Friday, June 8, 2007

Hijrah dan cabaran minda Islam

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MINGGU lalu saya menulis tentang orang Melayu, bilakah agaknya keseluruhan kita akan dapat berubah dari segi sikap dan pemikirannya yang jumud dan negatif.

Kita telah mengalami perubahan zaman dan waktu yang amat penting dalam sejarah hidup umat manusia. Kita telah memasuki abad dan alaf baru, abad ke-21 dan alaf yang kedua dengan menjelangnya tahun 2000 Masehi.

Pada hari ini satu lagi peristiwa besar yang mencatat sejarah telah berlaku, dan peristiwa ini amat penting bagi kehidupan umat Islam seluruhnya iaitu peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah yang berlaku pada tahun Masehi 622.

Segala peristiwa dan perjalanan sejarah yang berlaku dengan cepat itu kalau diibaratkan sebagai sebuah kenderaan, maka ia telah membawa kita ke hadapan melintasi destinasi demi destinasi, dan kita masih menjadi penumpangnya yang telah melalui berbagai-bagai selekoh dan landasan perjalanan yang sepatutnya telah membawa banyak perubahan dan kemajuan kepada kita kerana perjalanan kita sesungguhnya telah amat jauh meninggalkan destinasi pertama kita.

Berdasarkan hal ini jugalah saya rasakan bahawa peristiwa menjelangnya tahun baru hijrah, tahun demi tahun, sepatutnya telah banyak mengajar kita menjadi umat yang matang dan maju, terkehadapan dan terkemuka, bukan umat yang mundur dan masih tertinggal di belakang.

Ketika membicarakan peristiwa hijrah setiap kali menjelangnya tahun baru Islam, maka banyak sekali pengajaran dan iktibar yang dapat kita ambil dan pelajari daripada sirah baginda Rasulullah s.a.w. dan perjuangannya yang memakan masa dan fasa yang banyak dalam menegakkan agama Allah s.w.t. untuk seluruh alam dan untuk semua umat manusia.

Kita memahami dan hampir-hampir dapat menghafal semua peristiwa yang berlaku semasa hijrah, sebelum dan sesudahnya, kerana hal-hal itulah yang diulang ulangkan oleh para penceramah dan khatib, para guru dan ulama, ketika merayakan ketibaan tahun baru hijrah.

Kita amat berbangga dengan bekalan ilmu pengetahuan yang amat bernilai itu yang diperturunkan dari generasi ke generasi sehinggalah menjelangnya ketibaan tahun baru Hijrah 1421 ini.

Cuma yang diharapkan bahawa kedatangan tahun baru hijrah kali ini kita tidak lagi buat kesekian kalinya mengulangi apa yang telah diperkatakan tentang peristiwa itu semata-mata tanpa sebarang refleksi tentang sejarah dan kedudukan umat Islam itu sendiri setelah sekian lama menerima ajaran Islam daripada baginda Rasulullah s.a.w.

Bagi saya kita umat Islam di negara ini mungkin tidak terlalu banyak sejarah buruk dan kemunduran yang kita alami kerana kita selamanya sentiasa mengawasi destinasi perjalanan kita, dan menyedari hakikat bahawa kita berada di dalam satu kehidupan dunia moden dan perlukan perubahan, dan masyarakat majmuk yang memerlukan sifat toleransi dan persefahaman untuk menempa sejarah dan pembangunan kita sendiri. Kita mempunyai visi sendiri yang agak memantapkan umat kita dan agama kita di dalam dunia global yang amat mencabar ini.

Bagaimanapun, saya tetap menegaskan di sini bahawa matlamat yang kita capai dari segi kemajuan umat dan agama kita, yang membawa kita agak terkehadapan dengan paradigma yang agak mantap selama ini telah amat tergugat dan terancam dengan munculnya gejala baru perjuangan menegakkan agama yang berasaskan kosmetik dan slogan, gerakan fanatik dan sentimen melulu yang melanda masyarakat kita.

Gejala ini sebenarnya merupakan semacam serangan virus yang selama ini telah banyak menyerang negara-negara Islam di dunia, dan telah mengakibatkan banyak jangkitan maut terhadap pembangunan umat dan negara Islam itu.

Oleh itu, saya harapkan bahawa kita umat Islam di Malaysia tidaklah harus mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemerintah dan umat Islam di sesetengah negara lain, iaitu cuba melayani pandangan dan doktrin sempit tentang agama, memberi pandangan berat tentang perjuangan retorika dan slogan agama, terlalu prihatin tentang teori agama yang berasaskan kosmetik dan kulit.

Isu-isu ini akhirnya mendominasikan masyarakat dan suasana negara seluruhnya sehingga agenda-agenda besar lainnya digerhanakan oleh liputan cahaya hitam yang tidak banyak memberikan manfaat itu.

Kita di Malaysia telah dibawa ke destinasi yang agak jauh dari pangkalan awal kita tentang kemajuan sains teknologi, multi media, perdagangan, industri berat, kewangan dan perekonomian yang terkehadapan, petroleum, pengurusan dan pentadbiran negara yang cekap, dan dalam masa yang sama kita juga telah membangunkan agama dan maruahnya yang wajar, memupuk pembangunan kerohanian dan penghayatan agama di segenap dimensinya.

Maka dalam keadaan yang demikian sepatutnya kita tidak perlu lagi menghiraukan suara-suara yang agak membingitkan tentang isu-isu yang jelas mencabar intelektual dan pemikiran serta liku-liku pengetahuan kita.

Kita telah melangkah jauh dalam kematangan berfikir dan memahami agama kita, kenapakah harus kita risaukan lagi tentang isu Tuhan mencarut di dalam al-Quran, tentang berkawan dengan syaitan, penonjolan istilah sekular dan sebagainya tanpa memahaminya, malah penentuan syurga atau neraka berprinsipkan ideologi parti politik biasa.

Sepatutnya hal-hal begini tidak lagi perlu kita risaukan setelah kita telahpun melangkah ke abad baru dan alaf baru, atau pun ke tahun baru Hijrah 1421 ini.

Peningkatan ilmu pengetahuan dan pendidikan kita di Malaysia sepatutnya telah dapat menolak kenyataan-kenyataan seperti itu tanpa berbincang panjang dan memberikan publisiti meluas.

Sebagai umat yang telah matang dan telah banyak membuat kemajuan besar mengikut landasan agama, kita tidak sepatutnya mendangkalkan daya intelek kita ke tahap rendah membicarakan isu-isu yang jelas tidak menyumbang kepada pembicaraan peradaban umat yang tinggi.

Malah kita berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih besar dan bermakna lagi di hadapan golongan-golongan yang amat perkasa yang ingin melihat kita berpecah belah, lemah dan tidak dapat maju ke hadapan. Tetapi sayang seribu kali sayang hal-hal yang seharusnya tidak kita risaukan inilah yang amat digemari dan ingin diratah dengan gelojohnya oleh sesetengah umat Islam pada hari ini.

Hal inilah yang dirasanya sebagai agama dan yang lain-lainnya semuanya sekular dan palsu.

Tidak tahulah sehingga sambutan ulang tahun hijrah yang ke berapakah kita akan sebenarnya dapat memahami Islam secara mendalam dan luas serta menyeluruh sebagai addin, iaitu agama yang syumul dan cara hidup yang lengkap?

No comments: