Friday, June 8, 2007

Perbezaan bahasa tidak rosakkan akidah

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KEJADIAN manusia dengan kepelbagaian bahasa mempunyai rahsianya yang tersendiri. Allah s.w.t menegaskan di dalam al-Quran bahawa hal tersebut merupakan satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya. Kejadian manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan kaum, warna kulit dan bentuk rupa paras merupakan satu keajaiban yang semuanya menjurus kepada kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t.

Kita ditakdirkan Allah s.w.t menjadi umat Islam yang berbahasa Melayu, maka kita juga adalah sama dalam konteks ini dengan saudara-saudara umat Islam yang berbahasa Cina, Tamil dan lain-lain. Dari sudut akidah dan amalan, kita mempunyai tanggungjawab dan tugas yang sama, kita hanya berbeza dari sudut bahasa.

Oleh itu dapatlah ditegaskan di sini bahawa perbezaan bahasa antara umat Islam keseluruhannya tidaklah sampai mewujudkan perpecahan dari sudut akidah dan amalan agama. Ini kerana dari aspek ini umat Islam seluruhnya disatukan oleh bahasa al-Quran yang merupakan bahasa ibadat sembahyang dan bahasa bagi membaca kitab suci itu sebagai satu ibadat. Secara khususnya setiap umat Islam mestilah membaca bacaan ketika sembahyang dalam bahasa al-Quran. Sembahyang tidak boleh ditunaikan dalam bahasa ibunda yang lain daripada bahasa al-Quran itu.

Maka dalam konteks ini, urusan lain dalam sebarang pembangunan dan aktiviti kehidupan ini, masing-masing kaum dan bangsa adalah bebas menggunakan bahasanya sendiri dalam persekitaran budaya dan adab sopannya yang tersendiri.

Bahasa dalam bentuk umumnya hanyalah satu ilmu yang termasuk dalam kategori ilmu alat, iaitu sebagai alat untuk berkomunikasi, mendapatkan ilmu dan sebagainya. Setiap bahasa mempunyai tatabahasa dan ragamnya yang tersendiri.

Dalam keadaan inilah saya merasakan bahawa generasi baru kita agak terkeliru sedikit ketika bahasa Melayu mengalami beberapa ungkapan yang telah diciptakan oleh golongan tertentu untuk menggambarkan identiti penggunanya, sama ada satu kelompok penutur bahasa Melayu itu lebih beragama atau sebaliknya. Umpamanya ungkapan tradisi yang menjadi ragam penggunaan bahasa kita untuk memberi ucapan hormat kepada orang ramai, kita sering menggunakan ungkapan `yang dihormati', umpamanya dengan memulakan ucapan dengan ungkapan - ``Tuan Puan yang dihormati.''

Bagaimanapun ungkapan tersebut nampaknya sejak akhir-akhir ini telah digubah semula dalam bentuk baru. Pada pandangan saya, orang yang mengubah ungkapan ini mengandaikan ia lebih mendekatkan penuturnya kepada agama. Misalnya memulakan ucapan atau khutbah dengan berkata, ``Tuan Puan yang dirahmati Allah.'' Ungkapan ini menjadi agak popular di kalangan pihak yang tertentu dan menjadi ikutan sebahagian besar orang ramai.

Bagi saya ungkapan ini merupakan satu lagi variasi penggunaan bahasa dan tidak menjadi halangan untuk kita menggunakannya, kerana hal ini juga merupakan proses perkembangan bahasa yang sering berubah-ubah mengikut perkembangan pemikiran dan ilmu pengetahuan manusia.

Bagaimanapun perkembangan ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu perkembangan yang bertujuan untuk menggariskan satu garis pemisah antara para penutur yang menggunakan ungkapan yang ini dengan para penutur yang lebih selesa menggunakan ungkapan lama yang menjadi tradisi kita selama ini. Malah dalam keadaan apa sekalipun perbezaan penuturan ini tidak seharusnya dilabelkan bagi golongan yang lebih Islamnya.

Yang lebih penting bagi saya, semua penutur dan pengguna bahasa ini seharusnya mempunyai sentimen yang sama ketika menggunakan sebarang ungkapan bahasanya tanpa terasa perbezaan identiti, terutamanya dalam hubungan siapa yang lebih beragama dan siapa yang jauh daripada agama.

Hal yang sama juga dapat ditegaskan di sini bahawa dalam konteks yang lain, tidak semestinya juga orang yang menutur atau menulis istilah sembahyang atau solat dapat menjadi seseorang itu lebih beragama atau tidak, kerana bahasa Melayu telah mempunyai istilahnya yang tersendiri ketika menerima Islam dan bentuk ibadatnya yang banyak itu.

Istilah sembahyang atau solat mempunyai konsep yang sama bagi ibadat yang dimaksudkan. Malah tidak semestinya istilah Arab yang digunakan itu dapat menjadikan seseorang itu mempunyai identiti yang berbeza dari sudut peribadi dan akidahnya selagi ia tidak menjurus kepada amalan yang bertentangan dengan dasar amalan dan penghayatan rukun Islam itu.

Bahasa Melayu yang telah mengungkapkan penggunaan ribuan terima kasih dalam menyatakan rasa penghargaan kepada orang lain tidak menekankan kepada angka ribu atau juta sehingga kita terpaksa mengubahnya kepada jutaan terima kasih. Ungkapan ribuan itu membawa konotasi banyak atau sejumlah yang cukup besar, oleh itu ia telah menjadi penggunaan yang sah dalam gaya bahasa Melayu berdasarkan tradisi dan budaya kita yang asli. Dalam keadaan yang sama juga sepatutnya segala istilah asing yang telah dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu haruslah digunakan dalam istilah pinjamannya itu. Istilah muhrim umpamanya yang rata-ratanya telah difahami oleh pengguna bahasa Melayu sebagai anggota keluarga yang tidak boleh berkahwin sesama sendiri, tidak semestinya ditukar kembali kepada istilah asalnya dalam bahasa Arab sebagai mahram dan sebagainya.

Kata pinjaman dalam sesuatu bahasa mempunyai hubungan yang rapat dengan istilah dan budaya sesuatu bangsa itu. Sebab itulah kata pinjaman Arab - alim dan ulama apabila dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu telah digunakan kedua-duanya untuk merujuk kepada orang-orang yang pandai dalam ilmu agama, sedangkan dalam istilah asalnya kedua-dua kalimat itu berbeza dari sudut bilangannya, iaitu alim ialah kata tunggal, dan ulama adalah kata jamak.

Namun kita tetap menggunakannya dalam bentuk tunggal, iaitu seseorang alim atau seorang ulama kerana penggunaan ini telah menjadi satu ragam bahasa kita yang sesuai dengan budaya kita sendiri tanpa mengira penggunaan asalnya dalam bahasa Arab dari segi ilmu bahasanya.

Jika di pandang dari sudut ini juga, saya rasa keghairahan kita untuk menukar resam penggunaan bahasa kita berdasarkan tatabahasa dan ragam bahasa asing seharusnya dilakukan dalam keadaan yang lebih berilmu. Tidak semestinya bahasa Melayu yang mempunyai peraturan yang amat mudah dalam gender umpamanya seharusnya dirombak di sana sini berdasarkan peraturan bahasa lain, seperti bahasa Arab dan Perancis umpamanya.

Apakah kita perlu mengubah kata sifat bahasa Melayu berdasarkan bahasa Arab umpamanya kecenderungan kita menggunakan ungkapan anak-anak yang soleh dan solehah atau suami yang soleh dan isteri yang solehah berdasarkan peraturan gender dalam bahasa Arab yang mempunyai gender feminin dan maskulinnya.

Kalau peraturan ini hendak kita gunakan dalam bahasa kita nanti, maka sanggupkah kita mengadakan rombakan keseluruhan tatabahasa dan gaya bahasa kita secara menyeluruh?

Justeru, saya lebih suka melihat isu ini dari sudut budaya dan tradisi kita yang sebenarnya. Penggunaan bahasa Melayu dalam bentuknya yang asli tidak mengurangkan atau mencacatkan identiti kita atau menjejaskan keimanan kita sebagai orang Islam selagi ia digunakan dalam adab dan wadah kesopanan yang sejajar dengan agama kita.

Selain daripada itu seperti yang ditegaskan di atas, bahasa hanyalah merupakan ilmu alat yang boleh digunakan mengikut niat dan tujuan kita sendiri. Bagi saya, menggunakan bahasa yang betul dan asli itu lebih baik daripada menggunakan bahasa yang kecoh dan rojak terutamanya untuk mendakwa dan menunjuk-nunjukkan satu gambaran yang palsu atau cuba menggambarkan satu kelompok penggunanya yang dihubungkan dengan ungkapan atau istilah bahasa yang tertentu pula.

Kita semuanya adalah orang Melayu yang menggunakan bahasa yang sama, maka tidaklah seharusnya terdapat perbezaan dari segi penggunaan bahasa itu tentang golongan atau kumpulan tertentu.

No comments: