Wednesday, October 10, 2007

Segerakan kajian bangsa Eropah

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM


ORANG Barat terkenal dengan segala kajian dan penyelidikan yang mereka jalankan untuk semua perkara. Mereka mengkaji sains dan mencipta teknologi, menjelajah ke angkasa lepas dan mencipta pengangkutan awam dan tentera, termasuk mengkaji pemikiran dan sikap manusia. Dalam bidang kajian ini, mereka mengkaji juga segala sesuatu yang melibatkan orang-orang Timur, dari segi budaya dan bahasanya, sehingga kepada sistem kepercayaan agama dan adat- istiadat mereka. Kajian ini telah dijalankan sejak beberapa lama dulu, iaitu yang dikenali sebagai kajian ``ketimuran'' atau oriental studies.

Baru-baru ini kita telah mendengar daripada pemimpin negara tentang sejarah ringkas bangsa Eropah dengan segala agenda dan strategi mereka untuk menguasai fizikal dan mental umat manusia di seluruh dunia. Mereka agak berjaya dalam menguasai bangsa-bangsa di dunia, khususnya negara-negara membangun, iaitu dengan terlaksananya beberapa perubahan baru dalam iklim dunia yang telah menjadi semakin sempit ini. Mereka telah dapat mengembangkan sayap penjajahan ekonomi dan industri mereka dengan dasar globalisasi dengan kuasa yang dipaksakan ke atas negara membangun. Mereka juga berjaya menyuntik racun ke dalam benak para pemerintah negara tersebut, termasuk negara-negara Islam yang kaya, sehingga para pemerintah itu merasakan bahawa Baratlah tempat mereka bergantung, dan Baratlah yang menjadi kekasih hati mereka seumur hidup.

Cabaran

Sebenarnya hal ini telah disedari oleh ramai pemimpin dunia, malah para sarjana dalam negara-negara membangun sering membicarakan hal ini tetapi tidak ramai yang bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Para pemimpin negara-negara membangun pula tidak berdaya menyuarakan rasa gelisah tentang penindasan ini, kerana tidak banyak negara itu yang bebas dan dapat bersuara dengan lantang dalam hal ini disebabkan oleh beberapa tekanan dan hambatan yang mereka hadapi.

Oleh itu saya rasa amatlah wajar bahawa negara kita mengambil daya usaha bagi mengkaji pula pemikiran, taktik dan tindakan Eropah dan Barat, atau occindental studies untuk benar-benar memahami tindakan fizikal dan psikologi mereka ke atas kita, budaya dan cara pemikiran mereka serta perubahan persekitaran dan sikap yang mempengaruhi segala tindakan mereka.

Dalam kajian ketimuran yang mereka jalankan selama ini, para orientalis telah banyak mengeluarkan hasil tulisan dan kajian mereka yang ternyata telah diselewengkan sebegitu rupa, terutama untuk mengelirukan pandangan umum, termasuk orang-orang Timur sendiri tentang sejarah dan sosiobudaya kaum dan umat yang mereka fokuskan dalam kajian mereka.

Kajian ketimuran juga merangkumi pengkajian tentang agama Islam, Nabi Muhammad s.a.w., al-Quran dan ilmu-ilmu agama Islam, termasuk juga ilmu bahasa dan sastera Arab. Pengkajian mereka amat mendalam kerana mereka bijak menggunakan rujukan yang terdapat begitu banyak di perpustakaan yang terletak di negara mereka sendiri. Maka dalam bidang ini juga mereka mempunyai kesempatan untuk mengemukakan kajian mereka dalam bentuk yang begitu ilmiah, tetapi dalam banyak hal terdapat rumusan yang menyeleweng dan terkeluar dari fakta ilmu yang sebenarnya dari perspektif agama.

Keadaan menjadi bertambah serius apabila pengkaji yang terdiri daripada orang Islam sendiri sering amat lumpuh untuk melakukan kajian balas dan mematahkan penyelewengan yang ditonjolkan dalam hasil cipta mereka.

Fakta tentang sejarah Nabi Muhammad umpamanya, sering membawa kepada pentafsiran yang negatif dari perspektif mereka. Nabi Muhammad dituduh sebagai seorang yang terlalu kuat mengikut nafsu syahwatnya kerana mengahwini ramai wanita. Demikian juga terdapat tulisan mereka yang mengatakan bahawa baginda telah mengamalkan penderaan terhadap kanak-kanak, apabila baginda mengahwini Aisyah ketika umurnya masih kanak-kanak.

Dari segi yang lain baginda juga dituduh merampas isteri anak angkatnya Zaid, ketika baginda mengahwini bekas isteri Zaid.

Hal-hal begini mereka sebarkan melalui berbagai-bagai media, termasuk media elektronik, khususnya Internet, yang dibaca oleh jutaan umat manusia, termasuk anak-anak kita sendiri. Bagi yang kurang ilmu pengetahuan, maka dakyah yang disebarkan amat mudah sekali mempengaruhi pemikiran mereka, dan dalam masa yang sama memperkecilkan keyakinan mereka kepada Nabi akhir zaman itu, malah kepada agama Islam sendiri.

Maka dalam hal inilah, para sarjana Islam seharusnya lebih mengetahui bagaimanakah cara untuk bertindak balas terhadap kekeliruan yang ditimbulkan itu, iaitu dengan memberikan penjelasan yang terang dan meyakinkan dari perspektif Islam sendiri. Bagi orang yang mempelajari sejarah dan budaya semasa pada zaman baginda Rasulullah, sebenarnya perkahwinan baginda membawa banyak mesej yang menjelaskan tentang hikmah dan rahsia tuntutan masyarakat dan umat ketika itu. Baginda mengahwini wanita yang pernah menjadi isteri anak angkatnya bukanlah kerana mengikut nafsu, tetapi mengandungi banyak pengajaran untuk dilakukan oleh umatnya yang terkemudian, berdasarkan perkembangan yang berlaku dari masa ke masa.

Baginda dalam kehidupan kekeluargaan dan rumah tangga telah mengamalkan dasar keadilan dan kemanusiaan yang amat unggul seperti diajarkan oleh Allah kepada baginda. Perkongsian hidup dengan isteri baginda merupakan satu ukuran kestabilan kehidupan keluarga dari segenap sudut kehidupan, sama ada fizikal, kerohanian, kebendaan, ketenteraman dan peranan keluarga sebagai pusat ilmu dan kesopanan. Di samping itu banyak rahsia dari segi agama dan budaya yang tersembunyi dalam kehidupan kekeluargaan baginda, dan perkahwinan yang tidak mungkin difahami dengan baik kecuali dengan merujuk kepada sumber al-Quran dan sunah baginda sendiri serta tradisi dan budaya setempat pada ketika itu. Hakikat ini dapat dipelajari ketika orang membaca sejarah hidup baginda ketika mengahwini Khadijah, Aisyah dan wanita yang lain.

Hal-hal begini memerlukan satu agenda penyelidikan yang rapi, iaitu dijalankan dengan mengikut metodologi kajian yang baik, bersifat ilmiah dan bersistematik sehingga meyakinkan khalayak dengan hujah-hujah yang rasional dan diterima akal, di samping membawakan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah. Pendekatan sarjana Islam yang sering hanya berhujah dengan al-Quran dan hadis tanpa memberikan pentafsiran yang lanjut tentang hujah itu, agak sukar difahami oleh orang awam pada masa kini. Menganalisis al-Quran dan hadis secara saintifik merupakan satu jalan yang amat baik untuk mengemukakan satu fakta ilmu atau sejarah bagi masyarakat moden sekarang ini.

Oleh itu saya beranggapan bahawa cadangan untuk mengkaji dan menyelidik bangsa Eropah dari segenap aspeknya merupakan cadangan yang amat konkrit dan sesuai dengan peredaran zaman ketika ini. Kalau selama ini mereka sahaja yang mengkaji tentang orang Timur, memahami cara berfikir dan cara hidup serta agama orang Timur, maka telah tiba masa kita pula mengkaji budaya, pemikiran, cara hidup dan segala kemelut yang wujud dalam segala tindakan dan mentaliti mereka.

Strategi

Niat buruk yang sering disembunyikan dalam segala tindakan mereka seharusnya didedahkan dengan seluas-luasnya untuk difahami oleh awam, sekali gus dapat memberi pelajaran kepada kita, terutama dalam menyusun strategi kita dalam menghadapi cabaran itu dan berusaha mengatasinya.

Namun begitu, segala hasil kajian orientalis yang memberi manfaat dari segi keilmuan yang sejati haruslah diambil dengan senang hati, kerana di antara para orientalis, terdapat mereka yang benar-benar ikhlas untuk mengkaji dan mengeluarkan perbendaharaan ilmu yang terdapat dalam agama kita, termasuk segala hikmah dan warisan ilmu Islam yang amat luas itu.

Bagaimanapun oleh kerana kita membicarakan isu ini dalam konteks zaman moden sekarang, iaitu ketika umat manusia telah berubah corak menjadi umat yang tamak haloba, ganas dan bersifat jahat, serta mempunyai sikap individualisme yang melampau, maka kajian tentang budaya dan kepercayaan orang lain, sering membawa mereka kepada satu matlamat, iaitu memburuk-burukkan orang lain, atau mempunyai sifat antimasyarakat lain.

Hal ini terbukti ketika proses teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah sampai ke kemuncak ketinggiannya, maka golongan yang menguasai teknologi tersebut akan menggunakan kesempatan ketinggian ilmu itu untuk menggunakannya bagi memenuhi tujuan nafsu dan niat buruk mereka.

Satu mikrocip halus yang digunakan pada hari ini telah cukup memadai untuk enam bilion penduduk dunia mendapatkan maklumat dalam bidang apa sahaja yang mereka mahu. Mereka boleh membaca, melayari laman web, berutusan, bersidang dan sebagainya dengan penggunaan alat teknologi yang canggih itu. Mereka juga boleh merujuk kepada ribuan buku dalam Internet, kerana terdapat perisian Internet yang mengandungi seluruh buku di dalam sebuah perpustakaan yang besar. Mereka hanya menggunakan hujung jari, tanpa perlu melawat perpustakaan itu secara fizikal, untuk mengkaji dan membaca. Saya tertanya-tanya apakah ramai orang Islam yang mengetahui perkara ini dan menggunakan kesempatan begini?

Akhir-akhir ini, atau dalam masa beberapa dekad yang berlalu, terutama sejak kejatuhan komunisme dan kuasa besar Soviet Union yang berperang dingin dengan kuasa besar Amerika, mereka mempunyai cara yang amat canggih untuk memerangi Islam iaitu ketika orang Barat menggunakan media cetak dan elektronik dengan seluas-luasnya untuk menyuarakan pandangan dan pendirian mereka kepada dunia seluruhnya. Media telah menjadi satu senjata yang amat tajam dan luas penggunaannya untuk digunakan dalam bentuk positif atau negatif.

Media Barat telah mencapai kejayaan yang agak tinggi dalam mencorakkan pandangan umum dunia seluruhnya tentang dakyah mereka yang menggambarkan Islam dalam imej buruk, iaitu digambarkan sebagai agama yang mengajar umatnya berlaku ganas, anti-Barat, tidak menghormati wanita dan hak asasi manusia, tidak bersikap toleransi, dan berbagai-bagai sifat buruk lain yang melibatkan gambaran negatif Islam dan umatnya dalam kepelbagaian bidang kehidupan, termasuk politik, ekonomi, sosial, agama dan sebagainya.

Maka dalam konteks perkembangan inilah, kita, khususnya umat Islam, tidak seharusnya lagi berdiam diri berpeluk tubuh dan menjadi penonton sahaja terhadap segala senario yang berlaku di hadapan kita.

Kita perlu menyusun langkah dan maju ke hadapan. Sekiranya bangsa Eropah dan Barat telah berusaha menggunakan segala peralatan teknologi moden, dan menggunakan segala kekuatan minda dan pemikiran mereka, termasuk kekuatan pertahanan dan persenjataan mereka menentang segala sasaran manusia yang mereka anggap sebagai ``musuh'' mereka, maka umat Islam seharusnya melakukan perkara yang sama untuk mempertahankan maruah dan kehormatan mereka sendiri.

Oleh itu segala cadangan, termasuk untuk mengkaji kemajuan dan kemunduran bangsa Eropah, membaca segala yang tersurat dan tersirat di belakang kepala dan minda mereka, haruslah diusahakan dengan segera, dan komitmen yang diberikan oleh kerajaan itu hendaklah segera dilaksanakan sebelum perkara ini menjadi sejuk dan malap. Kali ini kita mestilah bersikap serius, bukan bersikap bermusim dan mencuri kesempatan seperti sering berlaku dalam masyarakat kita.

No comments: