Wednesday, October 10, 2007

Poligami berdasarkan amanah

DIRIWAYATKAN oleh Malik, Ahmad, Ibn Majah dan Al-Turmizi bahawa ketika Ghailan ibn Umaiyah Al-Thaqafi akan menganut agama Islam sedangkan dia mempunyai 10 orang isteri, maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Kamu pilihlah empat orang di antara mereka, dan ceraikanlah yang lain-lain.

Perintah yang diberikan oleh Rasulullah ini memberi makna bahawa Ghailan mestilah menceraikan enam orang isterinya, dan mengekalkan empat yang lain, sebagai memenuhi perintah Allah bahawa lelaki hanya dibenarkan berpoligami sehingga empat orang sahaja. Di samping lelaki ini terdapat juga riwayat yang menceritakan tentang lelaki-lelaki lain yang mempunyai isteri yang banyak, maka semuanya dinyatakan oleh baginda Rasulullah supaya dikekalkan empat sahaja, dan yang selebihnya hendaklah diceraikan.

Hal ini menunjukkan bahawa amalan berpoligami merupakan amalan biasa para lelaki dalam masyarakat manusia semenjak manusia bernama manusia, termasuklah hingga ke zaman sebelum Islam, dan bilangan isteri yang ``dimiliki'' atau dikahwini pula tidaklah terbatas, mungkin belasan dan puluhan atau ratusan.

Sungguhpun kita tidak mengetahui dengan sebenarnya sebab-sebab yang mendorong para lelaki memiliki pasangan atau isteri yang begitu banyak, tetapi dilihat daripada tuntutan fitrah manusia, maka bolehlah diandaikan bahawa dorongannya ialah nafsu, iaitu nafsu syahwat atau nafsu ingin memiliki seberapa banyak perempuan yang ada di sekeliling mereka supaya dengan ini seorang lelaki akan dapat bermegah-megah dengan kemampuan dan kekuasaannya. Dorongan inilah yang sebenarnya mendorong para lelaki bersikap seperti haiwan, yang sentiasa mengikut hawa nafsu semata-mata kerana pada masa dulu, tidak ada peraturan yang mengawal tingkah laku dan perangai mereka.

Hal inilah yang sebenarnya berlaku sehingga ke zaman moden ini, tetapi dalam bentuk yang lebih terkawal dan tersembunyi, iaitu amalan ``berpoligami'' secara tidak rasmi masih berlaku dalam masyarakat manusia, ketika para lelaki mempunyai ramai pasangan yang sering ``dikahwini'' secara tidak sah, iaitu tanpa melalui proses pernikahan yang sah mengikut agama atau kepercayaan masing-masing, atau mempunyai ``isteri simpanan'' yang dikenali sebagai mistress, dan tidak kurang pula yang diamalkan dalam bentuk kahwin sementara dengan para perempuan yang memperniagakan tubuh badan mereka dalam industri pelacuran yang merupakan satu industri yang amat besar di seluruh dunia pada hari ini.

Maka Islam dengan kebenaran berpoligami telah membentuk satu sistem yang sah di sisi syarak untuk seorang lelaki mempunyai pasangan hidup lebih daripada seorang, iaitu dengan menetapkan syarat-syarat yang amat komprehensif dan ketat sehingga sekiranya seorang lelaki itu beramanah dengan Allah, bertanggungjawab terhadap diri dan isteri serta anak-anaknya yang sedia ada, maka dia tidak akan mengamalkan poligami. Dia diberikan amanah ini oleh Allah iaitu untuk berlaku adil dan bertanggungjawab atas dasar bahawa manusia adalah makhluk Allah yang seharusnya berilmu, bertamadun dan bertanggungjawab, sehingga apabila dia membuat sesuatu keputusan, maka keputusan itu dapat dipertanggungjawabkan sepenuhnya di dunia dan akhirat. Maka keputusannya untuk berpoligami pun seharusnya dibuat berdasarkan amanah dan tanggungjawab ini, iaitu tanggungjawab kepada Allah yang seharusnya dapat dilaksanakan dengan baik, dan tanggungjawab terhadap keluarga, khususnya isteri pertama dan anak-anaknya, dapat dijalankan dengan penuh keadilan.

Keistimewaan

Atas dasar inilah juga para lelaki harus lebih peka dan bertanggungjawab terhadap urusan keluarga dan melindungi isteri serta anak-anak dengan saksama. Maka para lelaki seharusnya berasa bersyukur kerana dalam beberapa perkara, Allah telah memberikan beberapa keistimewaan kepada mereka seperti kuasa wali, perceraian, mewarisi harta pusaka dan sebagainya, sehingga terdapat ayat yang menegaskan bahawa para lelaki itu adalah mereka yang berkuasa ke atas wanita. Atas dasar ini maka Islam mengharapkan bahawa para lelaki mestilah bertanggungjawab, beramanah, berfikiran jauh, berakal budi dan berkelakuan yang amat unggul, bukan lelaki yang bebal, singkat fikiran, tidak beradab, tidak bertanggungjawab, malah sentiasa mengikut hawa nafsu dalam sesuatu tindakan mereka.

Maka lelaki unggul itulah yang sebenarnya hendak dilahirkan oleh Islam sehingga beberapa keistimewaan diberikan kepada mereka. Merekalah sebenarnya pemimpin rumah tangga, ketua keluarga, raja di antara suami isteri dan anak-anak, yang mampu memimpin dan mengemudi rumah tangga dan keluarga mereka dengan sempurna, yang mampu menguruskan segala-segalanya dalam urusan keluarga dan semua anggotanya dengan cekap dan berkesan, yang tahu mencipta kesejahteraan dirinya, isterinya dan anak-anaknya, malah dapat pula mengharmonikan segala perasaan, emosi dan akal fikirannya dengan baik ketika menghadapi masalah dan krisis rumah tangga. Para suami beginilah yang disebutkan oleh Nabi Muhammad yang seharusnya disembah oleh para isteri sekiranya Allah membenarkan manusia menyembah sesama manusia, iaitu ketika dilihat betapa tingginya status suami yang bertanggungjawab dan berdisiplin serta sempurna segala-segalanya itu.

Tetapi oleh kerana Islam juga dapat melihat bahawa manusia ini, termasuk para suami dan lelaki adalah manusia biasa yang dikuasai nafsu dan perasaan yang tidak seimbang, tidak selamanya dapat mengemudikan diri dan nafsunya, maka keistimewaan yang diberikan kepada mereka, termasuk keistimewaan berpoligami, telah disertai dengan syarat-syarat dan peraturan yang ketat. Peraturan dan syarat inilah yang sepatutnya dapat mengawal tindakan manusia dengan sebaik-baiknya, terutama apabila peraturan itu datangnya dari Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Adil. Syarat dan peraturan inilah yang seharusnya diambil dengan penuh kesedaran oleh mereka yang diberikan keistimewaan itu supaya tidak berlaku kezaliman dan penindasan sesama makhluk, terutama di antara suami dan isteri serta anggota keluarga yang lain.

Pendeknya kalau dikaji peraturan dan sistem Islam, maka peraturan itu sebenarnya adalah amat baik dan adil, penuh hikmah dan rahmat untuk masyarakat manusia, termasuklah peraturan membenarkan lelaki berpoligami. Saya tidak perlu mengulang lagi di sini hikmah dan sebab kenapa Islam membenarkan amalan poligami. Hal ini telah banyak dibicarakan dalam masyarakat kita. Saya juga tidak perlu berbicara panjang lebar tentang konsep keadilan dalam amalan poligami ini, kerana hal ini juga telah menjadi pengetahuan umum, iaitu apa yang dibenarkan oleh syarak dan apa yang tidak dibenarkan.

Namun yang menjadi masalah dalam amalan orang Islam ketika menerima keistimewaan dan kemudahan dari Allah ini, ialah tuntutan nafsu dan jasmani mereka yang sering membawa kepada penyalahgunaan pemberian Allah dalam bentuk keistimewaan itu.

Banyak lelaki yang berpoligami tanpa mempunyai asas atau sebab yang membolehkannya berpoligami. Malah yang berpoligami pula, ramai di antara mereka yang tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang suami yang adil dan bertanggungjawab. Inilah di antara bentuk penyalahgunaan sesuatu yang diharuskan oleh syarak, iaitu bukan kerana tidak punya ilmu pengetahuan, tetapi kerana sebab-sebab lain yang kadangkala hanya diketahui oleh mereka sendiri sahaja. Hal inilah yang menyebabkan timbulnya persoalan tentang keadilan Islam dalam keharusan berpoligami ini.

Sebenarnya seperti yang ditegaskan, peraturan dan sistem Islam tidak terdapat cacat celanya, tetapi yang cacat dan cela ialah mereka yang menyalahgunakan kuasa dalam melaksanakan kemudahan tersebut. Merekalah yang sebenarnya telah mencemarkan undang-undang dan peraturan Islam dan menjatuhkan nama baik Islam, terutama pada pandangan orang bukan Islam. Maka Islam tidak seharusnya dipersalahkan dalam hal ini, sebaliknya yang bersalah ialah orang Islam yang gelojoh dan bebal itu.

Sungguhpun dalam hal berpoligami, terdapat para lelaki yang bertanggungjawab dan berlaku adil, serta dapat menjalankan amanahnya dengan baik seperti yang dikehendaki agama, tetapi kerana ramai pula yang sering bertindak sembarangan dengan mengikut hawa nafsu, atau mentafsirkan peraturan dan syarat poligami itu mengikut persepsi sendiri, maka dalam keadaan inilah pihak yang berotoriti, iaitu, kerajaan telah mengambil langkah menggubal enakmen, akta dan undang-undang keluarga Islam yang agak komprehensif dalam hal ehwal kekeluargaan, termasuk poligami

Undang-undang keluarga Islam sebenarnya bertindak seperti perisai terhadap orang-orang yang akan mencerobohi keistimewaan yang diberikan Islam, termasuk dalam berpoligami. Al-Quran menyebut secara umum tentang keadilan dan kewajipan lelaki yang ingin berpoligami. Maka undang-undang itulah yang digubal untuk mentafsirkan keadilan itu, dan menyusun prosedur serta peraturan yang mesti dipatuhi untuk menjamin bahawa keadilan itu dilaksanakan. Dengan itu undang-undang tersebut telah menentukan beberapa syarat untuk lelaki berpoligami, seperti persetujuan isteri pertama, kemampuan menyara hidup para isteri, penyediaan kemudahan tempat tinggal, makan pakai dan sebagainya, agar dalam hal ini tidak akan terdapat orang yang menderita di dalam sesebuah keluarga itu.

Al-Quran memang tidak menerangkan bahawa poligami itu harus mendapat izin sesiapa atau memberi perincian tentang keadilan yang seharusnya dilaksanakan. Hal ini jika dibiarkan kepada individu sahaja menentukannya, maka keluarga akan mengalami kesan yang amat buruk. Oleh itu pemerintah berhak menggubal peraturan dan undang-undang yang dapat menjamin ketenteraman semua pihak. Dan undang-undang inilah sebenarnya yang telah dikuatkuasakan di negara kita.

Oleh itu saya rasa dalam menghadapi kemelut yang timbul sekarang tentang isu ini, kita seharusnya berusaha memperkemaskan undang-undang keluarga dan menyeragamkannya di seluruh negara, agar kita tidak terperangkap dalam pertelagahan yang hanya akan menjatuhkan imej agama kita dan membuka peluang kepada ramai pihak yang akan mempersoalkan kewibawaan undang-undang Islam itu sendiri.

Saya beranggapan bahawa sekiranya undang-undang ini diringankan begitu rupa, maka kita seolah-olah cuba untuk rujuk ke belakang semula tanpa menyedari bahawa segala peraturan dan akta tambahan yang digubal selama ini adalah untuk memperkuatkan kehendak agama kita sendiri seperti yang dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran.

Kekecohan sudah pun berlaku, ketika ramai orang yang akan menuju ke Perlis, sedangkan terdapat kerajaan negeri yang akan mengenakan denda kepada rakyatnya yang akan berkahwin lagi di negeri Perlis, dan dengan itu umat Islam akan berpecah dan bertelagah lagi semata-mata kerana satu isu yang sebenarnya telah lama di selesaikan di negara kita. Kita sering bercadang akan menembak sasaran yang sebenarnya, tetapi sering kali pula kita menembak sasaran yang salah seperti yang berlaku sekarang tentang poligami dan perkahwinan secara sembunyi di luar negara. Sasarannya ialah untuk membanteras perkahwinan di luar negara, kenapa pula penyelesaiannya tidak dikaji dengan teliti oleh semua negeri dengan mencari jawapan dan penyelesaian yang sebenarnya untuk mengatasi masalah itu. Adakah dengan melonggarkan syarat poligami kita akan benar-benar dapat menyelesaikan isu perkahwinan di luar negara itu?

No comments: