juga, kesalahannya sering diletakkan ke atas unsur-unsur luaran, walaupun kesalahan itu sebahagiannya adalah disebabkan oleh keadaan masyarakat Islam itu sendiri.

Umum mengetahui bahawa timbulnya gerakan radikal Islam di antara lainnya ialah disebabkan oleh beberapa dasar kerajaan AS terhadap orang Islam seperti pandangan negatif secara stereotaip terhadap dunia Islam tanpa membezakan kepelbagaiannya, atau dasarnya yang menekan serta menindas perjuangan umat Islam yang memperjuangkan haknya yang halal untuk membebaskan negara dan umatnya yang sekian lama menderita dan tertekan. Namun begitu apakah kita selama-lamanya akan terus-menerus menyalahkan hakikat ini tanpa berusaha untuk memperkuatkan diri bagi mengatasi masalah itu dan menyusun barisan di antara negara-negara Islam secara sepadu bagi menentang dasar luar AS yang tidak adil itu secara teratur dan bertamadun?

Memang diakui bahawa proses ini akan memakan masa yang panjang untuk direalisasikan. Namun satu perkara yang mungkin dapat dilakukan, terutamanya berpusat di dalam negara kita ini, bahawa kita haruslah mempunyai agenda jangka panjang dan jangka pendek dalam mendidik generasi baru kita agar menjadi umat yang berilmu, berperadaban dan bertamadun, yang membenci sifat keganasan dan kekerasan serta tingkah laku yang tidak beradab dan beretika.

Kita mestilah membebaskan masyarakat kita dari unsur-unsur militan dan radikal dengan menumpukan kepada ajaran Islam yang sebenarnya di semua peringkat pengajian secara formal dan tidak formal, kerana Islam sememangnya memerangi kekerasan dan keganasan, perbuatan dan tingkah laku yang tidak bersopan dan berakhlak. Islam mencintai perdamaian dan kesejahteraan, oleh itu masyarakat Islam haruslah berusaha menegakkan perdamaian ini secara berilmu dan bermaruah, di samping memperkuatkan diri untuk memerangi ancaman luaran dengan cara membina tamadun sendiri yang kukuh dan kuat.

Banyak pengajaran yang dapat kita pelajari dari peristiwa berdarah yang berlaku di dalam dunia pada masa kini, termasuk yang dilakukan oleh segelintir umat Islam. Kita tentunya tidak mahu hal ini berlaku di rantau kita, dan di negara kita sendiri.

No comments: