Wednesday, October 10, 2007

Tiba masanya negara-negara Islam menegakkan jati diri dan identiti - Gerakkan ombak kebangkitan

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
DUNIA Islam agak sunyi selepas peperangan Iraq berakhir. Yang terkorban, telah terkorban dan yang menang sedang merayakan kemenangan mereka. Agenda perdamaian antara rejim zalim Israel dan Palestin sedang dalam proses, yang hasilnya masih tidak menentu. Tetapi yang pasti, permainan Amerika Syarikat (AS) tentu akan berjalan seperti biasa, mengikut peraturan dan rencana mereka.

Dengan itu tekanan ke atas dunia Islam akan tetap diteruskan. Umat Islam akan terus-menerus dihambat oleh berbagai-bagai ancaman dan krisis. Maka dalam keadaan inilah kita memerlukan satu gelombang kebangkitan semula Islam yang seterusnya, selepas gelombang kebangkitannya yang pernah berlaku dalam sejarah umat kita.

Pada sekitar tahun 70-an, masyarakat Islam mengalami satu ombak perubahan yang dikenali sebagai ombak kebangkitan semula Islam (Islamic revivalism). Bibit-bibit pertumbuhan pemikiran ini pada umumnya ditimbulkan oleh para belia, termasuk mereka yang berada di Barat. Dalam masa yang singkat, ombak kebangkitan ini telah menghempas pantai dunia Islam umumnya.

Perkembangan ini menekankan tentang perlunya umat Islam kembali berpegang kepada ajaran agama Islam yang menyeluruh dalam semua bidang kehidupan mereka dengan menolak nilai dan budaya Barat yang sebelum ini amat kuat mempengaruhi pemikiran dan tindakan umat Islam akibat penjajahan dan peranan budaya Barat yang mendominasi seluruh masyarakat Islam.

Apabila negara-negara Islam satu demi satu dapat melepaskan diri mereka dari penjajahan Barat, dan bangun sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, maka telah tiba masanya negara-negara Islam menegakkan jati diri dan identiti sendiri, terutama negara Islam merupakan negara yang wujud di sebahagian besar muka bumi ini, dengan penduduk yang besar. Maka dalam keadaan itu, amat wajar dunia Islam kembali mengamalkan ajaran agama dan nilai-nilai moral kerohaniannya.

Gelombang perubahan ini telah mengalami kemarakan yang besar, kerana pada sekitar tahun-tahun tersebut juga telah berlaku peristiwa-peristiwa besar yang menonjolkan agama Islam dan umatnya di mata dunia. Revolusi Iran yang berlaku sekitar tahun 1978-79 yang berjaya menumbangkan pemerintahan gergasinya yang mewakili kepentingan Barat hasil daripada kesepaduan rakyat yang bertindak menggulingkan maharajanya atas nama Islam, telah memberikan impak yang besar tentang kemampuan umat Islam mewujudkan satu perubahan besar dalam politik feudal yang mempunyai kepentingan penjajahan Barat.

Dalam tahun 1973, Mesir mencatat kemenangan ke atas Israel dalam peperangan yang kesekian kalinya berlaku di antara Arab dan Israel di mana kemenangan sentiasa berpihak kepada Israel. Malah peperangan singkat yang berlaku di antara Israel dan Mesir dalam bulan Jun 1967, Mesir dan negara-negara Arab yang lain mengalami kekalahan yang teruk sehingga Baitulmaqdis, Bukit Golan, Gaza dan lain-lain telah jatuh ke tangan Israel.

Kemenangan Mesir dalam tahun 1973 itu, telah memberikan satu keyakinan yang besar kepada Mesir. Kemenangan ini berlaku ketika dunia Islam sedang mengalami semangat juang yang tinggi untuk bertindak sebagai umat terpilih, iaitu umat yang mendukung konsep tauhid dan keimanan yang kuat kepada kuasa Allah subhanahu wa taala. Kemenangan ini disambut dengan teriakan simbolik keislaman Allahu Akbar. Tuhan Yang Maha Besar yang memberikan kemenangan kepada umat Islam ke atas umat Yahudi.

Pada tahun yang sama, iaitu di sekitar tahun 1973, umat Islam yang menghadapi ancaman Barat, telah sepakat memberi ancaman kepada Barat untuk menggunakan minyak sebagai senjata, iaitu dalam tindakan oil embargo mereka. Sekiranya Barat terus mengancam negara Islam, maka negara Islam yang kaya dengan hasil minyak itu akan mengambil tindakan menyekat minyak dari mengalir ke negara Barat, sekali gus menghentikan denyutan jantung Barat yang memerlukan nyawa daripada minyak negara Islam.

Ancaman ini telah memberi kesan yang amat positif kepada negara Islam, kerana Barat sememangnya menyedari tentang kepentingan minyak negara Arab untuk meneruskan pembangunan industri mereka. Ancaman untuk menggunakan minyak sebagai senjata dan tindakan Barat yang berusaha mengelakkannya, telah menimbulkan keyakinan negara Islam tentang kemampuan mereka mencorakkan politik kotor Barat terhadap dunia Islam. Senjata ini amat menggugat kuasa Barat dan sekutunya yang merupakan kuasa gergasi ekonomi dunia.

Demikianlah di antara peristiwa yang berlaku pada tahun-tahun 70-an itu, yang turut menjiwai perkembangan baru masyarakat Islam yang berhasrat untuk membangunkan semula kekuatan umat dan dominasinya terhadap masyarakat dunia. Perkembangan terbaru ini telah memberikan satu semangat baru kepada masyarakat Islam, terutama dalam memahami Islam sebagai satu agama yang lengkap dan menyeluruh, merangkumi urusan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Kebangkitan semula Islam ini telah diperluaskan ruang lingkupnya dengan satu proses yang dikenali sebagai proses mengislamkan segala sistem kehidupan manusia di dunia ini. Proses Islamisasi ini telah berjaya mempengaruhi pemikiran umat Islam dengan hebat, sehingga kerana keghairahan yang melampau daripada golongan tertentu, terutama kalangan orang muda yang agak mentah ilmunya tentang proses ini, mereka telah bertindak secara agak emosional yang membantut proses itu sendiri.

Bagi sesetengah kalangan belia, proses Islamisasi ialah tindakan mengislamkan segala bentuk undang-undang yang ada pada masa itu dalam masa yang segera dan singkat. Terdapat para penduduk Islam di negara Barat umpamanya yang akan bertindak untuk mengislamkan undang-undang sekular Barat itu sendiri. Malah terdapat di kalangan mereka yang tidak mahu lagi tunduk di bawah undang-undang negara tumpangan mereka itu. Demikian juga dalam bidang pendidikan umpamanya, mereka akan segera memisahkan bidang pendidikan moden dengan pendidikan tradisi agama, kerana mereka beranggapan bahawa pendidikan moden, terutama yang berasal dari Barat, merupakan pendidikan sekular yang seharusnya dijauhi dan tidak perlu dipelajari.

Akibatnya, terdapat para pelajar Islam yang tidak mahu lagi mempelajari ilmu-ilmu semasa dan moden seperti sains dan teknologi, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya, kerana menganggap ilmu-ilmu itu adalah bersifat sekular, dan sebagai pelajaran sekular, Islam menolaknya mengikut anggapan dan kefahaman mereka.

Di samping itu terdapat golongan yang mentafsirkan kebangkitan Islam dan keperluan umat Islam kembali kepada agamanya dengan mengehadkan konsep ini dalam bidang lahiriah, iaitu perawakan dan rupa lahir yang seharusnya diubah penampilannya, termasuk muka hidungnya, sehinggalah tentang cara berpakaian dan cara makan minum. Semua itu perlu diubah kepada satu cara yang lebih mendekati kepada ajaran dan nilai Islam.

Kecenderungan ini bagaimanapun tidaklah menjadi kesalahan, dan tidak semestinya dipandang negatif. Malah hal ini menjadi lebih baik sekiranya mereka tidak hanya menonjolkan perubahan lahir ini sahaja dengan meninggalkan perubahan terhadap pemikiran dan minda mereka sendiri, iaitu dengan mengangkat cara berfikir yang lebih global, dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dapat menonjolkan tahap intelek mereka jauh lebih tinggi berbanding dengan orang lain, terutama golongan yang memusuhi mereka.

Kekurangan ilmu pengetahuan dan kesedaran inilah merupakan salah satu faktor yang membantut ombak kebangkitan Islam dan pencapaian yang diharap-harapkan oleh masyarakat Islam ketika gelombang kebangkitan Islam mulai berakar lebih tiga empat dekad yang lalu. Sebaliknya keadaan inilah yang menjadi hambatan hebat kepada umat Islam, terutama ketika Barat dan kalangan yang memusuhi Islam segera mengambil kesempatan daripada kelemahan umat Islam ini, untuk memasang perangkap agar umat Islam sentiasa menjadi mangsa kelemahan dan kemunduran.

Perkembangan yang lebih serius dan telah meletakkan umat Islam pada satu posisi yang amat berbahaya, ialah ketika timbulnya golongan atau anak kebangkitan dan revolusi Islam yang mengharuskan keganasan dan kekerasan untuk dilakukan dalam bertindak terhadap golongan lain, walaupun kalangan umat Islam sendiri. Satu golongan umat yang dianggap menyeleweng daripada fahaman golongan mereka, akan diperangi dengan kekerasan, kerana kekerasan adalah dibolehkan menurut fahaman mereka.

Hal yang sama dapat dilakukan terhadap sesuatu pemerintah yang dianggap tidak Islamik, iaitu pemerintah seperti ini boleh dilawan dan dijatuhkan dengan kekerasan, termasuk menumpah darah atas nama jihad. Sistem tradisi perhubungan di antara rakyat dengan walil-amri mengikut ajaran agama Islam sendiri tidak diambil kira lagi ketika golongan ini menjustifikasikan tindakan kekerasan mereka. Tindakan melalui syura dan penentangan secara beradab dan bermoral sudah tidak dihiraukan lagi dalam keadaan ini, walaupun pemerintah itu mengamalkan sistem demokrasi, dan tidak pula melakukan sesuatu yang terkeluar daripada akidah dan syariah Allah.

Perkembangan yang terakhir inilah menyaksikan kehancuran masyarakat Islam dan mewujudkan krisis moral dan akhlak yang teruk, sehingga imej Islam dan prestasinya telah digembar-gemburkan oleh musuh Islam sebagai umat yang ganas dan barbarik.

Kita tidak menerima panggilan yang mengandungi ejekan dan penghinaan ini terhadap umat Islam dari pihak musuh kita, kerana kita mengetahui bahawa majoriti umat Islam adalah memahami ajaran Islam sebenar, dan masih tetap menjaga kemurnian agama yang mengajar umat manusia supaya bertindak secara berakhlak dan tertib. Oleh itu kita tentulah berasa kecewa apabila musuh kita mengambil kesempatan daripada salah laku segelintir umat Islam itu untuk menjatuhkan hukuman yang tidak setimpal ke atas umat Islam secara menyeluruh.

Oleh itu dalam menghadapi era baru, yang penuh dengan cabaran yang lebih hebat, terutama ketika Barat sedang melakukan berbagai-bagai taktik dan strategi untuk memerangkap kita, maka kita seharusnya lebih berhati-hati dalam memahami ajaran agama kita sendiri yang pada suatu ketika dulu telah menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan tamadun dunia seluruhnya.

Gelombang kebangkitan Islam yang berlaku tiga empat dekad yang lalu seharusnya kita bangunkan semula dalam alaf ketiga ini, terutama dalam menghadapi sebegitu banyak agenda Barat seperti arus globalisasi dan sebagainya, juga dalam menghadapi tekanan politik, ekonomi, sosial, budaya, dan kekuatan tentera yang dikenakan ke atas umat Islam seluruhnya pada masa kini oleh musuh kita. Keperluan kepada Islamic revivalism dalam bentuk dan wajah yang baru amatlah tinggi dan penting pada masa ini.

Bagaimanapun bentuk kebangkitan semula Islam yang baru mestilah diwarnai dengan ilmu pengetahuan, kekuatan sains dan teknologi, kebangkitan ekonomi dan industri yang tinggi. Dan di atas segala-galanya itu mestilah dibangunkan di atas nilai moral dan adab yang tinggi, kekuatan akidah dan kerohanian yang utuh. Sekiranya semua ini dilakukan dengan baik, juga dengan mengambil iktibar daripada kesalahan dan kekurangan pada masa yang lalu, maka cita-cita untuk menegakkan tamadun baru umat Islam, insya-Allah akan dapat dicapai. Kita tidak sanggup mengalami kekecewaan lagi akibat kesalahan dan kegopohan kita sendiri.

No comments: