Friday, June 8, 2007

Ajaran sesat didorong nafsu seks

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KOLEJ Universiti Islam Malaysia (KUIM) menerusi seminarnya pada 15 dan 16 September lalu memilih tajuk Ke Arah Pembasmian Kebatilan Dalam Ajaran Kebatinan sebagai temanya.

Puluhan ajaran sesat telah dibicarakan, termasuk ajaran sesat yang berlaku di Singapura, Indonesia dan Brunei.

Perbincangan tertumpu kepada penyelewengan akidah yang jelas dan terang. Ajaran sesat itu benar-benar bercanggah dengan akidah Islam dan membawa kepada syirik sekiranya diamalkan.

Penyelewengan akidah yang membawa kepada syirik itu memanglah seharusnya dibicarakan secara berterusan, kerana nampaknya daripada pendedahan yang dibuat di dalam seminar ini ternyata bahawa orang Melayu di rantau kita ini amat mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran agama yang sebenarnya.

Timbul sahaja sebarang ajaran yang menyimpang daripada ajaran agama yang sebenarnya, maka akan terdapatlah pengikutnya, walaupun kadang-kadang ajaran sesat itu amat dangkal dan amat mencabar minda serta pemikiran manusia.

Dalam konteks inilah nampaknya betapa kejahilan dan sentimen manusia sering memainkan peranan yang amat besar yang membawanya kepada mempercayai sesuatu yang karut dan tidak masuk akal.

Kalau orang Islam mempunyai ilmu dan dapat berfikir dengan secara rasional pula, maka saya fikir orang-orang seperti ini tidak akan mudah disesatkan oleh sesiapa.

Ketiadaan ilmu dan ketidakmampuan berfikir inilah yang mendorong wujudnya ajaran-ajaran sesat dan timbulnya jaguh-jaguh yang sering mendakwa boleh memberikan ilmu kebal, membuka pintu syurga secara cepat dan mudah, menyembuhkan segala penyakit dengan hanya membaca jampi serapah dan sebagainya.

Saya mendapat kesan bahawa ajaran sesat sering juga dihubungkan dengan sifat tamak haloba kebendaan dan nafsu seks manusia. Para pengajar dan pengembang ilmu kebatinan yang menyeleweng sering mengaut keuntungan wang dan benda yang banyak. Para pengikut setianya yang merasa selamat dan dilindungi oleh wira-wira pujaannya akan bersedia berkorban wang dan harta untuk para gurunya itu.

Mereka akan menjadi amat pemurah dengan janji-janji yang menyelinap masuk ke dalam hati nurani mereka, iaitu mereka berada di dalam satu kumpulan yang suci dan kudus.

Di samping itu terdapat para guru yang mendapatkan balasan seks daripada para pelajarnya, atau mereka ramai-ramai berkongsi menyahut kegemaran jantina ini setelah lupa diri dan lalai dalam zikir dan ratib sesat mereka secara bercampur lelaki dan perempuan.

Dorongan kebendaan dan nafsu jantina ini tentulah merupakan ajakan-ajakan yang amat besar pengaruhnya kepada manusia biasa yang sememangnya mengintai peluang untuk bersukaria dan menikmati kehidupan kebendaan yang mewah.

Bagaimanapun, saya rasa pandangan pembentang kertas kerja dari Singapura mempunyai kebenarannya, iaitu cabaran sebenarnya yang dihadapi oleh orang Islam, terutama di negaranya sendiri, ialah cabaran ideologi yang meresap masuk ke dalam pemikiran umat Islam sehingga mengelirukan kefahaman mereka tentang Islam sebagai sistem hidup lengkap, iaitu yang menyentuh tasawwur atau world view mereka tentang ajaran Islam di dalam ibadat, akidah dan nilai akhlaknya.

Memang cabaran semasa yang berlaku dengan pesatnya di dalam dunia moden dan global ini benar-benar merupakan ombak besar yang sedang melanda masyarakat manusia, termasuk masyarakat Islam di seluruh dunia.

Kegiatan serangan pemikiran melalui propaganda yang memperkecil-kecilkan ajaran agama Islam dan memomokkan segala nilai moral kerohaniannya, atau yang berusaha mengubah cara hidup Islam dan budayanya yang murni telah banyak meninggalkan kesan yang negatif di dalam masyarakat Islam golongan muda dan dewasa.

Kita mungkin dapat memberikan pelajaran agama kepada setiap orang pelajar Islam yang bersekolah. Tetapi banyak negara, terutamanya negara yang penduduk Islamnya merupakan rakyat minoriti, tidak mendapat peluang untuk memberikan pendidikan agama di sekolah.

Pendidikan agama hanya terserah kepada ibu bapa dan komuniti Islam sendiri yang menanggungnya, maka akibatnya peratusan anak-anak yang mendapat pendidikan agama tentulah agak kecil, dan yang lain-lainnya sentiasa terdedah kepada penyelewengan budaya dan akidah, termasuk cabaran-cabaran masyarakat moden yang menggugat cara hidup beragama dan nilai-nilai akhlaknya.

Dari sudut yang lain di samping ajaran-ajaran sesat yang konvensional dan terang-terang merosakkan akidah umat Islam yang sebenarnya, maka umat Islam kini juga banyak menghadapi cabaran kekalutan pentafsiran agama yang dibuat oleh sesetengah kalangan secara emosi dan sentimen sempit kerana sebab-sebab yang tertentu.

Yang membimbangkan kita dalam hal ini bahawa keadaan ini amat mengelirukan orang awam, terutamanya aliran-aliran ini juga mempunyai jaguh-jaguh dan wiranya yang tersendiri.

Sekali lagi kita berhadapan dengan kemelut kejahilan dan sifat fanatik melulu sebahagian umat Islam yang amat mudah terpengaruh dengan propaganda begitu.

Pendeknya ajaran sesat dan pengaruh moden yang dikembangkan di dalam masyarakat kita dari dahulu hingga sekarang membawa akibat buruk dan amat merugikan masyarakat Islam.

Pengaruh itu amat mudah memecahbelahkan masyarakat dan mengalih pandangan serta usaha umat Islam kepada soal-soal kebatinan dan isu-isu sampingan yang tidak termasuk ke dalam arus perdana ajaran Islam yang sebenarnya.

Penceramah dari Singapura, Brunei dan Indonesia juga Malaysia menekankan tentang kepentingan penjelasan umum dan pendidikan di semua peringkat pengajian sebagai saluran yang amat baik untuk menghapuskan pengaruh ajaran sesat ini.

Bagi saya ajaran sesat cara lama dan penyebaran fahaman sempit tentang agama seperti yang berlaku sekarang, terutamanya yang didorong oleh fahaman kepartian dan politik sempit adalah sama bahayanya.

Kesannya mengelirukan pemikiran umat, mempersendakan intelek dan menyempitkan pandangan umat Islam keseluruhannya, dan dalam jangka panjangnya akan membawa umat Islam kembali kepada kehidupan kuno dan jumud.

Kedua-dua aliran ini seharusnya dapatlah dilihat kesan dan akibatnya secara mendalam, lalu dapatlah diambil tindakan untuk merawatnya secara bersungguh-sungguh.

Rawatannya bukanlah hanya terserah kepada pemerintah dan ibu bapa, malahan semua anggota masyarakat dan para guru adalah bertanggungjawab bagi membetulkan keadaan ini dengan penuh rasional dan komited kepada nilai-nilai ajaran dan akhlak Islam yang sebenarnya.

No comments: