Wednesday, October 10, 2007

Umat Islam tandus strategi

Jerry Falwell yang menghina Nabi Muhammad dalam program TV Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, iaitu dengan menyifatkan Nabi agung dan terakhir itu sebagai seorang pengganas merupakan salah satu strategi musuh Islam yang ingin mewujudkan kekecohan dalam masyarakat Islam. Ia dilakukan ketika umat dan dunia Islam berada di satu sudut yang amat sempit akibat kepungan musuh secara langsung dan tidak langsung, yang mengambil kesempatan daripada keadaan umat Islam yang amat kritikal pada waktu ini.

Umat Islam sekarang ini diperlakukan bagai hamba abdi di mana-mana sahaja, sama ada dibumi umat Islam sendiri seperti di Palestin dan Iraq, atau di negara-negara lain, terutama di AS sendiri. Sejak akhir-akhir ini kita dapat melihat dan membaca berita-berita tentang penindasan dan kezaliman yang dilakukan sewenang-wenangnya terhadap umat Islam.

Kita tentu berasa sedih dan hampa dengan layanan yang diberikan kepada pemimpin tertinggi kita sendiri di bumi AS, iaitu ketika pemeriksaan ketat ke atas pemimpin-peminpin kita itu, tidak ubah seperti memeriksa seorang yang memasuki negara itu secara haram, atau kerana hendak meminta sedekah daripada mereka, seperti yang diceritakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri kita sendiri.

Hal ini telah cukup menimbulkan rasa kurang senang di hati rakyat Malaysia, kerana perbuatan itu adalah satu penghinaan terhadap ketua dan pemimpin tertinggi negara, sekali gus menghina seluruh rakyat negara yang merdeka dan berdaulat ini.

Perkara yang berlaku ini hanya secebis gambaran sahaja, betapa umat Islam sekarang dipandang negatif dan serong, dilayan dengan buruk, diganggu dan disakiti, serta berbagai-bagai lagi ketidakadilan yang dihadapi oleh umat Islam. Sedangkan seluruh dunia tahu bahawa umat Islam yang boleh dikatakan ganas dan penjahat itu hanyalah segelintir manusia yang boleh dibilang dengan jari tetapi mereka membilangkannya dengan jutaan orang, maka semua umat Islam adalah pengganas dan penjahat, oleh itu semua umat Islam harus dimusuhi dan diperangi.

Maka kini tidak cukup dengan manusia yang bernama Muslim itu sahaja yang seharusnya diperangi dan dilabelkan dengan panggilan pengganas, malah Nabi mereka pun seharusnya dipanggil pengganas dan disifatkan sebagai penjahat. Jaguh mereka kali ini bernama Jerry Falwell, yang buta sejarah dan buta ilmu tamadun manusia, atau mungkin juga celik sejarah dan menguasai ilmu tamadun manusia, namun ia hanya ingin berlakon sebagai seorang yang tidak tahu sejarah, semata-mata kerana ingin mencampakkan bom racun ke atas orang Islam di seluruh dunia yang melebihi angka satu bilion itu. Dan dengan itu kita semua merasai kesakitan yang amat sangat, ditambah dengan perasaan terhina, tercabar, luput maruah dan harga diri.

Tercatat dalam sejarah, bahawa baginda Rasulullah sejak menerima wahyu Allah untuk menyebarkan Islam kepada umat manusia, langkah pertama yang diambil oleh baginda ialah melakukannya secara aman dan damai, secara diplomasi dan toleransi. Islam tidak dimulai dengan kekerasan dan peperangan, sungguhpun latar belakang dan suasana di sekeliling pada masa itu penuh dengan kekerasan dan keganasan, penuh dengan manusia yang bernafsu jahat dan buas. Tetapi baginda mengambil jalan yang lembut dan penuh mesra, walaupun ada ketikanya baginda disakiti, dihina, difitnah, dikata nista dan hampir-hampir dibunuh dengan kejam. Setelah bersabar sekian lama, maka barulah Rasulullah diizinkan mempertahankan diri dengan cara berperang.

Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan perkara ini, seperti ayat 39-40 surah al-Hajj, ayat 190-191 surah al-Baqarah, ayat 36-38 surah al-Taubah, ayat 59-60 surah al-Anfal, ayat 9-10 surah al-Hujurat, ayat 60-62 surah al-Ahzab, ayat 216-217 surah al-Baqarah dan lain-lain lagi. Semuanya menjelaskan kenapa Nabi Muhammad perlu berperang dan bagaimanakah adab berperang serta garis panduan daripada Allah yang harus dipatuhi ketika terpaksa berperang mempertahankan agama, akidah, maruah, negara dan nyawa sendiri daripada ancaman musuh.

Perhatikan satu sahaja pengertian ayat yang tersebut di atas untuk kita memahami perintah Allah kepada Nabi Muhammad yang diizinkan berperang.

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan) iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: ``Tuhan kami ialah Allah.'' Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan sesetengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (umat Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya, dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Berkuasa. Ayat 39-40 surah al-Hajj.

Ayat di atas menjelaskan tentang kesabaran Nabi Muhammad dan para pengikut baginda. Mereka telah ditindas dengan kejam oleh kaum musyrikin di Mekah, sehingga baginda dan para sahabat terpaksa berhijrah ke Madinah dengan segala susah payah dan derita. Namun begitu kaum kafir musyrikin tidak putus-putus mengancam dan menceroboh, melakukan penganiayaan dan kekejaman terhadap orang Islam. Maka akhirnya Allah mengizinkan mereka menghunus senjata untuk mempertahankan diri dan akidah mereka.

Ayat ini juga menjelaskan bahawa jika Allah tidak mengizinkan orang-orang beriman yang dianiyai supaya tampil menentang pencerobohan kaum kafir semenjak zaman nabi-nabi yang lalu hinggalah ke zaman Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad, nescaya akan runtuhlah tempat-tempat ibadat bagi mereka yang beriman itu pada zaman mereka masing-masing.

Dipuji

Jika kita membaca ayat berikutnya dalam surah yang sama, maka kita akan dapat melihat dan mengerti bagaimana umat Islam yang telah diizinkan menentang pencerobohan musuh Islam itu dipuji oleh Allah kerana berjuang menegakkan kebenaran dan sekiranya mereka memegang kuasa nescaya mereka akan menjalankan perundangan Islam dengan sempurna.

Oleh itu telah tercatat dalam sejarah, bahawa ketika kerajaan Islam memerintah, maka orang-orang Nasrani dan Yahudi serta kaum-kaum lain yang ingin hidup secara aman damai, mereka tidak pernah dizalimi dan ditindas. Dalam sejarah ternyata bahawa mereka lebih suka berada di bawah pemerintahan Islam. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada orang-orang Yahudi di bawah kekuasaan Nazi umpamanya.

Maka tidak hairanlah dalam keadaan krisis yang menimpa umat Islam pada hari ini, musuh Islam akan mengambil kesempatan bagi memburuk-burukkan Islam dan umatnya, termasuk Nabi dan Rasulnya sendiri. Pekung yang sekian lama berada di dalam dada mereka, kini telah menemui ruang dan ketikanya untuk diluahkan berhabis-habisan, supaya sekalian umat Islam jatuh dan rebah ke tanah, maka mereka akan berusaha supaya umat itu akan terus tersungkur dan tidak akan bangun lagi.

Seperti yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad, maka dalam menghadapi krisis ini, kita umat Islam seluruhnya mestilah mengikut teladannya, bersabar dan berhikmah tetapi tegas dalam mempertahankan kebenaran, iaitu yang berasaskan ilmu pengetahuan, maruah diri, kekuatan kerohanian dan fizikal dalam semua bidang kehidupan di atas muka bumi ini. Kelemahan kita yang semakin ketara, mengundang penghinaan dan perhambaan. Kejahilan dan kemiskinan kita menyebabkan lebih ramai orang yang akan memijak kita. Dahan yang condong tentulah amat mudah ditindas supaya terus rebah menyembah bumi.

Dalam menghadapi keadaan yang meruncing ini kita tidak seharusnya melakukan sebarang kesilapan, sama ada terhadap orang lain atau sesama kita. Kesilapan segelintir umat kita yang bertindak secara emosi dan menurut hawa nafsu, mengganas dan menunjukkan kekuatan serta kekerasan yang tidak kena pada tempatnya, telah mengakibatkan umat ini seluruhnya menerima padah dan bencana. Sungguhpun kita mengetahui bahawa kadang-kadang kita mempunyai sebab dan justifikasi tertentu, tetapi kesilapan yang kita lakukan ketika kita lemah tidak akan dapat menolong kita untuk mencapai cita-cita kita itu. Lebih bijak lagi jika kita berhikmah dalam mengatur strategi untuk mencapai kemenangan daripada hanya mengorbankan nyawa dan maruah kita, sedangkan cita-cita kita tidak juga tercapai.

Umat Islam hari ini seharusnya mempelajari daripada pengalaman dan sejarah. Malah umat Islam di negara kita ini pun seharusnya cuba-cubalah belajar pengalaman umat Islam di negara jiran kita, atau negara Islam lain. Pelajarilah sejarah dan pengalaman pahit mereka dalam berjuang, berjihad, bertindak secara kekerasan dan keganasan, apakah yang dapat mereka capai dari perjuangan begitu?

Sesungguhnya untuk mengatasi segala kecaman dan penghinaan yang dilemparkan terhadap agama kita, malah terhadap Nabi kita sendiri, kita amat memerlukan strategi dan taktik perjuangan yang tersusun dan teratur. Jika kita hanya tenggelam dalam arus amarah, bengis dan sebagainya, maka semua itu tidak akan dapat memberi kesan yang kita kehendaki dalam membersihkan nama kita dan agama kita. Hal ini tidak bererti kita pengecut atau takut, tetapi inilah maknanya berilmu dan berhikmah, bijak dan berpandangan jauh, satu falsafah pembangunan Islam di negara kita yang telah kita amalkan selama ini dan terbukti cara ini telah membuahkan hasil yang baik.

No comments: