Wednesday, October 10, 2007

Jadi sasaran apabila menegur kepincangan orang Melayu - Dilema ulama dalam masyarakat

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
TERDAPAT beberapa fenomena yang agak ekstrem yang wujud di dalam masyarakat ketika kita membicarakan tentang ulama dan orang Melayu. Hakikat pertama, apabila seseorang itu bergelar ulama, maka dia mestilah bertindak keras dan kerjanya hanya menjatuhkan hukum. Kedua, terdapat di kalangan orang Melayu yang apabila disebut sahaja tentang ulama, maka imej dan persepsi yang terpahat di kepalanya bahawa ulama ``memanglah begitu sifatnya, semua tak boleh''.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menulis buku tentang Dilema Orang Melayu. Saya rasa eloklah jika terdapat seorang penulis yang dapat pula menulis tentang dilema seorang ulama Melayu. Kalau menjadi orang Melayu pun, sudah cukup menjadikan makhluk itu berada dalam dilema yang hebat, maka menjadi ulama Melayu mungkin orang itu akan berada dalam dilema yang lebih hebat lagi. Pertama kerana dia orang Melayu, dan kedua kerana dia menjadi ulama orang Melayu.

Sifat orang Melayu sememangnya amat suka mencari kesalahan orang lain dan menuding jari kepada sesiapa sahaja yang boleh ia tuding. Di kalangan ulama pula terdapat di antaranya yang menjadi pengkritik terhadap segala-galanya yang berlaku di sekelilingnya, walaupun kadang-kadang hal itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hukum. Kerjanya ialah menjatuhkan hukum, kerana orang Melayu sememangnya sentiasa bertanya tentang hukum.

Kita terlalu berorientasikan kepada hukum. Selagi ulama tidak mengatakan hal itu haram, maka selama itulah orang akan melakukannya. Kelakuan sumbang yang terdapat di kalangan para penonton konsert yang terang-terang bercanggah dengan ajaran agama, tetap dilakukan tanpa segan silu, pada hal perkara itu, tanpa dirujuk kepada pandangan ulama pun, ternyata haram dan ditegah. Kemudian apabila terdapat ulama yang mengatakan hal itu haram, maka pula orang yang akan mengkritik hukuman itu. Inilah dilema ulama dalam masyarakat kita.

Segala konflik dan krisis yang berlaku di dalam masyarakat Melayu, ulama juga yang sering menjadi sasaran. Orang Melayu berakhlak buruk, anak muda berkelakuan tidak senonoh, belia-belia berpeleseran, terlibat dengan gejala sosial dan orang tua berkhalwat, merogol, membunuh, semuanya ulama yang dipersalahkan kerana ulama tidak berfungsi dengan baik, tidak dapat menjalankan tugas sebagai penasihat dan sebagainya sedangkan masyarakat umum mengetahui bahawa dalam situasi ini, apa yang boleh ulama lakukan?

Seminggu dua yang lepas ini, menyaksikan banyak peristiwa yang melibatkan para ulama. Segala karnival dan konsert yang mengundang perhatian ulama berlaku serentak di merata-rata tempat, melibatkan para muda-mudi yang berpusu-pusu menyerbu tanah lapang tempat karnival dan konsert itu diadakan. Ulama yang berasa sakit matanya memandang perkara itu, dan sakit hatinya melihat orang mencabar ajaran dan nilai agama, terus membuka mulut, menegur dan ada ketikanya menjatuhkan hukuman ke atas karnival dan konsert yang diadakan itu.

Maka apabila ulama mengeluarkan pandangannya, atau menegur kejadian sumbang itu, maka ulama pula yang dipersalahkan, sesetengah orang pun bersungutlah, ``Ah, apa sangatlah dikisahkan orang mahu berhibur, orang mahu bersama keluarga menyaksikan nyanyian dan tarian yang tak seberapa itu?''

Maka ulamalah yang menjadi sasaran, pada hal dalam hal ini, ulama tidak lebih dari hanya menjadi penasihat, dan menyatakan hukuman kepada perkara-perkara yang terang-terang melanggar ajaran agama. Pandangan ulama itu sebenarnya tidak perlu dipatuhi oleh sesiapa pun sekiranya mereka memilih untuk tidak mahu mengendahkan pandangan ulama. Yang pentingnya bagi manusia yang beragama Islam ini ialah komitmennya sendiri kepada Tuhannya, tetapi dalam beberapa hal, mungkin orang yang rasa bersalah kerana melakukan sesuatu yang salah itu, mahukan ulama mengatakan bahawa perkara itu tidak salah, apa lagi di dalam kalangan ulama sendiri terdapat percanggahan pendapat yang ketara tentang perkara yang haram atau tidak haram ini.

Ada orang yang juga bergelar ulama, atau bijak pandai agama, tetapi hanya kerana perbezaan pendapat dan pentafsiran, maka mereka bertelagah sesama sendiri, hentam-menghentam, dan menghukum orang lain sebagai tidak betul.

Orang awam amat gemar menyaksikan para ulama berbalah sesama sendiri, malah terdapat kalangan tertentu yang berusaha melaga-lagakan ulama. Dan orang ramai bersorak atau bertepuk tangan melihat ulama berlaga sesama sendiri, atau akan terdapat kumpulan atau pergerakan tertentu yang mendapat untung akibat pertelagahan dan perselisihan pendapat di kalangan ulama itu.

Kes wanita hendak dilantik sebagai timbalan mufti umpamanya. Mungkin perkara ini ditonjolkan kerana terdengar cakap-cakap yang mengatakan wanita tidak seharusnya dilantik ke jawatan itu. Maka dicari pandangan beberapa pihak tentang perkara ini, dan pandangan itu dijaja ke sana ke mari. Tetapi mujurlah juga dalam hal ini tidak terkeluar pandangan yang mengatakan wanita tidak seharusnya dilantik sebagai timbalan mufti, kerana kalau terdapatlah pandangan begitu nescaya akan heboh seluruh negara dengan konflik dan perdebatan tersebut.

Pertubuhan wanita tentulah rasa lega, walaupun semua orang mengetahui bahawa lelakikah atau wanita yang menjadi mufti atau timbalan mufti hukum agama tetaplah sama.

Mesej yang tersembunyi di dalam konteks ini ialah untuk mengelakkan hukuman berat sebelah dan dasar diskriminasi ketika mengeluarkan fatwa atau hukum.

Oleh itu kita mahu wanita dimasukkan ke dalam semua jawatan tersebut, semoga apabila wanita memberi fatwa, atau menjatuhkan hukuman, maka diharapkan hukuman itu atau fatwa tersebut akan berpihak kepada wanita.

Maka dengan itu kita seolah-olah ingin mewujudkan satu suasana dan iklim yang tidak sihat berdasarkan gender, dan mengakui kewujudan gejala yang tidak sihat itu sehingga terpaksa kita melawannya dengan menjalankan gerakan provokasi tersebut, sedangkan kita sendiri tidak pernah mengkaji dengan teliti apakah hal ini wujud secara ketara dan berleluasa. Kita sering mengasaskan prasangka kita kepada beberapa kes sahaja, sedangkan banyak kes lain yang tidak sedikit pun menggambarkan hukuman yang berat sebelah ini, atau tindakan menzalimi mana-mana pihak.

Namun begitu masyarakat Islam kita amat terbuka dan penuh dengan toleransi dan saya rasa pada masa akan datang sekiranya didesak, jawatan mufti pun akan dilantik daripada kalangan wanita, kerana yang penting dalam hal ini ialah kemampuan dan ilmu pengetahuan calon, bukanlah jantina.

Berbalik kepada ulama di dalam masyarakat Melayu, sebenarnya dalam beberapa keadaan, ulama mungkin tidak perlu banyak menegur kepincangan masyarakat Melayu. Ini kerana banyak kepincangan melibatkan pelanggaran yang ketara bukan hanya terhadap ajaran dan nilai agama, tetapi bertentangan dengan budaya dan tradisi serta adat istiadat, adab sopan kita sebagai orang Melayu, orang Timur yang mempunyai budaya dan adab sopan sendiri, beradab mulia dan berpekerti murni.

Yang berpusu-pusu ke depan pentas hiburan itu bukan hanya meninggalkan ibadat dan melakukan perkara sumbang yang ditegah agama, tetapi juga berpakaian dan berambut warna yang menyalahi budaya dan budi pekerti orang Melayu. Mereka terpekik melolong seperti orang yang tidak siuman. Mereka mengusik dan menolak-nolak di antara lelaki dan perempuan.

Semasa siaran langsung televisyen tentang peraduan dan pertunjukan sensasi itu pun, banyak pandangan di atas pentas yang tidak seharusnya ditonton oleh semua penonton. Ini kerana perbuatan gosok-menggosok, sentuh-menyentuh dan kadang-kadang berdakapan di antara lelaki dan perempuan dengan teriak tangis yang tidak menentu, dapat disaksikan dengan jelas oleh semua orang di rumah. Hal ini dilakukan oleh orang Melayu. Tapi siapa yang peduli? Maka ulama jugalah yang terbeliak matanya dan ternganga mulutnya, lalu jatuhlah hukuman.

Orang Melayu sebenarnya, tidak berpakaian yang compang-camping seperti koboi, atau bertindik dan berambut warna seperti orang yang baru keluar dari hutan, atau terkinja-kinja dan melompat-lompat seperti para pengunjung Woodstock di Amerika Syarikat. Itu bukanlah budaya dan adat Melayu. Orang Melayu tidak seharusnya berlagak seperti lelaki dan perempuan mat saleh.

Maka hal ini adalah hal masyarakat orang Melayu, masalah adab sopan orang Melayu, isu adat dan tradisi serta budaya orang Melayu. Sepatutnya dalam konteks ini orang budaya yang perlu bersuara. Orang kesenian seharusnya mengeluarkan teguran, orang yang mempunyai semangat kebangsaan Melayu seharusnya mengemukakan pandangan terhadap penyakit yang menimpa anak Melayu dalam masyarakat moden yang agak keterlaluan ini. Soal adab sopan dan nilai Melayu dan Timur, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak di dalam masyarakat untuk menjaganya.

Saya sering bertanya dalam konteks ini, ke manakah perginya persatuan pelajar, budaya, seni, bahasa dan persatuan kebajikan, persatuan penulis, sasterawan, malah persatuan wanita dan lain lagi dalam menghadapi krisis ini? Ke manakah mereka menghilangkan diri dan menyepi seribu bahasa, sedangkan apa yang berlaku di sekeliling mereka adalah menyentuh masalah bangsa dan budaya, menyentuh masalah pembinaan negara bangsa yang berwawasan, maju dan kuat, bermaruah dan beretika menjelang tahun 2020?

Jadi nampaknya hal ini pun diharapkan kepada para ulama untuk menegurnya. Dan apabila para ulama menegur, maka para ulama itulah yang seolah-olah mewakili semua kalangan masyarakat Melayu yang bersopan, rela menghulurkan tengkuknya untuk dipancung oleh orang yang menjadi sasaran, atau kumpulan yang sering menentang ulama. Orang lain yang sepatutnya sama-sama bertanggungjawab akan menjauhkan dirinya dari perdebatan ini untuk menyelamatkan dirinya. Maka tinggallah para ulama yang dikecam dan diketuk.

Saya tidak mengatakan bahawa para ulama itu semuanya malaikat. Ulama tentulah mempunyai emosi dan nalurinya yang berbeza-beza. Yang cepat panas hati tentulah akan bercakap dengan pedas dan kasar, yang sabar, tidak mahu bercakap. Maka yang baiknya tentulah ulama yang dapat bercakap dengan penuh awas dan berhikmah.

Orang awam sendiri tidak seharusnya bersikap prasangka terhadap ulama. Sikap konfrontasi terhadap ulama sering mengakibatkan rasa benci, sehingga semua yang disebut ulama dianggap sampah yang tidak berguna, ulama ketinggalan zaman, pemikirannya tidak lagi betul kerana kepalanya sentiasa ditutup dengan serban dan sebagainya.

Bagaimanapun mesej yang hendak saya sampaikan, bahawa semua kalangan yang prihatin di dalam masyarakat kita, haruslah melihat kepada gejala tidak sihat yang sedang berleluasa di dalam masyarakat kita sekarang ini dengan penuh insaf dan amanah. Kalau gejala itu tidak sihat, maka yang menerima kesannya ialah kita semua. Oleh itu orang yang prihatin tentang moral, akhlak, budaya, adab sopan, kelembutan percakapan dan bahasa, mestilah sama-sama mengambil tanggungjawab untuk mencari jalan memperbaiki keadaan yang tidak sihat ini. Jangan semuanya kita letakkan ke atas bahu ulama, kemudian kita kutuk ulama itu, sedangkan yang lain, lari melepaskan diri masing-masing. Akhirnya para ulama akan sentiasa hidup dalam serba salah dan akan berada dalam dilema sepanjang hayatnya.

No comments: