Friday, June 8, 2007

Manfaatkan anugerah yang disediakan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KADANG-kadang manusia hanya mempunyai peluang untuk seketika sahaja dalam hidupnya. Oleh itu apabila peluang terbuka itu tidak dipergunakan dengan sebaik-baiknya, maka mungkin ia akan terus terlepas. Sebab itulah al-Quran banyak sekali memberikan peringatan kepada kita tentang segala kemudahan daripada kejadian yang disiapkan untuk kita oleh Allah s.w.t. supaya kita sentiasa memanfaatkannya.

Satu perkataan penting yang sering dipergunakan di dalam al-Quran yang menjurus ke arah hal ini ialah sakhkhara. Kata kerja sakhkhara ini sering diterjemahkan sebagai memudahkan atau menundukkan dan sebagainya. Ia membawa pengertian bahawa Allah s.w.t. telah menyediakan sesuatu untuk dipergunakan oleh manusia. Allah s.w.t. menjelaskan tentang segala kemudahan dan nikmat yang disediakan-Nya untuk dimanfaatkan oleh manusia dengan sebaik-baiknya.

Kalau kita perhatikan dengan teliti maka di dalam surah Ibrahim sahaja terdapat beberapa ayat, iaitu ayat 32 dan 33, kemudian di dalam surah al-Nahl ayat 12 dan 14 dan di dalam surah-surah lain, di mana Allah s.w.t. menjelaskan tentang hal ini, iaitu bagaimana Allah s.w.t. telah menjadikan alam ini yang terdiri daripada sungai, matahari, bulan, malam, siang, lautan, bukit bukau, langit dan bumi, dan sebagainya. Semuanya ini merupakan kejadian buana untuk manusia mengambil manfaat dan menambahkan ilmu pengetahuan dengan mengkajinya, seterusnya manusia akan menjadi lebih beriman dengan kekuasaan dan kebesaran Allah hasil daripada ilmu pengetahuan yang diperolehnya itu.

Mesej al-Quran dalam hal ini ialah mengingatkan manusia agar sentiasa mengambil sikap yang menyahut segala sesuatu yang berada di sekelilingnya, yang tersedia untuk diperiksa dan dipergunakannya untuk kebaikan mereka sendiri.

Mesej inilah yang tercetus ketika saya menghadiri dan mengambil bahagian dalam Seminar Pembangunan Ummah yang dilangsungkan di Johor Bahru pada 19 dan 20 Mei lalu. Seminar tersebut antara lain mendengar bahawa segala prasarana dan kemudahan dalam pelbagai bidang yang disediakan kepada rakyat negara kita amatlah banyak sekali, termasuk dalam konteks pembangunan agama dan umatnya. Maka peluang dan kemudahan ini seharusnyalah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, kerana peluang seperti ini mungkin tidak akan terbuka lama.

Prasarana teknologi maklumat dan komunikasi, peningkatan ekonomi dan kehidupan material, kemudahan berdakwah dan beribadah, pendidikan dan bidang ilmu pengetahuan, agenda menghapuskan kemiskinan dan buta huruf, dan berbagai-bagai peluang dan kemudahan lain amat luas terbuka di hadapan kita untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak. Maka yang diperlukan ketika ini ialah bagaimana seharusnya kita memahami dan merebut peluang daripada kemudahan itu dengan bersungguh-sungguh. Keterbukaan minda dan sikap yang positif amatlah penting ketika ini, supaya segala yang terhidang itu tidak dipandang dengan minda yang tertutup dan sikap yang negatif.

Prasarana teknologi maklumat dan komunikasi yang disediakan dalam Koridor Raya Multi Media (MSC) merupakan peluang keemasan yang terbuka luas di hadapan orang Islam dalam merangka dan menyebar luaskan maklumat dan ilmu pengetahuan Islam kepada dunia seluruhnya.

Peluang ini tentulah boleh dipergunakan untuk memprojekkan ajaran dan nilai Islam untuk seluruh umat manusia secara amat berkesan sekali. Tetapi yang dipergunakan oleh segelintir umat kita daripada kemudahan ini nampaknya lebih menuju kepada pandangan yang negatif tentang agama dan umatnya.

Dalam seminar tersebut timbul juga isu pendidikan dengan segala permasalahannya di kalangan pelajar Islam mulai daripada kualiti kesarjanaannya sehingga ke persoalan pinjaman pendidikan yang dirasakan amat membebankan. Dalam konteks ini banyak perkara yang sebenarnya tidak difahami tentang persoalan yang dibicarakan itu. Seperti yang dijelaskan oleh seorang pembentang di seminar tersebut, bahawa persoalan sekarang adalah sikap dan tanggungjawab pelajar terhadap masa depannya sendiri dan peluang yang seharusnya direbut dengan cepat.

Kemudahan untuk belajar amat banyak disediakan. Pertolongan kewangan dan bantuan lain telah dihulurkan dengan agak mewah kepada mereka. Kemudahan prasarana dan bangunan fizikal dan sumber tenaga manusia untuk mengendalikan institusi pendidikan itu telah dibangunkan dengan sebaik-baiknya. Malah dari peringkat rendah dan menengah, perhatian yang amat besar telah diberikan kepada para pelajar, khususnya dari luar bandar yang cuba dibawakan ke bandar, ke dalam asrama yang disediakan dengan segala kemudahan yang wajar.

Perbelanjaan untuk seorang pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menelan ribuan ringgit bagi setahun, malah pelajar sains dan teknologi, perubatan dan kejuruteraan, perbelanjaannya berlipat ganda, mungkin hampir ratusan ribu dibelanjakan untuk mengeluarkan seorang siswazah dalam bidang yang mahal ini. Namun seorang pelajar IPT khususnya IPTA hanya membayar kadar yang amat minimum setiap tahun. Setiap orang pelajar IPTA boleh bertanya diri sendiri berapa banyakkah wang yang dibayarnya pada setiap tahun sebagai yuran pengajian dan peperiksaan. Maka, sekiranya belanja keseluruhan pelajaran mereka di universiti menjangkau puluhan ribu maka siapakah yang menanggung baki bayarannya itu?

Bagaimanapun hal ini tidaklah perlu dipertikaikan, kerana sememangnya telah menjadi kewajipan pemerintah untuk menjamin bahawa rakyatnya berpeluang mendapat pendidikan yang baik. Cuma yang harus dipersoalkan dalam konteks ini bagaimanakah sikap kita dalam merebut peluang yang telah terbuka dengan luasnya ini untuk kita manfaatkan, khususnya para pelajar Melayu yang telah dimanjakan sebegitu rupa selama ini.

Apakah kita benar-benar menyedari bahawa peluang ini benar-benar wujud di hadapan kita? Dan apakah kita sedar bahawa peluang ini mungkin tidak akan bertahan lama sekiranya tidak kita rebut sekarang ini? Kajilah kesan positif Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) kepada para pelajar Melayu. Renungkan juga dasar pemberian biasiswa dan kuota kemasukan ke IPTA yang dijalankan selama ini. Semuanya ini untuk siapa?

Isu ini merupakan satu isu sahaja bagaimana peluang yang telah terbuka di hadapan kita seharusnya kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Seperti peluang pendidikan, maka demikian juga peluang dalam MSC, bidang perniagaan, agenda agama, bahasa, pertanian, perumahan, pekerjaan dan sebagainya.

Semuanya ini merupakan penyediaan prasarana dan kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan oleh kita semua. Hanya kita sahaja yang dapat menentukan sikap dan agenda kita untuk merebut peluang dan kemudahan yang telah disediakan itu. Pihak yang menyediakan kemudahan dan peluang tentunya tidak akan cuba mengajar kita lagi bagaimana kita seharusnya menyusun program dan langkah untuk merebut peluang itu.

Rasulullah s.a.w. pun telah mengingatkan kita tentang lima perkara yang harus direbut sebelum tiba lima perkara lain yang akan melenyapkan segala harapan untuk merebut peluang yang disediakan itu. Isunya sekarang sampai bilakah kita orang Melayu dan orang Islam harus menunggu untuk merebut segala kemudahan dan peluang yang ada di hadapan kita? Adakah kita akan menunggu sehingga ke hari kiamat?

No comments: