Friday, June 8, 2007

Mencipta sejarah menghormati ilmuwan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
HANYA bangsa yang besar dan bertamadun sahaja yang menghargai ilmu pengetahuan. Oleh kerana ilmu pengetahuan memerlukan pendokong-pendokongnya yang besar dan berketrampilan, maka para ilmuwan haruslah dihargai dan diberikan penghormatan yang sewajarnya sebagai sumber inspirasi ke arah meneruskan tradisi keunggulan ilmu pengetahuan yang lebih tinggi.

Sesuai dengan objektif ini maka Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada hari Isnin yang lalu telah melancarkan satu program memperingati jasa dan sumbangan Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim yang telah banyak berkhidmat di dalam bidang ilmu pengetahuan dan membangunkan daya intelek manusia ke satu tahap yang tinggi dengan tenaga bakti beliau yang amat besar semasa hayatnya hingga kepernafasannya yang terakhir.

Kita ingin supaya program seperti ini menjadi satu saluran penting untuk kita terokai budaya ilmu dan tamadun kita yang mempunyai khazanahnya tersendiri sebagai bangsa yang berkebudayaan dan berilmu pengetahuan. Bangsa kita bukan satu bangsa yang miskin ilmu dan budaya, atau kekurangan tamadun dan intelek. Yang diperlukan sekarang ialah membongkar kembali khazanah ilmu pengetahuan dan tokoh-tokoh yang pernah berjasa di dalam bidang-bidang ilmu pengetahuan mereka untuk kita meninjau ketokohan dan kecemerlangan mereka yang pernah tercatat di dalam sejarah pembangunan bangsa kita dan meneruskan peningkatan prestasi ilmu pengetahuan dan sumbangan bangsa kita dengan lebih cemerlang lagi.

Untuk kita tidak melupai tradisi inilah, program syarahan memperingati Ahmad Ibrahim merupakan satu percubaan secara serius IKIM untuk membongkar kembali pencapaian, perkhidmatan dan keperibadian beliau yang amat besar di dalam bidang perundangan, syariah dan lain-lain yang telah diwarnai oleh cahaya ilmu beliau yang amat gemerlapan.

Beliau ketika berusia 13 tahun telah pun lulus peperiksaan Junior Cambridge dan ketika berusia 14 tahun telah berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan Senior Cambridge iaitu ketika keseluruhan kanak-kanak bangsa kita lainnya masih tidak mengenali alam persekolahan pada masa itu, apa lagi beliau adalah seorang Melayu. Kejayaannya yang luar biasa mendapat ijazah undang-undang kelas pertama dari universiti ternama, Cambridge, pada tahun 1939 juga merupakan satu sejarah tersendiri pencapaian anak Melayu di dalam pengajian tinggi di pusat pengajian terkemuka yang bukan hanya anak Melayu malah anak-anak dari benua Asia umumnya mungkin tidak pernah bermimpi akan menjejak kaki ke universiti yang berprestij itu, apa lagi mencapai kejayaan kelas pertama.

Program memperingati jasa Prof. Ahmad Ibrahim itu juga bertujuan menampilkan kebolehan dan keserjanaan anak bangsa kita agar menjadi pendorong semangat bagi generasi muda, termasuk para pelajar kita, mencerminkan diri dan mengambil iktibar dari kegigihan yang ditunjukkan oleh tokoh ilmuwan yang unggul itu. Keyakinan kepada kebolehan sendiri amatlah penting dicerminkan dari sejarah gemilang tokoh ini, bagaimana beliau bekerja dan berkhidmat, berbakti dan tidak pernah merasa jemu dan telah dalam mencurahkan fikiran dan tenaganya kepada bangsa dan negara. Banyak pelajaran yang dapat dipelajari oleh generasi muda dan dewasa dari sejarah hidup Prof. Ahmad Ibrahim.

Beliau selesai menulis bukunya mengenai undang-undang keluarga Islam, sehari atau dua hari sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Seminggu dua sebelum itu beliau selesai menyunting bukunya yang terakhir untuk penerbitan IKIM The Administration of Islamic Law In Malaysia setebal 734 halaman yang turut dilancarkan oleh Paduka Sultan Perak sempena program terse.

Beliau berusia kira-kira 83 tahun, dan beliau bekerja 18 jam sehari tanpa banyak mengambil cuti rehat atau cuti sakit. Beliau mengajar dan memberi syarahan serta beribadat hingga ke hari terakhir hayatnya, oleh itu kepulangannya ke alam baqa' merupakan satu kejutan dan peristiwa yang tidak dapat dipercayai oleh semua orang. Bagaimanapun tokoh akan pergi dan datang. Cuma tokoh yang berada di sekeliling kita, yang masih hidup dan berkhidmat, seringkali tidak mendapat penghormatan dan penghargaan.

Kita sering lupa akan khazanah pemikiran dan ilmu pengetahuan serta tokoh pemikir di sekeliling kita yang masih berkhidmat dan berjasa, yang masih bekerja keras dan memberi semangat serta sumber inspirasi kepada kita sebagai bangsa yang besar dan bertamadun. Kerana itulah kita sering menghormati orang yang telah tidak ada lagi bersama kita di dunia ini, iaitu orang yang telah meninggal dan tidak dapat lagi meneruskan khidmatnya di dunia ini.

Maka dengan itu kenangan hanyalah tinggal kenangan, dan lebih dari itu kita hanya mungkin akan mengatakan bahawa orang yang telah pergi itu adalah orang yang berjasa dan berharga, sedangkan semasa hayatnya tidak banyak penghargaan yang kita berikan kepadanya.

Allahyarham Ahmad Ibrahim akan kekal di dalam sejarah kita sebagai simbol kecemerlangan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat, insan yang menggabungkan dirinya berbakti kepada Allah s.w.t dan kepada dunianya. Beliau sering tidur awal dan bangun sebelum penghujung malam untuk beribadat kepada Allah, setelah itu terus bertugas di awal pagi kepada keluarga dan manusia di bawah amanahnya.

Kerana itulah beliau sering sampai ke pejabatnya lebih awal dari kebanyakan orang lain dan beliau dapat menyudahkan tugasnya di dalam bidang pengajaran, penyelidikan, penulisan dan lainnya tepat pada waktunya, atau lebih awal dari yang dijangkakan.

Perawakannya yang tinggi lampai, kesihatan badan dan jiwanya yang baik, percakapannya yang lembut dan senyumannya yang sering terukir banyak sekali menimbulkan kenangan yang tidak dapat dilupai oleh semua orang. Seluruh hidup beliau merupakan sumber inspirasi dan cermin kecemerlangan peribadi dan ilmu serta model insan Muslim yang mungkin sukar ditemui di dalam sejuta orang manusia. Semoga tradisi menghormati dan menghargai para ilmuwan dan budiman akan menjadi satu program di dalam masyarakat bangsa kita.

Saya teringat ketika berada di Mesir, kerajaan di sana saban tahun merayakan satu hari yang dinamakan aidul-ilmi iaitu hari ilmu pengetahuan.

Di dalam majlis itu disampaikan penghargaan dan anugerah kepada tokoh-tokoh ilmuwan, termasuk para pelajar IPT yang cemerlang, ketua kerajaan sendiri yang menghadirinya yang menyampaikan anugerah.

Kerajaan kita juga mungkin boleh bertindak demikian, iaitu merayakan hari ilmu di peringkat kebangsaan, bukan hanya sekadar majlis-majlis konvokesyen anjuran IPT secara individu. Kalau hal ini dapat diinstitusikan, maka ilmuan kita tentunya tidak akan tenggelam dan tersisih, atau terpinggir, di celah-celah anugerah kebangsaan lain yang besar, anugerah industri muzik umpamanya, atau anugerah filem, sukan dan sebagainya.

Kita memerlukan ilmu pengetahuan dan manusia berilmu, terutamanya di zaman global dan dunia tanpa sempadan ini, ilmuwan juga merupakan tokoh-tokoh celebrity yang perlu menonjol di dalam masyarakat, memikat dan menjadi model jutaan peminat!

No comments: