Wednesday, October 10, 2007

Pilihan menukar agama tertakluk kepada hukum akidah yang amat ketat - Tidak ada kebebasan mutlak

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SEBENARNYA kebebasan dan hak asasi yang seharusnya dinikmati oleh manusia yang bertamadun dan berperadaban bukanlah merupakan hak dan kebebasan yang mutlak. Inilah maksud utama saya ketika menulis tentang kebebasan beragama yang disiarkan di dalam ruangan ini pada 28 Disember 2003 yang lalu. Manusia yang diberikan hak dan kebebasan bukanlah bererti bahawa dia boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu atas nama hak asasi dan kebebasan, tanpa terikat dengan peraturan dan undang-undang, terutamanya undang-undang Tuhan.

Tulisan saya itu telah mendapat reaksi daripada beberapa orang pembaca bukan Islam yang keseluruhannya menyatakan penghargaan terhadap dasar beragama di negara kita yang diamalkan selama ini. Sikap toleransi rakyat berbilang agama, dan jaminan kerajaan terhadap kebebasan beragama semua rakyatnya, telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang dapat memupuk perpaduan rakyat melalui amalan yang amat praktikal.

Berdasarkan hal ini, terdapat beberapa komen daripada pembaca yang menyesali dan mengkritik dasar beberapa buah negara di Barat yang baru-baru ini merangka undang-undang untuk melarang rakyatnya daripada memperlihatkan sebarang simbol agama di tempat kerja dan pusat pendidikan, seperti sekolah. Pemerintah Perancis umpamanya baru-baru ini telah mengenakan larangan bagi pelajar-pelajar Islam memakai tudung kepala, demikian juga dengan pakaian yang menunjukkan amalan agama bagi para pelajar Kristian, Yahudi dan para penganut agama yang lain. Mereka memberi alasan bahawa hal ini dilakukan adalah bersesuaian dengan dasar sekularisme yang menjadi dasar pemerintahan mereka seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara mereka. Oleh itu sebarang simbol agama yang ditunjukkan di dalam institusi rasmi adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Bagaimanapun, pandangan umum sering mempertikaikan alasan mereka ini, kerana motif larangan ini lebih cenderung kepada motif politik diskriminasi kaum dan agama. Orang Islam pula melihat alasan ini sebagai topeng semata-mata untuk mengelirukan pandangan dunia, khususnya dunia Barat, terhadap imej Islam yang sering dihubungkan dengan keganasan. Oleh itu mereka cuba memberikan gambaran kepada dunia, bahawa orang yang kuat berpegang dan mengamalkan ajaran agama itulah yang mempunyai potensi untuk melakukan keganasan. Maka sekiranya para pelajar Islam juga menunjukkan komitmen yang kuat terhadap agama seperti menutup aurat dan bertudung kepala, maka mereka inilah kononnya yang bakal melakukan gerakan keganasan.

Alasan yang diberikan oleh mereka bahawa tanpa melibatkan diri dengan sebarang pakaian agama akan lebih mewujudkan integrasi rakyat tetapi ia juga sering dipertikaikan. Integrasi rakyat tidak semestinya dimanifestasikan dengan pakaian yang tertentu, kerana integrasi berpakaian lebih merupakan sesuatu yang berbentuk artifisial, sedangkan integrasi rakyat dapat dibentuk dengan sebaik-baiknya melalui dasar pemerintah itu sendiri terhadap semua rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama.

Dasar inilah sebenarnya yang diamalkan di negara kita dalam membentuk integrasi kaum, iaitu dasar yang memberikan keadilan yang wajar kepada semua kaum dan penganut agama dalam politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya, sedangkan dalam masa yang sama rakyat daripada berbilang kaum dan agama bebas mengamalkan kepercayaan dan agama mereka mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

Saya rasa persoalan kebebasan beragama bagi semua kaum dan keturunan rakyat Malaysia tidak menimbulkan sebarang pertikaian, dan perlembagaan negara sendiri jelas menerangkan hal ini, dan oleh kerana perlembagaan merupakan satu kontrak yang dipersetujui oleh semua rakyat Malaysia ketika negara kita mencapai kemerdekaannya, maka tidak ada sesiapa yang seharusnya mempertikaikan pula kewibawaan perlembagaan, malah semua rakyat mestilah mematuhinya.

Bagaimanapun, kita tidak menafikan bahawa di dalam sesuatu masyarakat itu akan lahir juga elemen-elemen negatif yang menjadi sikap segelintir golongan yang akan bertindak di luar prinsip perlembagaan dan undang-undang negara. Di dalam masyarakat mana sekalipun akan lahirlah golongan pelampau yang mewakili berbagai-bagai kepercayaan dan agama masing-masing. Golongan pelampau inilah yang telah mencetuskan beberapa insiden yang melibatkan beberapa golongan penganut agama di dalam masyarakat kita. Bagaimanapun, kejadian seperti ini sentiasa dibendung oleh kuat kuasa undang-undang dan usaha baik majoriti rakyat yang cintakan perdamaian dalam memulihkan keharmonian dan perdamaian.

Maka kejadian yang amat terpencil dan melibatkan hanya sebahagian kecil rakyat, tidaklah seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan dasar kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita ini. Demikian juga umpamanya dengan satu dua kejadian yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab terhadap rumah ibadat tertentu akibat dari perasaan taksub sendiri yang juga tidak bererti bahawa tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap mereka.

Paparan saya di atas rasanya tidak menimbulkan sebarang persoalan di kalangan para pembaca yang menulis kepada saya, termasuk para pembaca bukan Islam. Cuma yang menimbulkan persoalan pada segelintir pembaca yang memberi komen kepada saya ialah dasar Islam sendiri terhadap penganutnya yang hendak meninggalkan Islam untuk menganut agama lain. Persoalan ini ditimbulkan ketika saya menyatakan pandangan saya bahawa amalan yang mempunyai hubungan dengan akidah sesuatu agama itu tidaklah seharusnya ditimbulkan oleh penganut agama yang lain. Saya telah memberikan beberapa contoh di dalam tulisan saya itu tentang perkara ini, iaitu bagaimana penganut Islam sendiri tidak pernah membangkitkan isu akidah para penganut agama Kristian, Yahudi, Hindu, Sikh, Buddha dan sebagainya di negara kita ini.

Oleh itu saya rasa soal pertukaran agama adalah juga termasuk di dalam urusan kepercayaan para penganut agama itu sendiri. Islam mempunyai beberapa cara untuk menangani hal ini mengikut peruntukan undang-undang syariah yang diamalkan di negara kita, dan di dalam undang-undang tersebut tidak terdapat peruntukan untuk menghukum bunuh bagi kes ini seperti yang digembar-gemburkan selama ini.

Saya menyebut perkara ini kerana terdapat komen bahawa kita tidak memberikan kebebasan beragama kerana kita menegah penganut Islam menukar agamanya mengikut agama lain yang dipilihnya. Maka di sinilah saya ingin menekankan perkara yang saya sebutkan di permulaan tulisan ini bahawa hak dan kebebasan yang diberikan kepada manusia bukanlah merupakan hak dan kebebasan mutlak. Kita mempunyai peraturan, undang-undang dan disiplin yang seharusnya dipatuhi dan dihormati. Ada kalanya hak dan kebebasan itu digariskan oleh sesuatu komuniti dan agama bagi para penganutnya sendiri yang tidak seharusnya diganggu-gugat oleh komuniti yang lain.

Demikianlah ketika Islam memberikan kebebasan kepada penganutnya dalam banyak perkara, maka pilihannya untuk menukar agama adalah tertakluk kepada hukum akidahnya yang amat ketat. Maka hasilnya, penganut Islam tidak menghadapi krisis yang besar dalam isu ini, kerana hal ini mungkin hanya timbul pada segelintir pemeluknya sahaja yang tidak merupakan sesuatu yang menggugat kestabilan masyarakat keseluruhannya. Oleh itu, isu ini tidaklah dapat dikaitkan dengan isu kebebasan beragama bagi semua rakyat negara kita sehingga menimbulkan tuduhan seperti yang dilemparkan oleh pihak Amerika Syarikat bahawa kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan beragama.

Kita semua menyedari bahawa isu sensitif seperti isu agama adalah amat mudah dipergunakan untuk menimbulkan konflik yang ada kalanya menjurus kepada pertumpahan darah. Di dalam masyarakat Islam sendiri di sesetengah negara, umat Islam yang menganut satu agama iaitu agama Islam itu pun, kadang-kadang berlaku pertumpahan darah sesama sendiri, semata-mata kerana perbezaan mazhab dan aliran pemikiran mereka. Maka di dalam masyarakat majmuk seperti di negara kita ini, konflik seperti itu akan dengan mudah sekali dicetuskan dengan isu agama yang ditimbulkan tanpa mempunyai sebarang rasa peka terhadap penganut agama lain.

Menyedari perkara inilah juga, maka tuduhan bahawa Malaysia tidak mengamalkan dasar kebebasan beragama menimbulkan andaian bahawa tuduhan itu mungkin mempunyai agenda yang tersembunyi bertujuan memecahbelahkan rakyat yang berbilang agama, dan menimbulkan kekacauan di antara penganut agama-agama itu yang akhirnya akan membawa kepada kehancuran negara ini sendiri.

Oleh itu kita amat bersyukur kerana selama ini kita tetap masih bertahan dan memahami isu ini dengan sebaik-baiknya, sehingga dengan itu kita tidak pernah terjatuh ke dalam perangkap maut yang sengaja dipasangkan untuk kita.

Sebagai rakyat yang bertamadun dan berperadaban, saya percaya rakyat Malaysia akan terus-menerus memahami batas-batas tindakannya, dan memahami prinsip kebebasan yang diberikan kepada mereka, termasuk kebebasan beragama dan kebebasan hidup bersama di dalam masyarakat majmuk. Rakyat Malaysia merupakan rakyat yang praktikal dan pragmatik dalam kehidupan mereka di dalam negara ini, dan tentunya memahami konsep kebebasan yang diberikan kepada mereka, sama ada sebagai rakyat atau sebagai pemimpin. Inilah warisan nenek moyang kita yang kita warisi sekian lama di bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung ini, dan warisan inilah yang sering dicabar dengan hebatnya dari luar dan dari dalam. Bagi orang Islam, panduan berguna dalam hal ini ialah sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebut bahawa sebaik-baik Islam seseorang itu, ialah meninggalkan sesuatu yang tidak kena-mengena dengannya.

No comments: