Wednesday, October 10, 2007

Kenapa Allah tidak kabulkan doa - Hancurkan bala tentera AS dan sekutu yang menceroboh Iraq

WAJAH orang Islam dan pemerintahnya di seluruh dunia sedang diconteng dengan arang yang amat hebat ketika ini. Kekalahan Iraq dalam peperangan dengan gergasi dunia, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya memanglah tidak dapat dielakkan. Yang tidak diduga hanyalah tentang jangka masa peperangan kerana pada mulanya dianggarkan hanya tiga hari untuk AS menguasai kota Baghdad, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Hal ini merupakan satu keajaiban dan rakyat Iraq sebenarnya dapat berbangga dengan ketahanan mereka itu. Namun begitu, peristiwa yang berlaku selepas peperangan dan kekalahan itulah sebenarnya yang amat melukakan hati kita dan semua episod ini menambahkan lagi contengan arang ke muka kita umat Islam seluruhnya.

Kekalahan dan kelakuan orang Iraq selepas peperangan itulah yang menterjemahkan ketidaktamadunan orang Islam yang menjadi mangsa penjajahan baru akibat pencerobohan kuasa besar dunia itu.

Maruah mereka terjejas bukan hanya kerana kekalahan dalam peperangan. Kekalahan itu sememangnya dapat diduga ketika berhadapan dengan AS, tetapi cara orang Iraq menyatakan perasaan dan isi hati mereka dengan beberapa kelakuan ganjil ketika menyambut penceroboh dan penjajah yang membunuh anak-anak dan orang awam yang tidak berdosa. Begitu juga perilaku mereka yang tidak berdisiplin seperti mencuri dan merompak, memecah rumah, pejabat, sehingga tempat bersejarah seperti muzium yang mengandungi segala koleksi yang amat berharga turut menjadi korban kerakusan nafsu orang-orang yang mengalami kekalahan perang itu.

Maka tingkah laku inilah yang menjadi tontonan dunia umumnya kerana ia dibiarkan berlaku dengan terang-terangan tanpa sebarang kawalan dan pencegahan. Ia seolah-olah sengaja hendak diberitahu kepada dunia bahawa inilah gambaran sebenar kelakuan dan keadaan umat Islam yang diajar oleh agamanya agar berdisiplin dan bermoral, menjaga harta orang, beramanah terhadap kepunyaan orang lain, tidak merompak, tidak mencuri dan berbagai-bagai lagi ajaran makruf. Tetapi lihatlah kelakuan dan tingkah laku mereka ketika mendapat peluang untuk bertindak, maka mereka akan bertindak tanpa disiplin, tanpa tanggungjawab dan tidak lagi mempedulikan ajaran agama.

Mesej yang hendak disalurkan kepada dunia oleh pihak penjajah dan penceroboh ialah untuk menonjolkan bahawa inilah umat yang tidak bertamadun! Dengan itu kita semua menerima percikan yang amat memalukan ini.

Bagaimanapun itulah gambaran dan manifestasi kemunduran dan kerosakan moral yang dialami oleh sebahagian besar umat Islam pada hari ini iaitu manifestasi kemiskinan, kelaparan, kekurangan ilmu pengetahuan, keruntuhan moral, tidak berdisiplin, kelemahan kepemimpinan, nafsu dan sebagainya yang menjadi tekanan dan penyakit umat Islam sekarang.

Kembali kepada tajuk kekalahan Iraq di dalam peperangan ini, ramai orang yang mencadangkan kepada saya supaya semasa peperangan sedang berjalan dulu, saya menulis meminta semua orang Islam, masjid dan surau mengadakan sembahyang hajat, berdoa, dan membaca qunut nazilah dalam rakaat kedua sembahyang subuh dan sembahyang Jumaat agar Allah menolong Iraq mengalahkan AS dan tali barutnya, Britain dan Australia.

Saya menjawab bahawa sememangnya hal ini menjadi amalan umat Islam di seluruh negara dan telah dilaksanakan. Kerajaan pun telah menunjukkan teladan dalam hal ini dan mengeluarkan arahan kepada semua kalangan masyarakat Islam supaya berdoa agar Allah menolong saudara kita umat Islam di Iraq.

Kita tidak mampu menolong rakyat Iraq dengan mengangkat senjata kerana kita terlalu lemah dan terkongkong dengan undang-undang. Kita juga tidak dapat menolong melalui saluran diplomasi dan politik kerana AS dan para penceroboh itu bukan merupakan manusia bertamadun yang mahu menghormati undang-undang dan peradaban dunia.

Oleh itu, yang dapat kita lakukan hanyalah berdoa dan memohon kepada Allah agar dapat meringankan penderitaan umat Islam di Iraq. Semoga Allah menimpakan kesusahan dan kemalangan ke atas askar para penceroboh dengan bencana alam, tembakan sesama sendiri, tertutup mata mereka daripada melihat mangsa yang tidak berdosa atau gangguan terhadap kecanggihan senjata dan peralatan perang mereka.

Itu sahaja yang dapat kita lakukan, kerana di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Dia berkuasa menolong orang yang dizalimi kerana pembunuhan dan penzaliman. Maka pertolongan inilah yang kita harapkan.

Persoalannya, kenapakah Allah tidak menolong Iraq menghancurkan bala tentera AS dan sekutunya itu? Tidak cukupkah lagi doa orang Islam seluruh dunia yang berjumlah lebih daripada satu bilion itu agar Allah menolong Iraq? Kenapa Iraq kalah juga? Kenapa orang Islam kalah berperang dengan orang bukan Islam yang zalim itu?

Persoalan ini amat sukar dijawab, terutama jika tidak merujuk kepada pengajaran al-Quran dan pengajaran Rasulullah.

Kita semua mengetahui bahawa Allah berkuasa melakukan segala-segalanya, iaitu ketika Allah berkehendakkan sesuatu itu berlaku, maka ia akan berlaku seperti selalu kita baca di akhir surah Yasin. Jadi kenapakah dalam hal peperangan ini keadaan itu tidak berlaku?

Dalam hal ini kita seharusnyalah meyakini kekuasaan Allah dalam segala-segalanya. Segala peraturan alam dan semesta maya ini adalah ciptaan Allah. Semuanya dilakukan dalam peraturan dan sunahnya yang tidak dapat dirombak dan dirobah kecuali dengan izin penciptanya, iaitu Allah yang maha kuasa.

Undang-undang tabie adalah ciptaan Allah seperti api membakar, air dan oksigen memberikan kehidupan, benda tajam dapat memotong sesuatu, peluru dapat menembusi kulit manusia dan sebagainya. Maka dalam peperangan ini sesiapa yang mempunyai kelengkapan yang lebih canggih, ia akan berjaya memperoleh kemenangan terutama ketika penggunanya lebih terlatih, lebih berani, lebih berdisiplin dan bersedia umpamanya.

Takut mati

Sebaliknya mereka yang hanya mempunyai senjata lama, atau yang pengecut dan takut mati, lari daripada peperangan, maka mengikut peraturan dan hukum adat, ia akan kalah. Inilah undang-undang alam yang telah ditentukan Allah dan ia berkuat kuasa ke atas semua kecuali ketika Allah berkehendakkan hal itu berlaku sebaliknya. Allah berkuasa melakukannya seperti berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim ketika dia dicampakkan ke dalam unggun api yang besar bertujuan untuk membakar dan membinasakannya. Maka ketika itu Allah memerintahkan api itu supaya menjadi sejuk dan tidak membinasakan Nabi Ibrahim, lalu baginda pun terselamat daripada dimamah api yang panas.

Maka dalam situasi ini Allah berkuasa untuk melakukannya kerana semua peraturan dan undang-undang alam ini adalah ciptaan-Nya. Nabi Allah Ibrahim telah melakukan segala-segalanya dengan penuh tabah dan berani kerana menjalankan amanah Allah dan perbuatannya itu adalah kerana Allah, maka ketika keadaan mendesak, Allah akan menyelamatkannya.

Berdasarkan hal ini, maka sekiranya umat Islam ingin berjaya dan menang dalam peperangan, maka segala persiapan dan kekuatan mestilah mengatasi pihak musuh. Amalan dan perbuatan juga mestilah berada dalam kerangka ajaran Allah dan rasul-Nya. Kekuatan senjata dan tenaga, kecanggihan peralatan dan penguasaan teknologi peperangan seharusnya lebih canggih dan maju daripada musuh dan di atas segala-segalanya itu, kekuatan iman dan keyakinan kepada Allah mestilah disertai dengan bersungguh-sungguh dan penuh amanah, maka pada ketika itu doa dan permohonan yang diminta kepada Allah, insya-Allah akan diterima-Nya.

Islam merupakan gabungan di antara iman dan amal soleh, ilmu dan takwa, niat dan perbuatan, doa dan usaha, bukan hanya duduk dan berdiam diri mengharapkan pertolongan Allah tanpa ikhtiar.

Dalam realiti umat Islam pada hari ini, kita seharusnya bertanya diri kita sendiri apakah kita telah melaksanakan tugas kita sebagai hamba dan khalifah Allah dengan sebaik-baiknya?

Apakah kita telah menjadi umat yang terbaik seperti diperintahkan Allah, iaitu yang mempunyai segala kekuatan dan ketinggian sehingga kita menjadi umat yang berpegang teguh kepada agama yang amat tinggi dan tidak ada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya?

Kita selalu membaca ayat al-Quran dari surah al-Ra'd, ayat 11 yang menjelaskan bahawa Allah tidak akan mengubah sesuatu yang ada pada sesuatu kaum itu kecuali kaum itu berusaha mengubah segala sesuatu yang ada di dalam diri mereka.

Fahamkah kita maksud ayat ini yang sebenarnya dalam konteks persaingan dunia dan manusia moden pada masa ini? Mampukah kita mentafsirkan ayat ini dengan sebaik-baiknya dalam proses dugaan dan cabaran yang dihadapi umat Islam ketika berhadapan dengan tekanan globalisasi yang dianjurkan oleh Barat dan pencerobohan bertalu-talu yang dilakukan ke atas umat kita di seluruh dunia pada hari ini?

Kita tidak seharusnya menyesali nasib umat kita kerana selama ini kita telah amat lama dibuai oleh rasa sombong dan taksub kita sendiri. Kita juga telah didodoikan oleh nyanyian sumbang pihak musuh kita agar melupakan dunia dan kesenangannya ini, maka kita pun segera melelapkan mata daripada melihat segala perubahan dan kemajuan dunia yang sedang dikecapi oleh umat lain.

Sebab itulah di dalam tulisan saya minggu lalu, telah saya tegaskan, bahawa kita memerlukan satu generasi baru yang mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang mantap dan bijaksana yang dapat memahami pertelagahan dan sepak terajang para pahlawan di luar dunia kita. Kita perlukan generasi yang lebih berpendidikan dan berdisiplin, yang lebih mementingkan kepentingan umat dan agamanya daripada kepentingan diri dan kekuasaan serta kekayaan sendiri.

Sekiranya kita berjaya mewujudkan generasi baru yang benar-benar memahami tasawur Islam yang sebenarnya disertai dengan agenda yang strategik dan mantap, maka pada masa itu tamadun dan ketinggian umat Islam akan dapat dibangunkan, yang bererti kita telah berusaha melaksanakan segala perintah Allah seperti yang dikehendaki-Nya. Maka dengan segala ikhtiar dan usaha ini, segala doa dan permohonan kita kepada Allah insya-Allah akan dimakbulkan, bukan doa dan harapan yang dipohonkan tanpa usaha dan amal.

1 comment:

talibramli said...

Peperangan di Iraq adalah menggunakan strategi penakut Amerika dan Israel.
Ekonomi di sekat.Selepas 10 tahun barulah Iraq diserang. Bila diserang dengan mudahnya mereka menang walhal Iraq tidak ada senjata pemusnah.tidak ada jet pejuang.kerana Iraq sudah lemah dari segi kewangan.
Begitu juga Iran sekiranya diserang.Sekarang mereka mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran.Mengapa mereka mahu menyerang negara tanah anbiya dahulu?
1st mereka mahu menguasai bahan utama di dunia iaitu minyak
2nd mereka mengambil kesempatan ke atas perbalahan umat islam disana seperti syiah dan sunnah.hamas dan fatah
3rd kurangnya ilmu pengetahuan
4th mereka mahu meruntuhkan Kaabah.
5th mereka mahu menjatuhkan Islam kerana asal Islam disana.
6th Mereka mahu melindungi Israel
7th mereka mahu tujuan sebenarnya freemason dijalankan iaitu mendirikan semula istana King of Solomon, sekiranya Iran, Iraq dan Afghanistan dikuasai maka senang lah kerja mereka dan tanpa halangan.