Friday, June 8, 2007

Memerangi fahaman jumud dan liberal

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SALAH satu sesi bengkel Kongres Profesional Muda Melayu (KPMM) yang diadakan pada 26 dan 27 Februari yang lalu ialah bengkel agama, budaya dan sosial.

Bengkel tersebut telah merumuskan banyak resolusi bagi ketiga-tiga persoalan pokok yang dibicarakan. Di antara resolusi yang penting di dalam bidang agama ialah memahami pandangan sejagat atau world-view Islam secara menyeluruh, terutama melalui sistem pendidikan yang menggabungkan segala disiplin ilmu aqli dan naqli.

Sehingga dengan itu proses pendidikan generasi muda Islam akan berjaya melahirkan individu Muslim yang cintakan ilmu dunia dan akhirat, memahami dan menghayati nilai-nilai moral kerohanian Islam, menghormati adab-adab di dalam perbezaan pendapat dan sebagainya.

Resolusi ini sesungguhnya memerlukan banyak langkah strategik di dalam merombak dan menyusun semula sistem pendidikan keagamaan dan kerohanian, iaitu dengan mewujudkan satu rangka kurikulum yang bersifat sejagat tentang kefahaman agama dan mengambil kira asas-asas penting sosial dan budaya nasional, serta perkembangan politik yang berlaku di negara kita.

Kita memerlukan model pendidikan Islam yang lebih menekankan kepada perkembangan ilmu pengetahuan moden yang berkembang pesat sekarang ini seperti ilmu teknologi dan komunikasi maklumat di samping menggabungkan nilai-nilai budaya dan etika kita sendiri yang menjadi akar umbi kewujudan bangsa kita.

Hal ini semua haruslah disepadukan dengan ilmu keagamaan di dalam segala cabangnya, supaya individu yang melalui proses pendidikan ini akan sentiasa memahami tuntutan agama dan budayanya, memahami dan menghayati tuntutan emosi dan jasmaninya berpandukan nilai dan etika agama dan sosiobudaya yang sentiasa berubah-ubah ini.

Seperti yang pernah saya tegaskan dulu bahawa sistem pendidikan Islam seperti ini masih menunggu umat Islam yang benar-benar mempunyai kesedaran dan visi untuk merangka dan melaksanakannya.

Mungkin Universiti Al-Azhar atau Madinah dan Jordan tidak mempunyai satu sistem yang sepenuhnya dapat diaplikasikan di dunia Islam lainnya, termasuk di negara kita. Oleh itu kita mungkin tidak perlu terlalu ghairah untuk menyalin seratus peratus sistem dari negara lain, walaupun dalam bidang teologi dapat kita akui kewibawaannya, tetapi dari segi pendidikan lain yang merangkumi penciptaan manusia yang berbudaya dan memahami nilai budaya setempat dan prinsip-prinsip asas kematangan ilmu dan emosi mungkin masih boleh dipersoalkan.

Maka dari sudut inilah kita ingin merumuskan formula kita sendiri agar kita dapat melahirkan anak Muslim yang menepati kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Dalam hubungan ini, sayangnya setelah sekian abad Islam hadir ke negara kita, tetapi kerana keadaan yang tertentu dan kerana proses kefahaman dan pendidikan agama di negara kita yang terlalu lambat perkembangan dan pergerakannya, mungkin kerana kita masih mencari-cari satu model dan sistem pendidikan yang mantap dan terkini, maka Islam masih dilihat sebagai satu sistem ibadat dan hukum halal haram, dosa dan pahala yang tidak jauh melangkah melampaui batas-batas asasi itu.

Islam yang berasaskan ilmu semasa dan terkini, dan yang memberatkan pemikiran dan makna serta konsep mendalamnya, amat jauh ketinggalan dari jangkauan kita. Kerana itulah timbulnya individu Muslim yang jumud, tertutup, emosional dan agresif, kacau-bilau pandangan dan pemikirannya yang menjelma di dalam semua bentuk perjuangan hidupnya. Hal inilah yang cuba diketengahkan di dalam kongres tersebut.

Bagaimanapun, satu hal lain yang seharusnya mendapat perhatian masyarakat dan pemerintah kita sekarang ini ialah perjuangan liberal agama yang didukung oleh sesetengah individu Islam yang terlalu jauh terkeluar dari batas-batas dan sempadan-sempadan ilmu keagamaan.

Golongan ini tidak dapat menerima metodologi pendidikan agama yang berasaskan epistimologi Islam dan pendekatan ilmu yang berasaskan falsafah sumber utama Islam. Golongan ini yang berleluasa mentafsirkan al-Quran berasaskan keilmuan aqli semata-mata mudah mempengaruhi akal fikiran kalangan yang tidak mempunyai asas dan teras keagamaan yang kukuh dan mantap.

Golongan ilmuwan liberal dan rasional mungkin akan menerima kenyataan yang dilemparkan kepada mereka bahawa Islam merupakan satu peraturan hidup asasi untuk kesejahteraan manusia, iaitu untuk mengambil yang baik dan meninggalkan yang jahat, tanpa memahami apa itu baik dan jahat daripada pandangan agama.

Hal-hal ibadat seperti sembahyang umpamanya yang dikatakan sebagai sokongan iaitu sebagai satu unsur supplementary sahaja, tentulah memberi kefahaman bahawa setiap individu adalah bebas untuk melakukannya mengikut kedah dan waktunya sendiri.

Oleh itu, di samping memerangi unsur-unsur kejumudan tadi, kita tidak haruslah mengabaikan fahaman liberal dan keterbukaan mutlak di dalam agama ini yang turut menyentuh keimanan kepada prinsip-prinsip kerohanian dan institusi ibadat khusus kita kerana hal ini juga merupakan kebimbangan kita dalam proses melahirkan generasi moden yang bersifat sederhana dan terbuka.

Mungkin resolusi seterusnya di dalam bengkel tersebut yang mendesak supaya proses penyampaian Islam dilakukan secara lunak, bijaksana dan praktikal amat relevan di dalam konteks ini, terutamanya ketika resolusi ini juga menyebut bahawa institusi-institusi agama haruslah bersifat proaktif.

Selama ini nampaknya kita sering bertindak secara yang amat reaktif, sehingga kita amat ketinggalan di belakang, iaitu setelah nasi menjadi bubur. Semoga profesional muda yang masih panas darah dan tenaganya untuk merealisasikan resolusi kongres ini akan menjadi golongan pendesak yang kuat untuk mengejutkan institusi agama yang sedang nyenyak tidur agar bangun segera menjalankan tugasnya.

No comments: