Friday, June 8, 2007

Memahami pengertian berterima kasih

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
DI DALAM polemik dan perbincangan awam kita sering berhadapan dengan berbagai-bagai pandangan dan pentafsiran tentang sesuatu isu yang dibicarakan. Isu bersyukur dan berterima kasih umpamanya lebih banyak menimbulkan kekeliruan dari penyelesaian masalah.

Sebab utama yang membawa kepada kekeliruan ini pada pandangan saya ialah kerana ramai pembicara yang tidak melihat dan menganalisis persoalan ini secara menyeluruh dari segi konsep dan kepelbagaian dimensinya.

Terlalu ramai orang yang turut membicarakan isu ini hanya melihat dari sudut makna kalimatnya, atau dari sudut harfi dan konotasi literal semata-mata, sedangkan isu yang dibicarakan itu bukanlah isu mengucapkan syukur atau terima kasih itu sahaja, malah isu yang dibicarakan ialah isu budaya dan budi manusia itu sendiri dalam bentuk tindakan dan amalannya, isu menghargai nikmat dan mempergunakannya dengan betul dan sempurna.

Kita semua tahu bahwa surah al-Fatihah dimulai dengan lafaz Al-Hamdu-Lillah yang bermaksud mengucap syukur dan memuji Allah s.w.t. Dalam penggunaan bahasa kata nama ini bermaksud syukur dan terima kasih.

Bersyukur kepada Allah s.w.t seperti yang dijelaskan oleh banyak para pentafsir merangkumi beberapa unsur dan aspeknya iaitu mengucap syukur dan menyatakan terima kasih dan memuji Allah s.w.t di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita.

Bersyukur kepada Allah s.w.t pula akan lahir di dalam berbagai-bagai tindakan manusia seperti berikut:-

* Syukur di dalam hati iaitu mengakui dan menyedari dengan seikhlas-ikhlasnya bahawa nikmat yang dirasakan itu adalah semata-mata rahmat dan kurniaan dari Allah s.w.t.

* Syukur dengan lisan, iaitu dengan memancarkan segala yang berada di dalam hatinya dengan ucapan-ucapan yang jujur sebagai pernyataan dengan lidah dan perkataan.

* Syukur dengan perbuatan dan amalan, iaitu dengan cara menempatkan nikmat yang diperolehnya pada tempatnya yang sesuai dan diredai Allah s.w.t.

Persoalannya di sini ialah kejujuran manusia mengakui nikmat Tuhannya dan menggunakan nikmat itu pada jalannya yang betul serta mengambil manfaat sepenuh-penuhnya daripada nikmat yang diperolehnya itu. Oleh itu tidak seharusnya timbul isu bahawa orang-orang Islam hanya perlu bersyukur kepada Allah semata-mata sehingga tidak perlu bersyukur dan berterima kasih sesama manusia.

Sebenarnya kita bersyukur kepada Allah s.w.t di atas segala kurniaanNya yang amat besar dan lengkap sebagai Tuhan pencipta alam dan yang maha berkuasa di atas segala-galanya.

Tetapi kita juga perlu bersyukur dan berterima kasih sesama manusia di atas segala bakti dan jasa baik yang dapat diberikan oleh orang lain kepada kita di atas sifatnya sebagai manusia yang mempunyai sifat kekuatan dan kelemahan sendiri yang mendorong manusia supaya sering bantu-membantu dan tolong-menolong kepada kebaikan dan ketakwaan seperti yang diperintahkan oleh s.w.t.

Lebih dari itu, isu ini juga sebenarnya bukan isu berterima kasih secara lisan atau pengucapan sehingga timbul pula persoalan untuk orang berterima kasih atau tidak secara mulut dan membawa pula kepada soal untuk meminta orang berterima kasih atau tidak.

Persoalan yang lebih besar lagi ialah persoalan menterjemahkan rasa terima kasih itu ke dalam tindakan dan tingkah laku orang yang pernah menerima budi dan pertolongan yang diberikan kepadanya.

Sepanjang yang kita maklum orang Islam sering diperingatkan supaya sentiasa mengenang budi dan jasa orang kepadanya. Nikmat Allah s.w.t yang dikurniakan kepada manusia dalam bentuk alam semesta termasuk alam sekitar merupakan satu anugerah yang amat besar yang harus dipelihara oleh manusia, iaitu menurut firman Allah s.w.t di dalam Surah al-A'raf ayat 56:

''Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di atas bumi sesudah (Allah) memperbaikinya''.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 47 Allah s.w.t mengingatkan Bani Israel yang telah dilebihkan di atas umat-umat yang lain pada zaman Nabi Musa a.s:

''Ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku kurniakan kepada kamu.

Maka dalam berterima kasih sesama manusia, amat baik sekali kita mengambil kaedah kesyukuran kepada Allah s.w.t sebagai kaedah dan idealisma yang perlu dicontohi dengan mengambil iktibar dan perhatian akan konsep kesyukuran yang perlu dipersembahkan kepada Allah s.w.t dan tingkat serta tahap syukur sesama manusia, dan mengambil kira pula kekuasaan Allah s.w.t yang mutlak dan maha tinggi, dengan keterbatasan manusia sebagai makhluk Allah yang mempunyai kelemahannya yang tertentu. Namun bersyukur kepada Allah s.w.t dan berterima kasih kepada sesama manusia sebenarnya tidak mempunyai sebarang percanggahan sehingga boleh menjejaskan keimanan atau merosakkan akidah orang Islam.

Konsep bersyukur itu juga sebenarnya dapat diperluaskan pengertiannya kepada amalan mengenang budi dan berbakti kepada orang lain. Allah s.w.t mengingatkan hambaNya supaya berlaku baik dan berbakti kepada sesama manusia di atas nama ihsan:

''Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti mana allah berbuat baik kepadamu''. - (Surah al-Qasas, ayat 77).

Maka konsep bersyukur dan berbuat baik serta melakukan ihsan kepada orang lain merupakan sebahagian daripada tingkah laku manusia yang mencerminkan keperibadian manusia yang berakhlak dan berbudi.

Oleh itu saya rasa dalam membicarakan isu bersyukur dan berterima kasih ini, penumpuan yang harus diberikan ialah kepada sudut moral dan akhlak serta adab dan budi manusia itu sendiri sebagai makhluk yang bertamadun dan berkebudayaan tinggi. Terima kasih dan syukur itu hanyalah merupakan satu contoh sahaja tentang pembicaraan akhlak dan budi manusia secara keseluruhannya.

Dalam konteks inilah kita sering bertanya apakah orang Islam dan orang Melayu di negara kita ini benar-benar merupakan manusia yang berbudaya tinggi dan berakhlak mulia dalam konteks mengenang jasa orang lain di atas sifat insan individu atau institusi tertentu, malah sebagai orang Melayu, apakah mereka lupa akan budaya hidup orang Melayu seperti yang sering digambarkan di dalam khazanah peradaban dan sastera Melayu tentang budi dan jasa, mengenang budi dan membalas budi, ataupun dalam keadaan sekarang ini kita ingin meruntuhkan segala-galanya yang ada di dalam budaya kita yang telah sekian lama dibangunkan?

No comments: