Wednesday, July 18, 2007

Memulihkan ekonomi

DALAM pertemuan berbuka puasa dengan Perdana Menteri baru-baru ini, seorang duta sebuah negara Islam menyatakan pandangannya bahwa kemelut ekonomi yang melanda negara ini adalah merupakan sesuatu yang biasa dialami oleh negara lain. Tetapi keadaannya menjadi begitu gawat di Malaysia kerana gambaran media massa, terutamanya media asing, yang membesar-besarkan krisis ini, yang dengan gambaran itu seolah-olah ekonomi negara ini keseluruhannya telah tumbang dan pendudukan telah menjadi papa kedana dan tidak ada apa yang hendak dimakan lagi.

Saya percaya diplomat tersebut menyatakan hal ini dengan ikhlas berdasarkan pandangan beliau tentang prestasi ekonomi negara yang dilihatnya sekarang yang tidak banyak mengalami perubahan dari tahun yang lalu dan tahun-tahun sebelumnya. Saya beranggapan demikian kerana beliau menyatakan bahawa beliau mempunyai keyakinan positif terhadap ekonomi negara kita berdasarkan keutuhan infrastruktur dan pembangunan negara yang pesat seperti yang dapat disaksikan selama ini.

Pandangan beliau mempunyai kebenaran, terutamanya bagi ''orang biasa'' yang bukan ahli ekonomi dan tidak pula terlibat secara langsung dengan kelembapan ekonomi negara sekarang. Orang biasa yang tidak terlibat dengan perniagaan, hutang luar negara, pemilikan saham dan sebagainya tentu tidak mengerti sangat tentang krisis ekonomi ini, selain dari hanya terlibat dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian seperti bahan-bahan makanan.

Mereka tahu bahawa ekonomi negara menjadi parah ketika mereka mahu membeli ikan, sayuran, bawang, gula dan sebagainya. Selain dari itu mereka masih dapat melihat kereta-kereta besar menjalar di jalan raya, kepingan-kepingan wang besar masih mengalir di pasar-pasar raya, malah bangunan-bangunan hotel, gedung membeli-belah dan rumah-rumah mewah tetap dibangunkan dua puluh empat jam sehari di sesetengah bandar besar.

Walau apa pun yang akan terjadi kepada ekonomi negara, hanya Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui, tidak ada sesiapa yang dapat meramalkan dengan tepat bilakah pasaran saham akan naik, bilakah mata wang ringgit akan meningkat dan bilakah keadaan ekonomi negara akan pulih semula, cergas dan kuat seperti dulu.

Perdana Menteri pun hanya meramalkan sahaja, iaitu ekonomi akan pulih dalam masa enam bulan ke setahun yang akan datang. Tetapi hal itu ditegaskan beliau dengan beberapa syarat dan komitmen yang harus ada pada orang ramai, seperti keyakinan kepada barangan dan nilai wang sendiri, berbelanja dengan berhemat dan berjimat cermat, menabung secara produktif untuk jangka masa yang panjang dan beberapa tindakan lain lagi yang harus diambil oleh kerajaan dan orang ramai. Jadi, ramalan beliau bukanlah ramalan ahli nujum, tetapi merupakan harapan yang harus disertai dengan aksi, rancangan agenda dan sebagainya yang perlu dijalankan oleh orang ramai dan kerajaan juga.

Berbelanja dengan berhemat dan berjimat cermat adalah merangkumi perkara-perkara yang berikut:

* Tidak membazir dalam penggunaan wang dan kemudahan lain seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya. Islam menyekutukan orang-orang yang membazir dengan saudara-saudara syaitan (yang sentiasa mendorong kepada kerosakan). Rasulullah s.a.w. menunjukkan contoh menjimatkan air ketika baginda mengambil wuduk iaitu dengan hanya menggunakan air sebanyak satu bijana kecil sahaja, tidak mencurah-curah banyaknya seperti yang selalu kita lakukan.

* Memilih makanan yang perlu untuk memenuhi sepertiga isi perut setiap kali makan, dan dalam membuat pilihan makanan itu pula perkara yang perlu diperhatikan ialah makanan yang halal dan baik. Al-Quran menegaskan, ''Wahai manusia makanlah apa yang ada di atas muka bumi yang halal dan baik.'' (Al-Baqarah, 168: al-Maidah, 88, al-Anfal, 69; Al-Nahl, 114). Makanan yang halal dan baik ialah makanan yang didapati secara halal dan mempunyai kualiti untuk kesihatan jasmani dan rohani. Jenis makanan seperti ini tentulah tidak perlu mahal atau dimakan dengan sebanyak-banyaknya. Dalam konteks ini mungkin kita perlu mengkaji semula tabiat dan budaya pemakanan dan jenis makanan yang dimakan setiap hari supaya sesuai dengan nilai-nilai agama yang ditegaskan oleh al-Quran itu.

* Tabiat menabung haruslah digerakkan secara bersungguh-sungguh supaya ia menjadi cara hidup yang sebati dengan masyarakat kita. Allah s.w.t. menegaskan bahawa Hari-hari itu kami pergilirkan di antara manusia (Ali-Imran, 140) supaya dengan itu orang akan sentiasa berjaga-jaga tentang hari senang dan hari susah, sakit dan sihat, masa sempit dan masa lapang seperti yang disebutkan baginda Rasulullah s.a.w. tentang lima perkara yang harus dipergunakan dengan sebaik-baiknya, sebelum tiba lima perkara lain yang membawa padah dan penyesalan berpanjangan.

* Menabung bukan untuk menghitung jumlah wang, tetapi untuk kepentingan kediaman, pendidikan anak-anak, pembelian keperluan dan mengelakkan diri dari berhutang. Mungkin dalam konteks ini lebih banyak peluang menabung untuk pendidikan anak-anak dapat dibuka oleh bank, takaful dan sebagainya dan diberikan liputan yang meluas kepada semua golongan rakyat.

Kita bersyukur kerana rakyat nampaknya telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi untuk membantu kerajaan memulihkan ekonomi sehingga sanggup menderma daripada pendapatan tetap mereka melalui gaji dan elaun yang tertentu. Semangat pengorbanan ini amat sesuai dengan prinsip Islam yang memberi keutamaan kepada maslahat umum di atas maslahat peribadi, dan menggalakkan umatnya bersukarela melakukan sesuatu yang lebih dari yang wajib seperti yang terkandung dalam ibadat sembahyang, puasa dan lain-lain.

Keperihatinan rakyat untuk menderma kepada negara seharusnya dijunjung dan disambut dengan baik terutamanya di peringkat-peringkat awal kejatuhan ekonomi, di mana sisa-sisa kemewahan masih dapat dilihat. Kalau hal ini telah dapat dilakukan di beberapa buah negara yang mengalami nasib ekonomi yang sama dengan kita, maka saya rasa ianya patut disegerakan pelaksanaannya di sini.

Saya mengatakan demikian kerana selain dari golongan rakyat berpendapatan sederhana dengan makan gaji dan telah pun sanggup mengeluarkan wang untuk membantu negara, maka dalam negara ini, kita masih dapat melihat tanda-tanda kemewahan di sana sini. Masih banyak rumah orang-orang korporat dan lain-lain yang punyai kereta import sebagai kereta kedua, ketiga atau keempat. Masih banyak wang dolar atau pound di sana sini, termasuk didalam bank-bank luar negara,dan anehnya masih kedengaran amaran penggunaan wang dalam politik yang sepatutnya tidak perlu timbul lagi dalam keadaan ekonomi lembap ini. Semua ini memberi isyarat bahawa di negara kita masih terdapat banyak orang yang mewah dan kaya, yang punya wang dan harta benda.

Maka kalangan ini tentulah harus merasa lebih perihatin untuk menolong negara sebagai balasan dan mengenang budi negara yang menyumbang kepada kekayaan dan kemewahan mereka, dan dalam keadaan seperti di atas tentulah mereka akan sanggup berkorban lebih dari orang lain yang telah pun menyatakan kesediaan untuk menyumbang dengan suara yang lantang. Allah S.W.T. menyeru kita supaya, ''tolong menolonglah untuk kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong menolong untuk dosa dan permusuhan''.

Oleh itu ayuhlah, pengayuh sama-sama berada di tangan, perahu sama-sama di air, maka sama-samalah merasakan tanggungjawab dengan kekuatan yang ada di tangan masing-masing untuk memberi sumbangan bagi memulihkan ekonomi negara mengikut periuk dan kerak masing-masing, besar atau kecilnya. Kalau kumpulan semua telah bersedia untuk mengusung lipas, maka kumpulan gajah tentulah lebih bersedia untuk memikul bangunan dan gedung yang besar. Ketika itu, mungkin kata-kata diplomat negara Islam kepada Perdana Menteri seperti yang disebutkan di atas itu ada kebenarannya, apa lagi berkat bulan Ramadhan yang mulia ini.

No comments: